Author: Bernama

  • Akaun FB palsu guna nama isteri TMJ promosi penyaman udara

    Akaun FB palsu guna nama isteri TMJ promosi penyaman udara

    POLIS menerima laporan daripada seorang lelaki berkaitan penyamaran akaun Facebook yang menggunakan nama isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata lelaki berusia 40 tahun itu membuat laporan pada 3.19 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan selepas mendapati akaun berkenaan adalah palsu.

    Beliau berkata dalam satu hantaran menerusi akaun berkenaan terdapat kapsyen yang menggambarkan Che’ Puan Besar Khaleeda mempromosikan penyaman udara dari Jepun.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu melalui penyamaran dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan peribadi dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

  • Kes 1MDB Jasmine Loo masih di peringkat siasatan polis – Ayob Khan

    Kes 1MDB Jasmine Loo masih di peringkat siasatan polis – Ayob Khan

    KES bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan masih dalam siasatan polis, sebelum diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis telah menahan Loo Ai Swan pada 7 Julai, bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

    Loo merupakan bekas Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB, dipercayai merupakan individu mempunyai maklumat berkenaan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

    Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang dan Jasmine Loo, berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

    Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya sejak enam bulan lepas, Ayob Khan berkata tangkapan dibuat berdasarkan kronologi kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu, baru-baru ini.

    “Apabila kita lihat kronologi kes Sanusi ini, dia buat kenyataan berat sebelah pada 12 Julai dan ada laporan polis dibuat, manakala pada 14 Julai pula Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan tangkapan dibuat ke atasnya pada 18 Julai,” katanya.

    Sehubungan itu, Ayob Khan meminta rakyat Malaysia terutamanya ahli politik, menghayati Rukun Negara khususnya dalam konteks institusi diraja, kerana tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang.

    “…maka apabila kami mengambil tindakan janganlah buat cerita lain,” katanya.

    Mengenai siasatan berkaitan isu 3R (agama, bangsa, raja) membabitkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata kertas siasatan telah dihantar kepada Peguam Negara 17 Julai lepas.

    “Kami sedang menunggu arahan lanjut sekarang, polis hanya jalankan siasatan dan masih tunggu keputusan mereka,” katanya.

    Bukit Aman sebelum ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Lim, yang didakwa menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang, dan Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook yang mengulas mengenai parti DAP.

  • Bekas CEO bebas tuduhan suapan bekal kurma sempena Ramadan

    Bekas CEO bebas tuduhan suapan bekal kurma sempena Ramadan

    BEKAS Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mendapatkan suapan untuk bekalan Kurma For Ramadan Gift, empat tahun lepas.

    Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wafiy Abd Aziz, 38, pada akhir kes pendakwaan.

    “Sehubungan itu mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dan wang jaminan (RM12,000) dikembalikan,” katanya.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala tertuduh diwakili peguam Baljit Singh Sidhu.

    Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2021 dengan 24 saksi pendakwaan memberikan keterangan.

    Wafiy didakwa menggunakan jawatan itu untuk mendapatkan suapan, dengan meluluskan bayaran baucar EMGS bertarikh 3 Jun 2019 berjumlah RM12,175 kepada Mileeya Enterprise untuk bekalan daripada sebuah syarikat yang dimiliki saudara tertuduh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di EMGS Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur pada 3 Jun 2019.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  • Tragedi Pos Tohoi: Kerajaan bayar RM1.2 juta kepada keluarga tujuh pelajar Orang Asli

    Tragedi Pos Tohoi: Kerajaan bayar RM1.2 juta kepada keluarga tujuh pelajar Orang Asli

    KERAJAAN akan membayar RM1.2 juta sebagai penyelesaian penuh terhadap saman yang difailkan keluarga Orang Asli berhubung kehilangan tujuh anak mereka dari asrama sekolah di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan, lapan tahun lepas.

    Berdasarkan terma penyelesaian yang direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas semalam, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bahawa pihak defendan (kerajaan) membayar sebanyak RM1.2 juta dan kos RM60,000 sebagai jumlah penyelesaian penuh dan muktamad bagi kes itu.

    Penyelesaian penuh dan muktamad kes itu juga adalah tanpa sebarang perakuan liabiliti daripada semua defendan-defendan.

    Selain itu pihak ketiga (syarikat insurans) bersetuju membayar RM150,000 termasuk kos sebagai penyelesaian penuh dan muktamad bagi semua kes saman itu.

    Peguam dan aktivis Siti Kassim, yang sepatutnya hadir sebagai saksi pertama dalam perbicaraan ketika dihubungi berkata, penyelesaian itu dipersetujui selepas perbincangan antara wakil kerajaan dan peguam keluarga di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

    Pada 2018, plaintif memfailkan saman itu terhadap sembilan defendan atas perlanggaran kewajipan Perlembagaan, kewajipan statutori dan kewajipan fidusiari menyebabkan tujuh kanak-kanak Orang Asli yang bersekolah di Sekolah Rendah Pos Tohoi, Gua Musang hilang selama 47 hari.

    Mereka menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pelajaran, guru besar sekolah, warden asrama, Menteri Kemajuan Luar Bandar, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Daerah Gua Musang sebagai defendan.

    Tujuh mangsa terdiri daripada enam perempuan dan seorang lelaki, melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos 2018 kerana takut dihukum selepas berenang di sungai tanpa kebenaran.

    Daripada tujuh itu, hanya Norieen Yaakob, ketika itu 11, dan Miksudiar Aluj, yang berumur 12 tahun semasa kejadian, terselamat, selepas mereka hilang selama 47 hari di dalam hutan berhampiran.

    Adik Norieen, Haikal, 8; Ika Ayel, 9; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8, ditemui meninggal dunia selepas 47 hari manakala Sasa Sobrie, 8, tidak ditemui.

    Plaintif diwakili beberapa peguam antaranya Datuk Gurdial Singh Nijar, Andrew Yeap dan Tan Hooi Ping manakala Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili semua defendan.

  • Kes Rumah Bonda cabar tindakan sita dikembalikan ke Mahkamah Tinggi

    Kes Rumah Bonda cabar tindakan sita dikembalikan ke Mahkamah Tinggi

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memerintahkan permohonan semakan kehakiman Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Rumah Bonda bagi mencabar tindakan Lak atau sita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan terhadap premis berkenaan, dikembalikan untuk didengar di Mahkamah Tinggi.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said dalam keputusan sebulat suara berkata terdapat merit dalam rayuan Rumah Bonda dan mahkamah juga bersetuju permohonan itu akan didengar secara substantif.

    “Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini diketepikan dan kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman di mahkamah itu,” kata beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam prosiding secara sidang video.

    Mahkamah turut menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

    Pada 15 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Rumah Bonda untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap tindakan Lak atau sita terhadap premis berkenaan di Taman Setapak, susulan dakwaan penderaan remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella selepas membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

    Rumah Bonda selaku pemohon menerusi pengerusinya Siti Bainun Ahd Razali memfailkan permohonan itu pada 13 Ogos 2021 dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai responden pertama dan kedua.

    Antara lain, Siti Bainun mendakwa Notis Tindakan Lak yang dikeluarkan JKM pada 9 Julai 2021 terhadap pemohon dan pelaksanaan tindakan itu pada 12 Julai tahun sama adalah dipengaruhi desakan masyarakat susulan laporan media mengenai dakwaan berlaku penderaan terhadap Bella yang tular pada 5 Julai 2021.

    Siti Bainun mendakwa kedua-dua responden bertindak sedemikian sebagai suatu reaksi terburu-buru selepas desakan masyarakat yang menuntut JKM dan kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes itu sedangkan remaja tersebut tiada kaitan dan bukan penghuni Rumah Bonda.

    Beliau memohon deklarasi bahawa sepanjang masa itu, Rumah Bonda sedang dalam proses permohonan pendaftaran dengan JKM, justeru ia bukan sebuah rumah perlindungan atau pusat jagaan haram.

    Dalam prosiding hari ini, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda berhujah bahawa kes itu berkepentingan awam dan mempunyai merit untuk didengar.

    Peguam itu berhujah, pihak perayu dalam proses mendaftarkan Rumah Bonda sejak awal 2019 dan borang serta surat sokongan yang ditandatangani oleh responden pertama dan kedua untuk tujuan pendaftaran telah dihantar kepada JKM Wilayah Persekutuan.

    “Pada masa itu, Jabatan Bomba telah meluluskan premis dan dua pihak lagi iaitu Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh untuk membuat pemeriksaan.

    “Namun, ketika itu negara mengalami pandemik COVID-19 menyukarkan dua agensi itu membuat pemeriksaan ke atas premis tersebut yang kemudiannya telah disita,” kata Asiah yang turut memaklumkan tindakan Lak itu dibuat secara terburu-buru selepas lima hari kes Bella tular di media sosial pada 5 Julai 2021.

    Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir pula berhujah, dakwaan kes itu melibatkan kepentingan awam adalah tidak benar kerana tindakan Lak dilakukan selepas mendapati Rumah Bonda tidak berdaftar dengan JKM Wilayah Persekutuan dan beroperasi secara haram.

    “Tiada bukti menunjukkan penglibatan aktif responden kedua dalam membuat keputusan untuk menyita rumah kebajikan itu. Lak dibuka selepas perayu membayar kompaun,” katanya.

    Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman apabila didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

  • Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    Polis kesan lelaki ketuk kereta guna topi keledar

    POLIS mengesan seorang lelaki yang mengetuk pintu sebuah kereta menggunakan topi keledar dalam satu insiden di Jalan Pokok Assam Tambahan, yang tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Taiping Razlam Ab Hamid berkata pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu semalam.

    “Kejadian dipercayai berpunca daripada kesalahan lalu lintas yang mana penunggang motosikal tersebut secara tiba-tiba mengetuk kereta mangsa dengan menggunakan topi keledar sambil memarahi mangsa hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu kereta,” katanya dalam kenyataan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, video insiden itu berdurasi 42 saat tular di media sosial.

  • Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

    Kekosongan kerusi Pulai dimaklum pada SPR

    DEWAN Rakyat memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan terbabit.

    “Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan pemberitahuan bertarikh 25 Julai kepada pengerusi SPR bahawa Salahuddin Ayub meninggal dunia pada Ahad 23 Julai,” katanya dalam kenyataan.

    Bagi pihak Parlimen, Johari turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

    Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 9.23 malam kelmarin, selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

  • Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.

    Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

    “Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.

    “Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.

    “Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

  • Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    Mayat nelayan ditemu dalam perut buaya

    PENCARIAN seorang nelayan warga emas hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Kampung Mas-Mas Nasib Kita pada Rabu lalu, berakhir dengan penemuan mayat lelaki itu dalam perut seekor buaya.

    Ketua Bomba Tawau Jemishin Ujin, berkata operasi mencari mangsa, Addi Bangsa, 60, dilakukan bersama Jabatan Hidupan Liar.

    “Pada hari keempat operasi, pasukan Perhilitan menjumpai seekor buaya yang dipercayai membaham mangsa dan bertindak menembak haiwan itu seterusnya membelah perutnya lalu mendapati benar terdapat mangsa di dalam perut haiwan itu.

    “Pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan buaya jantan dianggar seberat 800kg serta berukuran 4.26 panjang itu ditembak awal pagi tadi di kawasan laut, kira-kira 1.5km dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.

    “Kami telah menerima maklumat daripada pihak bomba pada hari kedua operasi dan mengarahkan anggota supaya membantu operasi pencarian,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan kehilangan nelayan itu disedari ahli keluarganya kira-kira 4 pagi, Rabu lalu.

  • Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    Empat kedai di Terminal Larkin Sentral terbakar

    SEBANYAK empat unit kedai di tingkat satu Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru terbakar, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.50 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 30 anggota.

    Beliau berkata kebakaran di premis jenis kekal itu melibatkan dua kedai buku yang musnah 90 peratus, satu kedai minyak wangi (70 peratus) serta satu kedai kosmetik dan herba (10 peratus).

    “Operasi pemadaman sedang dilakukan kerana masih terdapat bara di beberapa kawasan terjejas dan kita mahu memastikan api tidak merebak ke kawasan lain. Kebakaran tidak melibatkan mangsa disebabkan waktu kejadian masih belum ramai orang dan penumpang bas berada di terminal bawah.

    “Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari kedai buku, sebelum merebak ke tiga kedai lain dan kebakaran menjejaskan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan 640 premis perniagaan yang terdapat di terminal ini,“ katanya kepada pemberita di terminal berkenaan.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat.

    Ahmad Mukhlis berkata pihak pengurusan Terminal Larkin Sentral memaklumkan operasi perkhidmatan bas ekspres tidak terjejas dan akan beroperasi seperti biasa, manakala premis yang tidak terlibat dengan kebakaran akan kembali dibuka secara berperingkat.

    “Operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana melibatkan kawasan dalam lot kedai, jadi perlu lebih berhati-hati. Ada kawasan terjejas turut melibatkan loteng yang runtuh,“ katanya sambil menambah nilai kerugian masih disiasat.

    Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) akan memberi sumbangan kecemasan berjumlah RM5,000 kepada peniaga yang premis mereka terjejas dalam kebakaran berkenaan bagi mengurangkan beban kerugian.

    “Selain sumbangan kecemasan, kerajaan negeri juga akan cuba bantu mereka yang terlibat menerusi pemberian geran ataupun pinjaman perniagaan. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) juga akan datang untuk sama-sama membuat penilaian kos kerugian.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada bomba yang dapat mengawal kebakaran dengan pantas agar tidak merebak ke kawasan lain dan juga pihak polis yang berjaya mengawal keadaan di terminal ini daripada menjadi kecoh,“ katanya.