Author: Bernama

  • Kerajaan diminta bantu tangani kenaikan harga pakej umrah

    Kerajaan diminta bantu tangani kenaikan harga pakej umrah

    KERAJAAN diminta mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mencari kaedah mengurangkan harga pakej umrah yang kini semakin meningkat sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

    Pengerusi Eksekutif Omrah Travel Sdn Bhd Datuk Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata perbincangan itu juga bagi mengenal pasti secara lebih terperinci faktor menyebabkan kenaikan harga pakej dan bagaimana untuk mengurangkan harga yang ditawarkan.

    “Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mungkin boleh mainkan peranan menerusi perjumpaan dengan persatuan agensi pelancongan untuk bincang sejauh mana kadar peningkatan dan apa kerajaan boleh bantu supaya rakyat tidak sepenuhnya menyalahkan agensi pelancongan.

    “Saya rasa kerajaan mungkin boleh berikan subsidi bagi mereka yang menggunakan hotel milik kerajaan di sana supaya bebanan tekanan kenaikan harga itu dapat dikurangkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Kenaikan Kos Haji Dan Umrah 1444h’ terbitan Bernama TV hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin berkata terdapat tiga faktor mempengaruhi kenaikan harga pakej umrah iaitu kadar tukaran mata wang negara lebih rendah berbanding riyal, permintaan tinggi dan usaha memulihkan kembali perniagaan oleh pemain industri. 

    “Betul memang berlaku kenaikan harga mengerjakan umrah setelah dua tahun umat Islam seluruh dunia tidak dapat keluar hingga menyebabkan permintaan lebih tinggi daripada penawaran dengan kekurangan penerbangan dan mungkin hotel tidak cukup memandangkan banyak hotel di sana sedang dibaik pulih.

    “Selain itu, mungkin ada pemain industri yang mengambil peluang menaikkan harga untuk memulihkan kembali kunci kira-kira perniagaan mereka selepas dua tahun beku disebabkan COVID-19,” katanya.

    Beliau dalam pada itu berkata perubahan harga pakej di saat akhir yang turut membebankan bakal jemaah umrah mungkin berlaku disebabkan tiada hitam putih dalam perjanjian antara agensi pelancongan tempatan dan penyedia perkhidmatan di Tanah Suci.

    “Sekiranya ada hitam putih (dalam) perjanjian, sebarang isu berkaitan kenaikan secara tiba-tiba boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa (di Malaysia)…dan saya rasa pihak hotel di sana juga tidak berani langgar undang-undang dengan menaikkan harga hotel sewenang-wenangnya,” katanya.

    Sementara itu, wakil syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi di Malaysia, Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya yang turut menjadi tetamu dalam program tersebut, berkata isu kenaikan harga pakej ibadah umrah bukan hanya di Malaysia, tetapi merupakan krisis di seluruh dunia yang terlibat dalam industri berkenaan.

    “Pada asasnya ia berlaku hampir di seluruh negara Islam atau negara terlibat dalam industri haji dan umrah contohnya Singapura, Indonesia serta Thailand yang turut mengakui perkara sama…pemain industri berkejar-kejar untuk dapatkan tempahan hotel yang dikatakan sangat ‘keras’ (tempahan tinggi) selepas musim haji tahun lepas,” katanya.

    Syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi dipertanggungjawab bagi menguruskan program badal haji dan umrah.

  • Kes dadah: Ismahalil bebas atau bela diri diketahui 27 Feb

    Kes dadah: Ismahalil bebas atau bela diri diketahui 27 Feb

    KEPUTUSAN sama ada penyampai radio Ismahalil Hamzah dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lepas, akan diketahui 27 Feb ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Ismahalil, maka dia akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya, lelaki itu dilepas dan dibebaskan.

    Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh ketika dihubungi hari ini mengesahkan tarikh keputusan itu dan memaklumkan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual membacakan keputusan pada akhir kes pendakwaan itu pukul 9 pagi.

    “Sebelum ini, perbicaraan berlangsung pada 19, 20 dan 31 Okt 2022, kemudian bersambung pada 3 dan 9 Jan lepas. Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah,” kata peguam itu.

    Menurut peguam, mahkamah juga menetapkan 9 Feb ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis.

    Ismahalil, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

  • Lapar pelajar mati lemas selepas bot karam di Ghana

    Lapar pelajar mati lemas selepas bot karam di Ghana

    LAPAN pelajar sekolah di Wilayah Timur Bono Ghana mati lemas pada Selasa selepas bot yang membawa mereka ke sekolah terbalik di Tasik Volta, menurut pegawai.

    Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMO) memberitahu media lima pelajar lelaki dan tiga perempuan berusia lima hingga 12 tahun itu adalah antara 20 pelajar yang dalam perjalanan ke sekolah di Wayokope, sebuah komuniti di seberang tasik, lapor Xinhua.

    Ibrahim Wudonyim, penyelaras NADMO, berkata Unit Polis Marin Perkhidmatan Polis Ghana, dibantu oleh beberapa penduduk tempatan, menemui mayat pelajar berkenaan.

    Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan.

  • Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    Polis tahan lelaki Palestin intai rumah pelajar wanita di Cyberjaya

    POLIS menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat Putrajaya.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.

    “Lelaki tersebut telah membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu. Perbuatan lelaki tersebut telah dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki tersebut telah melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa kemudian membuat pemeriksaan di bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.

    “Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira 4 petang tadi di Mutiara Ville dan polis telah merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

  • Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    Polis tahan 88 individu, rampas barangan seludup lebih RM64 juta

    POLIS menahan 88 individu termasuk 15 warga asing dan merampas barangan bernilai RM64.7 juta dalam serbuan membanteras kegiatan penyeludupan kontraban dan hidupan liar di tiga negeri dalam tempoh 20 hari.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata ia hasil 35 serbuan dan operasi dilakukan di Selangor, Sabah dan Perak oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas bagi tempoh 1 hingga 20 Jan lepas.

    Beliau berkata operasi dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Akta Kastam 1966 dengan jumlah rampasan berjumlah RM42.8 juta, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM1.2 juta) dan Akta Bahan Letupan 1957 (RM7.7 juta).

    Selain itu, operasi juga dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan jumlah rampasan RM10.7 juta, Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200).

    “PDRM akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dalam memerangi jenayah kontraban dan pelbagai kesalahan lain,” katanya.

  • Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    Banjir kilat dijangka landa enam negeri dalam 24 jam

    JOHOR, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor berisiko dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam, jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

    Notis PRABN yang dikeluarkan pada 5 petang ini memaklumkan, kawasan terlibat di Johor ialah Tangkak sekitar Grisek, Batu Pahat (Sungai Punggor, Minyak Beku, Simpang Kanan, Bandar Penggaram, Peserai, Sri Gading, Tanjung Sembrong dan Simpang Kiri), Kota Tinggi (Johor Lama, Penggerang, Kota Tinggi dan Ulu Sungai Johor).

    Daerah lain dan kawasan sekitarnya yang turut terlibat ialah Muar (Ayer Baloi, Sri Menanti, Ayer Hitam, Mukim Bandar, Jalan Bakri, Bandar Maharani dan Bandar Panchor), Pontian (Rimba Terjun, Ayer Masin, Pontian, Ayer Baloi, Api-Api, Benut dan Sungai Pinggan) serta Kluang (Ulu Benut, Rengam dan Machap).

    Di Pahang, tiga daerah terlibat iaitu Bera sekitar Bera dan Triang, Maran (Chenor dan Kertau) serta Termeloh (Perak, Bandar Temerloh, Bangau, Sanggang, Lipat Kajang dan Jenderak) manakala di Melaka ialah Melaka Tengah (Umbai dan Telok Mas).

    Sementara itu, di Perak daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Perak Tengah (Pasir Salak) dan Negeri Sembilan pula melibatkan kawasan Port Dickson di Mukim Si Rusa, Pekan Lukut, Pekan Jemima dan Mukim Jimah juga dijangka terjejas dari banjir kilat.

    Di Selangor, kawasan diramal terjejas adalah Klang (Pekan Pandamaran, Klang, Bandar Klang, Kapar dan Pekan Kapar), Petaling (Damansara, Pekan Hicom, Pekan Batu Tiga, Bandar Shah Alam dan Sungai Buloh), Kuala Langat (Kelanang, Tanjong Duabelas, Bandar, Pekan Chodoi, Pekan Jenjarom dan Telok Panglima Garang) serta Kuala Selangor (Pasangan dan Pekan Bestari Jaya).

    Notis kesiapsiagaan itu, dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

    “Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu. – BERNAMA

  • Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

    SEBUAH treler membawa lebih 500 muatan tong gas kosong terbalik di Kilometer 17, Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, 12.25 tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku semasa pemandu treler itu dalam perjalanan dari Bahau menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

    Katanya pemandu berusia 45 tahun itu tersepit di bahagian depan kenderaannya dan tong-tong gas bertaburan di atas jalan.

    “Siasatan awal mendapati pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hoo berkata mangsa, yang dipercayai patah tangan kanan dan kaki kanan, dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    Lelaki ditahan miliki ganja meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas

    SEORANG lelaki warga asing yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai memiliki ganja, meninggal dunia selepas mengadu mengalami sesak nafas, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 49 tahun itu sebelum itu ditahan bersama 54.7 gram ganja di sebuah kondominium di sekitar bandar raya ini pada 12.10 tengah malam tadi.

    Beliau berkata bagaimanapun lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 mengalami sesak nafas ketika proses dokumentasi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS pada 1.20 pagi.

    “Lelaki itu dibawa menaiki ambulans untuk dirawat di Hospital Sultanah Aminah namun pegawai perubatan yang memberikan rawatan telah mengesahkan kematian lelaki itu pada pukul 2.27 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata pihaknya telah memanggil waris iaitu tiga anak lelaki itu, yang mengesahkan bahawa bapa mereka menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak 20 tahun lepas.

    Beliau berkata bedah siasat dilakukan pada hari ini di hospital tersebut bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Katanya kes kematian itu akan turut disiasat Unit Siasatan Jenayah Dan Kematian Dalam Tahanan, Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard Bukit Aman.  

    Dalam kes lain, Raub berkata pihaknya menahan 12 lelaki di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, semalam, dipercayai membakar mercun di tempat awam tanpa lesen sempena ambang Tahun Baharu Cina. 

    Beliau berkata kesemua yang berusia 19 hingga 45 tahun ditahan antara 1 hingga 3.10 pagi bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1995.

    Katanya polis turut merampas 16 mercun jenis Fireworks, lima kotak mercun jenis Happy Boom Fire Work dan satu pemetik api daripada mereka. – BERNAMA

  • 3 pengunjung Zoo Melaka cedera dihempap pokok tumbang

    3 pengunjung Zoo Melaka cedera dihempap pokok tumbang

    TIGA pengunjung Zoo Melaka cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkunjung ke lokasi pelancongan tersebut semalam. 

    Dalam kejadian pada kira-kira 2.40 petang itu, seorang lelaki berusia 43 tahun patah kaki kanan, manakala seorang wanita dan anak lelakinya masing-masing berusia 40 dan enam tahun mengalami cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata kejadian itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berada di kawasan kandang harimau.

    “Mereka sebelum itu menaiki kenderaan disediakan pihak zoo pada  2.05 petang dan sebaik tiba di kawasan kejadian tiba-tiba sebatang pokok tumbang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurutnya kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut manakala pihak Zoo Melaka dan agensi berkaitan mengambil langkah pantas membersihkan kawasan berkenaan. -BERNAMA

  • Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    Nahas 6 maut: Duit RM40 pemberian terakhir anak buat bapa

    DUIT RM40 yang diberikan Mohd Ashraf Rafiq Mohd Arifin, 11, adalah kenangan terakhir bagi bapanya, Mohd Arifin Syamsuddin sebelum anaknya itu meninggal dunia dalam kemalangan maut yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, petang semalam.

    Mohd Arifin, 32, berkata pada mulanya dia enggan menerimanya, namun anak sulungnya itu berkeras tetap mahu memberikan kepadanya dengan alasan boleh digunakan ketika mereka bercuti nanti.

    Selain pemberian itu, tiada perubahan sikap yang berlaku terhadap anaknya itu, cuma kanak-kanak itu meminta untuk menaiki kereta Perodua Myvi yang sama dengan sepupu mereka.

    “Selama ini kami sekeluarga tidak pernah menaiki kereta berasingan ketika bercuti, namun kali ini anak saya itu mahu menaiki kereta Myvi bersama sepupu mereka, kami berkonvoi tiga kereta menuju ke Mersing untuk bercuti.

    “Ketika kejadian, saya yang berada di hadapan terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah belakang dan terkejut bila lihat ada kenderaan lain melintang di tengah jalan, sedangkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki anak saya tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, malam tadi.

    Mohd Arifin berkata dia yang memandu kereta Perodua Bezza terus membuat pusingan U dan mendapati kereta Perodua Myvi terbabit sudah terbalik di bahu jalan dan terus meluru keluar menyelamatkan mereka.

    Dia berkata ketika usaha menyelamatkan mereka yang berada di dalam kereta itu, dia mendakwa terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada pagar yang berada di kawasan berkenaan, namun tidak mempedulikannya kerana nyawa ahli keluarga lebih penting.

    “Pada mulanya saya bersama pakcik berusaha untuk mengeluarkan mangsa, namun dia yang mempunyai penyakit jantung memberhentikan hasratnya itu.

    “Orang ramai yang berada di lokasi tidak berani turun ke kawasan itu tetapi saya terus nekad untuk menyelamatkan mangsa satu persatu bermula dengan mendukung anak saya,” katanya.

    Selain Mohd Ashraf Rafiq, mereka yang meninggal dunia ialah pasangan adik beradik Muhammad Zharfan Noramin, 16, dan Muhammad Syakir Noramin 11; Siti Nurzannah Kahdar, 26; Masrina Kahdar, 21 dan Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22.

    Terdahulu, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing, sebelum kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung kereta Honda Stream di lokasi berkenaan pada pukul 4.40 petang, semalam. – BERNAMA