Author: Bernama

  • Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    Jalan Kota Tinggi-Mersing ditutup untuk kenderaan ringan

    JALAN Kota Tinggi-Mersing di Kilometer 60 di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan, bermula 12 tengah hari tadi, kerana dinaiki air.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata justeru orang ramai dinasihatkan untuk melalui jalan alternatif menerusi Tenggaroh.

    “Setakat ini, hanya satu sahaja jalan utama iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.

    “Jalan itu dinaiki air dengan jarak kira-kira 40 meter, jadi orang ramai diminta menggunakan jalan menerusi Tenggaroh sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini, hari ini.

    Selain itu, jalan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).

    Hussin berkata pihaknya juga giat mengadakan rondaan termasuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sekitar seperti pekerja ladang sawit di Ladang Ibzi Punggai, di sini, yang terputus bekalan makanan berikutan jalan dinaiki air.

    Beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia, sentiasa dijalankan bagi memastikan tugas dan peranan dapat diselaraskan tanpa pertindihan tugas. – BERNAMA

  • ‘Banjir terburuk sejak 2006’ – Penduduk

    ‘Banjir terburuk sejak 2006’ – Penduduk

    BEBERAPA penduduk di Lahad Datu antaranya Kampung Sepagaya di Lahad Datu menyifatkan banjir yang melanda kawasan itu sejak malam tadi adalah yang terburuk sejak 2006.

    Bekas Ketua Kampung Sepagaya, Nasir Tunggara, 48, berkata, walaupun penduduk telah membuat persiapan awal antaranya dengan mengalihkan barangan ke tempat tinggi, mereka tidak menyangka banjir yang melanda lebih teruk daripada yang dijangka.

    “Rumah saya bertiang tinggi pun hampir dimasuki air, kira-kira 8 inci lagi air banjir boleh masuk ke rumah. Ini kali ketiga kampung kami dilanda banjir.

    “Semalam, kami penduduk kampung terpaksa berjaga-jaga ekoran cuaca hujan kerana khuatir paras air meningkat di luar jangkaan, hari ini syukur cuaca baik dan banjir pun mulai surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Lahad Datu hari ini.

    Hujan lebat berterusan sejak 4 petang semalam itu mengakibatkan Kampung Manau Batu 7 Jalan Silam, Kampung Sepagaya Tengah, Kampung Sepagaya Hilir dan Kampung Busul di Lahad Datu dilanda banjir.

    Setakat pagi tadi, seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan di Lahad Datu yang diaktifkan kira-kira 11 malam tadi.

    Sementara itu, Nasir berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan rintihan penduduk kampung yang mahukan kerja-kerja mendalam serta melebarkan Sungai Sepagaya dilaksanakan bagi menangani masalah banjir pada masa hadapan.

    “Penduduk kampung sering kali menyuarakan perkara ini kepada wakil kerajaan tetapi dipandang sepi akibat berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Oleh itu, saya dan penduduk kampung berharap agar projek ini mendapat perhatian kerajaan semula, selain naik taraf jalan kampung,” katanya.

    Dalam pada itu, seorang mangsa banjir Dony Diansoy, 46, dari Kampung Manau Batu 7 berkata, kebiasaannya air naik hanya pada paras lutut tetapi semalam banjir melebihi paras pinggang.

    “Sebelum ini tidak berapa risau, semalam khuatir sebab hujan tidak berhenti dengan gelap (waktu malam) air naik, yang dibimbangkan keselamatan keluarga dan kehadiran buaya.

    “Saya ada anak kecil berumur dua dan tiga tahun, keselamatan mereka yang saya bimbangkan, syukur pasukan bomba datang menyelamatkan kami selepas itu bantuan polis bawa kami ke PPS,” katanya yang ditemui di PPS Dewan SMK Terusan.

    Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu Lt Asby Mohd Anwar berkata, operasi APM memindahkan mangsa terjejas banjir ke PPS dilaksanakan dengan bantuan termasuk bomba dan polis.

    “Hari ini trend air menunjukkan penurunan ketara ditambah dengan keadaan cuaca baik setakat pukul 5.30 pagi tadi. Kita akan mengesyorkan kepada Pegawai Daerah untuk menutup operasi PPS sekiranya keadaan baik berterusan,” katanya.

  • Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

    DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Menerusi afidavit sokongan permohonan itu, Ahmad Zahid, 70, berkata permohonan tersebut adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar beliau dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

    “Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah menerima mandat dan tanggungjawab utama daripada Perdana Menteri yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara,” katanya yang memfailkan notis permohonan berserta afidavit sokongan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 20 Jan lepas.

    Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata beliau dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

    Selain itu, Ahmad Zahid berkata pasport tersebut diperlukan kerana ia adalah syarat dalam proses permohonannya untuk mendapatkan Pasport Diplomatik daripada Jabatan Imigresen Malaysia, bagi tujuan pergerakan rasmi keluar dan masuk negara.

    “Adalah wajar untuk mahkamah mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan serta kelangsungan terhadap pentadbiran Malaysia yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat di negara ini,” katanya menerusi afidavit itu.

    Ahmad Zahid berkata permohonan tersebut tidak bersifat mala fide (berniat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap akan memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

    “Saya turut mengaku janji bahawa saya akan patuh pada semua syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri perbicaraan pada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan,” jelasnya.

    Menurutnya, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan-permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkannya ke luar negara bagi tujuan-tujuan rasmi.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak mempunyai niat untuk melarikan diri dari negara ini dan tidak menghadirkan diri ke prosiding mahkamah kerana beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik selain kesemuanya ahli keluarganya berada di negara ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Zahid memohon supaya mahkamah mengetepikan syarat tambahan jaminan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah dan memohon ia dikembalikan kepadanya secara kekal secepat mungkin selain mengekalkan wang jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadapnya. 

    Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi permohonan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

    Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 Feb ini.

    Pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes itu yang kini di peringkat membela diri dan akan bersambung 10 April di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. – BERNAMA

  • Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

    Siti Bainun diarah beri keterangan tanpa peguam

    SITI Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini diarahkan memberi keterangan membela diri meskipun pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

    Siti Bainun, 30, diarahkan membaca pernyataan saksinya selepas Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

    “Mahkamah ini mempunyai ‘absolute discretion’ (budi bicara mutlak) untuk membenarkan atau menolak permohonan penangguhan. Dalam kes ini, saya perlu menggunakan budi bicara saya yang bijaksana. Oleh itu, hari ini saya akan mulakan kes pembelaan dengan kamu membacakan pernyataan saksi kamu yang telah diterima oleh pihak pendakwaan.

    “Saya mengambil kira pernyataan saksi itu yang mempunyai lebih kurang 200 muka surat dan saya percaya pembacaan pernyataan saksi itu akan mengambil masa selama dua hari. Saya juga mengambil berat hak kamu untuk diwakili peguam. Maka, saya akan menangguhkan pemeriksaaan balas oleh pihak timbalan pendakwa raya (TPR).

    “Kamu berjanji untuk membawa peguam kamu dalam tempoh sebulan dan pada tarikh bicara yang ditetapkan 20 Feb ini, saya percaya pihak TPR boleh membuat pemeriksaan balas dan ketika itu kamu sepatutnya mempunyai peguam,” kata hakim itu.

    Izralizam menegaskan supaya tertuduh mengutamakan kes hari ini kerana ini adalah peluang untuknya membela diri. 

    “Namun, kamu memilih untuk melantik dua peguam mewakili kamu bagi kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan kes sivil berkaitan Rumah Bonda, sedangkan untuk kes ini kamu memilih untuk mendapatkan peguam YBGK. 

    “Saya telah nyatakan sebelum ini pelantikan peguam YBGK memerlukan masa dan adalah lebih baik untuk kamu mendapatkan peguam yang lebih bersedia mewakili kamu. Saya boleh nampak tindakan kamu hari ini seolah-olah menganggap kes hari ini kurang penting,” katanya.  

    Terdahulu, Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah bertemu dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan mereka memohon masa sebulan untuk meneliti segala dokumen berkaitan kes itu.

    “Mereka (YBGK) kata boleh dan mereka ada minta saya berikan dokumen. Semua dokumen dah ada kecuali penyata bank daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

    “Mereka mohon (penangguhan) sebulan tetapi kalau saya boleh dapat dokumen (penyata bank) awal dan berikan pada mereka, mereka akan e-mel semula,” katanya. 

    Sementara itu, ditanya hakim sama ada Siti Bainun ada membuat aduan kepada Majlis Peguam berhubung tindakan lima peguamnya sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, Siti Bainun berkata: “Tidak, kerana mereka masih membantu saya dalam penyediaan pernyataan tuntutan dan dokumen berkaitan perbicaraan.”

    Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas membantah beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Siti Bainun atas alasan ia menyentuh peribadi saksi terdahulu dan kepakaran saksi-saksi pendakwaan.

    Izralizam kemudian mengarahkan pendakwaan menyenaraikan perenggan-perenggan yang dimaksudkan dan menangguhkan prosiding seketika.

    Pada 24 Nov tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

  • Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    Nenek nekad bawa peti sejuk, mesin basuh ke PPS

    SEORANG warga emas nekad membawa perkakas rumah termasuk peti sejuk dan mesin basuh ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Tasek, Gemereh di Segamat setelah rumahnya dilanda banjir.

    Khatijah Othman, 75, ingin menyelamatkan peralatan berkenaan setelah kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak sering dilanda banjir iaitu pada Januari, November dan Disember tahun lepas, manakala kejadian kali ini yang pertama berlaku bagi tahun ini.

    Selain peralatan itu, beberapa bungkusan plastik hitam turut dibawa Khatijah yang dimuatkan di belakang lori dipandu anaknya, dan setelah sampai di PPS berkenaan Khatijah berkeras mahu semua barangnya diletakkan di pusat pemindahan itu.

    Bagaimanapun, atas faktor ruang dewan yang terhad dan lebih ramai mangsa dijangka datang berlindung di situ, permintaannya ditolak baik petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertanggungjawab mengawal PPS berkenaan. 

    Bercakap kepada Bernama, cucunya Siti Balqis Abdullah, 16, yang turut ditempatkan di PPS sama berkata apabila air mulai naik setelah beberapa hari hujan dan diberitahu akan ke PPS, nenek berkeras mahu semua barang di rumahnya dibawa sekali.

    “Tahun lepas nenek tidak bawa apa-apa ketika keluar dari rumahnya apabila datang ke PPS. Disebabkan itu, habis barang-barangnya rosak,” katanya. 

    Melihat barang-barangnya tiada di situ, Khatijah kerap bertanya kepada Siti Balqis keberadaan harta bendanya itu dan kadangkala berdiri di pintu dewan sambil merenung jauh ke luar, seolah-olah mencari sesuatu yang ‘hilang’.

    “Barang nenek tak hilang, pak cik (bapa saudara) simpan dekat rumah bos pak cik, tak boleh simpan dekat sini, nanti kita ambil semula,” katanya setiap kali diajukan soalan sama daripada neneknya itu.

    Sementara itu, Ketua Kampung Gemereh 3 Wan Hussein Wan Abas berkata Khatijah adalah antara 38 mangsa daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu yang mula dibuka Selasa lepas.

    “Penduduk Kampung Seberang Batu Badak sebenarnya sudah biasa dengan banjir. Setelah tiga kali menghadapi banjir tahun lepas, kali ini apabila air mulai naik, mereka datang sendiri ke PPS ini sekali gus memudahkan urusan kami untuk membantu menguruskan mereka dan salurkan bantuan sebaik mungkin,” katanya.

    Segamat menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di Johor kali ini. Berdasarkan data oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah setakat tengah malam tadi, sebanyak 21 PPS telah dibuka dan dihuni oleh 1,801 mangsa daripada 504 keluarga.

  • Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    Pahang negeri terbaharu dilanda banjir

    PAHANG menjadi negeri terbaharu dilanda banjir selepas Johor dan Sabah menjadikan tiga negeri kini terjejas dengan bencana itu ekoran hujan lebat yang berterusan.

    Di PAHANG, sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Rompin bagi menempatkan 97 mangsa daripada 28 keluarga.

    Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Kampung Setajam iaitu 50 orang daripada 15 keluarga, manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga dengan kedua-dua PPS itu mula beroperasi petang ini.

    Tujuh lagi mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya, sejak tengah malam tadi selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.

    Laman web portal rasmi info banjir JPS publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Keratong di Rompin direkodkan pada aras 23.19 meter (m), melebihi aras bahaya 23m yang ditetapkan.

    Di JOHOR, Muar menjadi daerah keenam dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,368 orang dengan ditempatkan di 44 PPS berbanding 3,967 orang, tengah hari tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan, Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,522 orang (424 keluarga), diikuti Kluang 1,222 orang (348 keluarga) dan Mersing 708 orang (221 keluarga).

    Sementara itu, di Kota Tinggi, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 591 orang daripada 144 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga) manakala Batu Pahat 119 orang (35 keluarga).

    Pada masa sama, paras air di empat sungai di negeri ini melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.20m, Sungai Segamat (9.22m), Sungai Segamat di Segamat Kecil (37.34m) manakala Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang adalah 16.12m.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 607 daripada 139 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS petang ini berbanding 166 orang daripada 41 keluarga pagi tadi.

    Sekretariat JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan pertambahan itu selepas Kudat menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu petang ini dengan 381 orang daripada 77 keluarga dipindahkan ke dua PPS.

    Sebanyak 147 orang daripada 41 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan manakala 79 orang daripada 21 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Pitas.

    “Jumlah mangsa banjir dipindahkan ke PPS dijangka meningkat dengan tujuh PPS telah diaktifkan di daerah Kota Marudu dan kini dalam proses pemindahan mangsa serta kemas kini data,” menurut kenyataan itu.

    Hujan lebat pada petang ini turut menjadikan paras air di Sungai Rampai, Kampung Korina, Sikuati di Kudat naik mendadak dan beberapa kawasan telah dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir termasuk Kampung Bak-Bak, Kampung Milau dan Kampung Naradang.

    Selain itu, Kampung Popot di Kudat dilaporkan terputus hubungan apabila semua jalan darat ke kampung itu ditenggelami banjir.

    Sebelum ini Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memaklumkan lima jalan di Kudat iaitu Jalan Abdul Rahim, Jalan Sebayan, Jalan Datu, Jalan Bak Bak dan Jalan Lo Thein Chok terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan akibat banjir hari ini. – BERNAMA

  • Pesawat tentera udara Filipina terhempas, 2 juruterbang maut

    Pesawat tentera udara Filipina terhempas, 2 juruterbang maut

    JURUCAKAP tentera berkata sebuah pesawat Tentera Udara Filipina (PAF) terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan pada Rabu.

    Jurucakap PAF Ma. Consuelo Castillo dalam satu kenyataan berkata pesawat SF260 dengan dua juruterbang itu terhempas di wilayah Bataan, barat Manila, lapor Xinhua.

    Castillo berkata pesawat itu berlepas dari pangkalan tentera di Sangley Point di wilayah Cavite sekitar 9.59 pagi waktu tempatan.

    “Kami kehilangan jejak pesawat lebih 30 minit selepas penerbangan berlepas,” katanya.

    Radio tempatan DZBB berkata serpihan pesawat itu ditemui di bandar Pilar di Bataan bersama mayat dua juruterbang itu.

    Pada petang Selasa, sebuah pesawat peribadi enam tempat duduk hilang di wilayah Isabela, utara Manila.

    Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mencari pesawat Cessna itu, juruterbang dan lima penumpangnya.- Bernama

  • Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    Penduduk tiga negeri diingatkan sedia hadapi banjir, air pasang besar

    PENDUDUK di beberapa daerah dan kawasan di Johor, Sabah serta Pahang diingatkan supaya bersedia menghadapi risiko banjir dan air pasang besar ekoran fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata daerah Muar dan Tangkak, Johor adalah antara lokasi seterusnya diramal terkesan banjir dalam masa terdekat mengambil kira hujan yang masih berterusan.

    Beliau berkata di Sabah pula, kawasan di utara dan pantai timur negeri itu juga dikenal pasti akan dilanda air pasang besar selain banjir melibatkan Pitas dan Kota Marudu.

    “Luruan pertama dan kedua MTL telah berlaku Disember tahun lepas. Walaupun belum ada laporan rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena hujan lebat berterusan bermula semalam dan diramal berterusan hingga 30 Jan ini boleh dikategorikan sebagai luruan ketiga.

    “… Justeru, semua agensi telah mengambil usaha dan pendekatan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan kampung yang perlu untuk kita pindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika ini fokus pihaknya adalah untuk menyelaraskan semua agensi yang tertakluk dalam arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) dalam aspek pengurusan bencana dan penyampaian maklumat lebih jelas kepada orang ramai terutama mangsa yang ditempatkan di PPS.

    “Seterusnya selepas berpindah, fokus kita adalah memastikan kebajikan dan kesihatan mangsa menerusi penglibatan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.

    Setakat 2 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 4,207 orang melibatkan 1,164 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS di Segamat, Muar, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Mersing.

    Dalam pada itu, Armizan dalam kenyataan berkata keseluruhannya, MTL yang bermula November tahun lepas hingga hari ini telah menjejaskan seramai 121,594 orang daripada 34,357 keluarga yang dipindahkan ke 444 PPS susulan banjir dan air pasang besar di seluruh negara.

    “Saya ingin memberi peringatan kepada rakyat supaya sentiasa peka dengan amaran yang dikeluarkan MetMalaysia serta menjaga keselamatan dan tidak bertangguh untuk berpindah ke PPS sekiranya diarahkan untuk berbuat demikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

    “Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah diarah supaya memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah yang terlibat untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

    Menurut Armizan, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) pula akan beroperasi 24 jam sehari bagi memantau dan menyelaras agensi terlibat dalam pengurusan bencana.

    Beliau berkata semua urusan penyelarasan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan lain-lain bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan banjir akan diuruskan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

    Sementara itu, tinjauan Bernama di PPS terdapat pertambahan mangsa dari semasa ke semasa dengan kebanyakan mereka datang sendiri ke PPS setelah mengambil kira kemungkinan risiko banjir yang lebih teruk ekoran hujan yang masih belum reda. – BERNAMA

  • Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    Amaran hujan berterusan tahap bahaya di Johor, Sabah hingga esok

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Johor dan Sabah hingga esok. 

    MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah yang terlibat di Johor adalah Mersing dan Kota Tinggi, manakala di Sabah melibatkan Sandakan (Beluran dan Sandakan) serta Kudat. 

    Dalam kenyataan sama turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku di Pahang meliputi Pekan dan Rompin; Johor (Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru) serta Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Telupid) bagi tempoh sama. 

    Selain itu, hujan berterusan tahap waspada diramalkan berlaku hingga esok di Pahang yang melibatkan kawasan Maran, Kuantan dan Bera; Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin); Melaka; Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian) serta Sabah di kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Kinabatangan).  

    Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada turut dijangka berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan serta Terengganu dari 27 Jan (Jumaat) hingga 30 Jan ini. – BERNAMA 

  • Pengurusan kes rayuan Bung Moktar, isteri pada 22 Mac

    Pengurusan kes rayuan Bung Moktar, isteri pada 22 Mac

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 22 Mac ini untuk pengurusan kes rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

    Mahkamah Sesyen pada 2 September tahun lepas, memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, ketika dihubungi, mengesahkan tarikh pengurusan kes itu yang telah ditetapkan sementara menunggu rekod rayuan.

    Pengurusan kes hari ini berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

    Pada 9 Disember tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen tersebut.

    Mahkamah menolak permohonan itu setelah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan Bung Moktar dan Zizie Izette telah menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan semakan itu.

    Pihak pendakwaan berhujah bahawa kedua-dua mereka tidak sepatutnya memfailkan melalui notis usul sebaliknya dibuat melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Beliau didakwa menerima rasuah daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada seorang perunding Unit Amanah, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.