Author: Bernama

  • Fatwa tidak bercanggah nilai konsep Bangsa Johor

    Fatwa tidak bercanggah nilai konsep Bangsa Johor

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri tersebut tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

    Titah baginda, kepelbagaian kaum dan agama dianuti rakyat berbilang kaum seperti di bawah konsep Bangsa Johor akan sentiasa diiktiraf dan dihormati di negeri berkenaan.

    “Fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Meraka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.

    “Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi, hari ini.

    Baginda bertitah semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.

    Sultan Ibrahim turut bertitah rakyat Malaysia harus memberi tumpuan terhadap nilai-nilai bersama ini yang menyatukan masyarakat dan bukannya perbezaan kaum atau agama.

    “Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu itu kerana ia hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

    “Jika anda masih keliru, sila berjumpa Mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.

    Sultan Ibrahim telah memperkenan fatwa tersebut yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), semalam.

  • Bekas eksekutif didakwa guna invois palsu

    Bekas eksekutif didakwa guna invois palsu

    SEORANG bekas eksekutif sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuntan, hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM320,143 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran.

    Mohd Hafez Manap, 38, dari Sungai Karang Darat, di Kuantan, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Tertuduh selaku eksekutif tindakan kebakaran dan kecemasan, didakwa melakukan kesalahan itu melibatkan invois dengan butiran palsu bagi pembayaran pembekalan pelbagai peralatan keselamatan kebakaran, yang diketahui tertuduh tidak pernah dibekalkan.

    Mohd Hafez dituduh melakukan perbuatan itu di pejabatnya di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan antara 26 Jan 2021 hingga 21 Sept 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah kesalahan yang dihadapi tertuduh.

    Mohd Hafez yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas faktor kewangan kerana dia masih belum bekerja selepas dipecat pada April tahun lepas.

    “Saya dibuang kerja dengan notis 24 jam selepas siasatan SPRM. Saya ada tanggungan isteri, anak-anak, ibu bapa dan hutang rumah serta kereta. Saya dinasihatkan untuk melantik peguam dan ini akan menambah beban kewangan saya,” katanya.

    Ahmad Zamzani membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

  • Bekas ADUN Sanglang cedera diserang lelaki kurang siuman

    Bekas ADUN Sanglang cedera diserang lelaki kurang siuman

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengalami kecederaan setelah diserang dengan kerusi oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas mendengar tazkirah di Masjid Alwi, Kangar, Perlis awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Datuk Mohd Zain Hamzah, 87, mengalami kecederan pada bahagian kepala sebelah kanan setelah dipukul dengan kerusi kecil kira-kira 5.30 pagi tadi.

    “Mangsa berkata beliau diserang oleh suspek di hadapan masjid ketika mengisi duit dalam tabung anak yatim selepas mendengar tazkirah di masjid berkenaan.

    “Polis telah menahan seorang suspek warga tempatan berumur 65 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa masih mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah Kangar dan motif serangan masih dalam siasatan.

    Katanya suspek dipercayai mengalami masalah mental.

    Mohd Zain merupakan bekas ADUN Sanglang selama dua penggal dari 1978 hingga 1986.

  • Dua anggota APMM, seorang nelayan direman berhubung kes terima suapan

    Dua anggota APMM, seorang nelayan direman berhubung kes terima suapan

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis dan seorang nelayan direman enam hari hingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan bulanan.

    Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas ketiga-tiga suspek berusia 40-an itu dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

    Menurut sumber SPRM dua anggota penguat kuasa APMM itu dipercayai menerima suapan bulanan daripada pengusaha bot nelayan sejak dua hingga tiga tahun lepas, manakala nelayan warga tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat sebagai proksi.

    Beliau berkata wang suapan tersebut diberikan oleh beberapa pengusaha bot sekitar negeri ini sebagai dorongan mengelak bot mereka diperiksa anggota penguat kuasa APMM ketika melakukan aktiviti sekitar perairan Kuala Perlis.

    Katanya ketiga-tiga suspek hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu, berkata lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat bagi membanteras kegiatan tersebut.

  • Lelaki tular mengamuk di sekolah sekadar latihan demonstrasi keselamatan

    Lelaki tular mengamuk di sekolah sekadar latihan demonstrasi keselamatan

    POLIS mengesahkan video tular memaparkan lelaki membawa sebatang kayu dan mengamuk di kawasan sebuah sekolah di Seremban dua hari lepas merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan sekolah terbabit.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak lagi membuat kenyataan dan spekulasi tidak berasas berkenaan video berkenaan.

    “Hasil semakan lanjut mendapati kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah di Sikamat dan pihak sekolah mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada latihan demonstrasi keselamatan yang dijalankan pada 1 Feb lepas di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, tular video berdurasi 1.03 minit memaparkan seorang lelaki membawa sebatang kayu mengamuk dalam kawasan sekolah kerana anaknya dipukul oleh guru sehingga menimbulkan salah faham awam.

  • Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan manakala jumlah mangsa di Johor kekal pagi ini.

    Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini meningkat kepada 535 orang daripada 165 keluarga dan ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 478 orang daripada 151 keluarga malam tadi.

    “Mangsa teramai dipindahkan adalah di Telupid iaitu 208 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS manakala di Beaufort, 200 orang daripada 55 keluarga dan dipindahkan ke satu PPS.

    “Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 48 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di Beaufort dijangka meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

    Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat. – Foto ihsan APM Segamat

    Di JOHOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS kekal 925 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Menurut kenyataan JBPN Johor, 877 orang daripada 249 keluarga berada di Batu Pahat manakala di Segamat pula 48 orang daripada 15 keluarga.

    Sementara itu, keadaan cuaca di dua daerah tersebut cerah setakat 8 pagi, namun data pula menunjukkan paras air Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya dengan bacaan 18.80 meter.

  • Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    Rumah terbakar, warga emas OKU rentung

    SEORANG warga emas orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Pelantar, Bentong semalam.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Yusof Idris, 65, ditemukan di tepi tingkap biliknya.

    Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 9.02 malam sebelum 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dan Karak digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Rumah separuh kekal dipercayai didiami mangsa berseorangan itu musnah 90%,” katanya dalam kenyataan.

    Mayat telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, tambahnya.

  • Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    Saluran paip berisi cecair kimia pecah, dua beradik melecur

    DUA beradik melecur selepas terkena cecair kimia yang dipercayai digunakan jirannya bagi membersihkan saluran paip sinki tersumbat, dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A Anbalagan berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam di sebuah apartment di Seri Kembangan itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur teruk di kepala dan badan manakala adik perempuannya berusia tujuh tahun melecur di bahagian paha.

    Beliau berkata ibu kanak-kanak itu memberitahu terdengar bunyi letupan dan jeritan anak lelakinya yang berada di bahagian dapur dan mendapati dua anaknya terkena cecair dipercayai asid yang digunakan untuk membersihkan saluran paip sinki tingkat atas unit kediaman mereka.

    Anbalagan berkata siasatan awal mendapati pemilik rumah di tingkat atas kediaman  mereka menggunakan serbuk soda dengan memasukkannya ke dalam saluran paip sinkinya bagi membersihkan saluran paip yang tersumbat.

    “Seorang lelaki yang merupakan pemilik rumah di tingkat dua dirakam percakapan dan mengakui menggunakan serbuk soda (pembersih paip tersumbat) yang dibeli dalam talian berharga kira-kira RM50,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Anbalagan berkata kanak-kanak lelaki itu yang melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha kini dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala adik perempuannya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – BERNAMA

  • MAINJ keluar fatwa larangan orang Islam hadir ritual keagamaan bukan Islam

    MAINJ keluar fatwa larangan orang Islam hadir ritual keagamaan bukan Islam

    MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini mengeluarkan fatwa mengenai larangan ke atas orang Islam hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia sebagai menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memperkenan fatwa berkenaan berkuat kuasa hari ini.

    Beliau berkata para ulama daripada empat mazhab iaitu Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali, telah sepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang.

    “Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahupun di tempat lain yang biasa dilaksanakan ritual tersebut.

    “Bagaimanapun, menurut sebilangan ulama hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

    Mohd Fared berkata dengan fatwa ini, ia diharapkan dapat memberikan kefahaman kepada umat Islam negeri ini yang segelintirnya sudah menjadi kebiasaan menyantuni kaum lain dalam usaha mengekalkan keharmonian antara kaum.

    Dalam masa sama, beliau berkata satu garis panduan dan kriteria juga dikeluarkan bagi menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh umat Islam.

    “Antaranya, majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan akidah Islam dan terdapat perbuatan seperti menyertakan simbol agama atau menyanyikan lagu bercirikan agama,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata majlis tersebut juga tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam seperti ucapan yang menghina dan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

    Justeru, Mohd Fared menerusi MAINJ akan bertemu dengan ketua keagamaan serta pengurus rumah ibadah bukan Islam bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai garis panduan itu.

    “Larangan ini tidak bermaksud untuk menganggu keharmonian antara kaum, tapi sekadar memberi nasihat serta panduan agar pemimpin masyarakat berhati-hati dalam menyatakan kebersamaan dan tidak melanggar batas-batas tertentu,” kata Mohd Fared.

    Menurutnya individu yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. – BERNAMA

  • LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.8b terhadap bapa Jho Low

    LHDN dapat penghakiman terus saman cukai RM1.8b terhadap bapa Jho Low

    MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.8 bilion tunggakan cukai daripada Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan mengenai satu kes tanpa mendengar keterangan saksi.

    Hakim Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah yang menyampaikan keputusan itu semalam membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan Hock Peng membayar kos RM3,000.

    Mahkamah turut menolak permohonan Hock Peng untuk membatalkan saman yang difailkan kerajaan melalui LHDN.

    LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad, Al-Hummidallah Idrus dan Muhammad Aiman Abdullah manakala peguam Yatiswara Ramachandran, Francis Tan dan Oh Chong Ghee bertindak bagi pihak Hock Peng.

    Pada 24 Mac 2021, kerajaan selaku plaintif memfailkan permohonan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Hock Peng selaku defendan sebanyak RM1,884,098,662.55 dengan faedah pada lima peratus setahun dari tarikh penghakiman ini (1 Feb) hingga tarikh realisasi dan kos.

    Permohonan itu dibuat antaranya atas alasan cukai yang terhutang dan kenaikan-kenaikan yang dikenakan di bawah peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh didapatkan kembali sebagai suatu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

    Hock Peng memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 22 Mac 2021, antaranya kerana taksiran-taksiran untuk tahun 2011 dan 2012 serta taksiran tambahan bagi 2013 dan 2014 adalah tidak sah kerana taksiran tersebut dilakukan melebihi lima tahun daripada tahun taksiran ke atas pendapatan yang didakwa telah terakru tanpa mematuhi Seksyen 91 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Kerajaan yang memfailkan saman itu pada 19 Jan 2021, mendakwa Hock Peng gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012 dan Tahun-tahun Taksiran Tambahan bagi 2013, 2014, 2015 dan 2018 termasuk kenaikan yang dikenakan berjumlah RM1,884,098,662.55.

    Pada 18 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan kembali RM1.05 bilion tunggakan cukai daripada Jho Low. – BERNAMA