Author: Bernama

  • Inspektor polis maut kemalangan di Tumpat

    Inspektor polis maut kemalangan di Tumpat

    SEORANG pegawai polis berpangkat Inspektor maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terbabas di KM5 Jalan Palekbang-Tumpat berhampiran Wakaf King, Tumpat, malam tadi.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kejadian pada 11.30 malam itu menyebabkan Inspektor Chong Yeong Ren, 29, tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

    “Mangsa ketika itu dari Wakaf Bharu menghala ke Tumpat untuk pulang ke rumahnya di Kampung Terbak. Kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas beberapa meter dan merempuh dua tiang lampu di sebelah kiri jalan hingga terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Mendiang Chong mula berkhidmat dalam pasukan polis pada 3 Jun 2019 sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. Sepanjang berkhidmat, mendiang menunjukkan prestasi tugas yang amat membanggakan dan memberi komitmen terhadap tugas yang dijalankan. 

    “Polis Kelantan menzahirkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang yang meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia tiga bulan,” katanya yang menambah pihaknya akan mengiringi jasad mendiang ke rumah keluarganya di Klang, Selangor.

  • Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

    Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

    HASRAT seorang wanita menambah pendapatan menerusi kerja sambilan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian sehingga mendakwa dirinya kerugian RM53,875.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 Januari lepas berhubung tawaran kerja untuk melanggan dan memberi tanda suka di YouTube.

    “Mangsa mendakwa dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus untuk setiap tugasan yang dilakukan. Bagi tugasan pertama, mangsa diarah membuat bayaran RM300 sebelum dia menerima bayaran balik berjumlah RM390 yang dimasukkan ke akaun banknya.

    “Jumlah keuntungan itu menyebabkan mangsa berminat untuk terus membuat bayaran sehingga mengeluarkan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga yang keseluruhannya berjumlah RM53,875,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, wanita itu menyedari ditipu selepas tidak menerima bayaran balik walaupun telah membuat bayaran secara dalam talian ke empat akaun menerusi 10 transaksi lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

    Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menerusi media sosial terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.

    Katanya, orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu.

  • Lelaki ditahan bantu siasatan muat naik video berunsur fitnah di TikTok 

    Lelaki ditahan bantu siasatan muat naik video berunsur fitnah di TikTok 

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes memuat naik sebuah video berunsur fitnah ke atas anggota polis trafik menerusi akaun TikTok.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata penarik baja berusia 39 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas dan direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jitra, Kedah dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, klip video berdurasi 35 saat atas pemilik akaun @manbajanaw9438 itu memaparkan tiga anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Ampat, Perlis.

    Katanya, anggota trafik itu membuat pemeriksaan dan mengeluarkan empat saman ke atas lori lelaki itu manakala punca kejadian dipercayai lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan terhadapnya.

    “Video yang dimuat naik oleh lelaki itu adalah berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terdapat beberapa komen negatif orang ramai berkenaan video itu yang boleh menjatuhkan maruah serta imej anggota polis trafik dalam video itu,” katanya.

    Yusharifuddin sehubungan itu menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

    Beliau berkata, tindakan itu boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

    Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa khususnya pasukan PDRM, boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan saluran betul.

  • Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    Tipu tawaran e-baucar: Polis buka lima kertas siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang membabitkan kerugian RM508,261 di seluruh negara.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata siasatan mendapati tawaran melalui aplikasi dalam talian itu diperkenalkan pada 2020 yang membabitkan pembelian barangan dan perkhidmatan menggunakan e-dompet.

    Beliau berkata pengguna yang berminat menggunakan aplikasi tersebut perlu memasukkan sejumlah wang dan akan diberikan penjimatan hingga 50 peratus bagi setiap pembelian selain menerima mata ganjaran yang boleh ditebus menerusi pembelian barangan atau wang tunai.

    “Pada peringkat awal, urus niaga dan penebusan mata ganjaran melalui aplikasi ini berjalan lancar namun masalah mula timbul pada penghujung 2022 apabila pengguna gagal untuk membuat pembelian serta penebusan mata ganjaran.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Oktober tahun lepas telah mengeluarkan kenyataan berhubung serbuan terhadap syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

    Jumaat lepas, media melaporkan kira-kira 100 laporan polis dibuat membabitkan kerugian hampir RM5 juta berhubung penipuan tawaran baucar atau e-ganjaran yang menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan.

  • Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    Bayi masih bertali pusat ditinggal bawah kerusi kayu

    SEORANG bayi lelaki yang masih hidup dan masih bertali pusat ditemukan di Kondo Rakyat Kuala Ibai dekat Kuala Terengganu petang semalam.

    Bayi yang dianggarkan berusia antara lima hari hingga seminggu itu ditemukan oleh seorang penduduk Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah kerusi kayu di belakang dapur rumahnya pada 6.05 petang ketika baru pulang dari kerja.

    Menurut Ahmad Fauzi, dia terdengar suara tangisan bayi dari arah belakang rumah, bagaimanapun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan ia datang dari rumah jiran.

    “Selepas mengamatinya lebih lama, saya ke belakang dan terkejut apabila mendapati seorang bayi berada di atas simen di bawah kerusi kayu panjang,” katanya.

    Ahmad Fauzi berkata ketika ditemukan, bayi berkenaan hanya dipakaikan lampin pakai buang dan terdapat sehelai kain pelikat dipercayai digunakan untuk membalut tubuh bayi berkenaan.

    “Alhamdulilah bayi tersebut nampaknya sihat dan tiada kecederaan yang ketara,” katanya menambah bapa mertuanya bertindak menghubungi pihak polis yang kemudian tiba pada kira-kira 7.30 malam.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi itu supaya menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

  • JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JPJ kesan penipuan lesen palsu berleluasa

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan penipuan yang melakukan kesalahan pemalsuan lesen kenderaan yang masih berleluasa di media sosial hingga hari ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M. Janagarajan.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam mendapatkan lesen kenderaan, supaya tidak terjebak dengan pemalsuan lesen atau lebih popular dipanggil ‘lesen terbang’.

    “Sebenarnya ini bukan isu lesen terbang, isunya ialah pemalsuan lesen. Lesen itu bukan lesen biasa. Ia dilakukan atau dibuat oleh scammer dan lesen tersebut tidak mempunyai rekod atau tidak wujud di dalam sistem JPJ.

    “Sekiranya pengguna dapat lesen yang sedemikain, mereka tidak memperoleh lesen yang betul dan ia adalah lesen palsu,” katanya selepas Majlis Penutup Kursus Pembangunan Pasukan Kepada Jurupandu Perkhidmatan Bas Ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad, di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur hari ini.

    Turut hadir, Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Mohd Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad Che Ibrahim Che Ismail.

    Janagarajan berkata pihaknya sudah mengenal pasti ramai yang menjadi mangsa penipuan ini dan tindakan dilakukan menerusi bahagian pelesenan memandu integriti JPJ.

    “Modus operandi penipuan ini ialah mereka menawarkan iklan dalam media sosial dengan mengatakan bahawa lesen itu adalah lesen yang sah, tetapi sebenarnya lesen itu adalah lesen yang tidak sah.

    “Ada mangsa sudah membuat pembayaran dan sekiranya bernasib baik, mereka dapat lesen palsu berkenaan, tetapi ada juga mangsa mengadu akaun ditutup atau tidak wujud setelah pembayaran dibuat,” katanya.

    Janagarajan berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengambil tindakan mahkamah ke atas suspek yang melakukan penipuan itu.

    “Apa yang perlu pengguna ingat, mereka yang dapat lesen palsu itu hanya boleh menggunakannya dalam tempoh sekejap sahaja dan aktiviti tidak sihat ini biasanya disedari selepas pengguna membuat pembaharuan lesen pada tahun seterusnya,” katanya.

  • Baling botol kaca:Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan

    Baling botol kaca:Tujuh individu termasuk tiga wanita ditahan

    POLIS menahan tujuh individu termasuk tiga wanita disyaki terbabit dalam kes membaling botol kaca ke arah jalan raya dari balkoni sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang tular di media sosial baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua mereka yang berusia 21 hingga 31 tahun itu, ditahan semalam dan hari ini di sekitar Dang Wangi. 

    Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada tujuh individu itu positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

    Menurutnya dua daripada tujuh individu itu ditahan reman tiga hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 268/336 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. 

    “Permohonan reman bagi lima individu lain ditolak dan akan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Noor Dellhan turut menyarankan orang ramai yang menerima kesan daripada kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. 

    Sebelum ini, sebuah video tular memaparkan seorang lelaki membaling botol kaca dari balkoni dari sebuah premis kediaman ke arah jalan raya. 

  • Bekas PM Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67

    Bekas PM Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67

    BEKAS Perdana Menteri, Mesir Sherif Ismail meninggal dunia pada usia 67 tahun, lapor Xinhua memetik agensi berita rasmi Mesir MENA.

    Ismail meninggal dunia pada Sabtu dan dilaporkan menghidap penyakit berkaitan sistem penghadaman, menurut laporan media sebelum ini.

    Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri Mesir antara 2015 dan 2018 serta pernah dilantik sebagai menteri petroleum dan sumber mineral dari 2013 hingga 2015.

    Presiden Mesir Abdel Fattah Al Sisi menzahirkan ‘kesedihan yang mendalam’ atas kematian Ismail.

    “Beliau benar-benar seorang yang hebat, yang memikul tanggungjawab pada masa yang sukar dan bersedia menggalas tanggungjawab.

    “Saya mengenali beliau sebagai seorang yang tidak mementingkan diri sendiri, berdedikasi, amanah, menjunjung kepentingan negara dan rakyatnya melebihi kepentingan peribadi,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Al- Sisi.

  • Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun, Sabah kekal

    Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun, Sabah kekal

    JUMLAH mangsa banjir di Johor terus mencatatkan penurunan, manakala di Sabah kekal setakat pagi ini. 

    Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 670 mangsa berada di satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan lima lagi di Batu Pahat, berbanding 769 mangsa pada 8 malam tadi.

    Menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, Batu Pahat yang mengalami banjir termenung setakat ini merekodkan seramai 644 mangsa daripada 179 keluarga dan Segamat pula 26 daripada sembilan keluarga.

    Ketika ini, Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.9 meter (m), namun keadaan cuaca di daerah berkenaan cerah, manakala di Segamat, hujan.

    Di Sabah pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan tiada pertambahan mangsa direkodkan dan jumlah mangsa kekal seramai 134 orang daripada 40 keluarga di sebuah PPS di daerah Beaufort. 

    Cuaca di Sabah juga cerah pada pagi ini.

  • Mahkamah tolak saman bekas pelajar sekolah pendidikan khas

    Mahkamah tolak saman bekas pelajar sekolah pendidikan khas

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman seorang bekas pelajar sekolah pendidikan khas terhadap sekolah dan tiga defendan lain termasuk Kerajaan Malaysia kerana gagal menyediakan pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaannya.

    Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati defendan tidak melanggar undang-undang kecuaian dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk pelajar keperluan khas.

    “Selain itu, mahkamah tidak menemui bukti lisan daripada saksi plaintif (pelajar) yang menyokong ketegasannya terhadap tugas defendan untuk menyediakan pendidikan khas, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelajar istimewa,” kata hakim itu selepas menimbangkan keterangan daripada kesemua 22 saksi..

    Pada 26 Mei 2017, pelajar berkenaan, kini berusia 25 tahun, dan ibu angkatnya memfailkan saman dengan menamakan pengetua, sekolah pendidikan khas, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

    Hakim itu berkata mahkamah mendapati dakwaan plaintif bahawa defendan gagal menyediakan sistem pendidikan yang berstruktur dan bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan pelajar pendidikan khas hanya dakwaan kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

    Menurutnya, mahkamah juga mendapati plaintif gagal membukti empat dakwaan kejadian buli kerana siasatan polis gagal menemukan barang bukti dakwaan buli atau saksi kepada dakwaan tersebut.

    “Tiada bukti pergaduhan, malah daripada siasatan polis. Insiden buli tidak dibuktikan,” kata hakim itu.

    Beliau seterusnya berkata sekiranya ibu angkat plaintif tidak berpuas hati dengan keadaan anak lelaki di sekolah,pilihan terbaik seterusnya ialah mengeluarkan anaknya daripada sekolah berkenaan.

    “Bagaimanapun, anak lelaki itu terus kekal di sekolah itu sehingga tamat pengajian di sana. Oleh itu, tuntutan itu tidak berasas.

    “Selepas meneliti keseluruhan keterangan, bukti dan fakta, saya dengan ini membatalkan saman ini dengan kos,” katanya.

    Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua plaintif (anak dan ibu angkat), membayar kos sebanyak RM10,000.

    Bekas pelajar itu diwakili peguam, Sangeet Kaur Deo manakala pihak defendan diwakili Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar.

    Dalam pernyataan tuntutan, plaintif yang didiagnosis sindrom kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) ketika berusia empat tahun dan mempunyai masalah kaki yang menyukarkan dia untuk duduk di lantai, mendakwa bahawa dia telah didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas itu pada 18 Jan, 2016, dan diberi penginapan di asrama sekolah.

    Plaintif mendakwa bahawa dia dibuli beberapa kali oleh pelajar lain ketika berada di asrama, termasuk diludah ketika dia sedang solat, diikat di katilnya, ditumbuk dan ditendang, dan barang-barangnya dicuri.

    Plaintif mendakwa walaupun banyak aduan telah dibuat namun tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah dan pengetuanya.

    Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Julai 2017, pihak sekolah menyatakan penempatan pelajar terbabit dibuat berdasarkan pilihan anak dan ibu angkatnya semasa pendaftaran.