Author: Bernama

  • Dua rakan mengaku salah rompak, menyamar polis

    Dua rakan mengaku salah rompak, menyamar polis

    DUA rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal dan menyamar sebagai pegawai polis.

    Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

    Mahkamah tidak membenarkan dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin dan menetapkan 7 Mac ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

    Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berumur 25 tahun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan sebuah motosikal.

    Kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, Brickfields di Kuala Lumpur, pada 4.30 pagi, 28 Jan lepas, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat.

    Mereka juga didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi melakukan rompakan di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn.

  • Mahkamah kenakan semula denda RM10,000 terhadap ADUN Sungkai

    Mahkamah kenakan semula denda RM10,000 terhadap ADUN Sungkai

    MAHKAMAH Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara terhadap bekas peguam, A Sivanesan, yang kini Exco kerajaan negeri Perak, kerana salah laku profesional, 13 tahun lepas.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K Pathmanathan.

    Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Disember tahun lepas, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.

    Dalam penghakimannya, Nallini berkata, Mahkamah Rayuan seharusnya lambat campur tangan terhadap penemuan fakta yang dibuat oleh jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara.

    Beliau berkata, nota prosiding Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib, sambil menambah bahawa tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan penemuan fakta jawatankuasa tatatertib berhubung perkara yang berlaku pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain.

    Nallini berkata, Mahkamah Rayuan gagal melihat Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang yang diperlukan untuk pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian.

    “Oleh itu, jawatankuasa tatatertib mempunyai justifikasi dalam membuat keputusan,” katanya.

    Hakim itu berkata, Sivanesan, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai, sepatutnya menghubungi Pathmanathan berhubung tarikh perbicaraan baharu yang ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan tetapi gagal berbuat demikian.

    Mahkamah memberikan kos RM20,000 kepada Pathmanathan.

    Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional.

    Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan saranan jawatankuasa tatatertib.

    Prosiding tatatertib telah mendakwa Sivanesan melakukan beberapa pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 dan peraturan etiketnya yang termasuk antara lain, memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai bahawa beliau bertindak bagi pihak Pathmanathan.

    Pada 13 Jun 2016, Pathmanathan telah memfailkan aduan terhadap Sivanesan selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutannya untuk pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah.

    Beliau mendakwa, antara lain, bahawa Sivanesan gagal memaklumkan tarikh perbicaraan kepadanya.

    Sivanesan diwakili oleh peguam yang diketuai oleh R Kengadharan manakala peguam Heng Yee Keat mewakili Majlis Peguam Malaysia. Pathmanathan mewakili dirinya sendiri.

  • Koperal polis didakwa seludup 29 migran Myanmar

    Koperal polis didakwa seludup 29 migran Myanmar

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kota Bharu atas dua pertuduhan melakukan penyeludupan 29 migran warga Myanmar Januari lepas.

    Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, didakwa menyeludup semua migran berusia 19 hingga 47 tahun itu di dua lokasi berbeza pada 16 Jan lepas.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan pertama, Syed Shaifful Amri didakwa menyeludup tujuh lelaki dan enam wanita warga Myanmar di dalam sebuah motovan jenis Daihatsu Gran Max di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Tunjong di Kota Bharu, kira-kira 1.30 pagi.

    Bagi pertuduhan kedua, Syed Shaifful Amri didapati menyeludup 15 lelaki dan seorang migran wanita warga Myanmar di sebuah rumah inap desa, Jalan Pintu Geng Hulu di Kota Bharu, kira-kira 9.45 pagi.

    Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

    Jika sabit kesalahan, anggota polis itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan disebat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi (keterangan migran).

  • Wanita antara dua ditahan kerana samun bersenjata di USJ

    Wanita antara dua ditahan kerana samun bersenjata di USJ

    SEORANG wanita antara dua ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan dan bersenjatakan parang di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya, Kuala Lumpur, semalam.

    Kedua-dua suspek masing-masing berusia  31 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang dan Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa seorang kerani wanita berumur 43 tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat atas dikejutkan suspek lelaki sambil mengacukan parang sebelum mengikat tangannya menggunakan wayar pengecas.

    “Suspek turut mengikat tangan ayah mangsa sebelum membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah selain turut mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Azlan berkata kedua-dua suspek mengeledah rumah dan mengambil antaranya barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM7,000 sebelum melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang lelaki di hadapan rumah mangsa.

    Menurutnya kedua-dua suspek yang berjaket coklat, seluar jeans biru, memakai pelitup muka dan sarung tangan memanjat tembok bahagian tepi rumah sebelum masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.

    “Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran sedang diteliti untuk membantu siasatan dan polis turut merampas antaranya sebuah kereta, dua telefon bimbit, sebuah tablet, dokumen dan beg berkaitan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata hasil penahanan kedua-dua individu itu polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Orang ramai yang mempunyai maklumat kes diminta menghubungi Pusat kawalan daerah, Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Insp S. Anthony John di talian 016-2093470.

  • Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    PELABUR asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu sebanyak RM512.3 juta sekali gus menjadi minggu kelima berturut-turut menjual bersih, menjadikan jualan bersih setakat ini kepada RM119.9 juta, demikian menurut MIDF Research.

    Dalam laporan aliran dananya bagi minggu dagangan singkat berakhir 10 Februari 2023, firma penyelidikan itu berkata, jualan bersih terbesar di bursa tempatan adalah pada Selasa sebanyak RM220.57 juta dan jualan bersih terendah pula pada Khamis iaitu RM40.84 juta.

    Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Isnin berikutan cuti gantian Thaipusam.

    MIDF Research berkata, sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih oleh pelabur asing pada minggu lalu ialah sektor tenaga iaitu RM26.4 juta dan sektor hartanah sebanyak RM3.9 juta.

    Sebaliknya, sektor pembinaan, teknologi dan perkhidmatan kewangan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu lalu iaitu masing-masing pada RM724.6 juta, RM115.9 juta dan RM111.2 juta.

    Sementara itu, institusi tempatan terus memperoleh ekuiti Malaysia dengan belian bersih berjumlah RM121.0 juta pada minggu lalu.

    “Ini menandakan minggu kelima berturut-turut mereka membeli bersih. Insitusi tempatan membeli bersih pada setiap hari dengan belian bersih terbesar pada Selasa iaitu RM85.80 juta, diikuti Jumaat (RM34.63 juta) dan Khamis (RM25.74 juta).

    “Setakat ini, institusi tempatan membeli bersih sebanyak RM937 juta,” katanya.

    Peruncit tempatan turut kembali sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan belian bersih terbesar pada Selasa berjumlah RM134.78 juta, diikuti pada Rabu dan Jumaat dengan masing-masing pada RM57.15 juta dan RM56.76 juta, manakala belian bersih terendah dicatatkan pada Khamis iaitu RM15.09 juta .

    Menurutnya, dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) merosot secara menyeluruh dengan peruncit tempatan (-24.9 peratus), institusi tempatan (-22.5 peratus) dan pelabur asing (-22.3 peratus).-BERNAMA

  • Wanita mengaku tidak bersalah sedia klinik pergigian tidak sah

    Wanita mengaku tidak bersalah sedia klinik pergigian tidak sah

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan serta menjalankan amalan pergigian secara tidak sah, September lepas.

    Intan Nazirah Mohd Rofi, 20, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid bagi menukar pengakuan bersalah yang dibuatnya pada prosiding sebelum ini.

    Pada 27 Jan lepas, OKS mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan itu, menyebabkan mahkamah menetapkan hari ini untuk fakta dan hukuman.

    OKS didakwa melakukan dua kesalahan itu pada 9 malam, 14 Sept lepas di sebuah premis di Kampung Pak Mahat di Kuantan.

    Bagi kesalahan menyediakan klinik pergigian tidak berdaftar, OKS didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 manakala pertuduhan menjalankan amalan pergigian tidak sah dibuat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018.

    Setiap pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pengakuan baharu OKS hari ini, Maimoonah menetapkan 24 Feb ini sebagai sebutan semula kes.

    Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Haznita Zainal Abidin manakala peguam
    Muhamad Saifuldin Ab Rahman menyebut bagi pihak Ghazali Ismail yang mewakili OKS.

  • Pasukan Selam Ranjau bantu SAR kesan anggota komando dikhuatiri lemas

    Pasukan Selam Ranjau bantu SAR kesan anggota komando dikhuatiri lemas

    PASUKAN Selam Ranjau KD Duyong, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota komando dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan, Selasa lepas.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata pasukan tersebut akan membantu selaman di kawasan pengesanan sonar yang telah ditanda oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) semalam.

    “Pencarian hari ketujuh ini akan lebih tertumpu menggunakan sonar oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan PHN.

    “Khidmat Pasukan Selam Ranjau akan digunakan bagi membantu selaman di kedalaman lebih dari 40 meter dengan armada barat telah mengkoordinasi pergerakan tim selam berserta peralatan bersama kapal TLDM dari Lumut, Perak,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Beliau berkata 11 aset laut dari pelbagai agensi termasuk aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diatur gerak membantu pencarian pada pagi ini.

    Katanya orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam bagi membantu operasi.

    Pada 7 Feb lepas, L/Kpl Edrin Baintim, 25, yang merupakan anggota Tentera Darat dipercayai daripada Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.

    Mangsa dikatakan hilang ketika latihan eksesais ‘Pari Harimau’ iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta kursus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang.

  • Pelantikan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kuota kaum – Cuepacs

    Pelantikan kakitangan awam berdasarkan merit, bukan kuota kaum – Cuepacs

    PERKHIDMATAN awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam perkhidmatan awam dibuat berasaskan merit serta kompetensi calon tanpa melibatkan kuota seperti ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

    “SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

    “Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P. Ramasamy menerusi hantaran dalam Facebook meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

    Ramasamy juga mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menangani isu berkenaan serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.

    Semalam, Anwar dilapor berkata kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya reformasi dilakukan untuk mengurangkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

    Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor itu sebagai satu masalah pada masa ini.

    Sementara itu, Adnan berkata ketika ini sambutan kaum bukan bumiputera menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji yang rendah berbanding bekerja di sektor swasta atau berniaga.

    “Sebelum ini, ramai tidak berminat menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain. Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara,” katanya.

    Malah katanya, disebabkan faktor itu jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

    Cuepacs, beliau berkata mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea bagi membangunkan sektor perkhidmatan awam agar lebih ramai kaum lain berminat menyertainya.

    “Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

  • Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    Tiga wanita maut kereta bertembung treler muatan sawit

    TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan. 

    Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin. 

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Mohd Azahari berkata mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA 

  • Perlu runding dengan UMNO jika mereka yang dipecat ingin sertai Amanah – Salahuddin

    Perlu runding dengan UMNO jika mereka yang dipecat ingin sertai Amanah – Salahuddin

    PARTI Amanah perlu berunding dengan UMNO terlebih dahulu jika terdapat mana-mana individu yang dipecat daripada UMNO ingin menyertai parti itu.

    Timbalan Presidennya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata langkah itu wajar dilakukan demi keharmonian Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional, yang kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

    “Kita kena libat urus dahulu dengan UMNO, berjumpa dan berunding kalau kita rasa perlu. Macam ingin bertunang, mesti kita runding dahulu, bagaimanapun (rundingan) hanya dibuat kalau perkara itu berlaku,” katanya.

    Salahuddin yang juga Pengerusi PH Johor berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 PH Johor, yang turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

    Bulan lepas UMNO memecat keahlian beberapa individu termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin atas sebab pelanggaran disiplin parti.

    Terdahulu Salahuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerima 400 keahlian baharu Amanah kawasan Pulai, dan menurutnya penyertaan mereka dapat membantu memantapkan serta memperkuatkan parti Amanah.