Author: Bernama

  • PRN: 11,294 warga polis, tentera dan keluarga mengundi awal di Pulau Pinang esok

    PRN: 11,294 warga polis, tentera dan keluarga mengundi awal di Pulau Pinang esok

    SERAMAI 11,294 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis serta tentera dan pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, esok.

    Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC W.Pusphanathan, berkata daripada jumlah itu, seramai 6,451 adalah pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis dan pasangan manakala selebihnya iaitu 4,843 pula pegawai dan anggota tentera dan pasangan.

    Beliau berkata bagi pegawai dan anggota polis Kontijen Pulau Pinang, mereka akan melaksanakan undian awal di 28 pusat mengundi di seluruh negeri.

    “Terdapat 33 saluran di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dan lima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Timur Laut dan Barat Daya di bahagian pulau serta Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar.

    “Polis Pulau Pinang telah membuat persiapan dan persediaan rapi untuk pengundian awal supaya ia berjalan lancar. Seramai 217 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi melancarkan perjalanan proses pengundian awal PRN kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.

  • PRN P.Pinang: Calon PH DUN Machang Bubok pengsan kerana keletihan

    PRN P.Pinang: Calon PH DUN Machang Bubok pengsan kerana keletihan

    CALON Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok Lee Khai Loon dilaporkan pengsan di pusat khidmatnya, di Bukit Merjatam, hari ini.

    Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Lee, 45, rebah sebaik tiba di pusat khidmatnya selepas pulang daripada berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kawasan Machang Bubok kira-kira 11 pagi tadi.

    “Khai Loon mungkin keletihan akibat cuaca panas pagi ini, namun beliau telah sedar seketika tadi dan dalam keadaan stabil sekarang.

    “Tiada apa-apa (penyakit) yang serius dengan Khai Loon … beliau tidak dihantar ke hospital dan berehat di rumahnya hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Muhammad Bakhtiar yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata semua program dan kempen Lee hari ini dibatalkan, namun jentera parti akan meneruskan kempen yang telah dirancang termasuk menemui pengundi-pengundi di kawasan itu.

    “Beliau memang seorang yang kuat bekerja dan saya difahamkan sejak memulakan kempen pada 29 Julai lepas, beliau turun padang untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi di kawasan Machang Bubok,” katanya.

    Lee merupakan penyandang DUN Machang Bubok dan kawasan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara beliau dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN) Tan Hum Wei.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini.

  • PRN: KKM umum SOP dua hari sebelum mengundi

    PRN: KKM umum SOP dua hari sebelum mengundi

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan berkaitan COVID-19 bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu selewat-lewatnya dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.

    Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata pihak KKM akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan SOP yang lebih spesifik semasa hari mengundi terutama membabitkan pengundi yang dijangkiti COVID-19.

    “Buat masa ini (kempen) kita kekal mengikut garis panduan sedia ada seperti yang dibincangkan sebelum ini, bagaimanapun untuk hari mengundi pihak KKM akan jumpa dgn SPR untuk SOP lebih spesifik terutama untuk mereka yang didapati positif COVID-19.

    “Perkara ini akan selesai segera sebelum hari mengundi dan kami akan umum dua, tiga hari sebelum mengundi (12 Ogos),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan 2022 kepada 1,363 penerima hari ini.

    Sebelum ini, KKM menetapkan SOP COVID-19 yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai garis panduan PRN dan PRK, malah perbincangan bersama SPR dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dilakukan jika terdapat keperluan untuk pelaksanaan SOP baharu.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu kekosongan jawatan doktor termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan perpindahan ke negeri, Dr Zaliha berkata seramai 675 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat latihan siswazah sudah ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara setakat ini.

    Beliau bagaimanapun berkata seramai 1,150 pegawai perubatan kontrak lagi akan ditempatkan di beberapa fasiliti di seluruh negara mulai esok.

    “Memang akan ada sedikit pengurangan jumlah doktor sebab kami dah pindahkan mereka tetapi akan segera diisi kerana kami akan pastikan bahawa perkhidmatan kesihatan seluruh negara tidak akan terjejas dan sedang agihkan ikut keperluan bagi setiap fasiliti,” katanya.

  • 41 calon Bebas bertanding pada PRN kali ini

    41 calon Bebas bertanding pada PRN kali ini

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang menyaksikan jumlah keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding menarik penyertaan 41 calon Bebas.

    Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu kali ini adalah kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 570 calon.

    Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat jumlah calon Bebas paling tinggi iaitu masing-masing 10 diikuti Kelantan dan Pulau Pinang yang masing-masing menyaksikan lima calon Bebas.

    Negeri yang mencatatkan calon Bebas paling sedikit ialah Terengganu apabila hanya Che Harun Kamariah Abdullah diumum bertanding di DUN Hulu Besut sebagai calon Bebas tunggal di negeri itu.

    Terdapat juga kerusi DUN yang menyaksikan lebih daripada seorang calon Bebas bertanding antaranya di Kedah dan Negeri Sembilan.

    Kerusi DUN Lunas di Kedah menyaksikan pertandingan lima penjuru serta mencatatkan penyertaan calon Bebas paling tinggi apabila tiga calon dinamakan bertanding di kawasan berkenaan iaitu N.Rajendran, S.S. Pannir Selvam dan S.Arichindarem.

    Ketiga-tiga wakil Bebas akan menentang calon PH-PKR Shamsul Anuar Abdullah dan calon PN-Bersatu Khairul Anuar Ramli.

    Di DUN Air Hangat, dua calon Bebas iaitu Safwan Hanif Shafie dan Zulfadli Mohd Yusof akan berhadapan calon PN-Bersatu Shamsillah Siru serta calon BN-UMNO Hisham Suhaily Othman.

    DUN lain yang menyaksikan penyertaan lebih daripada seorang wakil Bebas ialah kerusi tumpuan di Negeri Sembilan iaitu Sikamat apabila penyandangnya iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, yang mewakili Pakatan Harapan (PH), berdepan saingan empat penjuru.

    Aminuddin dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

    Satu lagi kerusi di Negeri Sembilan yang menyaksikan lebih daripada seorang calon Bebas bertanding ialah DUN Nilai apabila penyandang J.Arul Kumar (PH-DAP) dicabar Gan Chee Biow (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Omar Mohd Isa dan Yessu Samuel.

  • Pusat penamaan calon PRN enam negeri, PRK Kuala Terengganu ditutup 10 pagi

    Pusat penamaan calon PRN enam negeri, PRK Kuala Terengganu ditutup 10 pagi

    SEBANYAK 173 pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang, ditutup pada 10 pagi hari ini.

    Turut ditutup adalah pusat penamaan calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN dan PRK berkenaan dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal 8 Ogos.

    Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding hari ini sehingga 11.59 malam 11 Ogos.

    PRN enam negeri itu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN), dan Terengganu (32 DUN) dibubarkan pada 28 Jun dan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN pada 1 Julai.

    Enam negeri berkenaan tidak membubarkan DUN mereka bersekali dengan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

    PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan apabila kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

  • Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

    Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

    SERAMAI 138 individu telah diumumkan oleh parti politik masing-masing bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding pada Pilihan Raya Negeri Selangor kali ini.

    Pakatan Harapan (PH), yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, menyenaraikan 44 calon yang meliputi PKR (20), DAP (15) dan Amanah (sembilan).

    Barisan Nasional (BN), yang membentuk kerjasama dengan PH, turut menamakan 12 calon sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

    Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan, juga mengumumkan calon untuk bertanding di semua kerusi DUN dengan 31 didominasi Bersatu manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.

    Pertembungan dua gabungan politik gergasi PH-BN dengan PN dihangatkan lagi apabila Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan 14 calon bagi membawa panji parti itu pada PRN kali ini.

    Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bekerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini, turut mengumumkan empat calon di kerusi Kota Damansara, Dengkil, Meru dan Kajang.

    Perebutan kerusi tambah menarik apabila Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon di lapan DUN dengan tumpuan kepada kerusi sekitar Klang antaranya Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sentosa dan Pandamaran.

    Susulan pengumuman calon oleh semua parti politik, PRN Selangor bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di 19 DUN, satu lawan satu di 36 kerusi dan satu persaingan empat penjuru iaitu di DUN Sentosa melibatkan PH-PKR, PN/Gerakan serta calon daripada parti MUDA dan PRM.

    Antara kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Dusun Tua, Bukit Antarabangsa, Bandar Utama, Batu Tiga, Kota Anggerik, Sungai Kandis dan Dengkil.

    Bagi aksi satu lawan satu, pertembungan menarik dijangka berlaku di kerusi DUN di Utara Selangor antaranya Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Sungai Burong yang menyaksikan persaingan dua seteru politik utama negara sejak sekian lama iaitu BN/Umno dengan PN/PAS.

    Pertembungan sengit juga dijangka berlaku di DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Semenyih, Kajang, Taman Medan, Sijangkang dan Tanjung Sepat.

    Tumpuan pastinya terarah di DUN Sungai Tua apabila Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (PH) akan mempertahan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dan beliau dijangka ditentang oleh calon PN iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin dalam pertembungan satu lawan satu.

    Turut menjadi perhatian kerusi DUN Hulu Kelang yang bakal menyaksikan persaingan antara Datuk Seri Azmin Ali (PN-Bersatu), tokoh yang diuar-uarkan sebagai calon menteri besar daripada PN, dengan setiausaha politik kepada menteri besar, Juwairiya Zulkifli (PH-PKR).

    Juwairiya merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

    Proses penamaan calon bagi PRN Selangor akan berlangsung pagi ini di 35 pusat penamaan yang antara lain meliputi dewan serbaguna, kompleks sukan, stadium tertutup, pejabat majlis perbandaran dan dewan sekolah.

    Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, proses penamaan calon bagi PRN Selangor dan lima negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan hanya berlangsung sejam iaitu dari 9 hingga 10 pagi.

  • Najib tarik balik rayuan cabar keputusan tolak permohonan hadir Parlimen

    Najib tarik balik rayuan cabar keputusan tolak permohonan hadir Parlimen

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk kebenaran memulakan tindakan undang-undang berhubung keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Parlimen.

    Notis pemberhentian rayuan itu difailkan pada 12 Julai lepas oleh Tetuan Shafee & Co, firma guaman yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

    Selain mahkamah, Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara, telah dimaklumkan mengenai penarikan balik tindakan undang-undang itu.

    Pada 27 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Parlimen.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa permohonan Najib adalah akademik kerana beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen berikutan pembubaran Parlimen pada 1 Oktober tahun lepas yang telah membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang diadakan pada bulan berikutnya.

    Hakim Mahkamah Tinggi itu juga berkata melainkan dan sehingga pengampunan diberikan atau sabitan Najib dibatalkan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan beliau akan sekali lagi menjadi Ahli Parlimen, sambil menambah bahawa undang-undang melarang mana-mana orang yang disabitkan bersalah untuk bertanding pada pilihan raya.

    Najib memfailkan permohonan itu pada 5 Okt tahun lepas dan menamakan kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

    Beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak memberikan beliau akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja-kerja Parlimen, perundangan dan konstituen.

    Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan serta hukuman penjara dan denda RM210 juta terhadapnya yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta

  • Bunuh pemandu e-panggilan, 2 warga asing dihukum gantung

    Bunuh pemandu e-panggilan, 2 warga asing dihukum gantung

    MAHKAMAH Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warga asing selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu e-panggilan warga tempatan lima tahun lalu.

    Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Myanmar Sua Lay, 38, dan warga India Gurpreet Singh, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Nurulhuda dalam penghakiman memaklumkan tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu e-panggilan itu.

    Katanya hujahan kedua-dua tertuduh kepada mahkamah bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana tertuduh mampu memberikan arahan kepada mangsa untuk berhenti awal dari tempat asal yang dituju oleh mereka.

    Selain itu, Nurulhuda berkata kedua-dua tertuduh mampu untuk memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa (ketika proses siasatan polis).

    “Mangsa dijerut dan ada kecederaan pada leher. Selain itu ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu.

    “Walaupun ia tidak dikatakan (pembunuhan) zalim, tetapi fakta mayat (mangsa) ditinggal begitu sahaja dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada mempunyai perasaan belas kasihan terhadap si mati. Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan (menjatuhi) hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh,” katanya.

    Sua Lay dan Gurpreet sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 16 Julai 2018 atas pertuduhan membunuh seorang pemandu e-panggilan, pada 21 Jun tahun yang sama.

    Tertuduh, masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, di lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves, pada 10.08 malam, 21 Jun 2018.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Siti Anis Che Ab Wahab dan Muhamad Amirul Jamaluddin memohon agar anak guam mereka dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan berdasarkan peruntukan baharu dalam Seksyen 302 Kanun Keseksaan sama ada dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara berserta sebatan.

    Amirul berkata walaupun ada kehilangan nyawa, namun melihat pada keterangan mahkamah tidak ada bukti langsung kedua-dua tertuduh membunuh mangsa serta mahkamah jarang meletakkan sesuatu hukuman ke tahap yang maksimum kecuali ia melibatkan penjenayah tegar.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail dalam hujahannya berkata hukuman mestilah melambangkan kepentingan awam dan bertujuan mencegah selain menjadi isyarat berkesan kepada orang awam berkenaan seriusnya kesalahan membunuh.

    “Kesalahan membunuh adalah satu kes yang amat serius. Dalam kes ini, tertuduh telah melakukan satu kesalahan jenayah keji. Justeru, hukuman gantung dianggap setimpal kepada mereka selepas didapati bersalah,” katanya.

  • Warga emas ditemukan maut selepas bergaduh

    Warga emas ditemukan maut selepas bergaduh

    SEORANG lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata dan muka, di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.

    Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa yang berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang semalam, dalam keadaan terlentang.

    “Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.

    “Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek, disebabkan bilik hotel,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.

    Zaiham berkata suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, kini direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

    Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran.

  • Jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus bantu rakyat miliki rumah pertama – PM Anwar

    Jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus bantu rakyat miliki rumah pertama – PM Anwar

    PRIHATIN dengan keluh kesah rakyat yang tidak dapat menyediakan deposit bagi memiliki rumah pertama, Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah bernilai sehingga RM300,000.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menambah baik skim pinjaman di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus itu yang akan membolehkan semua kos pemilikan rumah ditampung melalui pinjaman.

    “Ini termasuk jumlah pembiayaan pokok, yuran guaman, yuran penilaian dan insurans serta pembelian perabot dan kos ubah suai,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ di Kuala Lumpur hari ini.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata berikutan penambahbaikan SJKP berkenaan, jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion akan disediakan.

    Selain itu, Perdana Menteri berkata Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang mengusahakan Pelan Tindakan Perumahan Negara yang antaranya merangkumi keperluan bekalan rumah berpandukan metrik seperti catuan harga rumah median untuk pendapatan median.

    Anwar berkata penyediaan perumahan awam juga diteruskan di samping merancakkan pasaran sewa sebagai usaha memenuhi keperluan perumahan.

    Menerusi Ekonomi Madani itu, Perdana Menteri berkata kerajaan berikrar memastikan semua rakyat menikmati akses yang universal daripada segi infrastruktur asas sama ada bekalan air atau elektrik.

    “Rakyat di kawasan desa wajar mempunyai perkhidmatan asas bertaraf dunia. Setakat 2022, 97 peratus penduduk Malaysia mempunyai akses kepada bekalan air terawat,” kata beliau.

    Bagi menangani isu bekalan air di Kelantan dan Sabah, Anwar mengumumkan tambahan keseluruhan RM800 juta bagi penyelesaian jangka pendek untuk kedua-dua negeri itu.

    “Kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir seperti di Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor demi melindungi masyarakat setempat daripada ditimpa bencana banjir,” kata Perdana Menteri.

    Mengenai usaha menambah baik jaringan kesalinghubungan udara, Anwar berkata pelaksanaan Projek Mass Rapid Transit (MRT3) di Lembah Klang akan diteruskan setelah kerajaan memastikan kos yang munasabah selain melaksanakan Bas Rapid Tranport di Johor Bharu, Johor dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

    “Pengurusan pengangkutan awam darat disatukan supaya semua aset dapat dioptimumkan dengan menumpukan usaha membina rangkaian pengangkutan awam antara bandar dan dalam bandar serta menambah baik isu jaringan terakhir melalui kaedah cekap kos termasuk bas elektrik,” katanya.