Author: Bernama

  • 14 ahli ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ kekal dipenjara lima tahun

    14 ahli ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ kekal dipenjara lima tahun

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas 14 lelaki termasuk seorang bekas atlet Muay Thai negara kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Ayahanda Yie Tiger 99’.

    Ia berikutan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara itu serta memutuskan bahawa tiada alasan untuk mahkamah mengubah atau mencampuri keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac 2021 dan Mac 2022.

    “Setelah membaca dan mendengar hujahan lisan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusan beliau. Kami juga mendapati hakim berkenaan telah memperincikan faktor-faktor dalam menjatuhkan hukuman lima tahun, termasuk mengambil kira faktor kepentingan awam.

    “Sehubungan itu, rayuan ditolak dan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkap dikekalkan,” kata hakim itu yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Supang Lian dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

    Kesemua tertuduh dengan tangan bergari, yang berada di dalam kandang tertuduh, kelihatan sebak sambil mengucapkan “Alhamdullilah” sejurus hukuman dibacakan.

    Kesemua 14 tertuduh itu ialah Mohd Faizal Ramli (bekas Atlet Muay Thai negara di Sukan SEA Myanmar), Mohamad Japri Abu Samah, Astro Jakaria, Nuriasbat Mohd Maamon, Edi Narsuna Nizar, Muhammad Faris Yusoff, Muhamad Fakhrurazi Ali, Mohamad Sharfiq Mohamed Ali, Mohamad Noor Helmie Zanal Abidin, W Mohd Ihsan W Razali@W Husin, Rustam Tanni, Azukismi Che Abdullah, Nik Arzahar Nik Mat serta Masyre Mohamed Narizan yang berusia antara 27 hingga 46 tahun.

    Kesemua mereka yang ditahan pada 2020, 2021 dan 2022, mengaku bersalah atas dakwaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ di sebuah premis di Jalan Sentul, Pandamaran, Pelabuhan Klang, antara Mei 2017 hingga 22 Jan 2020.

    Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad dan Khairul Aisamuddin Abdul Rahman manakala peguam S.Sathyaimi Abdul Kadir, S.Sathya, Lee Win Xu, A.Komathi, Izzat Irfan Taib, Zaleha Hayat, Lailawati Husain dan Fazilawati Hussain mewakili kesemua individu terbabit. – BERNAMA

  • Rasuah urus jenazah, 3 pembantu kesihatan dipenjara, didenda

    Rasuah urus jenazah, 3 pembantu kesihatan dipenjara, didenda

    TIGA pembantu perawatan kesihatan (PPK) di Hospital Serdang masing-masing dipenjara tiga hingga lima bulan serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shah Rizan Yasak, 43; Mohd Riduan Ibrahim, 41, dan Muhamad Yusri Yusof, 36, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada Mohd Shah Rizan manakala masing-masing RM10,000 dan RM5,000 terhadap Mohd Riduan serta Muhamad Yusri.

    Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan terhadap Mohd Shah Rizan, empat bulan (Mohd Riduan) dan tiga bulan (Muhamad Yusri) sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu yang bertugas di Unit Forensik masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM6,250; RM3,550 dan RM1,100, menerusi pemindahan dalam talian dalam akaun bank mereka daripada pemilik sebuah syarikat yang berusia 32 tahun bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa cawangan bank di Bandar Baru Bangi, Kajang dan Banting, dekat sini antara 18 Mac 2018 dan 7 Ogos 2019

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozilah turut menasihati ketiga-tiga tertuduh agar insaf dan berjanji tidak mengulangi kesilapan serupa.

    “Sebagai PPK di unit forensik yang menguruskan jenazah dan mayat, kerjaya kamu ini sangat mulia. Sepatutnya, kamu jangan bagi cadangan atau peluang (perbuatan rasuah), kamu tegur perbuatan mereka (rasuah) baru ada integriti sebagai penjawat awam.

    “Dapat duit (gaji) sedikit, biar berkat, guna fikiran yang Allah bagi untuk menilai baik dan buruk. Apa yang kamu buat ini salah dan harap hukuman ini jadi kifarah kepada kamu,” katanya.

    Ketika rayuan, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dapat menahan kesedihan dan memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

    Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Alif Shaharuzaman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan alasan kepentingan awam melebihi daripada kepentingan kesemua tertuduh selain bagi mencerminkan tahap keseriusan kes.

    Sementara itu, seorang lagi PPK di hospital sama iaitu Hairul Nizam Idris, 39, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1,100 daripada seorang lelaki menerusi pemindahan dalam talian dalam akaun banknya berhubung kerja-kerja serupa di sebuah cawangan bank di Kajang pada 20 dan 23 April 2018.

    Dia dakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bapa tiga anak itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Hairul yang diwakili peguam Siti Nurul Jannah Rizali dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM.

    Sebutan semula kes ditetapkan 17 Mac depan. – BERNAMA

  • Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    Ketua UMNO Bahagian Shah Alam didakwa salah guna peruntukan korban, anak yatim

    KETUA UMNO Bahagian Shah Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan peruntukan program korban dan anak yatim berjumlah RM440,000 dan menggunakan dokumen palsu.

    Datuk Azhari Shaari, 53, didakwa atas  tiga pertuduhan iaitu sebagai penandatangan tunggal akaun bank bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan pakaian sekolah anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

    Dia dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang pada 8 dan 27 Sept 2017.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan serta maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Azhari juga didakwa atas  tiga pertuduhan menggunakan tiga minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan sama sebagai tulen, yang tertuduh ketahui ia adalah dokumen palsu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin bagi keenam-enam pertuduhan serta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

    Azhari yang diwakili peguam S. Ashok Kandiah memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga selain kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • ‘Hero Batang Kali’ tangkas beraksi dalam SAR gempa Turkiye

    ‘Hero Batang Kali’ tangkas beraksi dalam SAR gempa Turkiye

    DUA “hero Batang Kali” yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara ke Turkiye sentiasa bersedia mencurahkan tenaga mereka dan tidak gugup beraksi walaupun berada di negara ‘orang’.

    Aksi lincah anjing pengesan milik unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie ketika mengesan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit, memperlihatkan ketangkasan haiwan itu.

    Keadaan cuaca yang amat sejuk serta berdebu tebal seakan tidak memberi apa-apa kesan kepada anjing jenis Labrador dan English Springer Spaniel yang menghidu di setiap rekahan dan lubang-lubang pada runtuhan untuk mengesan jika terdapat mangsa terperangkap.

    Sambil mengibaskan ekor, kedua-dua anjing berkenaan terus fokus mendengar arahan pengendali masing-masing untuk ke kawasan mana yang perlu dihidu dan rekahan mana yang perlu dimasuki.

    Pengendali haiwan tersebut, pegawai bomba Tony Albert Mani dan Y. Thibagaran bagaimanapun melahirkan sedikit kebimbangan kerana terdapat banyak benda tajam dan besi konkrit yang boleh mencederakan kaki dua ‘hero” itu.

    Thibagaran yang mengendalikan Frankie berkata kedua-dua anjing berkenaan tidak menunjukkan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Nurdagi yang mencecah sehingga -10 Darjah Celsius, ketika waktu malam.

    Katanya anjing berkenaan merupakan baka yang berasal dari negara yang beriklim sejuk.

    “Setakat ini, kedua-dua ekor anjing ini tidak mempunyai masalah dari segi kesihatan dan pemakanan, malah kedua-duanya dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk turun ke lokasi pada bila-bila masa jika diperlukan,” katanya kepada Bernama.

    Sejak awal operasi, Denti dan Frankie ditugaskan bersama pasukan MAS-01 SMART dan MAS-10 dalam operasi SAR di beberapa lokasi runtuhan bangunan kediaman dan hotel di sekitar bandar ini.

    Dalam pada itu, Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Ismail Abd Ghani berkata selain dua ekor anjing pengesan berkenaan, JBPM turut membawa peralatan khas untuk digunakan dalam misi SAR di Nurdagi antaranya, alat pengesan, alat pemotong besi keluli, penyendal, penampung beban sementara dan alat pemecah konkrit.

    “Seramai 30 anggota JBPM dari seluruh negara terlibat dalam misi kali ini, melibatkan anggota STORM dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang mempunyai kepakaran dalam melakukan kerja SAR dan EMRS,” katanya.

    Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria, Isnin lepas telah meragut puluhan ribu nyawa.

    Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

    Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar. – BERNAMA

  • Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    Gempa bumi Turkiye ragut lebih 31,600 nyawa

    SEKURANG-kurangnya 31,643 orang terbunuh dalam tragedi gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb, lapor Agensi Anadolu.

    Lebih 238,459 anggota kini berada di lapangan untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR), menurut Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) dalam satu kenyataan.

    Hampir 158,165 orang telah dipindahkan setakat ini.

    Kementerian Luar Turki pada hari Isnin memaklumkan bahawa sejumlah 9,793 kakitangan asing dari 74 negara terlibat dalam misi SAR itu. 

    Sebanyak 155,379 khemah telah didirikan untuk menempatkan mangsa yang terselamat, menurut AFAD.

    Selain itu, 170 helikopter, 76 pesawat dan 26 kapal turut dihantar ke lokasi terjejas bagi membantu misi SAR. -BERNAMA

  • UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    UMNO sokong Anwar PM hingga akhir penggal

    SETIAUSAHA Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata UMNO kekal komited dalam menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal demi kestabilan politik negara.

    Beliau berkata ia selaras dengan resolusi yang dicapai dalam Pehimpunan Agung UMNO bulan lepas. 

    “Jadi apabila kita sokong kerajaan ini maksudnya Anwar adalah Perdana Menteri yang kita ada (hingga akhir penggal)… supaya wujud kestabilan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inkubator Sukan Dron di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

    Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata demikian ketika menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan hasrat untuk melihat Anwar kekal sebagai Perdana Menteri terakhir dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka semasa pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 hari ini.

    Beliau menyeru Ahli Parlimen lain untuk bukan sahaja menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah tetapi juga memastikan kestabilan politik negara dicapai.

    Ahli Parlimen Pontian itu berkata arena politik negara kini sudah stabil dengan wujudnya Kerajaan Perpaduan yang memperolehi sokongan 148 Ahli Dewan Rakyat iaitu lebih dua pertiga majoriti.

    “Sejak Pilihan Raya Umum 2004, kali ini baru kita dapat majoriti sebanyak ini,” katanya.

    Terdahulu, ketika bertitah di Parlimen hari ini, Al-Sultan Abdullah menyambut baik permuafakatan dicapai Kerajaan Perpaduan yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

    Seri Paduka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

    Baginda juga meminta semua pihak berlapang dada dan menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan hati yang terbuka. – BERNAMA

  • SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SPRM kaji semula dakwaan seleweng wang zakat MAINS

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya, dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit.

    “SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkenaan telah pun dibuka dan disiasat pada 2019, dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada 9 Feb lepas, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail dilaporkan berkata, siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn Bhd tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    MAINS juga dilaporkan turut mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial, berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan tersebut. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos di surau

    Pengarah syarikat didakwa buat tuntutan palsu pemasangan kipas ekzos di surau

    SEORANG pengarah syarikat penyelenggaraan pendingin hawa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM4,150 berhubung kerja-kerja pembekalan dan pemasangan kipas ekzos di surau perempuan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, lima tahun lalu.

    Kamal Karim, 47, didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bursar UPM pada 21 Oktober 2018 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan minimum denda lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois bagi semua kerja-kerja terbabit tanpa pesanan belian berjumlah RM4,150 kepada pegawai kewangan UPM.

    Bagi pertuduhan pilihan, Kamal didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Hakim Rozilah Salleh, yang menetapkan 14 Mac depan untuk sebutan semula kes, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu Kamal perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Shalehhuddin Salam.

  • Polis jumpa parang di kandang lembu, motif bunuh kerana cemburu

    Polis jumpa parang di kandang lembu, motif bunuh kerana cemburu

    POLIS menahan tiga lelaki warga India yang bekerja sebagai pencuci kereta kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya, dekat Putrajaya pada 11 Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki terbabit yang berusia antara 23 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 12 dan 13 Feb lepas di Puchong, Selangor.

    Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Aman, Puchong pada 12 Feb kira-kira 8 malam, polis menahan dua lelaki berusia 23 dan 41 tahun serta merampas tiga telefon bimbit.

    Pada kira-kira 2.30 pagi hari ini (13 Feb), polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di Taman Puchong Prima serta merampas sehelai seluar yang mempunyai kesan darah.

    Terdahulu, pada kira-kira 12.05 tengah malam (13 Feb), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Forensik Bukit Aman telah membuat rampasan sebilah parang berhulu hitam berukuran 73 sentimeter di kandang lembu di bawah jambatan lebuh raya lingkaran Putrajaya-Cyberjaya.

    Wan Kamarul Azran berkata hasil soal siasat, lelaki berusia 23 tahun itu mengaku terlibat membunuh mangsa, manakala individu berusia 41 tahun pula tidak mengaku terlibat.

    “Motif pembunuhan disyaki disebabkan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan teman wanita seorang daripada lelaki yang ditahan,” katanya.

    Semua individu yang ditahan itu direman selama tujuh hari hingga Ahad ini (19 Feb) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata bedah siasat terhadap mangsa yang merupakan penjaga lembu itu telah dijalankan pada 10 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Serdang.

    Semalam, polis mengklasifikasikan penemuan mayat lelaki yang terapung di tasik belakang Masjid Haji Fisabilillah, Cyberjaya itu sebagai kes bunuh.

    Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata hasil siasatan mendapati terdapat unsur jenayah melalui pemeriksaan dan mengesan lima tetakan di kepala dan pergelangan tangan kiri mangsa yang hampir putus.

  • Tiga lelaki ditahan ceroboh gudang bersenjatakan pedang samurai

    Tiga lelaki ditahan ceroboh gudang bersenjatakan pedang samurai

    POLIS menahan tiga lelaki warga tempatan atas cubaan menceroboh sebuah gudang simpanan barangan keperluan harian menggunakan pedang samurai, playar dan pemotong besi di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Telok Panglima Garang pada 3 Feb lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada pukul 3.45 pagi daripada pengurus gudang, lelaki rakyat tempatan berumur 33 tahun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya setibanya di lokasi pada 4 pagi, pihaknya berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan Telok Panglima Garang dan merampas seunit pemotong besi, sebilah pedang samurai bersarung, sebilah pedang samurai tanpa sarung serta seunit playar.

    “Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur 28 tahun sehingga 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis Methamphetamine hasil ujian air kencing.

    “Mereka dipercayai aktif dalam melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ceroboh.

    Dalam kes berasingan, beliau turut melaporkan pihaknya memberkas lima lelaki warga tempatan yang disyaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada 10 Feb lalu.

    Katanya bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek di sekitar Sungai Kapar, Klang 5 petang semalam dan hasil sosial siasat terhadap kedua-dua suspek, pasukannya menangkap tiga lagi rakan  suspek di kawasan Telok Panglima Garang kira-kira sejam setengah kemudian.

    Ahmad Ridhwan berkata pihaknya turut merampas barangan perkakasan seperti mesin gerudi tanpa wayar, pemotong jubin, tukul putar tanpa wayar termasuk lima telefon pintar dan seunit gari jenama Chicago.

    “Hasil semakan dapati kelima-lima suspek yang ditangkap berumur 27 tahun sehingga 37 tahun, dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan tiga lagi merupakan pembaiki pendingin hawa dengan kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

     “Kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting IPD Kuala Langat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah,” katanya.