Author: Bernama

  • Laporan Audit: KKM disaran tingkat tahap keselamatan data MySejahtera, MyVAS

    Laporan Audit: KKM disaran tingkat tahap keselamatan data MySejahtera, MyVAS

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) disaran supaya menjalankan penilaian tahap keselamatan aplikasi MySejahtera dan MyVAS secara keseluruhan serta mempertingkatkan tahap keselamatan bagi menjamin keselamatan sistem dan data. 

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, langkah itu bagi mengatasi kelemahan pengurusan akaun pengguna bagi urusan pentadbiran dan data serta keselamatan data yang boleh mendatangkan risiko penyalahgunaan akaun dan kebolehpercayaan data diragui.

    Laporan itu antaranya mendedahkan satu akaun Super Admin telah memuat turun tiga juta maklumat penerima vaksin daripada aplikasi MySejahtera dengan menggunakan pelbagai alamat protokol Internet (IP). 

    “KKM hendaklah memastikan pengurusan akaun bagi aplikasi MySejahtera dan MyVAS dilaksanakan mengikut Dasar Keselamatan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) kementerian yang berkuat kuasa.

     “KKM hendaklah melaksanakan housekeeping data bagi memastikan data sentiasa tersedia, lengkap dan boleh dipercayai,” menurut laporan itu. 

    Antara kelemahan lain disenaraikan dalam laporan itu adalah sebanyak 3.89 juta rekod dimuat naik melebihi satu hari selepas tarikh individu divaksin, 1.12 juta kali serangan untuk memecah masuk aplikasi MySejahtera mulai 27 Okt 2021 dan 28,735 rekod vaksinasi menunjukkan individu menerima vaksin selepas PPV ditutup.

    Laporan itu juga mendedahkan 1,657 individu mempunyai lebih daripada satu MySJ ID, 1,543 individu mempunyai antara dua hingga tujuh akaun melibatkan 3,108 MySJ ID berstatus aktif dan disahkan identitinya serta telah menerima vaksin.

    “Agensi perlu merujuk kepada pihak Kementerian Kewangan bagi perolehan atau pembayaran yang mendesak dan bersifat segera bagi mengelakkan sebarang perlanggaran peraturan yang berkuat kuasa,” menurut laporan itu. 

  • Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    Pengusaha kedai dobi didakwa pecah amanah lebih RM3.2 juta

    SEORANG pengusaha kedai dobi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan mesin dobi dan wang tunai berjumlah lebih RM3.2 juta, empat tahun lepas.

    Terrence Conrad Fernandez, 43, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tidak menghantar sejumlah mesin dobi bernilai lebih RM3.2 juta, milik sebuah syarikat ke sebuah premis yang disewa di Pulau Pinang seperti diamanahkan.

    Bapa kepada dua anak itu sebaliknya meletakkan kesemua mesin dobi tersebut di sebuah premis yang disewa syarikatnya di Kuantan, Pahang.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Krubong, Melaka pada Januari 2019.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak membayar wang sewaan milik sebuah syarikat sebanyak RM24,000 kepada premis yang disewa di Pulau Pinang bagi tujuan meletakkan sejumlah mesin dobi berkenaan, sebaliknya memasukkan duit sewaan itu ke dalam akaun miliknya untuk membayar sewa premis di Kuantan.

    Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit di Blok A, Kelana Centrepoint,  Petaling Jaya, Selangor pada 31 Jan  2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Abuar Sharuddin manakala tertuduh diwakili peguam James S. Thanjong Tuan.

    Hakim Darmafikri Abu Adam membenarkan Terrence diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

    Mahkamah menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    Median simpanan ahli merosot punca kerajaan tidak benar pengeluaran KWSP

    MEDIAN simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi semua kaum turun 50 peratus kepada RM8,100 pada 2022 daripada RM16,600 pada tahun sebelum pandemik Covid-19, menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan.

    Beliau berkata, ketika Covid-19, seramai 8.1 juta ahli mengeluarkan RM145 bilion untuk kesemua empat jenis pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas daripada April hingga Mei 2022.

    “Median simpanan kaum Melayu yang terdiri daripada tujuh juta ahli menyusut kepada RM5,500 (sekarang) daripada RM16,900 pada April 2020.

    “Jadi, ini adalah antara sebab kerajaan membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad berkata, bagi ahli KWSP Bumiputera lain, sebanyak 1.4 juta orang turut menyaksikan median simpanan mereka merosot kepada RM3,300 berbanding sebelum Covid-19 iaitu RM10,600.

    Kelmarin, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi perbahasan Titah Diraja di Parlimen meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu meringankan beban rakyat yang terjejas. – BERNAMA

  • Gempa bumi kuat landa Filipina

    Gempa bumi kuat landa Filipina

    GEMPA bumi berukuran 6 pada skal Richter melanda Filipina pada pagi Khamis, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, lapor Xinhua.

    Menurut institut itu gempa berlaku pada 2.10 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km) kira-kira 11 km barat daya bandar Batuan di wilayah Masbate di pulau Luzon.

    Gempa bumi turut dirasai di beberapa kawasan di Luzon dan tengah Filipina termasuk Bandar Legazpi di wilayah Albay, Sorsogon, Samar Utara, Negros Occidental dan Leyte Selatan, menurut institut itu.

    Tiada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa.

    Filipina kerap mengalami aktiviti seismik kerana lokasinya terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

  • Tiga pengarah syarikat ditahan bantu siasatan kes rasuah RM15 juta

    Tiga pengarah syarikat ditahan bantu siasatan kes rasuah RM15 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah syarikat semalam disyaki terlibat kes rasuah bernilai kira-kira RM15 juta berkaitan projek pembinaan sebuah pangkalan laut di Pahang.

    Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun berkenaan ditahan kira-kira 8.30 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

    “Lelaki pertama dipercayai seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut manakala dua lagi disyaki meminta serta menerima rasuah kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri,” katanya.

    Sumber berkata Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas kesemua individu berkenaan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

  • Dua beradik terlepas tali gantung kerana edar dadah

    Dua beradik terlepas tali gantung kerana edar dadah

    DUA adik beradik terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini mengetepikan sabitan salah terhadap pertuduhan mengedar 986.10 gram dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong sebulat suara memutuskan rayuan oleh S. Rubanraaj, 27, dan S. Nagaraja, 35, mempunyai merit.

    Dalam penghakiman, Hanipah, berkata Mahkamah Tinggi bertanggungjawab untuk mempertimbangkan semua bukti di hadapannya tetapi dalam kes ini, hakim gagal mematuhi Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah kerana tidak menimbangkan kes pembelaan yang menjurus kepada salah laku keadilan.

    Beliau berkata berdasarkan jumlah bukti secara menyeluruh yang dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat.

    Pada 27 Feb, 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhakan hukuman mati terhadap adik beradik berkenaan, yang bekerja sebagai penarik kereta, selepas didapati bersalah mengedar dadah di kawasan parkir Apartmen Prima Bayu, Jalan Batu Unjur, Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor, pada jam 10 malam, 26 April, 2018.

    Peguam perayu, Afifuddin Ahmad Hafifi berkata bahjawa penilaian penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi terhadap bukti-bukti adalah tidak mencukupi berkenaan laporan polis dan akuan bersumpah oleh saksi pembelaan.

    Katanya, hakim terkhilaf apabila mengatakan pembelaan anak guamnya hanya semata-mata penafian kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

    Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Harim, pula hujah bahawa kedua-dua lelaki tersebut mempunyai niat bersama untuk melakukan jenayah itu dan hakim Mahkamah Tinggi telah menilai bukti tersebut.

    Beliau berkata walaupun hakim Mahkamah Tinggi tidak merujuk kepada laporan polis tetapi ia tidak menjejaskan kes pendakwaan.

  • Kes Guan Eng: Permohonan dapatkan perbualan Whatsapp didengar 1 Mac

    Kes Guan Eng: Permohonan dapatkan perbualan Whatsapp didengar 1 Mac

    MAHKAMAH Sesyen hari ini menetapkan 1 Mac depan untuk mendengar permohonan pembelaan bagi mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan, membabitkan pemberian wang RM2 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

    Dua ahli perniagaan itu ialah G. Gnanaraja dan Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

    Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon untuk mendapatkan nota keterangan berkaitan kes tipu membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, bagi menyokong permohonan anak guamnya untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp berkenaan.

    Menurut Gobind, pihaknya sebelum ini telah memohon kepada Mahkamah Shah Alam untuk mendapatkan nota keterangan itu tetapi ia ditolak oleh mahkamah.

    “Oleh itu, kami menjelaskan sekali lagi kepada mahkamah (Shah Alam) pentingnya untuk mendapatkan nota berkenaan. Kami dimaklumkan nota keterangan itu akan diberikan oleh mahkamah dalam tempoh dua minggu. Oleh itu, kami mohon pendengaran permohonan hari ini untuk mendapatkan laporan forensik ditangguhkan sementara menunggu nota keterangan diperolehi,” katanya.

    Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menghadapi pertuduhan rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion ketika dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan untuk menangguhkan prosiding hari ini.

    Terdahulu, Gobind memberitahu mahkamah, nota keterangan itu mengandungi keterangan saksi pendakwaan, Azli Adam, yang ketika itu Naib Presiden Kanan, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat CZCSB, berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa berbeza dengan keterangan di mahkamah ini dalam kes Lim membabitkan projek terowong dasar laut dan pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

    “Semasa perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, saksi itu (Azli) menyatakan baucar pembayaran wang RM2 juta bertarikh 17 Ogos 2017 diberikan kepada pihak ketiga bagi tujuan tertentu yang tiada kena mengena dengan Lim sedangkan saksi pendakwaan ke-28 itu memberi keterangan di mahkamah ini bahawa wang berkenaan diberikan kepada Lim.

    “Kedua-dua kes membabitkan saksi sama dan baucar pembayaran serta cek sama. Oleh itu, kami perlu mendapatkan salinan nota keterangan daripada Mahkamah Shah Alam kerana saksi ini tidak bercakap benar,” kata peguam itu.

    Gobind Singh Deo GAMBAR: Abd Razak Aid

    Lim, 62, kini dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpuri pada Mac 2011.

    Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

  • JPJ tambah baik ciri keselamatan aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ

    JPJ tambah baik ciri keselamatan aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik ciri keselamatan dan mesra pengguna bagi aplikasi MyJPJ dan portal awam JPJ yang boleh diakses secara berperingkat mulai hari ini, mengikut sistem operasi telefon masing-masing (Android, IOS dan Huawei).

    Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata antara penambahbaikan itu termasuk memperkenalkan sekuriti peringkat ketiga menggunakan lapan aksara terakhir yang tertera di belakang lesen memandu untuk pendaftaran JPJeID dalam talian.

    Katanya, ia merupakan tambahan kepada dua peringkat sekuriti sedia ada iaitu kata laluan dan kod TAC.

    “(Selain itu), menambah fungsi bagi mendapatkan semula akaun pengguna melalui lapan aksara terakhir lesen memandu.

    “Ini adalah penyelesaian kepada isu ‘telah mendaftar’ disebabkan pengguna sebelum ini mempunyai akaun di portal rakan strategik JPJ yang berintegrasi dengan sistem JPJ,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    JPJ turut menambah fungsi ‘penetapan semula emel’ bagi pengguna yang terlupa emel digunakan atau perlu mengemas kini emel secara dalam talian dengan tambahan lapan aksara lesen memandu.

    Menurut kenyataan itu, penambahbaikan tersebut dilaksanakan setelah menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai mengenai penggunaan aplikasi MyJPJ dan portal awam JPJ, susulan pengenalan Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM).

    Kenyataan itu memaklumkan Kementerian Pengangkutan juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi memastikan aspek keselamatan siber aplikasi MyJPJ terjamin.

    Orang ramai boleh mengajukan sebarang pertanyaan ke emel [email protected] atau menghubungi talian hotline JPJ di 03-27242522.

  • 3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    3 maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson

    TIGA termasuk seorang remaja maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Telok Kemang, Port Dickson, di sini hari ini.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan kereta Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

    Beliau berkata kesemua yang maut adalah penumpang Toyota Camry iaitu R. Mogana, 35, M. Pangaja Valli, 51, dan S. Jagannatth, 16.

    “Kemalangan berlaku apabila kesemua penumpang serta pemandu Toyota Camry yang berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson manakala Toyota Hilux itu menuju ke Taman Intan Perdana untuk menyiapkan projek perumahan.

    “Sebaik tiba di lokasi, pacuan empat roda itu dipercayai melanggar belakang kereta terbabit menyebabkan tiga penumpang belakangnya tersepit dan maut di tempat kejadian dengan tiga yang lain mengalami patah tangan kiri serta tulang rusuk. Pemandu Toyota Hilux pula cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

    Aidi Sham berkata berdasarkan ujian saringan, pemandu pacuan empat roda itu didapati bebas daripada alkohol dan dadah, namun beliau ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

    PERIKATAN Nasional (PN) hari ini mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu polisi yang lebih inklusif dan berdaya saing dengan penekanan khusus kepada penghasilan sumber manusia berkualiti tinggi.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu dapat memudahkan negara merebut peluang ekonomi yang lebih besar, seterusnya membolehkan Malaysia beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

    Beliau berkata melalui pendekatan itu, negara akan memiliki generasi baharu, sumber manusia yang lebih inovatif, sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi.

    “Penekanan mestilah terarah kepada usaha menambah baik aspek peningkatan daya saing, mencipta lebih banyak peluang kerja berprestasi tinggi serta memperkasakan institusi.

    “Galakan juga perlu diberikan kepada pihak swasta menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berpandangan insentif-insentif menarik bagi mengurangkan pekerja asing perlu ditambah baik kerana peluang kerja berprestasi tinggi mesti diisi rakyat tempatan terutamanya golongan belia.

    Menyentuh soal kos sara hidup, Hamzah berkata kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menangani isu tersebut termasuk memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera dan polis terutama dalam aspek penyelarasan pencen.

    Sementara itu, Hamzah memohon kerajaan berhati-hati dengan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berhubung Laut China Selatan kerana ia boleh memberi impak kepada negara.

    “Kita perlu kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama kita perlu bijaksana dan cermat menyusun strategi agar kita tidak terlihat cenderung kepada satu-satu negara hanya kerana kita mempunyai hubungan baik dengan kelompok tertentu,” katanya.

    Hamzah turut memberi jaminan blok pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang dengan menegur dan memberi pandangan secara bertanggungjawab, malah menyokong perkara baik yang dibawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Hamzah turut memuji keputusan kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye susulan bencana gempa bumi dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat. – BERNAMA