Author: Bernama

  • Tarikh rayuan kes bunuh Kevin Morais 3 Mac ini dilapangkan

    Tarikh rayuan kes bunuh Kevin Morais 3 Mac ini dilapangkan

    TARIKH pendengaran kes rayuan enam lelaki yang dihukum hati selepas disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morias, yang dijadualkan pada 3 Mac ini, telah dilapangkan.

    Jasmine Cheong, peguam mewakili bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 59, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan bahawa tarikh pendengaran rayuan tersebut telah dilapangkan oleh Mahkamah Rayuan semasa pengurusan kes pada 16 Jan, lalu.

    Beliau berkata ini berikutan dua perayu, R. Dinishwaran, 30, dan S. Ravi Chandarasn, 51, masing-masing belum memfailkan petisyen rayuan.

    Cheong, berkata Dinishwaran telah melantik peguam baharu yang memerlukan masa untuk meneliti rekod rayuan dan memfailkan petisyen rayuan manakala Ravi Chandaran sedang dalam proses memfailkan petisyen rayuan.

    Katanya, mahkamah telah menetapkan 11 April ini uuntuk pengurusan kes rayuan tersebut.

    Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman mati terhadap Dr. Kunaseegaran,59, pemberi pinjaman wang, Ravi Chandaran dan empat penganggur Dinishwaran, A. K. Thinesh Kumar, 29, M. Vishwanath, 32, serta S. Nimalan, 29, selepas didapati bersalah membunuh Morias yang mayatnya ditemui disimen dalam tong dram, tujuh tahun lalu.

    Mereka didakwa membunuh Morais, 55, di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015 .

    Mendiang dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium di Menara Duta, Kuala Lumpur, untuk ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya menaiki kereta Proton Perdana.

    Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 Sept 2015.

  • Polis tahan pasangan warga Indonesia terlibat kegiatan pecah kereta

    Polis tahan pasangan warga Indonesia terlibat kegiatan pecah kereta

    POLIS menahan sepasang suami isteri warga Indonesia dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar Seremban dan Kajang, Selangor semalam.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan pukul 1 pagi dalam Op Pecah Kereta di daerah ini.

    “Hasil siasatan mendapati pasangan itu turut terlibat dalam tujuh kes pecah kereta. Kedua-dua mereka telah menunjukkan barang-barang yang dicuri di dalam kes yang terlibat, beberapa barang bernilai seperti jam tangan dan komputer riba turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata suspek bertindak memecah cermin kereta yang diletakkan di kawasan sunyi dengan menggunakan alatan tajam.

    Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 20 Februari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

  • ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    ‘Saya sertai UMNO bukan kerana kedudukannya dalam kerajaan’, kata Mohd Rafiq

    BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan keputusannya untuk menyertai UMNO dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi, iaitu sebelum diketahui parti mana yang bakal mentadbir negara.

    Beliau berkata permohonannya sebagai ahli UMNO diterima dan berkuat kuasa 18 Mac iaitu selepas Pemilihan UMNO, melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam, selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO pada Rabu lepas, dan bukan kerana kedudukan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Saya sedar keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

    “Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya permohonan dihantar beberapa minggu lepas, dan beliau bertekad serta beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO pusat, UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu.

    Mohd Rafiq yang sebelum ini tewas dalam pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, mengumumkan peletakkan jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti itu selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional dalam PRU15. – BERNAMA

    UMNO, Bersatu, permohonan, PRU15, PRN Melaka, Telok Mas, Mohd Rafiq Naizamohideen

  • Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    Zahid fail semakan mahkamah tolak permohonan dapatkan pasport secara kekal

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal, bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

    Pada 3 Feb lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Ahmad Zahid, memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkmamah, setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

    Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.

    Peguam Aiman Abdul Rahman mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi, mengesahkan mengenai permohonan itu dan memaklumkan semasa pengurusan kes hari ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron, mahkamah menetapkan 27 Mac untuk pendengaran permohonan tersebut.

    Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Feb, Ahmad Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

    Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Hakim Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya, untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

    Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

    “Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

    “Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya.

    Ahmad Zahid menyatakan bahawa permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan. – BERNAMA

  • Jurutera didakwa gubah wang haram, tipu, rasuah babit RM131,600

    Jurutera didakwa gubah wang haram, tipu, rasuah babit RM131,600

    SEORANG jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di tiga Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram, menerima suapan dan menipu membabitkan jumlah keseluruhan RM131,600.

    Izwan Mashuri, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob, Hakim Azura Alwi dan Hakim Suzana Hussin.

    Mengikut 11 pertuduhan, Izwan didakwa membabitkan diri secara langsung dalam pengubahan wang haram iaitu mengarahkan seorang lelaki untuk membuat pindahan wang berjumlah RM68,600 daripada akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik SBR Consultant ke akaun Malayan Banking Berhad milik seorang wanita.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (I) akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan rasuah, Izwan didakwa menerima suapan wang berjumlah RM43,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang daripada akaun CIMB Bank milik syarikat Normas Resources ke akaun Bank Islam milik syarikat SBR Consultant.

    Ia sebagai upah kepada tertuduh yang mencadangkan pelantikan dua syarikat berkenaan milik lelaki itu sebagai subkontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bhd bagi projek penyelenggaraan cerun melalui kontrak jangka masa panjang mulai 2017 di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

    Selain itu, ia turut melibatkan semua kerja pembaikan cerun yang merangkumi kerja awalan, reka bentuk dan pembaikan fizikal serta kerja-kerja pengumpulan data.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabitan.

    Tertuduh juga didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayanya untuk mempercayainya boleh mencadangkan syarikat Paradigm Jitu Enterprise untuk mendapatkan kerja-kerja perunding reka bentuk bagi projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia kepada syarikat Pintas Utama.

    Dia telah mendorong lelaki berkenaan untuk menyerahkan wang berjumlah RM20,000 ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat SBR Consultant, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Selayang, Off Jalan Ipoh, Batu Caves, Kuala Lumpur antara 7 Feb hingga 2 Dis 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa dan Aznika Mohd Anas manakala Izwan diwakili peguam Nur Faida Mohd Rashidee.

    Ketiga-tiga mahkamah menetapkan jaminan RM53,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 dan 21 Mac serta 6 April ini.

  • Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 dibuka untuk semakan – SPR

    Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 dibuka untuk semakan – SPR

    DAFTAR Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2023 (DPT BLN1/2023) yang telah diperaku dan diwartakan, dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 18 Mac depan.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN1/2023 mengandungi 39,604 nama warganegara berumur 18 tahun ke atas bagi tempoh 1 hingga 31 Jan yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 10,092 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,769 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

    SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

    Semakan juga boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menghubungi hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.

    SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2023.

    “Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

    Ikmalrudin berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih, boleh membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

    Menurutnya borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2023.

  • Polis buka kertas siasatan anggota didakwa ganggu isteri orang

    Polis buka kertas siasatan anggota didakwa ganggu isteri orang

    POLIS mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggotanya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dan mengganggu isteri orang seperti video yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis juga telah menerima laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh itu.

    “Perkara ini sedang dalam siasatan lanjut meliputi pelbagai elemen dan kami juga perlu hantar sampel video itu ke forensik untuk kami tentukan kesahihan yang dibuat oleh pengadu.

    “Dalam isu ini saya tidak akan berkompromi jika ia melibatkan salah laku anggota selain tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

    Mengulas lanjut Christopher berkata siasatan mengenai kes itu dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

    Katanya anggota tersebut juga masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes itu disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.

    Terdahulu tular satu hantaran di Facebook dan video dakwaan seorang lelaki mengenai masalah rumah tangga yang berusia sembilan tahun itu diganggu pihak ketiga dan dipercayai hubungan isterinya dan anggota terbabit telah berlarutan sehingga setahun.

  • Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    Kisah anak potong payu dara ibu akibat dadah, curi tumpuan Parlimen

    KISAH benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

    Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

    Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh pihak polis.

    “Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau… rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah,” katanya.

    Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

    “Terutama ‘soft drug’, bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

    Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen ‘mega’ itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

    Persidangan dewan bersambung Isnin ini.- BERNAMA

  • Lebih 36,100 terbunuh sejak gempa bumi dahsyat landa Turkiye

    Lebih 36,100 terbunuh sejak gempa bumi dahsyat landa Turkiye

    SEKURANG-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye minggu lepas, menurut agensi bencana negara itu pada Khamis.

    Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada 6 Feb yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

    Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan, turut merasai gegaran kuat yang melanda Türkiye dalam tempoh kurang 10 jam.

    Lebih 253,000 anggota mencari dan menyelamat kini berada di lapangan, lapor Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana dan kecemasan Turkiye.

    Menurut agensi itu, sekurang-kurangnya 216,347 orang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi setakat ini.

    Pada Khamis, Kementerian Luar Turkiye berkata 7,098 anggota penyelamat asing dari 74 negara kini meneruskan tugasan di lapangan.

  • Penghantar makanan mengaku ambil gambar, video wanita mandi

    Penghantar makanan mengaku ambil gambar, video wanita mandi

    SEORANG penghantar makanan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah mengambil gambar dan video seorang wanita sedang mandi, bulan lalu.

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Khalis Rusli, 32, kerana mengaibkan kehormatan wanita berusia 28 tahun itu dengan mengambil gambar dan video mangsa sedang mandi melalui telefon bimbit di tingkat sembilan unit pangsapuri di Kuala Lumpur, pada 3 pagi, 13 Januari lalu.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

    Mohd Khalis, yang tidak diwakili peguam, merayu denda paling minimum kerana dia baru sahaja mendapat kerja awal bulan ini dan perlu menanggung ibu bapa serta adik-beradiknya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakannya telah mengaibkan mangsa selain perlu mengambil kira keselamatan masyarakat.