Author: Bernama

  • Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

    Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

    SEORANG kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam, empat tahun lalu.

    Hakim Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan tertuduh Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama tempoh setahun.

    Ronie didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.

    Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu dan dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 22 Feb 2019.

    Ronie didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Ronie dalam rayuan yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon supaya dikenakan hukuman ringan iaitu denda yang rendah tanpa penjara memandangkan perniagaan anak guamnya merudum sejak setahun lalu di samping keadaan ekonomi tidak menentu selepas pascapandemik.

    Dia juga mempunyai tiga anak yang masih belajar berumur 15 hingga 21 tahun serta perlu menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rehab Abdul Shukur yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dapat memberikan teladan kepada masyarakat.

    Tertuduh kemudian membayar denda itu.

  • Peperiksaan SPM 2022 bermula 20 Feb, libatkan 403,637 calon

    Peperiksaan SPM 2022 bermula 20 Feb, libatkan 403,637 calon

    SERAMAI 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang bermula esok hingga 15 Mac, melibatkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara.

    Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan seramai 131,318 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.

    “Semua calon diingatkan agar sentiasa merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

    “Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

    KPM turut mengingatkan para calon untuk mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.

  • Operasi Bersepadu Khazanah: Lebih RM4.96 juta rampasan tahun ini

    Operasi Bersepadu Khazanah: Lebih RM4.96 juta rampasan tahun ini

    SERAMAI 11 individu termasuk seorang warga asing ditahan dalam lapan siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membendung perdagangan, pencerobohan dan perburuan hidupan liar tanpa permit bermula 1 Jan hingga Khamis lepas di seluruh negara.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata operasi itu membabitkan nilai rampasan sebanyak RM4.96 juta dengan satu daripada serbuan itu mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau.

    “Penghargaan itu diperoleh apabila Biro Jenayah Hidupan Liar serta Perisikan Siasatan Khas (PSK) pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Selangor dan merampas 69 hidupan liar dengan jumlah rampasan bernilai RM1.2 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kesemua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

    Noorsiah berkata dalam serbuan OBK tahun lepas, sebanyak 23 kes direkodkan membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM2.68 juta.

    Katanya hasil operasi itu, pelbagai hidupan liar daripada spesies yang dilindungi berjaya diselamatkan seperti burung murai batu, blue monkey, kucing batu, burung hill myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.

    Beliau berkata dalam operasi tahun lepas juga, polis berjaya membongkar kegiatan penyeludupan haiwan melalui jalan laut menggunakan bot nelayan selepas dua lelaki termasuk seorang lelaki warga Vietnam ditahan di Kelantan.

    Menurutnya hasil penahan itu, polis berjaya merampas 59 sangkar besi berisi musang dan satu sangkar burung ruak-ruak.

  • Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    Kerajaan Terengganu sedia bincang dengan penerbit filem Pulau

    KERAJAAN Terengganu sedia bertemu dengan penerbit filem Pulau, Fred Chong bagi membincangkan mengenai isu pengharaman naskah kontroversi tersebut di pawagam di negeri ini.

    Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan memberikan ruang kepada pihak berkaitan mengemukakan hujah atau justifikasi berkenaan filem itu bagi membolehkan pertimbangan atau kajian berkaitan pengharamannya dibuat semula.

    Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri masih berpendirian untuk mengekalkan pengharaman filem tersebut berdasarkan treler yang bertentangan dengan agama dan norma budaya masyarakat timur.

    “Hujah beliau bahawa treler itu tak sepenuhnya sebagaimana dalam filem adalah di luar pengetahuan kita. 

    “Jadi kita tunggu apa bentuk rayuan atau justifikasi yang beliau akan berikan. Kita akan beri ruang untuk menilai hujah-hujah yang dikemukakan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini hari ini.

    Menurut Ahmad Samsuri beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak bahawa Terengganu mengamalkan padangan sempit dengan mengharamkan filem berkenaan. 

    Katanya sudah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk menjaga moral rakyat dalam usaha mendapatkan keberkatan dan memelihara keharmonian negeri.

    “Kita nak kekalkan Terengganu supaya berada dalam keadaan yang maju, berkat dan sejahtera. Berkat inilah yang hendak kita jaga supaya rakyat terpelihara dari aspek moral dan akhlak,” katanya. – BERNAMA

  • Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    Tuntutan bertindih punca lewat agih bantuan banjir – Ahmad Samsuri

    TUNTUTAN bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurut Ahmad Samsuri terdapat pasangan suami isteri yang mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri.

    Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa melakukan semakan dan penyelarasan semula bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama.

    “Ada dua daerah yang belum mengemukakan senarai kerana masalah ini (tuntutan bertindih). Ini menyebabkan JPKK terpaksa semak semula.

    “Malah ada juga kes yang tak layak terima pun menuntut. Keadaan inilah yang melambatkan proses agihan kepada mangsa yang benar-benar layak,” katanya selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu 2023 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

    Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata beliau telah mengarahkan supaya masalah tersebut diselesaikan segera.

    Beliau berkata dianggarkan 26,000 ketua isi rumah (KIR) di Terengganu akan menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000 pada awal Mac ini.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata beliau akan mengadakan pertemuan rasmi buat pertama kali dengan pemimpin utama negeri Khamis ini, bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Pertemuan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur itu akan melibatkan Menteri Besar Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    Kelantan bersedia adakan PRN bila-bila masa – MB

    KERAJAAN Kelantan bersedia mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau menjangkakan perkara itu akan dibincang dalam pertemuan tidak langsung menteri-menteri besar yang hadir sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu depan, bagi mencari kata sepakat tentang tarikh sesuai diadakan PRN.

    “Pertemuan adalah sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja, itu merupakan perkara biasa dengan menteri besar akan berperanan mengiringi serta menjadi penasihat kepada Raja-Raja Melayu negeri masing-masing.

    “Jadi, pada masa sama kita juga mungkin akan adakan perbincangan secara tidak langsung mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tarikh PRN.

    “Tempoh akhir bagi DUN Kelantan adalah pada 26 Jun, (namun) saya rasa PRN boleh dilaksanakan pada bila-bila masa kerana kita telah bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Bulan Solat Peringkat Negeri Kelantan, di sini hari ini.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad berkata kerajaan Kelantan bersetuju menyalurkan sumbangan RM100,000 sebagai soladiriti kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

    “Kita (kerajaan negeri) sangat bersimpati dengan bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan dengan jumlah mangsa korban mencecah lebih 40,000 orang.

    “Kita menyumbang walaupun jumlahnya tidak seberapa bagi membantu rakyat kedua-dua negara yang terlibat,” katanya. – BERNAMA

  • Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    Sarjan polis direman tujuh hari minta rasuah RM7,000

    SEORANG anggota polis berpangkat Sarjan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM7,000, bagi melepaskan individu yang melakukan kesalahan memiliki air ketum.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan. 

    Lelaki itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

    Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

    “Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    Pemandu e-hailing maut dihempap kereta sendiri

    MALANG tidak berbau. Seorang pemandu e-hailing maut dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di parkir kawasan perumahan di Presint 5, di Putrajaya hari ini.

    Ketua Polis Daerah, ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata Mohammad Azim Mohamad Sanusi, 29, sedang menukar minyak hitam dan membaiki brek tayar hadapan di sebelah kanan kereta Perodua Bezza miliknya sebelum dihempap kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu.

    “Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini, serta menambah pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat, katanya. – BERNAMA

  • Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    Enam pemimpin negeri bincang tarikh PRN minggu depan

    PEMIMPIN kerajaan negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijangka mengadakan pertemuan minggu depan untuk berbincang mengenai tarikh sesuai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat bersama itu digerakkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Perbincangan mungkin berkisar kepada kata sepakat mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurutnya tempoh untuk mengadakan PRN kini semakin hampir.

    “Waktunya (pembubaran) semakin hampir, walaupun tanpa perjumpaan itu, PRN negeri berkenaan akan tetap diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti,” tambahnya. – BERNAMA