Author: Bernama

  • 3 beradik ‘transporter’ dadah, tonto ditahan dengan 150kg syabu

    3 beradik ‘transporter’ dadah, tonto ditahan dengan 150kg syabu

    POLIS menahan tiga beradik yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan tonto bersama 150 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.4 juta di dua lokasi berasingan di Kampung Kenor dan Kampung Tengah semalam.

    Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata tiga beradik lelaki berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun itu ditahan pada 7.50 pagi ketika menaiki sebuah lori Mitsubishi dan sebuah kereta Honda City.

    “Hasil risikan anggota polis menahan sebuah lori Mitsubishi di tepi jalan Kampung Tengah, pemeriksaan menemukan satu botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum di bahagian kelindan lori tersebut.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian ruang belakang lori tersebut menemukan satu kotak berwarna coklat berisi satu bekas gabus putih yang di dalamnya terdapat tujuh bungkusan plastik lutsinar cecair disyaki air ketum.

    “Polis turut menemukan enam guni setiap satu di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi 25 bungkusan plastik berisi ketulan mampat kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Krai, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 1.5 juta penagih.

    “Siasatan mendapati bekalan dadah ini diperoleh dari sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran Lembah Klang.

    “Ketiga-tiga beradik yang juga penganggur itu bertindak sebagai ‘transporter’ dan dipercayai telah lama melakukan kegiatan ini, malah seorang daripada mereka bertindak sebagai tonto dalam kes ini,” katanya.

    Muhamad Zaki berkata suspek berusia 24 tahun juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala abangnya yang berusia 45 tahun memiliki rekod jenayah di bawah Seksyen 18 (5) Akta Penapisan Filem 2022.

    “Mereka akan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Feb depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

  • Tiada campur tangan kes mahkamah libat jemaah menteri – PM

    Tiada campur tangan kes mahkamah libat jemaah menteri – PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mengganggu sebarang proses undang-undang melibatkan Jemaah Menteri yang terlibat dengan kes mahkamah.

    Anwar berkata beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti ditegakkan atas prinsip negara hukum.

    “Saya tidak mahu menghukum sebelum proses mahkamah yang telus dan bebas, tindakan tidak boleh diambil berdasarkan pendakwaan sebelum penghakiman.

    “Hari ini ada Ahli Yang Berhormat (daripada pembangkang) yang didakwa (di mahkamah), adakah perlu letak jawatan semua kedudukan di dalam parti?

    “Tentunya jawapannya belum ataupun tidak,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada pelantikan Jemaah Menteri yang mempunyai kes mahkamah akan mempengaruhi keputusan atau perbicaraan di mahkamah.

    Anwar berkata beliau tidak akan meminta maaf sekiranya dilihat keras dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan pemunggahan kekayaan negara selain menegaskan tindakan yang diambil berdasarkan bukti dan tidak melibatkan kepentingan peribadi.

    “Saya hanya boleh bagi jaminan ia tidak menjejaskan prinsip dan dasar Madani yang saya ketengahkan. Saya arahkan ambil tindakan (jika ada kesalahan), saya tidak peduli dari parti mana (individu berkenaan) termasuklah daripada Keadilan (PKR) sendiri.

    “Saya nak bawa rakyat faham bahawa negara tidak boleh selamat tanpa nilai, tatasusila dan akhlak. Kita boleh maju dari segi ekonomi tetapi rosak dari segi tatakelola, tadbir urus yang juga libat rasuah dan salah guna kuasa,” kata beliau.

    Anwar berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri telah menjalankan tugas dan amalan yang mematuhi prinsip dan dasar kerajaan.

    “Ada satu kes yang dibawa kepada beliau di bawah syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di bawah (kementerian) beliau yang mengusulkan beberapa tindakan segera tanpa tender, beliau telah menulis patuh pada arahan Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan semua mesti melalui proses tender,” kata beliau.

    Sementara itu, Perdana Menteri berkata Konsep Malaysia Madani adalah satu gagasan yang menyeluruh dan adil kepada semua rakyat di negara ini.

    “Saya beri jaminan jangan gementar dengan istilah Arab (Madani), jangan prasangka kerana asalnya itu konsep Islam, saya jamin ia tetap untuk rakyat Malaysia keseluruhannya dan tetap keadilan bagi semua rakyat,” kata Anwar menjawab soalan tambahan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai bagaimana Perdana Menteri mahu menerapkan konsep Malaysia Madani dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

  • MCMC akan buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

    MCMC akan buka kertas siasatan terhadap Awesome TV

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen tempatan, Awesome TV, susulan laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

    Menerusi kenyataan hari ini, MCMC berkata kertas siasatan itu dibuka di bawah Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) iatu kegagalan mematuhi syarat lesen.

    Menurut MCMC, pertemuan antara MCMC dan pengurusan tertinggi Awesome TV telah diadakan semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut ekoran aduan berkenaan laporan yang disiarkan mengenai cadangan mengurangkan bilangan penjawat awam.

    “Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut,” kata MCMC.

    Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 242 iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

    Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata MCMC akan mengadakan pertemuan dengan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

    Fahmi berkata beliau difahamkan Awesome TV telah melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

    MCMC berkata ia memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan para pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma-norma masyarakat, selaras AKM 98 dan Kod Kandungan.

    “Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Antara tatacara atau proses aduan yang dibuat adalah seperti memanggil pihak penyiar yang diadukan untuk tampil mengemukakan penjelasan bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” katanya.

  • Indonesia naikkan bayaran haji 70 peratus, jemaah Malaysia perlu bersedia

    Indonesia naikkan bayaran haji 70 peratus, jemaah Malaysia perlu bersedia

    KEPUTUSAN Indonesia meningkatkan bayaran haji lebih 70 peratus bagi tahun ini memberi bayangan jelas peningkatan kos haji adalah situasi yang tidak dapat dielak dan bakal jemaah negara ini disaran untuk bersedia dalam mendepani kenaikan harga ibadah itu.

    Peningkatan bayaran mengerjakan ibadah haji itu turut dijangkakan Lembaga Tabung Haji (TH), iaitu institusi Islam yang bertanggungjawab mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji untuk jemaah haji Malaysia.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan kos haji tahun ini meningkat sekitar RM31,000 berbanding RM28,000 tahun lepas.

    Namun Amrin berkata agensi itu tetap meneruskan Bantuan Kewangan Haji Bersasar yang dibiayai daripada pendapatan pelaburan kepada semua bakal jemaah haji muassasah.

    Peningkatan kos mengerjakan haji itu tidak hanya terkesan kepada umat Islam negara ini sahaja malah turut membabitkan negara lain termasuk Indonesia, Brunei dan Thailand.

    TH turut memaklumkan faktor yang mempengaruhi kenaikan kos haji terbabit adalah sesuatu di luar kawalan agensi tersebut.

    PENINGKATAN KETARA SELEPAS PANDEMIK

    Berkongsi pandangan mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyifatkan peningkatan bayaran mengerjakan haji bukan isu baharu kerana ia berlaku saban tahun.

    Beliau yang berpengalaman sebagai mutawif dengan pelbagai agensi swasta sejak 2016 berkata bagaimanapun kos mengerjakan haji itu menunjukkan peningkatan ketara selepas pandemik COVID-19.

    “…kita tidak boleh cakap kenaikan kos haji ini hanya terkesan kepada umat Islam di negara ini semata-mata tetapi juga negara Islam lain turut terkena tempiasnya.

    “Mungkin kelebihan pada umat Islam dari negara lain, misalnya di Indonesia, rakyatnya sanggup membayar tinggi mengerjakan haji kerana bagi mereka itulah waktu yang mereka mempunyai peluang ke tanah suci. Bagi rakyat negara lain, mungkin faktor nilai mata wang mereka tinggi, jadi mereka tiada masalah sangat untuk membayar harga yang lebih tinggi bagi mengerjakan haji,” katanya kepada Bernama.

    Pandangan senada turut disuarakan Prof Madya Dr Shuhairimi Abdullah, Ketua Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengulangi bahawa umat Islam di Indonesia sebenarnya turut dibebani dengan peningkatan kos haji yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Bagaimanapun, beliau berkata terdapat perbezaan bayaran mengerjakan haji antara Malaysia dan Indonesia berdasarkan kepada pertimbangan serta keperluan yang perlu ditanggung jemaah haji.

    “Kemudahan yang disediakan TH untuk jemaah haji Malaysia sudah tentu berbeza dengan apa yang disediakan agensi pengurusan haji Indonesia, seperti TH menawarkan khidmat rawatan perubatan percuma serta pelbagai perkhidmatan lain seperti penerbitan buku dan risalah panduan haji yang turut diberi percuma.

    “Terdapat juga perbezaan kos dari segi logistik serta kemudahan lain termasuk penginapan yang disediakan TH untuk jemaah yang mana lebih dekat untuk ke Masjidil Haram (kurang 1,000 meter),” katanya.

    Memetik laporan media April tahun lepas, kerajaan Indonesia dilaporkan bakal memotong subsidi ibadah haji rakyat negara berkenaan.

    Menurut laporan Suara.com, tindakan itu yang terpaksa dilakukan dengan alasan pembiayaan pada ketika ini terlalu mahal, akan dilakukan secara berperingkat.

    Ketua Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), Anggito Abimanyu turut dilaporkan menyokong langkah berkenaan kerana menurut beliau, prinsip menunaikan haji hanya untuk mereka yang mampu.

    Kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji di negara itu bagi seorang individu adalah sekitar 70 juta rupiah (RM20,000) tetapi jemaah Indonesia hanya perlu membayar separuh daripadanya iaitu sekitar 35 juta rupiah (RM10,000).

    Ketua Pengarah Haji dan Umrah Kementerian Agama Indonesia, Hilman Latief turut memaklumkan berlaku penyelarasan kos haji atau Bipih (sejumlah wang yang wajib dibayar oleh warganegara yang akan menunaikan ibadah haji) sepanjang pelaksanaan ibadah haji pada tahun 2023.

    Pada tahun 2022, jemaah membayar Bipih berjumlah 39.8 juta rupiah (RM12,958) dari jumlah yuran haji keseluruhan bernilai 98 juta rupiah (RM29,690).

    “Berbeza pula dengan Malaysia apabila jemaah haji muassasah dari kumpulan B40 dikenakan bayaran RM10,980 manakala yang bukan B40 dikenakan bayaran RM12,980. Ketika ini juga TH masih lagi memberikan subsidi kepada dua kategori ini iaitu sebanyak 62 peratus (B40) dan 55 peratus (bukan B40),” katanya Shuhairimi.

    KETIDAKTENTUAN EKONOMI

    Sementara itu, Dr Raja Rizal Iskandar Raja Hisham, Pensyarah kanan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM), berpandangan peningkatan bayaran dalam mengerjakan rukan Islam kelima itu adalah fenomena yang sudah dijangka.

    Menurut beliau, peningkatan bayaran haji itu sememangnya tidak dapat dibendung dan kejatuhan nilai ringgit serta situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini dilihat antara faktor dominan yang menyebabkan berlaku situasi berkenaan.

    “Ada banyak faktor yang mendorong kenaikan kos mengerjakan haji ini, namun apa yang saya lihat, nilai mata wang Malaysia yang rendah serta situasi ekonomi global antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos haji terutamanya apabila berlaku peningkatan terhadap harga barang dan perkhidmatan.

    “Keadaan ini menyebabkan jemaah terpaksa membayar harga pengangkutan, penginapan dan makanan pada harga yang lebih mahal di sana,” katanya.

    Beliau menambah, kos mengerjakan haji turut meningkat dengan ketara apabila berlaku peningkatan harga visa, insurans, cukai tambah nilai (VAT) serta beberapa caj perkhidmatan tambahan lain yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

    “Saya merasakan bahawa kos haji ini akan naik saban tahun namun dengan intervensi kerajaan dan agensi berkaitan kemungkinan harga bayaran haji ini dapat dikurangkan.

    “Antara langkah segera yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia adalah dengan mengadakan rundingan terus dengan kerajaan Arab Saudi serta pengusaha hotel di sana supaya ada kos yang boleh dikurangkan merangkumi premium insurans, pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya,” katanya.

    JEMAAH HAJI BERGANDA

    Mengulas lanjut, Raja Rizal Iskandar berkata, pertambahan bilangan jemaah haji pada musim haji tahun ini turut disifatkan sebagai faktor penarik kepada peningkatan kos mengerjakan haji.

    Beliau menjelaskan, keadaan itu akan berlaku apabila terdapat jumlah permintaan yang melebihi penawaran sekali gus mewujudkan persaingan antara syarikat pengendali haji.

    “Contohnya, dari segi peningkatan harga tiket kapal terbang yang mana apabila ada permintaan yang tinggi, kemungkinan harga tiket juga akan dinaikkan dan secara tidak langsung dari situ kos untuk seseorang jemaah ke tanah suci turut meningkat.

    “Begitu juga daripada segi penginapan di Arab Saudi khususnya Makkah dan Madinah. Apabila lebih ramai rakyat dari seluruh dunia melaksanakan ibadah haji, keadaan ini akan menyebabkan penawaran bilik hotel agak terhad lantas membuatkan pengusaha hotel menaikkan harga bilik,” katanya.

    Justeru, beliau menasihatkan bakal jemaah haji negara ini supaya mempertimbangkan kemampuan kewangan masing-masing bagi menampung kenaikan kos berkenaan.

    Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan bersedia menerima seramai dua juta jemaah untuk musim haji tahun ini (2023).

    Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata, angka berkenaan menyamai bilangan jemaah haji yang diterima sebelum pandemik COVID-19.

    Daripada jumlah itu, kerajaan Arab Saudi meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia pada musim haji kali ini.

    BUKAN PENYELESAIAN TOTAL

    Ketika isu kenaikan kos menunaikan ibadah haji hangat dibincangkan, baru-baru ini ada pelbagai pihak yang menyarankan supaya TH memendekkan tempoh mengerjakan ibadah haji sebagai solusi mengurangkan beban bakal jemaah.

    Pihak berkenaan mendakwa tempoh mengerjakan ibadah berkenaan sehingga 40 hari menyebabkan jemaah perlu menanggung kos lebih besar terutamanya bagi penginapan.

    Dengan cara itu juga, secara tidak langsung lebih ramai umat Islam di Malaysia akan dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

    Ketika diminta mengulas perkara ini, Shuhairimi berkata, ia boleh dilaksanakan namun menyifatkan ia bukan penyelesaian total.

    “Secara realistiknya, kos yang ditanggung jemaah haji berkemungkinan tidak dapat dikurangkan secara signifikan kerana rekod menunjukkan peningkatan kos haji akan berlaku setiap tahun.

    ”…dan cadangan untuk memendekkan tempoh masa mengerjakan haji turut akan memberi pelbagai kesan lain termasuk dalam kos penginapan hotel. Ini kerana kos sewa hotel untuk penginapan haji cukup kompetitif dan perlu dibayar untuk satu musim haji, sekiranya ia disewa kurang daripada satu musim, sudah pastilah ia akan membawa kepada masalah kepada pemilik hotel berkenaan,” katanya.

    Beliau menambah, asas pertimbangan utama untuk mengerjakan haji adalah berkemampuan atau istito’ah, dan dengan demikian, jemaah haji perlu realistik dan terbuka dalam menerima kenaikan kos haji tersebut.

    Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar TH meneliti semula giliran haji dengan memberi keutamaan kepada warga emas supaya mereka berpeluang menunaikan ibadah haji.

    Beliau berkata sekiranya TH terus mengekalkan konsep ‘Mendaftar Dahulu, Didahulukan’ yang diperkenalkan sejak 1995, golongan itu kemungkinan tidak lagi berkemampuan untuk mengerjakan ibadah haji.

    “TH mungkin boleh memperuntukkan kuota sebanyak 30 peratus setiap tahun untuk diberikan kepada warga emas. Bagi saya sekiranya amalan kebiasaan menunggu giliran ini terus dipraktikkan, berkemungkinan kelompok ini tidak dapat mengerjakan ibadah haji memandangkan faktor usia yang meningkat selain mempunyai masalah keuzuran dan kesihatan,” katanya.

  • Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

    Tengku Zafrul sahkan dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

    MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan.

    Menurut Tengku Zafrul, beliau akan berjumpa dengan pihak SPRM dalam masa terdekat dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi itu.

    Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan sama ada ia berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang disiasat pihak SPRM.

    “Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Selepas dipanggil baru boleh saya sahkan mengenai apa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MITI dan agensi, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, SPRM, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya akan memanggil Tengku Zafrul yang merupakan bekas Menteri Kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

    Menurut Tengku Zafrul, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada ‘perbelanjaan’ yang tidak sepatutnya berlaku.

    “Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka,” katanya.

    Sementara itu, Tengku Zafrul, menerusi catatan di Facebook semalam, berkata tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

  • 90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    90 tangkapan SPRM Johor sejak 2020 hingga 2022 babitkan penjawat awam

    SEBANYAK 90 tangkapan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2020 hingga Disember tahun lepas di Johor melibatkan penjawat awam, diikuti dengan 75 pekerja swasta serta 54 individu awam.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias berkata dalam tempoh itu juga SPRM Johor telah mencatatkan sitaan berjumlah RM3.65 juta, selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60.

    “SPRM Johor telah menerima 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh yang sama. Sebanyak 196 kertas siasatan dibuka dengan melibatkan 219 tangkapan dan 101 pertuduhan di mahkamah,” katanya.

    Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor di Johor Bahru hari ini yang dirasmikan Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia Nor’ Ain Bakir.

    Azmi Alias

    Menurutnya dalam tempoh yang sama pihaknya menjayakan 286 ceramah khusus buat kumpulan sasar, dengan 131 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

    Sementara itu merujuk kepada pelancaran drama radio sempena Sambutan Ulang Tahun JohorFM Ke-58, Azmi berkata buat julung kalinya SPRM Johor dan Jabatan Penyiaran Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dalam menerbitkan drama radio berkisarkan kes rasuah sebenar yang pernah disiasat oleh SPRM Johor sebelum ini.

    Beliau berkata penyediaan skrip drama radio itu ditulis oleh pegawai SPRM Johor dari Unit Pendidikan Masyarakat (PenMas) dan tiga cawangan SPRM iaitu Batu Pahat, Kluang dan Segamat.

    “Kerjasama dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah melalui media amatlah penting dalam menjadi medium perantaraan antara suruhanjaya ini dan masyarakat, bagi memastikan setiap peringkat dapat memahami betapa bahayanya jenayah rasuah, dan pada masa sama menghindari daripada melakukan perbuatan keji itu,” tambahnya.

  • Rasuah: Bung Moktar, Isteri beri keterangan bermula 15 Jun

    Rasuah: Bung Moktar, Isteri beri keterangan bermula 15 Jun

    AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 15 Jun.

    Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu pada sebutan kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan, peguam M. Athimulan mewakili Bung Moktar dan peguam Teh See Khoon mewakili Zizie Izette.

    “Mahkamah perlu menetapkan tarikh perbicaraan memandangkan kes ini telah lama. Oleh itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula Jun pada 15, 16, 26 dan 27 manakala Julai pada 10 hingga 14, 20, 21, 24 dan 25,” kata Rozina yang turut menetapkan 27 Mac untuk sebutan.

    Terdahulu, Athimulan berkata setakat ini seramai enam saksi pembelaan termasuk Bung Moktar dan isterinya akan memberi keterangan pada perbicaraan yang ditetapkan selama 13 hari itu.

    “Pihak kami masih dalam pertimbangan sama ada akan menyediakan pernyataan saksi atau tidak,” katanya.

    Ditanya Rozina mengenai status rayuan pasangan itu di Mahkamah Rayuan, Teh berkata pengurusan kes terhadap rayuan itu ditetapkan pada 22 Mac ini sementara menunggu rekod rayuan yang masih belum siap.

    Pasangan itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.

    Pada 3 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung Moktar, 63, dan Zizie Izette, 44, untuk menggantung perbicaraan membela diri, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

    Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

  • Gempa Turkiye: Sekurang-kurangnya 41,020 terkorban

    Gempa Turkiye: Sekurang-kurangnya 41,020 terkorban

    SEKURANG-kurangnya 41,020 orang terkorban akibat bencana gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Feb lalu, menurut agensi pengurusan bencana negara itu pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

    Menurut agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) seramai 19,436 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa sedang menjalankan misi SAR di kawasan bencana dan sejumlah 216,166 khemah telah dibina di zon gempa.

    Misi SAR di zon gempa di wilayah yang terjejas sudah ditamatkan kecuali di wilayah Kahramanmaras dan Hatay, kata ketua AFAD Yunus Sezer kepada pemberita.

    Sezer berkata misi SAR diteruskan di hampir 40 bangunan manakala lebih 6,000 kontena telah disediakan dan lebih 460,900 orang dipindahkan setakat ini.

    “Kami kini menerima 318,970 mangsa yang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi di rumah tumpangan awam dan hotel.

    “Lebih satu juta mangsa bencana di wilayah itu kini ditempatkan di khemah, kontena dan rumah tumpangan awam,” katanya.

    Sezer berkata bantuan tunai sebanyak 10,000 lira Turki (AS$531) telah diagihkan kepada hampir 800,000 rakyat.

    Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim, Murat Kurum berkata, pemeriksaan di 927,000 bangunan di wilayah Gaziantep telah selesai.

    “Kita akan melaksanakan kempen pembinaan rumah terbesar dalam sejarah negara kita di 11 wilayah yang terjejas dan akan menyediakan rakyat kita rumah yang selamat untuk didiami,” katanya.

    Pada 6 Feb lalu, gempa bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di Kahramanmaras telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Hatay, Gaziantep, Malatya, Kilis, Osmaniye, Elazig dan Sanliurfa.

    Lebih 13 juta penduduk terjejas dan beberapa negara di rantau itu termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat.

  • Guru agama,ejen pelancongan rugi hampir RM130,000 ditipu dalam talian

    Guru agama,ejen pelancongan rugi hampir RM130,000 ditipu dalam talian

    SEORANG guru agama mengalami kerugian RM76,170 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, Isnin lepas.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wanita berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai Touch ‘n Go di Kuala Lumpur dan mengatakan mangsa mempunyai tunggakan bayaran bil selama enam bulan.

    Beliau berkata panggilan mangsa yang menafikan mempunyai tunggakan bayaran itu kemudiannya disambung kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan memberitahunya terlibat dengan aktiviti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram.

    “Mangsa diminta membuat rayuan penagguhan waran dan telah memberikan 14 digit nombor semua kad bank selain diarahkan mengisi maklumat perbankan di dalam pautan (link) yang diberikan.

    “Selepas mengisi maklumat bank, wanita itu mendapati terdapat lima transaksi pengeluaran wang dari akaun yang menyebabkannya kerugian RM76,170,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kes berlainan, Ramli memaklumkan wang milik seorang ejen pelancongan lebih RM52,443 lesap selepas ditipu penawaran kerja sambilan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp yang memberikan pulangan RM100 bagi setiap tugasan yang dilakukan pada Sabtu lepas.

    Katanya setelah mangsa berusia 34 tahun itu berminat, suspek telah menghantar pautan kepada lelaki itu untuk menyertai satu group di Telegram dan diminta membeli prepaid dengan dijanjikan akan mendapat pulangan dalam tempoh yang singkat.

    “Mangsa kemudiannya telah membuat lima transaksi wang ke dalam akaun bank berbeza sebelum dimaklumkan mendapat keuntungan sebanyak 40 peratus dan membuat empat lagi transaksi seperti diarahkan suspek sehingga mengalami kerugian RM52,443,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berasa terpedaya membuat laporan polis masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan Jerantut semalam serta kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Sementara itu, Ramli menasihatkan orang ramai supaya tidak menyewa atau memberikan akaun bank peribadi kepada ahli sindiket kerana sekiranya didapati bersuhabat, pemilik akaun boleh dituduh di mahkamah atau mungkin akan dihadapkan dengan tuntutan sivil.

  • PRN: KKD akan pastikan lebih ramai keluar mengundi

    PRN: KKD akan pastikan lebih ramai keluar mengundi

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan berusaha memastikan kehadiran lebih ramai pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

    Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata KKD akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi yang terlibat supaya maklumat mengenai PRN sampai kepada pengundi.

    “Sebagai agensi kerajaan, tanggungjawab kita adalah pastikan bahawa lebih ramai pengundi keluar mengundi kerana itu merupakan tanggungjawab warga Malaysia tidak kira mana satu parti mereka sokong.

    “Yang penting kita nak nampak pengundi yang keluar mengundi itu cukup tinggi dan banyak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Jabatan Penerangan Pulau Pinang hari ini.

    Enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu mengadakan PRN masing-masing, tahun ini.

    Teo berkata memastikan lebih ramai pengundi keluar mengundi pada hari pengundian PRN nanti adalah agenda KKD pada masa ini.

    “Jadi untuk tempoh masa yang akan datang ini, kami juga akan membawa mesej ini kepada pengundi-pengundi enam negeri itu supaya kita siap sedia supaya hari mengundi, mereka akan keluar mengundi,” katanya.

    Hari ini, Teo mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang yang melibatkan sesi dialog bersama warga Jabatan Penerangan Pulau Pinang, melawat pejabat RTM Pulau Pinang dan sesi temu bual bersama stesen radio Mutiara FM.