Author: Bernama

  • Dua lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    Dua lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    POLIS menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun kerana terlibat dalam kejadian ragut seorang wanita sehingga mangsa mengalami luka kecil di lengan dan tangan kiri di Jalan Kelochor, Kota Bharu, pada 16 Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kedua-dua suspek ditahan di Pasir Puteh, pada 6.30 petang pada Sabtu lepas, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

    “Susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal yang digunakan sewaktu kejadian dan hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, selain turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari mulai semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden itu yang mangsa wanita berusia 54 tahun dilihat berseorangan menunggang motosikal di Jalan Kelochor diragut dua lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal berwarna kuning sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.

  • Budak 12 tahun maut jatuh tingkap hotel

    Budak 12 tahun maut jatuh tingkap hotel

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut apabila terjatuh dari tingkap tingkat 14 sebuah hotel di Kota Kinabalu pagi ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah ketika dihubungi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14 ke kawasan beranda di tingkat lima hotel tersebut.

    Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.44 pagi tadi, sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu bersama jentera ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan.

    “Pasukan bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa ke bawah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan.

    “(Mayat mangsa) diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan pada 7.53 pagi,” katanya.

    Katanya identiti mangsa masih dalam proses untuk dikenal pasti.

  • Zambry tarik diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO

    Zambry tarik diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO

    SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden UMNO bagi Pemilihan UMNO yang akan berlangsung bulan depan.

    Zambry dalam hantaran di Facebooknya malam tadi memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan.

    “Banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga sekali gus membawa imej UMNO yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

    Menurut Zambry beliau juga mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan BN dan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

    Bagaimanapun, Zambry berkata beliau menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada Pemilihan UMNO Sesi 2023-2026 itu.

    “Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini,” katanya.

    Pada 24 Feb lepas, Zambry mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu.

    Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Feb.

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

  • Empat terbunuh, 20 cedera dalam letupan bom di Pakistan

    Empat terbunuh, 20 cedera dalam letupan bom di Pakistan

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dan lebih 20 cedera dalam satu letupan bom di Pakistan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik polis dan media tempatan.

    Letupan berlaku di pasar yang sibuk di daerah terpencil Barkhan di wilayah Balochistan.

    Menurut polis, bom itu dimuatkan dalam sebuah motosikal yang diletakkan di luar sebuah salun di pasar dan mereka yang cedera kini dalam keadaan kritikal.

    Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini namun pemisah etnik Baloch dan Tehreek-e-Taliban Pakistan, sebuah konglomerat beberapa kumpulan militan di Pakistan telah lama menyasarkan pasukan keselamatan di seluruh wilayah itu

    Wilayah Balochistan yang terletak berhampiran negara jiran, Iran dan Afghanistan merupakan kawasan yang penting dan strategik kerana kaya dengan rizab tembaga, zink dan gas.

    Selain itu, wilayah Balochistan juga menjadi laluan utama projek mega Koridor Ekonomi Pakistan-China (PCEC) bernilai AS$64 bilion yang menghubungkan wilayah barat laut Xinxiang ke pelabuhan Gwadar di Balochistan melalui rangkaian jalan raya, kereta api dan saluran paip untuk kargo, pengangkutan minyak dan gas.

  • MB Terengganu harap kerajaan terus salur dana khas

    MB Terengganu harap kerajaan terus salur dana khas

    KERAJAAN Terengganu berharap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima negeri itu sebelum ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang perkara itu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan mendapatkan penjelasan sama ada agihan DKKP kepada negeri itu sebelum ini merupakan wang royalti petroleum atau sebaliknya.

    “Soal adakah DKKP sama dengan wang royalti, kita akan rujuk semula dengan MOF. Terma wang royalti disebut Menteri Kewangan dan Menteri Undang-Undang pada 2021, namun bayaran yang diterima tidak pernah menyebut istilah royalti sebaliknya hanya DKKP,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu 2023 di Sungai Tarom hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam, yang memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

    Menurut Azalina ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Dalam perkembangaan lain, Ahmad Samsuri mengumumkan pengecualian bayaran lesen khas nelayan sampan kepada kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu pada tahun ini.

    “Ia sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada warga nelayan yang mengharungi lautan demi membekalkan makanan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

  • Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    Terengganu harap Kerajaan Persekutuan teruskan bayaran DKKP

    KERAJAAN Terengganu berharap Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang diterima negeri itu sebelum ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokthar.

    Beliau berkata pihaknya akan berbincang perkara itu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan mendapatkan penjelasan sama ada agihan DKKP kepada negeri itu sebelum ini merupakan wang royalti petroleum atau sebaliknya.

    “Soal adakah DKKP sama dengan wang royalti, kita akan rujuk semula dengan MOF. Terma wang royalti disebut Menteri Kewangan dan Menteri Undang-Undang pada 2021, namun bayaran yang diterima tidak pernah menyebut istilah royalti sebaliknya hanya DKKP,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu 2023 di Sungai Tarom di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat semalam, yang memaklumkan bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus.

    Menurut Azalina ini kerana Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dan Petronas juga tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar kawasan itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang bertanyakan sama ada kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

    Dalam perkembangaan lain, Ahmad Samsuri mengumumkan pengecualian bayaran lesen khas nelayan sampan kepada kira-kira 2,000 nelayan di Terengganu pada tahun ini.

    “Ia sebagai penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada warga nelayan yang mengharungi lautan demi membekalkan makanan kepada rakyat negeri ini,” katanya. – BERNAMA

  • 4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    4 ditahan disyaki curi kenderaan, menyamar penjawat awam

    TIGA lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kesemuanya berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

    “Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

    “Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi ini, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

    Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan kesemua suspek pada tengah hari Ahad dan awal pagi tadi serta merampas sebuah Perodua Myvi berserta kunci yang digunakan semasa kejadian.

    Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia serta beberapa peralatan lain. 

    “Kesemua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

    Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu. – BERNAMA

  • Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    Penolong jurutera JKR direman bantu siasatan terima rasuah lebih RM500,000

    SEORANG penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah berjumlah RM516,325, antara 2018 hingga 2022.

    Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu yang berkhidmat di Bahagian Jalan jabatan tersebut.

    Suapan yang dibuat dalam jumlah RM1,000 hingga RM95,000 itu didakwa sebagai balasan untuk mencadangkan syarikat proksi seorang kontraktor sebagai subkontraktor bagi projek pembaikan cerun dan membantu mendapatkan bayaran tuntutan.

    Lelaki itu ditahan 6.55 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.- BERNAMA

  • Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    Diskaun bayaran balik PTPTN selama 3 bulan bermula Mac

    KERAJAAN bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan bermula 1 Mac ini, sehingga 20 peratus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ringgit ke bawah, untuk tempoh enam bulan.

    “Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac 2023,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan RM15.3 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM14.5 bilion pada 2022, antaranya sejumlah RM436 juta ringgit disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    “Sejumlah RM35 juta juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN). – BERNAMA 

  • Belanjawan 2023: Bantuan musim tengkujuh naik kepada RM800

    Belanjawan 2023: Bantuan musim tengkujuh naik kepada RM800

    GOLONGAN pesawah dan pekebun kecil getah yang bertarung dengan cuaca tidak menentu terutama sewaktu musim tengkujuh, turut tidak terkecuali daripada mendapat manfaat dalam Belanjawan 2023 melalui pemberian pelbagai subsidi. 

    Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bagi pesawah, kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan RM1.6 bilion. 

    Beliau berkata sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta. 

    “Selain sumbangan RM60 juta yang disediakan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

    Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.  

    Anwar berkata bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh, kerajaan juga bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

    Sehubungan itu beliau menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) memudah cara tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut kerana ia menyusahkan rakyat. 

    “Saya mahu LGM dan semua agensi yang terlibat lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan,” katanya. 

    Beliau berkata kerajaan juga bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh pekebun kecil daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan bagi meringankan beban ditanggung 320,000 golongan berkenaan, membabitkan peruntukan RM256 juta. 

    Anwar berkata bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplum Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan, memandangkan bahan CMB dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan. – BERNAMA