Author: Bernama

  • Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    Dua lelaki ditahan bersama syabu bernilai lebih RM114,000

    POLIS menahan dua lelaki bersama dadah jenis syabu seberat 3.16 kilogram bernilai RM114,668 dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Tanjung Kling pada 23 Feb lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata suspek berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi di sebuah premis dipercayai menjadi tempat tinggal dan kegiatan pembungkusan dadah.

    Beliau berkata polis turut menyita barang kemas bernilai RM 21,763 dan wang tunai RM13,000.

    “Berdasarkan risikan hasil maklumat awam, sindiket ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Jun tahun lepas dan dadah yang dirampas adalah bagi pasaran Batu Pahat serta Johor Bahru untuk kegunaan 15,820 penagih dadah.

    “Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan tidak bekerja dan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di Melaka hari ini.

    Zainol berkata hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphethamine.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • 18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    18 wanita terlibat ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna ditahan

    JABATAN Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan 18 wanita kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna menerusi serbuan di sebuah rumah di Johol, Kuala Pilah hari ini.

    Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 60 tahun ditahan ketika sedang mendengar kuliah yang disampaikan pengasasnya ketika serbuan pada pukul 9.30 pagi.

    Beliau berkata dalam serbuan itu beberapa dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan turut dirampas untuk tujuan siasatan termasuk buku digunakan untuk ajaran itu.

    “Pengikut ajaran ini kebanyakan terdiri daripada suri rumah dan ada yang tinggal di negeri ini dan luar negeri selain dipercayai direkrut melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram. Kita percaya masih ramai lagi pengikut kumpulan ini dan ia masih disiasat.

    “Ajaran itu pernah difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan pengasasnya telah dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta membuat perisyhtiharan taubat pada Feb 2021,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pemantauan, JHEAINS mendapati ajaran itu masih diteruskan oleh pengikutnya di rumah pengasasnya di Johol selain bergerak dalam kumpulan kecil.

    “Kita percaya ajaran ini mempunyai banyak pengikut di seluruh negara, dan didapati mereka juga cuba mengembangkan ajaran ini ke Indonesia berdasarkan penemuan dokumen memorandum persefahaman dengan institusi pendidikan atau pesantren (sekolah pondok) di sana,” katanya.

    Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan Seksyen 53 Enakmen yang sama. – BERNAMA

  • Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun ini

    KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam sehingga Jun 2023 melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.

    Menurut KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri mencapai kata sepakat untuk meneruskan penyediaan subsidi bagi telur ayam itu pada 17 Feb lepas.

    “Langkah ini diambil demi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

    Menurut KPKM berkata keperluan untuk membawa masuk telur ayam dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

    “Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar merupakan langkah sementara bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil dan tidak terputus,” katanya.

    KPKM berkata pihaknya sentiasa memantau keperluan bekalan telur ayam dalam pasaran dan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam dalam negara stabil seperti sediakala.- BERNAMA

  • Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    Rayuan Najib serba tidak menjadi selepas pertukaran peguam – TPR

    MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya hari ini diberitahu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak ke atas keputusan perbicaraan SRC International Sdn Bhd serba tidak menjadi setelah beliau menukar peguam mewakilinya tahun lepas.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V Sithambaram merujuk kepada pertukaran peguam daripada Shafee & Co kepada pasukan guaman baharu terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST).

    “Mengapa Najib yang diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam kes SRC International dari peringkat Mahkamah Tinggi pada 2018 dan hanya menukar peguam pada 2022 sebelum pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, Ogos tahun lepas.

    Jika tidak kerana pertukaran peguam ini, saya tidak fikir semakan ini akan dibawa ke mahkamah hari ini. Sementara tertuduh berhak memilih peguam, peguam perlu bersedia untuk bertindak dan sanggup melakukannya pada hari ditetapkan. Sebenarnya mereka tidak mahu untuk meneruskan kes ini, kerana itulah mereka mahukan penangguhan ini,” katanya.

    Menyentuh kedudukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam Maybank Bhd sebelum ini, pihak pendakwaan berkata ia bukanlah satu rahsia dan peranan Mohd Nazlan dalam bank itu adalah tidak relevan dengan kes Najib berkaitan SRC International.

    “Ia sudah tentunya bukan suatu isu dalam semakan ini.” kata pihak pendakwaan.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berkata ia adalah kali pertama pertukaran peguam berlaku dalam kes Najib dan ia dilakukan dengan niat baik.

    Beliau berkata, bahkan pertukaran peguam itu kerana mahkamah tempatan tidak membenarkan Peguam Diraja Jonathan Laidlaw dari United Kingdom untuk diterima masuk sebagai peguam cara dan peguam bela bagi mewakili Najib dalam rayuan terakhirnya.

    “Justeru, tiada agenda untuk mengatur penangguhan.” kata peguam veteran itu.

    Kedua-dua mereka berhujah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli, yang mempengerusikan panel lima hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

    Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda.

    Pendengaran bersambung 9 pagi esok. – BERNAMA

  • Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel didenda RM30,000

    TIGA lelaki warga Thailand masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup keluar bahan api bersubsidi diesel di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar pada November tahun lepas.

    Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman itu ke atas Theerapong Wongyai, 26, Anan Pusu, 29, dan Amnuaprasit Chaiwichit, 43, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

    Pada 29 November tahun lalu, Theerapong dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memasukkan 69 liter minyak diesel ke dalam tangki kenderaan jenis Nissan Navara dengan tujuan membawa keluar bahan kawalan itu ke Thailand sekitar 11.30 pagi pada 26 November 2022.

    Sementara Anan dituduh cuba membawa keluar 70 liter diesel menggunakan kenderaan Toyota Hilux Vigo pada 12.45 tengah hari, 25 November dan Amnuaprasit dituduh cuba membawa keluar 41 liter diesel menggunakan kenderaan Ford Ranger pada 11.40 pagi, 26 November.

    Kesalahan dilakukan mengikut Subperaturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum mengikut Perenggan 5 (a) peraturan sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Syazwani Zawawi.

  • PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PN cadang KWSP bersasar bantu golongan sangat memerlukan

    PERIKATAN Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kepada golongan yang memerlukan dengan mencari satu mekanisme yang sesuai.

    Ketua pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini bagi memastikan, hanya golongan yang benar-benar layak sahaja sahaja yang dapat mengeluarkan caruman itu demi meneruskan kelangsungan hidup.

    “Ada pencarum yang mencarum KWSP secara suka rela…sebagai contoh sebelum pendemik dia ada kedai dan perniagaannya maju. Dia buat simpanan (KWSP) dan dia beli rumah, namun selepas tiga tahun semasa pandemik, pendapatan dia sudah berbeza berbanding zaman dia mencarum.

    “Sekarang dia minta untuk keluarkan duit sebab sudah enam bulan tak bayar hutang rumah dan bank hendak lelong rumahnya. Jika kita tidak bantu orang seperti ini, apa yang akan terjadi? 

    “Rumahnya akan dilelong dan apabila dia hendak beli semula  aset itu setahun atau dua tahun akan datang, saya rasa amat susah sekali. Sebab tu saya minta sangat kerajaan untuk mecari mekanisme untuk tujuan ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

    Selain itu, Hamzah meminta kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera yang bergadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara, namun hanya menerima pencen RM500 sebelum penyelarasan gaji dilaksanakan pada 2013.

    Pada masa sama, beliau turut mencadangkan penubuhan Jabatan Warga Emas seiring Malaysia menuju ke arah negara menua, yang membolehkan golongan berkenaan menyertai tenaga kerja bagi membolehkan mereka mempunyai pendapatan, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi ketika ini .

    “Kalau boleh kita gunakan lagi mereka sebagai tenaga kerja dan cara membayarnya, tak payah ikut gaji minima tapi menggunakan model baharu,” katanya. – BERNAMA

  • Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    Gaji penjawat awam tak akan dinaikkan, kata Anwar

    KERAJAAN tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.

    “Apa masalah kita (sekarang ialah), hutang RM1.5 trilion dan defisit (sekarang) 5.6 peratus dan kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus. Tiada orang datang lagi melabur ke negara kerana dia tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk urus negara dengan baik,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di Putrajaya hari ini.

    Anwar mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat yang berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.

    Anwar meminta Cuepacs supaya bersabar kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.

    “Jadi sabar sekejap, hasil banyak cuba dicurahkan. Apakah ia tidak penting untuk selamatkan miskin tegar yang lebih teruk daripada pekerja sedia ada.

    “Saya ingin beritahu ia tidak mudah untuk pesawah padi, pekebun kecil, nelayan dan miskin tegar… dia nak hidup pun susah,” kata beliau.

    Pada 24 Feb lepas, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

    Menerusi Belanjawan 2023 itu, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. 

  • Dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di kolam renang

    Dua beradik ditemukan lemas ketika mandi di kolam renang

    DUA beradik ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam renang di Ipoh petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian lemas itu pada 6.10 petang.

    “Pihak kami telah menyiasat lokasi kejadian dan mendapati dua beradik berumur sembilan dan lapan tahun yang berasal dari Ipoh didapati lemas semasa berenang di dalam kolam tersebut.

    “Mangsa yang merupakan seorang kakak dan adik lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh oleh ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.

    Yahaya memaklumkan bahawa punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas dalam air, hasil daripada proses bedah siasat yang selesai dijalankan pada hari ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

    “Orang awam khususnya ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya bagi mengelakkan berlaku sebarang tragedi tidak diingini,” tambahnya.

  • Gempa 5.1 magnitud landa Xinjiang, China

    Gempa 5.1 magnitud landa Xinjiang, China

    GEMPA bumi berukuran 5.1 pada skala Richter menggegarkan daerah Wensu barat laut Xinjiang, China pada 7:58 pagi Isnin, lapor Xinhua.

    Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), pusat gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) dipantau pada 41.87 darjah utara dan 79.85 darjah timur.

    Pusat gempa terletak 84 km dari bandar Aksu. Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Grid kuasa tempatan, pengeluaran minyak dan gas serta perusahaan petrokimia utama dilaporkan tidak terjejas akibat gempa bumi itu, manakala pengeluaran serta operasi diteruskan seperti biasa.

  • Penjawat awam tertinggi terlibat rasuah – SPRM Selangor

    Penjawat awam tertinggi terlibat rasuah – SPRM Selangor

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini mendedahkan penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi ditahan suruhanjaya itu bagi siasatan berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa antara 2018 dan 2022.

    Pengarahnya, Datuk Alias Salim berkata, berdasarkan rekod seramai 170 penjawat awam telah ditahan, diikuti 84 tangkapan melibatkan pekerja swasta, 50 orang awam dan masing-masing lima ahli politik serta individu daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Sepanjang tempoh tersebut, 314 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan tahun 2022 merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 72 tangkapan, diikuti 2018 (66) dan 2021 (63).

    “Daripada jumlah tangkapan itu, pihak kami telah membuka 269 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 135 pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini

    Katanya, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi sepanjang tempoh lima tahun tersebut iaitu 64 kertas siasatan diikuti 2019 (57) dan 2022 (50).

    Alias berkata, dalam tempoh yang sama SPRM Selangor telah menerima 1,764 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    “Pada 2018, sebanyak 378 maklumat diterima, diikuti 2019 (344) dan 2022 (331). SPRM Selangor turut mencatatkan sitaan berjumlah RM366,845 selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM1,768,554.89,” katanya.

    Beliau berkata, selain daripada menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di Selangor, badan itu turut melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem serta prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

    Tambahnya sepanjang tempoh tersebut, 406 ceramah khusus buat kumpulan sasar dengan 721 program berteraskan pencegahan rasuah disampaikan kepada agensi kerajaan dan swasta, GLC, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.