Author: Bernama

  • Banjir di Johor agak kritikal, kata MB

    Banjir di Johor agak kritikal, kata MB

    MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan banjir yang melanda negeri itu sekarang sebagai agak kritikal dengan lebih 20,000 penduduk terjejas akibat bencana alam berkenaan.

    Katanya semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dan negeri berganding bahu bagi memastikan rakyat menerima bantuan secepat mungkin.

    “Saya harap mangsa bersabar dan kita doa banjir kali ini cepat surut dalam masa terdekat, cuaca hari ini bertambah baik di Segamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman, di Segamat hari ini.

    Onn Hafiz berkata mangsa banjir yang dilaporkan terperangkap sebelum ini juga berjaya diselamatkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

    Dia menambah dalam keadaan krisis seperti kini komitmen yang diberikan semua pihak adalah baik terutamanya dalam menyediakan makanan, khemah serta keperluan lain.

    Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Tunku Makhota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menyumbangkan bantuan makanan dan prihatin dengan nasib mangsa banjir.

    Setakat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir melonjak lebih dua kali ganda kepada 25,213 orang pagi ini melibatkan semua 10 daerah.

    Segamat merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan 2,050 keluarga dipindahkan ke 55 PPS, diikuti Kluang (1,559 keluarga di 39 PPS); Kota Tinggi (769 keluarga di 18 PPS); Johor Bahru (607 keluarga di 12 PPS) dan Pontian (58 keluarga di lima PPS).

    Tinjauan Bernama di Segamat mendapati paras air turun tetapi beberapa laluan masih tidak dapat dilalui untuk kenderaan ringan.

    Keadaan air Sungai Segamat yang tinggi dan deras turut menjadi perhatian orang ramai dengan beberapa kenderaan dilihat diletakkan di tepi jalan sepanjang laluan masuk ke bandar Segamat selepas rumah dinaiki air.

  • Rekod, pantau ceramah di masjid – sultan

    Rekod, pantau ceramah di masjid – sultan

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan nazir di semua masjid seluruh negeri memperuntukkan sebahagian daripada kewangan masjid bagi menyediakan kelengkapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk merekod serta memantau semua aktiviti ceramah.

    Sultan Sharafuddin bertitah kelengkapan ICT di masjid akan memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah dibuat secara langsung atau dalam talian boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir ke majlis ilmu tersebut, selain mudah dirujuk semula apabila diperlukan.

    Baginda bertitah masjid boleh berfungsi dengan lebih baik sebagai pusat maklumat yang boleh membekal data kepada semua agensi agama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ahli kariah serta pihak lain.

    “Melalui penggunaan teknologi (ICT) juga, MAIS boleh memantau dan menyemak laporan kewangan semua masjid dan surau dengan kaedah dalam talian. Ini boleh mengelak berlaku penyelewengan dalam pengurusan kewangan masjid dan surau di negeri ini,” titah baginda.

    Sultan Selangor bertitah demikian semasa istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada 1,256 nazir dan imam masjid di seluruh Selangor, di Istana Alam Shah di Klang hari ini.

    Turut berkenan berangkat ke istiadat itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

    Sultan Sharafuddin turut menasihatkan semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisien, telus dan profesional.

    “Sebarang keputusan yang diambil oleh nazir serta jawatankuasa hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan serta titah beta. Kegagalan mematuhi segala peraturan dan titah beta membolehkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab,” titah baginda.

    Baginda juga berharap dan menasihatkan para pegawai masjid khususnya nazir dan imam supaya terus memelihara kemuliaan institusi masjid daripada dicemari oleh elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah.

    Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mengingatkan program bagi memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

    Baginda bertitah bagi penceramah luar negara, mereka dibenarkan menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman di Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya sahaja.

  • Najib tahu transaksi berkaitan 1MDB – Bekas pegawai bank

    Najib tahu transaksi berkaitan 1MDB – Bekas pegawai bank

    SEORANG bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau mempunyai tanggapan transaksi dalam akaun milik syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) telah dibuat dengan ‘pengetahuan’ Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Kevin Micheal Swampillai, 59, yang berkhidmat dengan BSI Bank Singapore dari 2010 hingga 2016, berkata ini kerana pelanggan bank itu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd, adalah syarikat milik Kementerian Kewangan semasa Najib menjadi Menteri Kewangan.

    “Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang juga dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Selain itu, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, turut membayangkan bahawa beliau adalah penasihat Najib seperti yang dimaklumkan oleh pegawai atasan dan Pengurus Perhubungan Yak Yew Chee kepada saya.

    “Saya juga mempunyai tanggapan itu susulan respons konsisten Jho Low bahawa kesemua transaksi ini adalah pelaburan kerajaan dengan kerajaan yang amat sulit justeru, tiada maklumat lanjut boleh diberikan.

    “Selain itu, saiz kesemua transaksi adalah pada magnitud dan kekerapan tinggi yang memerlukan kelulusan tertinggi daripada pegawai kerajaan berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri,” kata saksi pendakwaan ke-44 itu ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Beliau berkata perkara yang sama bagi semua syarikat yang merupakan pelanggan BSI Bank ialah kehadiran Jho Low dan kesemuanya berada di bawah Kementerian Kewangan serta menggunakan dana fidusiari.

    Meskipun terdapat penyelesaian fidusiari alternatif seperti insurans dan unit amanah yang boleh digunakan untuk melapisi aliran wang serta menyembunyikan identiti pelanggan, Kevin berkata Jho Low memilih untuk menggunakan struktur dana fidusiari.

    “Sebenarnya, saya tidak tahu motif Jho Low memilih dana fidusiari dan bukannya insurans serta unit amanah ketika hubungan BSI Bank dengan Jho Low dan syarikat-syarikat milik MoF bermula pada 2011 namun kini saya percaya ia adalah satu rancangan jahat untuk memberikan ilusi bahawa dana 1MDB telah dilaburkan dalam pelaburan yang sah serta benar-benar wujud.

    “Bagaimanapun, selepas mengambil kira maklumat yang muncul dalam domain awam sejak 2015, adalah jelas bahawa Jho Low memilih dana fidusiari untuk memberikan ilusi optik yang lebih baik kepada pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia dan di tempat lain bahawa dana milik SRC, 1MDB serta Aabar telah dilaburkan dalam instrumen pelaburan bona fide seperti dana pelaburan,” katanya.

    Menyentuh transaksi membabitkan 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL), satu lagi anak syarikat 1MDB, saksi itu berkata Jho Low telah memberikan tekanan yang hebat kepada ramai pekerja BSI Bank untuk mempercepat proses pindahan wang daripada akaun BSI Bank ke akaun dana fidusiari sebelum ke akaun syarikat sasaran.

    “Ketika memberi tekanan itu, staf BSI yang berkaitan dalam aliran dana sentiasa diberi peringatan bahawa kami sedang mengendali transaksi yang amat sensitif serta terikat dengan masa membabitkan dana kekayaan negara milik Kerajaan Malaysia dan sikap berpuas hati tidak akan diterima oleh pelanggan (1MDB GIL),” katanya.

    Kevin juga berkata penglibatan beliau dalam kesemua transaksi ini telah dikurangkan secara beransur-ansur dari 2013 dengan pegawai bawahannya Yeo Jiawei memainkan peranan lebih menonjol bagi pihak BSIS.

    “Saya telah dipinggir dan disingkirkan sepenuhnya daripada aliran maklumat itu kerana Jho Low mula bimbang dengan kebocoran maklumat yang mula muncul di media ketika itu. Saya telah disyaki menjadi dalang utama kebocoran kesemua maklumat ini dan oleh itu, telah dipinggirkan,” katanya.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    Pekerja kilang sawit korban pertama banjir di Johor

    SEORANG lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini setelah ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta, di Jalan GSA Chamek, Paloh, dekat Kluang, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20an itu, dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira 7.20 pagi tadi.

    Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

    “Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari, sebuah kereta jenis Toyota Avanza telah ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

    “Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai seorang lelaki dan didapati telah meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

    ”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai telah berlaku di luar negara.

    “Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. 

    Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Dis tahun lepas, tular di media sosial sejak semalam. – BERNAMA

  • MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap bahaya di 4 negeri

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di empat negeri sehingga esok.

    MetMalaysia dalam kenyataan yang dikemas kini pada 1.05 tengah hari tadi memaklumkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan daerah Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.

    Hujan lebat berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh di Pahang sehingga esok.

    Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) sehingga hari ini.

    Situasi sama juga diramal berlaku di Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron), Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah) sehingga esok. – BERNAMA

  • Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    Pereka hiasan dalaman didakwa buat hantaran jelik hina Agong

    SEORANG pereka hiasan dalaman didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di laman media sosial Instagram miliknya, tahun lepas.

    William Khor Wai Loon, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

    Lelaki itu didakwa telah mengeluarkan kenyataan kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

    Khor didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, Ampang di sini pada 3.31 pagi, 20 Nov 2022 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dia juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Instagram menggunakan nama profil ‘williamkhor87’ pada masa dan tarikh sama dan kemudiannya dibaca di lokasi sama pada 8 malam, 21 Nov tahun lepas.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta tidak dibenarkan membuat hantaran bersifat jelik di media cetak atau elektronik.

    Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

    “Bapanya berusia 64 tahun mempunyai masalah kesihatan mata dan telinga. Sementara ibunya 62 tahun merupakan pesakit kanser,” katanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak membuat sebarang hantaran berhubung kes tersebut.

    Wan Mohd Norisham menetapkan 5 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

    Sebelum ini media melaporkan, polis telah menahan seorang lelaki dipercayai memuat naik rakaman video di akaun Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hati terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan proses pemilihan Perdana Menteri ke-10. – BERNAMA

  • Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    Banjir di Johor makin buruk, 5,878 mangsa di enam daerah dipindah

    SITUASI banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.

    “Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.

    Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).

    Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.

    Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut  melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.

    Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang. – BERNAMA

  • Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    SEBUAH bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi. 

    Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama. 

    “Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi. 

    “Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini. 

    Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran. 

    Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor. – BERNAMA 

  • Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    Polis buru lima lelaki pukul rakan sampai mati

    POLIS sedang mengesan lima individu disyaki memukul seorang lelaki sehingga mati di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A Anbalagan berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik perempuan mangsa pada 5.29 petang.

    Beliau berkata adik perempuan mangsa mengetahui perkara itu melalui panggilan telefon teman wanita abangnya yang memberitahu abangnya dipukul lima lelaki di dalam kondominium yang disewanya sebelum dibawa keluar ke lokasi lain.

    “Pengadu (adik perempuan mangsa) menerima panggilan telefon pada 7.15 pagi dan pada 11.30 pagi suspek utama telah menghubunginya memaklumkan abangnya berada di bahagian kecemasan Hospital Cyberjaya.

    “Pengadu kemudian pergi ke Hospital Cyberjaya dan dimaklumkan bahawa abangnya telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anbalagan berkata mangsa yang berusia 31 tahun mengalami kecederaan di mata, hidung dan pendarahan di kedua-dua belah telinga serta punca kematian adalah akibat dipukul menggunakan objek tumpul.

    “Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan dipercayai akibat dendam dan cemburu oleh seorang daripada suspek terhadap mangsa. Polis sedang mengesan kesemua suspek yang merupakan rakan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya. – BERNAMA

  • Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    Sogokan RM150: Pengundi fail petisyen batal keputusan PRU15 Parlimen Putrajaya

    SEORANG pengundi di Parlimen Putrajaya memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen itu, yang dimenangi Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, selepas mendakwa ahli Parlimen tersebut memberi sogokan berjumlah RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan untuk mengundinya.

    Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, 49, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jan lepas menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Radzi, 45, selaku responden.

    Menerusi petisyen itu, Ahmad Faisal antara lain memohon perintah mahkamah agar Radzi, yang juga Naib Presiden Bersatu, tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15 yang diadakan pada 19 Nov lepas.

    Ahmad Faisal mendakwa pemberian sogokan wang RM150 itu, yang dilakukan oleh responden dan ejennya, menyebabkan kemenangan kepada Radzi dengan mengalahkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon daripada Barisan Nasional yang juga penyandang kerusi Parlimen itu sejak 2004.

    Menurut pempetisyen, perbuatan sogokan oleh ejen responden mendorong pengundi di kawasan itu untuk mengundi responden semasa PRU15 dan bukan mengundi calon lain.

    Katanya, tindakan ejen-ejen responden memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan ia suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Pempetisyen mendakwa pemberian wang sogokan itu diketahui menerusi kumpulan WhatsApp bertarikh 21 Nov dan 21 Dis tahun lepas serta 4 Jan tahun ini, iaitu pengundi yang mengundi responden pada PRU15 akan memperoleh RM150.

    Ketika prosiding di hadapan Hakim Datuk Faizah Jamaludin hari ini, peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mewakili Radzi membantah petisyen berkenaan atas alasan pempetisyen gagal membuktikan butiran peribadi pengguna aplikasi WhatsApp.

    “Tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat serta pempetisyen gagal memplidkan butiran untuk menunjukkan apa-apa pembayaran oleh ejen responden atas arahan responden,” kata peguam itu.

    Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Feb lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.

    “Kami berhujah bahawa satu-satunya cara untuk hakim Pilihan Raya menentukan sama ada individu itu yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya ia adalah isu yang boleh dibicarakan yang patut diselesaikan dengan cara pemeriksaan saksi ketika perbicaraan petisyen,” katanya.

    Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Faizah menetapkan 10 Mac ini untuk keputusan bantahan awal.

    Pada PRU15, Radzi yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperoleh 16,002 undi, menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Tengku Adnan yang mendapat 13,692 undi. – BERNAMA