Author: Bernama

  • Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    POLIS akan menumpukan pemantauan sekitar kawasan Pagoh dan Lenga, di sini, berikutan kawasan tersebut dilihat berisiko berhadapan dengan banjir yang lebih buruk sekiranya cuaca hujan berterusan dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata seramai 150 pegawai dan anggota di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan tersebut. 

    Beliau berkata ini termasuk membantu operasi pemindahan mangsa banjir, pemantauan rumah yang dikosongkan serta berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan terjejas banjir.

    “Banjir di sekitar kawasan Pagoh dan Lenga akan menjadi buruk sekiranya air sungai di sekitar Segamat dan Labis menuju ke sini, ditambah dengan keadaan geografi yang rendah selain parit-parit sekitar yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

    “Selain 150 anggota yang dikhususkan itu, kita juga mempunyai anggota tambahan yang lain, selain turut mensiap siagakan aset-aset yang ada termasuk pacuan empat roda,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata setakat ini hanya dua jalan dinaiki banjir dengan Jalan Muar-Labis berhampiran Jambatan Sungai Tui ditutup untuk semua kenderaan manakala Jalan Kebun Kelapa Sawit -Jalan Tekam Pagoh berhampiran Lenga, masih boleh dilalui semua kenderaan.

    Setakat jam 4 petang ini, seramai 28,099 mangsa banjir direkodkan di Johor dengan Muar merekodkan seramai 2,259 mangsa yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.

    Sementara itu, beberapa sungai di Segamat dan Muar masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Muar di Segamat Kecil (Segamat) berada pada paras 37.35 meter (m); Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) 20.56m manakala Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar)pada paras 4.48m. – BERNAMA

  • Wanita mengaku tak salah tipu pakej haji, umrah tanpa lesen

    Wanita mengaku tak salah tipu pakej haji, umrah tanpa lesen

    SEORANG wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas tiga pertuduhan menipu dan menawarkan pakej umrah serta haji tanpa lesen yang sah.

    Bagi pertuduhan pertama, Nur Zaidani Akmal Abdul Majid, 39, didakwa memperdaya seorang warga emas berusia 61 untuk memindahkan wang RM14,000 sebagai bayaran pakej umrah dan haji bagi tahun ini.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, Nur Zaidani Akmal didakwa menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

    Pertuduhan itu mengikut Seksyen 5 (2) Akta Industri Pelancongan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Dia turut didakwa menawarkan pakej haji tanpa lesen pengelola jemaah haji yang dikeluarkan Lembaga Tabung Haji dan pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 27 (1) (a) Akta Tabung Haji 1995 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, antara pukul 8.46 pagi hingga 9.52 malam, pada 27 Dis 2022 hingga 27 Jan lepas.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Saiful Sayoti membenarkan Nur Zaidani Akmal diikat jamin sebanyak RM11,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 3 April ini.

  • Pejuang, Berjasa mohon sertai PN, keputusan dalam masa terdekat

    Pejuang, Berjasa mohon sertai PN, keputusan dalam masa terdekat

    PERIKATAN Nasional (PN) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai gabungan mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung PAS, berkata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu nanti yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

    “Sebenarnya ada dua permohonan ingin sertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa, namun tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan keputusan mana-mana parti yang memohon menyertai PN,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama, di sini, hari ini.

    Terdahulu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menghantar surat permohonan untuk menyertai PN kepada Muhyiddin semalam  dan turut diberikan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

    Menurutnya, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan telah disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang kelmarin selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada. – BERNAMA

  • Wanita didakwa cuai sebabkan kematian cucu

    Wanita didakwa cuai sebabkan kematian cucu

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan cuai kerana meninggalkan cucu lelakinya berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan kematian mangsa bulan lepas.

    Nooriza Samsudin, 39, sebagai penjaga kepada kanak-kanak lelaki itu didakwa cuai dengan meninggalkan mangsa di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhadapan Plaza Medan Idaman di Jalan Gombak, di Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang pada 25 Februari lepas, yang menyebabkan kematian mangsa akibat strok haba.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Triperjit Singh yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan sebanyak RM5,000

    Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi kemudian membenarkan Nooriza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

  • Banjir: Ibu tunggal gigih selamatkan baju sekolah anak

    Banjir: Ibu tunggal gigih selamatkan baju sekolah anak

    SEORANG ibu tunggal hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan pakaian sekolah baharu empat anaknya apabila air banjir naik mendadak di rumahnya di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, di Kluang, semalam.

    Nor Azimah Ibrahim, 39, berkata kejadian pada waktu malam itu berlaku ketika dia baru pulang kerja dan terus menyelamatkan dokumen serta barangan penting.

    Nor Azimah berkata, dia bagaimanapun gagal menyelamatkan kereta Perodua Kancil miliknya kerana air telah mencecah hingga 0.6 meter.

    “Tak sempat nak angkat apa-apa, yang dapat dokumen, baju sekolah. Yang penting sudah beli kelengkapan anak-anak untuk penggal baharu macam beg, kasut… itu yang penting,” katanya yang ditemui di rumahnya hari ini.

    Nor Azimah yang mempunyai anak perempuan berusia tujuh, 10, 13 dan 17 tahun berkata, dia bersyukur kejadian kali ini tidak seburuk pada 2006.

    “Masa tu (banjir 2006), air naik tinggi sampai paras tingkap, tak sempat nak capai apa-apa, jadi kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang turut dibantu abangnya dan kakak ipar mengemas rumah.

    Sementara itu, Idris Kassim, 52, mengakui air yang meningkat terlalu cepat membuatkan dia dan isteri tidak sempat mencapai apa-apa selain dokumen penting dan buku sekolah anak.

    Idris berkata dia bagaimanapun sempat mengalihkan dua motosikal ke tempat tinggi susulan amaran daripada pihak berkuasa.

    “Alhamdulillah, tak teruk berbanding dulu tetapi sebab air naik mendadak, (hanya) dapat selamatkan dokumen penting, buku sekolah anak,” katanya yang berkhidmat sebagai posmen.

    Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 26,633 mangsa banjir telah dipindahkan ke 193 pusat pemindahan sementara dengan Kluang menjadi daerah kedua paling terjejas melibatkan 5,470 mangsa.

  • Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    Profesor direman lima hari disyaki seleweng RM30,000

    SEORANG timbalan pengarah di sebuah universiti awam direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mengambil wang lebih RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran universiti berkenaan. 

    Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Lelaki itu itu ditahan pada pukul 3.30 petang semalam di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

    Menurut sumber, individu itu dikatakan membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya dan kejadian itu berlaku pada Ogos 2021.

  • Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    Lelaki bakar rumah keluarga, berang dilapor penglibatan dadah

    BERANG selepas mengesyaki ahli keluarga melaporkan penglibatannya dalam aktiviti dadah, seorang lelaki bertindak membakar rumah keluarganya di Skim Penempatan Semula Kampung Sungai Alo di Mukah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dalam kenyataan berkata kejadian kira-kira 7.40 malam itu menyebabkan 12 penghuni termasuk suspek telah kehilangan tempat tinggal.

    “Suspek yang merupakan penganggur berusia 30 tahun dikatakan memulakan kebakaran itu di bahagian belakang rumah tersebut. Pada lebih kurang 7.40 malam pemilik rumah yang juga abang kepada suspek telah terdengar suspek memanggil keluar ahli keluarganya untuk keluar memadamkan api.

    “Apabila mangsa dan semua ahli keluarga keluar dari rumah, mereka mendapati bahagian belakang rumah telah terbakar dan api sedang merebak. Kesemua mereka dapat menyelamatkan diri tetapi tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang peribadi di dalam rumah tersebut,” katanya.

    Suspek yang disyaki berada di bawah pengaruh dadah kemudiannya ditahan oleh ahli keluarganya dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah berjaya memadamkan api namun rumah tersebut musnah keseluruhannya.

    Suspek yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata kini direman untuk siasatan lanjut.

  • Rasuah: Bekas Ketua UMNO kekal dipenjara lapan tahun, denda RM977,560

    Rasuah: Bekas Ketua UMNO kekal dipenjara lapan tahun, denda RM977,560

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 terhadap bekas Ketua Umno Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail atas 10 pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007.

    Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Abd Ghani, 56, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

    Dalam penghakimannya, Hanipah berkata sebahagian besar alasan penghakiman Mahkamah Tinggi adalah tidak relevan dengan fakta bagi sembilan pertuduhan menerima rasuah, maka pandangan Mahkamah Tinggi sudah tentu memprejudiskan perayu.

    Bagaimanapun, beliau berkata Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mendengar semula rayuan berdasarkan keterangan di Mahkamah Sesyen.

    “Setelah meneliti rekod rayuan dan kesemua keterangan serta alasan penghakiman Mahkamah Sesyen, kami dapati keputusan Mahkamah Sesyen boleh dipertahankan dan tidak terdapat apa-apa kekhilafan oleh Mahkamah Sesyen yang memerlukan campur tangan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. 

    “Kami juga berpuas hati bahawa tidak terdapat kesilapan di peringkat Mahkamah Sesyen. Oleh itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan manakala rayuan (bagi sembilan pertuduhan) ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

    Bagi satu lagi pertuduhan memperoleh suapan untuk melantik sebuah syarikat sebagai kontraktor, Hanipah berkata mahkamah berpendapat tidak terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    “Hakim Mahkamah Tinggi telah mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul kepada fakta rayuan bagi kes tersebut. Dengan itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat, rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

    Mengikut sembilan pertuduhan, Abd Ghani didakwa sebagai Ahli Jawatankuasa Tender, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika itu, memperoleh suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) berjumlah RM193,512.

    Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

    Abd Ghani didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Desa Pandan antara 4 Ogos 2006 hingga 31 Mac 2007.

    Bagi satu lagi pertuduhan, Abd Ghani didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai subkontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang dia mempunyai kepentingan dalam syarikat itu. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

    Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

    Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

    Difahamkan, Abd Ghani yang telah membayar denda tersebut (RM977,560) akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bermula hari ini.

    Pada 28 Dis 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 ke atas Abd Ghani sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman sama terhadapnya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Samihah Rhazali manakala peguam Zamri Ibrahim mewakili Abd Ghani.

  • Kanak-kanak lelaki hilang di Sungai Pasir ditemukan lemas

    Kanak-kanak lelaki hilang di Sungai Pasir ditemukan lemas

    KANAK-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Pasir, Kampung Seri Makmur, Pekan, Kuantan semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata mayat Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, ditemukan pada 12.10 tengah hari kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

    Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang bersambung pagi tadi turut melibat polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air BBP Pekan serta dua ekor anjing pengesan bomba.

    Muhammad Hafizhan dilaporkan hilang selepas disyaki tergelincir di tebing alur ladang kelapa sawit yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, sebelum dibawa arus ke anak sungai tersebut.

  • Banjir: 12 jam tunggu tanpa makanan, anak lega ibu bapa diselamatkan

    Banjir: 12 jam tunggu tanpa makanan, anak lega ibu bapa diselamatkan

    SEORANG wanita menarik nafas lega apabila kedua ibu bapanya serta abangnya yang menjadi mangsa banjir di Chaah, dekat Segamat, diselamatkan oleh anggota penyelamat selepas 12 jam terperangkap.

    D. Kalai Arasi, 29, berkata dia dihubungi oleh abangnya D. Yogesvaran, 32, pada 3 pagi semalam yang memberitahu kediamannya di Pekan Chaah dinaiki air banjir sedalam satu meter.

    Kalai Arasi yang tinggal di Johor Bahru bimbang keadaan kedua ibu bapanya, K. Dhevaseelan, 65, dan S. Ramai, 62, yang merupakan golongan warga emas dan turut menghidap darah tinggi.

    “Ketika air telah mula memasuki rumah, abang saya menyelamatkan barang-barang dan dokumen yang penting, sementara ibu dan bapa berteduh di tembok luar rumah sambil mengharapkan ada pihak yang menyelamatkan mereka.

    “Abang, ibu dan bapa mula menghubungi sesiapa sahaja untuk diselamatkan termasuk pasukan keselamatan namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Menurut Kalai Arasi, dia mula bimbang dengan keadaan berkenaan dan hampir setiap jam menghubungi abangnya untuk mengetahui keadaan ibu bapa mereka.

    Dia turut menghubungi kenalan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk meminta bantuan, yang kemudiannya maklumat mengenai mereka disalurkan kepada anggota penyelamat termasuk lokasi mereka berada.

    Kalai Arasi berkata ketiga-tiga mereka yang berada dalam keadaan basah kuyup kemudian diselamatkan anggota bomba dan tentera menggunakan bot pada 5.30 petang.

    “Selepas dimaklumkan abang bahawa mereka telah dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bali, barulah saya lega dan mula menjamah makanan, yang saya tidak sentuh semenjak awal pagi.

    “Ketika diselamatkan pasukan penyelamat, keadaan ayah hampir pengsan kerana kesejukan dan kelaparan, namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana mereka berjaya diselamatkan sebelum waktu malam,” katanya yang memahami jalan terputus antara Chaah dengan Labis telah menyebabkan kelewatan misi menyelamat.

    Segamat kini daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan jumlah mangsa seramai 7,272 orang.