Author: Bernama

  • ‘Syarikat jubin’ seleweng diesel subsidi diserbu

    ‘Syarikat jubin’ seleweng diesel subsidi diserbu

    TIGA lelaki termasuk seorang warga asing ditahan bersama kira-kira 8,000 liter minyak diesel bersubsidi serta barangan lain bernilai lebih RM120,000 dalam satu sebuan, di Ipoh petang semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata ketiga-tiga suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis yang berselindung di sebalik kedai jubin di Kawasan Perindustrian Sri Rapat.

    Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 83 unit tangki segi empat, dua buah lori lima tan bertutup kanvas, tiga buah mesin penyedut atau pam dan anggaran sebanyak 8,000 liter minyak disyaki diesel di lokasi berkenaan.

    “Kesemua barang yang dijumpai telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM121,425,” katanya pada sidang media di premis tersebut di Ipoh.

    Kamalludin berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan dua buah lori yang diubah suai tangki asal dan kemudiannya membeli diesel di stesen minyak sekitar Ipoh.

    “Dua buah lori ini kemudiannya akan ke satu lokasi di kawasan perindustrian di sini untuk memindahkan dan menyimpan minyak disyaki diesel itu di premis yang berselindung dengan papan tanda perniagaan menjual jubin bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Kita mengesyaki mereka menjual kepada pihak industri dengan harga lebih murah daripada pasaran. Jadi, berlaku ketirisan subsidi diesel di situ,” katanya.

    Sejak Januari sebanyak 12,127 pemeriksaan telah dilakukan dan telah menghasilkan 22 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan terkumpul termasuk hari ini adalah sebanyak lebih RM1.82 juta.

  • Paip pecah dibawa arus banjir, Chaah terputus bekalan air

    Paip pecah dibawa arus banjir, Chaah terputus bekalan air

    SELAIN banjir Chaah di Segamat, juga mengalami isu tiada bekalan air bersih susulan paip utama yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

    Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, punca ketiadaan air, disebabkan paip utama di Jambatan Sungai Chaah yang hanyut dan pecah akibat arus deras.

    “Ia sekali gus mengakibatkan gangguan kepada 3,962 akaun dari Chaah hingga ke Kampung Sungai Haji Kamisan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook semalam.

    Beliau turun sendiri ke lokasi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Bekok, Tan Chong dan Pegawai Daerah Segamat, Masni Wakiman, untuk mendengar taklimat daripada Ranhill SAJ semalam mengenai isu tersebut

    “Ranhill SAJ memaklumkan kerja-kerja pembaikan di tahap 40 peratus dan dijangka siap pagi ini.

    “Sementara itu, lori-lori tangki air Ranhill SAJ akan menyalurkan bekalan air ke kawasan yang terjejas,” kata Onn Hafiz, yang turut menzahirkan terima kasih kepada Ranhill SAJ dan semua pihak yang komited bagi memastikan bekalan air bersih akan kembali disalurkan.

    Pada hantaran Facebook berasingan pula, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas khabar gembira daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang telah meluluskan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu mangsa-mangsa banjir serta keperluan lain yang mendesak.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, kerana menggerakkan bantuan segera kepada Johor.

    “Semoga usaha yang diambil kerajaan negeri dan persekutuan, dibantu agensi-agensi, syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kesejahteraan Bangsa Johor, akan diberkati Allah SWT.

    “Saya mendoakan agar kita semua cekal dalam menghadapi ujian ini. insya-Allah kita akan dapat melalui tempoh yang serba mencabar ini,” kata beliau.

    Johor kini mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,322 orang setakat pukul 8 pagi ini melibatkan sembilan daerah dengan pembukaan 238 pusat pemindahan sementara (PPS).

  • Banjir: Masjid utama dibuka sebagai PPS tambahan di Johor

    Banjir: Masjid utama dibuka sebagai PPS tambahan di Johor

    KERAJAAN negeri sudah mula membuka masjid-masjid utama di kawasan terjejas banjir di Johor sebagai pusat pemindahan tambahan (PPS), susulan peningkatan jumlah mangsa banjir.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ia merupakan pelan kontingensi, yang diambil kerajaan negeri bagi menampung pertambahan tinggi penduduk terkesan banjir.

    Sehingga pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak tujuh masjid di daerah itu telah dibuka iaitu Masjid Pekan Sri Medan, Masjid Parit Jayus, Masjid Parit Baru, Masjid Simpang Tiga Parit Sulong, Masjid Kampung Parit Betong, Masjid Kampung Parit Jambi dan Masjid Parit Andin 3.

    Beliau berkata langkah itu juga, merupakan pelan segera yang diambil bagi mengatasi kesesakan di PPS sedia ada.

    “Pembukaan masjid utama itu dibuka sebagai PPS dengan garis panduan disediakan bagi terus mengekalkan kemuliaan masjid.

    “Ada sebahagian penduduk terpaksa bermalam dalam kereta malam tadi, bukannya nak cari salah siapa tetapi air naik dengan cepat dan kebetulan PPS sedia ada tidak dapat menampung,” kata Mohd Fared.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, di Batu Pahat, hari ini.

    Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 218 PPS dibuka di seluruh negeri melibatkan lebih 30,000 mangsa banjir.

    Sementara itu, menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd Fared berkata masjid di seluruh negeri Johor dianjurkan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, hari ini, bagi memohon perlindungan Allah dan kesejahteraan Bangsa Johor dalam situasi banjir. – Bernama

  • Lim Guan Eng dapat pelepasan sementara pasport untuk hadir pengebumian bapa saudara

    Lim Guan Eng dapat pelepasan sementara pasport untuk hadir pengebumian bapa saudara

    MAHKAMAH Sesyen hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membolehkan beliau ke Singapura bagi menghadiri upacara pengebumian bapa saudaranya.

    Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Syafiqah Sofian yang mewakili Guan Eng dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.

    “Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Guan Eng) untuk mendapatkan pelepasan pasport, bagaimanapun pemohon perlu memulangkan pasport dalam tempoh lima hari dari tarikh 5 Mac ini,” kata hakim itu.

    Terdahulu, Syafiqah dalam hujahnya berkata anak guamnya memerlukan pasport itu untuk ke Singapura dan beliau akan berlepas ke negara berkenaan pada pukul 4.30 petang esok dan akan kembali ke negara ini, Ahad ini.

    “Pada 1 Mac lepas, pemohon (Guan Eng) telah dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa bapa saudaranya, Lim Kit Hee telah meninggal dunia. Oleh itu, anak guam saya ingin menghadiri upacara pengebumian mendiang di Orchid Hall, Singapura, esok sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang.

    “Anak guam bukan seorang yang ‘flight risk’ kerana ahli keluarganya menetap di Malaysia, malah beliau (Guan Eng) juga turut dikenali ramai kerana faktor kerjayanya sebagai Ahli Parlimen Bagan dan pengerusi DAP.

    “Selain itu, beliau juga dikenakan jaminan tinggi iaitu RM1 juta dan tidak pernah gagal menghadiri prosiding perbicaraan kecuali sakit atau perlu menghadiri sidang Parlimen,” katanya.

    Farah Yasmin tidak membantah permohonan itu, namun berkata Guan Eng perlu mengembalikan pasport berkenaan sebelum pendengaran kesnya pada 17 Mac ini.

    Lim, 62, kini dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, di Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

  • Buang al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan

    Buang al-Quran: Dua lagi individu dirakam keterangan

    POLIS telah selesai mengambil keterangan dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang individu tidak bertanggungjawab ke dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang, di Kuala Lumpur, pada 18 Feb lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata dua individu itu termasuk wakil syarikat percetakan dan syarikat yang membuat tempahan bagi naskhah al-Quran berkenaan.

    Beliau berkata siasatan kes itu masih diteruskan.

    “Polis telah ke Kelantan baru-baru ini dan telah mengenal pasti syarikat yang mencetak al-Quran tersebut serta syarikat yang membuat tempahan ke atas al-Quran terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan lapan individu termasuk mereka yang ada dalam video tular berhubung kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

    Sebelum ini, seorang wanita tempatan yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan membuat laporan polis yang memaklumkan beliau menemukan beberapa naskhah kitab suci itu di dalam longkang.

  • Dua buruh warga Myanmar didakwa bunuh pemilik kebun

    Dua buruh warga Myanmar didakwa bunuh pemilik kebun

    DUA buruh warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemilik kebun buah naga bulan lepas.

    Yan Mai dan Maung Piaw, kedua-duanya berusia 19 tahun mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret V. Vanita.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Low Seng Poh, 44, dalam kebun buah naga, Tanah Merah Site A, Port Dickson antara pukul 12.15 tengah malam hingga 2 pagi pada 18 Feb lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 3 Mei  untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jilwan Kaur Malkith Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)  Noor Azizi Abdull Aziz.

    Di mahkamah sama, mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara tanpa dokumen perjalanan sah, dihukum penjara enam bulan dari tarikh tangkap pada 18 Feb lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam sebatan.

  • Hakim baharu dengar bicara kes Najib ubah wang SRC RM27 juta

    Hakim baharu dengar bicara kes Najib ubah wang SRC RM27 juta

    PERBICARAAN kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

    Hakim K Muniandy menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

    Semasa sebutan kes hari ini, beliau menetapkan pengurusan kes tersebut pada 29 Mei ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, kedua-dua pihak sebelum ini memohon kepada mahkamah agar perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana keputusan permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan belum diputuskan.

    “Tarikh keputusan semakan masih belum diputuskan, dan ia (tarikh) akan diberitahu oleh pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat. Pihak kami dan pembelaan mohon agar tarikh pengurusan kes ini (pengubahan wang haram) ditetapkan pada Mei,” kata Mohd Ashrof Adrin.

    Peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu dan bersetuju agar pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada Mei ini.

    Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bagai pulau, 80 peratus perumahan Segamat diliputi air

    Bagai pulau, 80 peratus perumahan Segamat diliputi air

    BAGAIKAN pulau-pulau kecil. Itu keadaan dilihat di sekitar Segamat menerusi tinjauan udara, selepas beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak malam Isnin.

    Tinjauan Bernama bersama bomba lewat petang semalam mendapati air banjir masih meliputi hampir 80 peratus kawasan perumahan di lokasi terjejas.

    Selain itu, terdapat beberapa laluan ditutup kerana dinaiki air, dengan di kawasan Kampung Tenang dan Kampung Jawa di Segamat hanya kelihatan bumbung rumah penduduk.

    Air di Empangan Juaseh, Labis juga sudah melimpah ke kawasan perumahan. Bernama difahamkan ia menjadi ‘petanda’ kepada keadaan banjir kritikal, apabila kawasan itu sudah ditenggelami air.

    Setakat ini, tiga mukim yang terjejas teruk termasuk bandar Segamat, Chaah dan Labis, sekali gus menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Ahmad Izram Osman, yang turut serta dalam tinjauan itu berkata setakat malam tadi air masih meliputi 80 peratus kawasan perumahan berkenaan.

    Katanya, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir masih giat dijalankan dengan menggunakan aset jentera dan bot termasuk dron.

    “Empat dron digunakan unit udara bomba bagi operasi menyelamat di Johor, selepas negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lepas.”

    “Penggunaan dron menjangkau kawasan yang lebih jauh dan digunakan untuk memantau lokasi yang sukar diakses, jadi kita boleh merancang strategi proses menyelamat mangsa banjir,” katanya.

    Ahmad Izram berkata, selain dron, pihak bomba turut menyediakan sebuah pesawat dalam operasi menyelamat dan turut membantu membawa kertas soalan SPM baru-baru ini.

    Menerusi tinjauan udara itu juga, dapat dilihat kenderaan diparkir di kawasan tinggi selain penduduk menunggu di laluan yang dinaiki air, dengan harapan jalan tersebut dapat dilalui untuk pulang ke rumah masing-masing.

    Pemandu lori, Mohd Hairulnizam Abu Bakar, 36, berkata beliau tidak menyangka air Sungai Segamat akan melimpah di laluan utamanya pulang ke rumah, yang menyebabkan dia terpaksa tidur atas motosikalnya berhampiran laluan itu.

    “Saya pulang dari kerja pada Rabu pukul 4 petang dan laluan Jambatan Lama Segamat sudah ditutup. Saya terpaksa tidur atas motosikal menunggu air surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Jambatan Lama Bandar Segamat.

    Hairulnizam berkata, banjir di kawasan Segamat disifatkan terburuk, selepas kawasan itu pernah mengalami situasi sama pada 2006, 2011, 2013 dan 2017.

    Setakat petang semalam, dua laluan utama ditutup sehingga petang ini, iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung (Segamat) sejauh 10km dan Jalan Kampung Tungku Tiga-Felda Pemanis.

    Segamat antara 10 daerah di Johor yang terjejas teruk akibat banjir, melibatkan 3,519 keluarga dipindahkan ke 77 PPS setakat 8 pagi tadi.

  • Kes pinda laporan audit 1MDB: Nasib Najib, Arul Kanda diketahui esok

    Kes pinda laporan audit 1MDB: Nasib Najib, Arul Kanda diketahui esok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB. 

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi.

    Tahun lepas, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

    Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

    Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

    Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes. – BERNAMA

  • Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    Banjir: Kerajaan Kelantan sumbang RM50,000 kepada negeri Johor

    KERAJAAN Kelantan menyalurkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Johor yang sedang mengalami bencana banjir.

    Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sumbangan itu sebagai tanda kebersamaan bagi membantu mangsa banjir di negeri berkenaan.

    “Kerajaan negeri turut bersimpati kejadian banjir yang berlaku di Johor. Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan memberikan ketabahan kepada semua mangsa banjir yang terjejas,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 26,633 orang setakat 2 petang ini, berbanding 25,213 orang 8 pagi tadi dengan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 193 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah. – BERNAMA