Author: Bernama

  • Pegawai penyelidik dakwa SPRM tawar RM10 juta dihadap ke mahkamah

    Pegawai penyelidik dakwa SPRM tawar RM10 juta dihadap ke mahkamah

    SEORANG pegawai penyelidik yang membuat dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

    Mohamad Shafiq Abdul Halim, 32, yang juga pemerhati politik didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi perintah menghadirkan diri untuk diperiksa secara lisan berhubung kes yang disiasat SPRM.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mohamad Shafiq didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 3 Mac lepas mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

    “Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah supaya mengeluarkan satu perintah larangan agar tertuduh tidak membuat sebarang komen atau ulasan bersifat subjudis terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” katanya.

    Peguam Chetan Jethwani yang mewakili tertuduh membantah permohonan pendakwaan berhubung perintah larangan tersebut dengan alasan ia agak keterlaluan kerana hanya mahkamah yang akan menentukan isu subjudis.

    “Kes ini sudah mendapat perhatian media dan jika pendakwaan bercadang memohon perintah larangan itu, ia perlu dibuat secara permohonan rasmi di mahkamah,” katanya.

    Suzana bersetuju dengan pembelaan supaya pihak pendakwaan memfailkan permohonan secara rasmi.

    Beliau membenarkan Mohamad Shafiq diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 7 April untuk sebutan kes.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai penyelidik ditahan SPRM dan dia dikatakan mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sebelum ini satu video berdurasi 44 saat yang tersebar di Twitter memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Wan Saiful.

  • Dakwaan Bella didera di bilik dobi tidak logik, kata Siti Bainun

    Dakwaan Bella didera di bilik dobi tidak logik, kata Siti Bainun

    PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa dakwaan dia telah mendera remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di bilik dobi sebuah unit kondominium di Wangsa Maju adalah tidak masuk akal.

    Siti Bainun, 31, berkata ini kerana keadaan bilik dobi itu yang terlalu sempit.

    Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri wanita itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun tersebut.

    Mohammad Farhan: Sebelum ini puan pernah dicadangkan oleh pendakwaan bahawa ruang bilik dobi besar namun puan menjawab tidak setuju. Kenapa puan tidak setuju?

    Siti Bainun: Saya tidak setuju sebab selalunya yang masuk dalam ruang itu, kalau ada membeli barang dapur, hanya saya dan Yasmin sahaja. Kami boleh duduk untuk susun barang tetapi mustahil untuk saya, Yasmin, Aida termasuk Bella berdiri… untuk dera Bella, ia tidak mungkin dan saya tidak nampak logiknya.

    Sebelum ini, saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun telah mengarahkannya untuk berbuat demikian kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh agar berdiri di ruang dobi kondominium yang didiami mereka.

    “Mengenai kejadian saya suruh Yasmin pegang Bella sebelum saya pijak lutut juga tidak berlaku kerana kalau betul, lutut Bella mesti patah dan cedera kerana ketika itu berat saya meningkat sebab saya ambil hormon untuk susukan anak saya,” kata tertuduh.

    Ditanya mengenai dakwaan bahawa insiden termos jatuh ke atas Bella adalah rekaan semata-mata, Siti Bainun berkata ia adalah berdasarkan ‘cerita’ Yasmin kepadanya kerana ketika itu, dia tidak berada di rumah.

    “Saya tiada di tempat kejadian, jadi saya tidak tahu bagaimana kejadian sebenar berlaku. Semasa saya balik ke kondominium, saya lihat benda itu sudah berlaku dan saya tidak rasa Yasmin tipu saya,” katanya.

    Tertuduh juga berkata Yasmin tidak pernah dilayan seperti ‘hamba abdi’ dan tidak wujud pilih kasih kerana Yasmin sentiasa diberi layanan yang sama seperti anak-anak jagaannya.

    “Saya tidak pilih kasih, saya sayang Aida dan Balqis seperti anak saya sendiri. Yasmin adalah penghuni Rumah Bonda tetapi saya beri perhatian lebih kepada dia daripada penghuni Rumah Bonda yang lain. Hari jadi Aida pun saya tidak belikan kek.

    “Yasmin bantu saya apabila saya ada kecemasan seperti perlu menghantar penghuni ke hospital untuk bersalin. Jika tidak, saya sentiasa berada di rumah kerana saya berniaga dari rumah, kerja di rumah. Yasmin hanya tinggal dengan saya,” katanya.

    Yasmin dalam keterangannya memaklumkan mahkamah bahawa dia telah dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun ketika menetap di rumah perlindungan itu.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

  • Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    Mayat kanak-kanak lelaki lemas di Bachok dijumpai

    MAYAT seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang tergelincir di Pantai Kemayan, Bachok semalam, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, ditemukan pada 1.40 tengah hari tadi oleh orang awam di Pantai Senok, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan tergelincir.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat dan proses selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat mangsa turut mendapat bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

  • Penggal kepala, kerat badan bapa, lelaki kekal ke tali gantung

    Penggal kepala, kerat badan bapa, lelaki kekal ke tali gantung

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang penganggur kerana membunuh bapanya dengan memenggal kepala serta mengerat badan mangsa kepada enam bahagian dengan menggunakan parang, lima tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan You Poh Khoon, 57, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.

    “Tidak ada apa-apa keterangan yang mematahkan keterangan saksi pendakwaan ke-15 (doktor psikiatri, Dr A Ian Llyod), jadi keterangan itu wujud dan sepatutnya diterima.

    “Oleh itu, mahkamah mendapati sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi (Ipoh) adalah selamat, rayuan perayu (Poh Khoon) ditolak. Perayu masih ada peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, Poh Khoon didakwa membunuh bapanya You Su Kim ketika itu berumur 74 tahun, antara PUKUL 3 petang pada 8 Oktober 2018 hingga 10.30 pagi, 9 Oktober 2018, di dalam rumah di Khatan Baru Chemor, Ipoh, Perak, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Pada 24 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Poh Khoon selepas didapati bersalah membunuh bapanya.

    Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan membunuh bapanya dengan memenggal kepala dan mengerat badan mangsa kepada enam bahagian selepas berang ditegur ketika menghisap dadah di dalam rumah mereka.

    Kepala warga emas itu ditanam di belakang rumah mereka, manakala bahagian badan pula dibuang ke lubang pembentungan sedalam 1.52 meter.

    Terdahulu, peguam Amir Faliq Mohamad Jamil yang mewakili perayu berhujah bahawa pihak pendakwaan telah memanggil doktor psikiatri (Ian Llyod) yang mengesahkan bahawa anak guamnya adalah siuman semasa kejadian.

    “Bagaimanapun, doktor psikiatri itu di dalam keterangannya sendiri tidak menolak kebarangkalian bahawa berlakunya kegilaan sementara, sekiranya terdapat kebergantungan kepada dadah. Laporan psikiatri menunjukkan perayu positif methamphetamine dan amphetamine.

    “Seramai enam saksi pendakwaan juga telah membuktikan bahawa perayu hilang kewarasan sementara semasa kejadian kerana pengambilan dadah,” kata peguam itu yang turut dibantu Siti Nor Syahidah Ismail dan Afina Abdul Hakim.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azmi Mashud berhujah bahawa semasa pemeriksaan perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, doktor psikiatri berkenaan mengesahkan bahawa semasa kejadian perayu tidak mengalami sebarang penyakit mental.

    “Perayu pada masa kejadian adalah waras dan tahu akan sifat serta akibatnya kerana semasa kejadian perayu mampu memandu kereta sejauh lebih 100 kilometer dan memperincikan kejadian serta tindakan yang telah dilakukan ke atas si mati,” katanya.

    Menurut Muhammad Azmi, keterangan enam saksi pendakwaan bahawa perayu tidak waras kerana mengambil dadah adalah melalui pemerhatian mereka sahaja dan hanya disokong melalui keterangan perayu yang pernah dihantar ke di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada 2017 untuk rawatan psikiatri.

    “Semua saksi bukan pakar yang boleh menentukan keadaan mental perayu semasa kejadian berlaku dan semasa prosiding pembelaan, tiada saksi yang mematahkan keterangan doktor psikiatri bahawa perayu tidak waras semasa kejadian,” katanya.

  • Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    SEBELAS individu melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan berkenaan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan jabatan itu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

    Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sekiranya perlu mengambil keterangan individu lain berkenaan perkara tersebut.

    “Setakat ini segala kenyataan yang diambil dan siasatan dijalankan adalah pandangan dan nasihat daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan (PPN) Negeri Sembilan.

    “PDRM Negeri telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan telah dihantar semula ke pejabat TPR pada 2 Mac. 11 individu tersebut (termasuk bukan pegawai MAINS) turut diambil keterangan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

    Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah.

     Pada 13 Feb lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan berkenaan.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Dzaffir melaporkan kes jenayah komersial di negeri itu pada tahun lepas merekodkan kerugian RM62.51 juta berbanding RM43.12 juta pada tahun sebelumnya.

    Katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri telah membuka 2,833 kertas siasatan dan 1,425 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan komersial dan 469 individu dituduh di mahkamah pada tahun ini.

    “Jenis kes didapati menunjukkan peningkatan adalah 318 kes bagi penipuan telekomunikasi, 93 kes penipuan pelaburan tidak wujud dan 38 kes bagi penipuan kewangan dalam talian. Terdapat pertambahan RM1.55 juta kerugian bagi kes pembelian dalam talian dan RM862,000 bagi pelaburan,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata polis menerima dua laporan melibatkan dua mangsa yang didakwa telah ditipu dalam pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook pada 20 Feb dan 22 Feb ini.

    “Mangsa pertama melibatkan pesara swasta yang kerugian RM1.2 juta dan seorang wanita berusia 49 tahun merupakan akauntan syarikat swasta mengalami kerugian RM200,000. Mangsa dimasukkan dalam grup WhatsApp dan seterusnya ditawarkan pelaburan yang dijanjikan pulangan tinggi,” katanya.

    Katanya dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata polis telah mengenal pasti empat individu yang dipercayai dapat membantu siasatan tersebut iaitu V. Paramesvaran, 38; Muhamad Subris Abdullah, 55; Muhammad Asyraf Mohd Hissam, 27; dan Muhammad Sabran Alias, 38 tahun.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Arif Jamaluddin di talian 019-4005037.

  • 53,040 mangsa banjir ditempatkan di PPS pagi ini

    53,040 mangsa banjir ditempatkan di PPS pagi ini

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri sedikit berkurangan dengan 53,040 ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini, berbanding hampir 55,000 orang malam tadi.

    Di JOHOR, jumlah mangsa menurun sedikit kepada 49,410 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 50,596 orang pada 8 malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor menerusi kenyataan memaklumkan seramai 14,125 keluarga ditempatkan di 269 PPS di kesemua 10 daerah di negeri itu.

    Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 20,767 mangsa daripada 5,809 keluarga; diikuti Segamat dengan 11,023 orang (3,253 keluarga); Kluang 4,770 mangsa (1,376 keluarga); Muar 4,625 mangsa (1,358 keluarga); dan Kota Tinggi dengan 3,160 orang  (837 keluarga).

    ”Turut terjejas bencana itu ialah Tangkak dengan 3,229 mangsa melibatkan 949 keluarga; Mersing 1,167 orang  (346 keluarga); Johor Bahru dengan 327 mangsa (114 keluarga); Pontian seramai 278 mangsa (68 keluarga); serta Kulai dengan 64 orang mangsa (15 keluarga),” menurut kenyataan itu.

    Cuaca di sembilan daerah di negeri itu diramalkan cerah pagi ini, kecuali Mersing yang dijangka hujan. 

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan seramai 3,029 mangsa masih berada di 21 PPS pagi ini, berbanding 3,014 orang  malam tadi. 

    Rompin kekal mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,774 orang diikuti Temerloh dengan 226 orang di sebuah PPS manakala 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran. 

    Bacaan paras Sungai Pahang di dua lokasi iaitu Lubuk Paku, Maran dan Paloh Hinai, Pekan serta Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya dan hujan sepanjang hari dijangka melanda Rompin dan Maran, manakala hujan dijangka di Temerloh pada sebelah malam. 

    Di MELAKA, jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 601 orang daripada 148 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 595 orang daripada 147 keluarga, 8 malam tadi.

    JPBN Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 591 orang daripada 145 keluarga merupakan penduduk di daerah Jasin yang ditempatkan di lima PPS di daerah itu dan 10 mangsa dari tiga keluarga masih ditempatkan di satu PPS di Alor Gajah.

  • Lans Koperal tembak isteri direman tujuh hari

    Lans Koperal tembak isteri direman tujuh hari

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dipercayai menembak mati isterinya direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Mac.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Suspek berusia 27 tahun itu kini mendapat rawatan di hospital berkenaan.

    Bernama semalam melaporkan suspek menembak mati isterinya berusia 26 tahun di kediaman pasangan itu di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

  • Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    Sebuah lagi PPS dinaiki air di Batu Pahat, lebih 300 mangsa dipindahkan

    LEBIH 300 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Sri Medan, Yong Peng, di Batu Pahat, dipindahkan, susulan dinaiki air sejak dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mereka akan dipindahkan ke SJKC Hwa Ming, Taman Maju, di sini, malam ini, dengan menggunakan aset daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

    “PPS ini boleh menampung sehingga 300 orang dan apabila berlaku kenaikan paras air kira-kira 0.3 meter, kita buat keputusan untuk pindahkan mangsa malam ini,” katanya kepada Bernama.

    PPS tersebut menempatkan 315 orang daripada 110 keluarga sejak dibuka pada 2 Mac lepas.

    Penduduk yang ditempatkan di PPS itu, Siti Sarah Sulaiman, 35, berkata air mula melimpah ke dalam PPS sejak dua hari lepas.

    Ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia mula ditempatkan di PPS itu Khamis lepas apabila rumahnya di Parit Simen Sri Basir dinaiki air hingga paras pinggang.

    “Pada waktu itu, tiada air banjir dalam PPS tetapi dalam tempoh dua hari (bermula Sabtu) air mula melimpah masuk dalam PPS.

    “Saya risau kerana ada anak kecil berusia dua tahun yang nak ‘main’ air,” katanya yang turut menarik nafas lega apabila diarahkan berpindah ke PPS lain.

    Tinjauan Bernama di Sri Medan Jaya, di sini, mendapati kawasan pekan lumpuh dengan laluan yang ada sudah mula dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan di sini masih ditenggelami air. – BERNAMA

  • Polis tembak mati isteri

    Polis tembak mati isteri

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Kopral menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang dipercayai abang ipar suspek, bahawa telah berlaku tembakan di rumah suspek.

    “Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira pada 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

    Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek dan juga merampas senjata api yang digunakan.

    “Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

    “Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

    Yusharifuddin berkata mayat mangsa telah dibawah ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

    “Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya. – BERNAMA

  • Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    Mangsa banjir lepasi 50,000 orang di lima negeri

    JUMLAH mangsa banjir berada pada angka 50,791 orang setakat jam 2 petang ini melibatkan lima negeri dengan jumlah terus meningkat dan paling ramai adalah di Johor.

    Johor merekodkan 46,742 orang diikuti Pahang (3,042), Melaka (516), Negeri Sembilan (478) dan Selangor (13).

    Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 264 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

    Menurut JPBN, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 15,915 mangsa daripada 4,616, keluarga diikuti Segamat (13,319 orang/3,895 keluarga); Kluang (5,270 orang/,525 keluarga); Muar (4,103 orang/1,214 keluarga) dan Kota Tinggi 3,249 orang daripada 865 keluarga.

    Tangkak menempatkan 3,007 mangsa melibatkan 870 keluarga di PPS; Mersing (975/292 keluarga); Johor Bahru (511/174 keluarga); Pontian (330 orang/86 keluarga) serta Kulai dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

    Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,042 orang di 22 PPS tengah hari tadi, berbanding 2,978 orang di 23 PPS, pagi tadi.

    Sekretariat JPBN melaporkan walaupun banjir di Bera pulih sepenuhnya selepas 29 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke kediaman mereka pagi tadi, namun pertambahan mangsa direkodkan di Rompin yang merupakan daerah paling teruk terkesan bencana itu.

    Setakat ini, 2,717 orang masih berada di 20 PPS sekitar Rompin manakala 296 orang pula ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh dan 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat kepada 516 orang daripada 138 keluarga berbanding 493 orang daripada 134 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

    Sekretariat JPBN, dalam satu kenyataan, menyebut satu lagi PPS baharu dibuka di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai pada jam 11 pagi tadi, menjadikan keseluruhan lima PPS di daerah itu yang menempatkan 507 orang daripada 135 keluarga, manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam, berkata jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 478 individu membabitkan 123 keluarga di dua PPS di Tampin setakat tengah hari tadi.

    Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di negeri itu juga mencatatkan penurunan kepada 13 orang daripada dua keluarga yang ditempatkan di SK Merbau Sempak, Sungai Buloh berbanding 71 orang daripada 17 keluarga, pagi tadi. – BERNAMA