Author: Bernama

  • Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    Mangsa banjir di Johor meningkat malam ini, Melaka dan Pahang berkurangan

    JUMLAH mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan malam ini manakala situasi di Melaka dan Pahang yang menunjukkan pengurangan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

    Meskipun hanya tinggal tujuh daerah sahaja di JOHOR yang terjejas banjir, namun jumlah mangsa meningkat kepada 42,851 orang setakat 8 malam ini berbanding 41,543 pada 2 petang tadi.

    Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang kepada 186 berbanding 198 pada 2 petang.

    JPBN memaklumkan situasi banjir di beberapa daerah semakin pulih, namun Batu Pahat terus terjejas dengan 32,312 mangsa diikuti Muar dengan 4,151 orang dan Tangkak 2,499 orang.

    Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 20.03 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.44m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Segamat) di paras 5.14m.

    Bagaimanapun, cuaca untuk tujuh daerah diramalkan cerah manakala daerah Mersing, Kota Tinggi dan Kulai dijangka hujan malam ini.

    Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin mulai berkurangan kepada 557 orang daripada 149 keluarga pada 8 malam ini berbanding 598 orang daripada 159 keluarga pada 2 petang tadi.

    Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah membabitkan 193 orang daripada 51 keluarga.

    “Sebanyak 142 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 61 mangsa daripada 15 keluarga di SK Seri Mendapat, 99 mangsa daripada 25 keluarga di SK Sungai Rambai dan 62 mangsa daripada 24 keluarga pula berada di SK Parit Gantong,” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin menurun kepada 2,248 orang yang ditempatkan di 15 PPS berbanding 2,255 orang petang tadi.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin kekal melebihi paras bahaya malam ini. – BERNAMA

  • Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    Penjara silap hantar mayat, KDN akui terdapat kecuaian

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mengakui terdapat elemen kecuaian dan kelemahan sistem dalam kejadian kesilapan tertukar identiti banduan yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pada 3 Mac lepas.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehubungan itu, pihaknya bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa lembaga siasatan serta merta bagi menyiasat perkara berkenaan.

    “Tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian, kita akan sentiasa mengambil langkah terbuka dalam penambahbaikan sistem identifikasi ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam kejadian berkenaan sebuah keluarga yang sedang melakukan persediaan untuk menyemadikan mayat anak mereka terkejut, apabila dimaklumkan bahawa anak mereka masih hidup oleh Penjara Sungai Buloh.

    Kejadian itu menyebabkan keluarga mangsa tidak berpuas hati dengan pihak penjara sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 4 Mac

    Saifuddin Nasution turut memberitahu, pihaknya bersedia membayar pampasan terhadap perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga berkenaan bagi urusan menyemadikan mayat, yang dianggarkan berjumlah RM20,000 dalam masa 48 jam.

    Sementara itu menyentuh mengenai isu pengecualian yang diberikan kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, Saifuddin berkata Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Menteri tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966.

    Beliau berkata akta berkenaan yang mengawal tugas hakiki ROS, iaitu memastikan mana-mana pertubuhan mematuhi perkara dalam undang-undang tubuh dan melindungi kepentingan ahli dalam pertubuhan.

    “Seksyen 70 Akta itu memberi secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian, dan keputusan yang saya buat terarah kepada pengecualian pematuhan Seksyen 13 Akta yang sama,” katanya

    Saifuddin Nasution berkata jika terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan berasakan menteri melampaui batas kuasa, dia boleh membawa isu itu ke mahkamah.

    “Sebelum saya memberikan pengecualian berkenaan, saya telah menerima pandangan-pandangan daripada pihak yang berkenaan,” katanya.

    Terdahulu Saifuddin Nasution dalam kenyataannya berkata KDN telah memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.- BERNAMA

  • Ringgit jatuh mendadak, RM4.52 satu dolar AS

    Ringgit jatuh mendadak, RM4.52 satu dolar AS

    RINGGIT ditutup rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susut daripada kenaikan dua hari lalu susulan bayangan kenaikan lagi kadar faedah oleh pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell.

    Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.5230/5265 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4710/4730 pada Selasa.

    Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran akan terus memantau kenyataan daripada Powell di Dewan Perwaklian AS lewat malam ini.

    “Kemungkinan besar nada yang sama, iaitu dasar monetari AS yang lebih ketat,” katanya kepada Bernama.

    Ditanya mengenai prestasi ringgit yang melepasi paras RM4.50 berbanding dolar AS ketika ini dan impaknya terhadap ekonomi Malaysia, beliau berkata, ringgit yang lemah bermakna harga eksport yang lebih murah yang seterusnya akan membantu daya saing negara.

    “Bagaimanapun, ringgit yang rendah bermakna harga import yang tinggi dan akan memburukkan lagi inflasi,” katanya.

    Mengenai sama ada prestasi lemah ringgit itu akan memberi kesan kepada Kadar Dasar Semalam (OPR) menjelang mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis, beliau berkata secara teorinya, kadar faedah tinggi akan membantu meningkatkan daya tarikan ringgit kerana ia boleh menawarkan pulangan tinggi.

    Pengarah urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit menyusut susulan jangkaan kenaikan lagi kadar faedah Fed selepas kenyataan Powell kepada Kongres membayangkan kemungkinan kenaikan kadar yang lebih pantas.

    “Ini adalah impak yang buruk bagi ringgit kerana hasil jangka pendek AS yang tinggi bukan sahaja akan menyokong dolar AS tetapi ia juga menjadi lebih menarik kepada pelabur jangka panjang yang masih melihat mata wang Asia sebagai berisiko,” katanya.

    Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali euro.

    Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2880/2908 daripada 3.2909/2926 pada Selasa dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3530/3571 daripada 5.3715/3739 tetapi susut sedikit berbanding euro kepada 4.7650/7687 daripada 4.7647/7669.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

    Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3397/3428 daripada 3.3210/3229, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 292.90/293.30 daripada 290.90/291.1 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.12/8.13.

    Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 12.8912/9070 daripada 12.9332/9453. – BERNAMA

  • Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki Ahad lalu kerana disyaki menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, pada 25 Februari.

    Dalam kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan wayar oleh semua suspek yang menyamun rumahnya.

    Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata suspek turut melarikan wang tunai RM6,000, satu telefon bimbit, seutas jam tangan dan kad bank milik mangsa.

    “Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Ahad lalu.

    “Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Beh, semua lelaki itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan cedera.

    Beliau berkata, susulan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan empat kes di ibu negara dan satu kes di Selangor.

  • Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    Disyaki bawa masuk 15 pendatang tanpa izin, 3 ‘transporter’ ditahan

    TIGA lelaki ditahan dalam Op Gelombang 2 kerana disyaki menjadi ‘transporter’atau penghantar pendatang tanpa izin di sekitar Jeli dan Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

    Operasi itu turut menahan 15 pendatang tanpa izin berusia 24 hingga 54 tahun terdiri 12 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, dalam kenyataan berkata mereka dipercayai tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga kenderaan ke rumah penampungan.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket itu adalah masuk melalui laluan udara ke Thailand dari Indonesia dan menyeludup melintasi sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

    Khairul berkata, dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke Malaysia.

    “Semua pendatang tanpa izin ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala pendatang tanpa izin wanita pula mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

    “Siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan ini menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan yang ditetapkan,” katanya.

    Khairul berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat ‘transporter’ dan pendatang tanpa izin yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

    Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan pendatang tanpa izin dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.

    “Berdasarkan anggaran, seramai 160 pendatang tanpa izin sebulan dibawa masuk oleh sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

    “Semua pendatang asing ini disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

    Khairul berkata, tiga kenderaan pelbagai jenis dianggar bernilai RM100,000 itu akan disita manakala tiga ‘transporter’ terbabit akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

  • 21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    21 maut bot terbalik di Laut Merah Yaman

    SERAMAI 21 penumpang, termasuk 12 wanita dan tujuh kanak-kanak maut selepas bot yang dinaiki terbalik di Laut Merah,Yaman pada petang Selasa.

    Bot yang membawa 27 penumpang itu dilaporkan terbalik di luar daerah Alluheyah utara bandar pelabuhan Hodeidah, lapor Xinhua.

    Kesemua penumpang dilaporkan dalam perjalanan dari Alluheyah ke Pulau Kamaran, untuk menghadiri majlis perkahwinan.

    “Enam lagi penumpang dilaporkan terselamat dan dibawa ke Hospital Al-Thawra di bandar Hodeidah untuk menerima rawatan,” kata pegawai majlis daerah Akram al-Ahdal

    Kemalangan dipercayai berpunca akibat angin kencang.

  • Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    Bekas kakitangan Utusan ambil VSS tuntut pelikuidasi bayar baki RM18.9juta

    SERAMAI 160 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) hampir lima tahun lalu, sudah menyerahkan notis tuntutan kepada UHY Advisory, agar menyelesaikan baki pembayaran mencecah RM18.9 juta.

    Notis tuntutan (LOD) bertarikh 3 Mac lalu dihantar menerusi Tetuan Azmi & Associates kepada Tetuan Dennis Nik & Wong yang mewakili syarikat pelikuidasi tersebut, menyatakan tuntutan supaya bayaran penyelesaian berjumlah RM18,880,296.11 untuk didepositkan ke akaun Azmi dan Associates.

    “Jika kami tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat ini, anak guam kami akan meneruskan semua tindakan yang dibenarkan kepada mereka mengikut undang-undang termasuk memfailkan tindakan mahkamah,” menurut firma itu dalam LOD tersebut.

    Perkara ini ialah selepas peguam daripada firma mewakili pekerja-pekerja itu, menghantar koresponden kepada Messrs Dennis Nik & Wong sejak Disember 2022 dan Januari dan Februari tahun ini, sebagai peringatan.

    Bagaimanapun, firma itu memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang jawapan.

     Notis tuntutan itu dihantar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Okt 2022 bahawa bekas kakitangan UMMB yang terlibat dalam VSS, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan 29 hartanah milik syarikat tersebut.

    Hakim juga mengistiharkan bahawa 29 harta milik UMMB termasuk termasuk subsidiarinya iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd, U Print Sdn Bhd (dalam likiudasi), Utusan Land Sdn Bhd and Juasa Holdings Sdn Bhd dan syarikat berkaitannya Mediamoney Sdn Bhd boleh dikenal pasti sebagai harta-harta amanah.

    Dalam penghakimannya Nadzarin berkata harta-harta termasuk beberapa bangunan terletak di Jalan 5, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin dan juga  Jalan 5, Seksyen 92 CSL di sini dan Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S 10 di Bangi, adalah untuk penyelesaian kepada skim VSS oleh plantif (UMMB) boleh dikenal pasti atau diistiharkan sebagai harta amanah.

    Beliau membuat keputusan itu dalam saman asal yang difailkan UHY Advisory sebagai likuidator mewakili UMMB sebagai plaintiff terhadap Rosmanizam Abdullah dan 159 yang lain sebagai defendan (pekerja VSS). – BERNAMA

  • Saya diberitahu Bella terkena air panas semasa bergaduh dengan penghuni lain – Saksi

    Saya diberitahu Bella terkena air panas semasa bergaduh dengan penghuni lain – Saksi

    SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood ada menceritakan kepadanya mengenai  Bella terkena tumpahan air panas daripada  termos ketika remaja perempuan sindrom Down itu bergaduh dengan penghuni lain yang dikenali sebagai ‘Balqis’.

    Norhazira Masling, 35, rakan kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berkata perkara itu dinyatakan oleh Yasmin yang merupakan saksi pendakwaan kelima ketika mereka berada dalam sebuah kereta sebelum masuk ke kawasan parkir di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada Julai 2021.

    Saksi pembelaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun berkenaan.

    Mohammad Farhan: Apa yang dia (Yasmin) beritahu puan mengenai kejadian yang berlaku pada Bella?

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Norhazira: Saya minta Yasmin memberitahu perkara sebenar dan jangan menipu. Yasmin menyatakan Bella terkena air panas dari termos selepas Bella dan Balqis bergaduh serta berlari-lari sehingga termos itu terbuka dan terbalik. Kejadian itu menyebabkan air mengalir lalu terkena belakang badan Bella. 

    Saksi itu berkata Yasmin kemudian menghubungi ‘bonda’ iaitu Siti Bainun sebelum menarik Bella masuk ke tandas dan menyiram air sejuk pada badan Bella yang terkena air panas.

    Norhazira, seorang jururawat  berkata tiada individu lain bersama mereka semasa perbualan antaranya  dengan Yasmin mengenai insiden Bella terkena air panas itu.

    Katanya Yasmin serta dua lagi penghuni rumah itu iaitu Balqis dan Aida kerap mengadu mengenai Bella yang suka mengganggu kanak-kanak lain di kondominium berkenaan.

    Menurutnya, dari awal melihat Bella membuatkan dia berasa tidak sedap hati dan bimbang Siti Bainun sukar menguruskan remaja itu yang menghidap sindrom Down.

    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir bagi prosiding bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpuri, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Sejujurnya dari hati, saya pernah cakap dekat Siti Bainun hantar Bella balik sebab dia mungkin tidak macam anak-anak yang lain tapi Siti Bainun cakap sayang,” katanya.

    Semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas, Norhazira tidak bersetuju bahawa keterangannya di mahkamah hari ini adalah penipuan dan rekaan semata-mata demi menyelamat Siti Bainun.

    Sementara itu, saksi pembelaan ketiga yang juga rakan tertuduh, Noor Marliana Ramlee, 28, berkata beliau menganggap Siti Bainun seperti kakaknya selain menyifatkan pengasas rumah kebajikan itu seorang yang sayangkan kanak-kanak dan suka membantu orang.

    Mengenai kejadian Bella terkena air panas, Noor Marliana berkata beliau  tidak melihat kejadian itu sebaliknya hanya mengetahuinya selepas Yasmin menghubungi Siti Bainun yang menyatakan Bella terkena air panas.

    “Selepas Yasmin memaklumkan mengenai kejadian itu, saya dan Siti Bainun terus pulang ke kondominium dan saya cuma nampak ada merah-merah pada badan Bella. Siti Bainun kemudian letak krim atau aloe vera pada badan Bella yang merah-merah,” katanya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

  • Tiada PRK DUN Pulau Pinang – SPR

    Tiada PRK DUN Pulau Pinang – SPR

    TIADA keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, kata Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak.

    Empat kerusi DUN berkenaan ialah Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Telok Bahang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ikmalrudin berkata SPR telah menerima pemakluman daripada Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang melalui surat semalam berhubung status kekosongan luar jangka empat kerusi DUN itu selepas usul pengisytiharan kekosongan di bawah perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

    “Berdasarkan pemakluman tersebut dan mengambil kira proviso di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, tiada keperluan untuk SPR mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun,” katanya.

    Sidang DUN Pulau Pinang semalam meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu.

    Empat ADUN berkenaan ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan dewan.

  • Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    Lebih 42,000 mangsa banjir masih berlindung di PPS tiga negeri

    JUMLAH mangsa banjir di tiga negeri sedikit menurun dengan 42,909 orang ditempatkan di 234 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di sembilan daerah berkurang daripada 40,129 semalam kepada 39,620 orang susulan penutupan 16 PPS malam tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata keadaan banjir di daerah Segamat semakin surut, bagaimanapun terdapat peningkatan mangsa di daerah Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

    Daripada sembilan daerah, tiga daerah paling teruk terjejas adalah Batu Pahat melibatkan 22,209 orang, diikuti Muar dengan 5,094 orang dan Segamat 4,036 orang.

    Setakat ini, sebanyak 10,862 keluarga ditempatkan di 210 PPS dan angka korban akibat banjir kini lima orang susulan penemuan mayat wanita yang dipercayai hanyut akibat arus deras bersama keretanya di Mersing, malam tadi.

    Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal pada 2,684 orang daripada 766 keluarga seperti malam tadi.

    Sebanyak 2,671 mangsa berada di 18 PPS di Rompin manakala 13 lagi ditempatkan di sebuah PPS di Maran.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin meningkat sedikit kepada 605 mangsa daripada 161 keluarga berbanding 593 mangsa daripada 160 keluarga pada 8 malam tadi.

    Kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah; SK Parit Penghulu, SK Seri Mendapat; SK Sungai Rambai dan SK Parit Gantong.