Author: Bernama

  • Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    Pempengaruh media sosial rugi lebih RM16,000 akibat tawaran kerja

    SEORANG pempengaruh media sosial berusia 28 tahun mengalami kerugian RM16,799 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian menggunakan aplikasi Facebook.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata wanita itu mendakwa semasa melayari laman Facebook baru-baru ini, beliau terlihat iklan kerja sebagai ‘Live Host’ yang menjanjikan komisen RM1,000 sekiranya melaksanakan kerja itu, minimum 30 jam seminggu.

    “Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudiannya menghubungi seorang pengguna akaun Facebook berhubung tawaran kerja berkenaan, sebelum diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata wanita itu kemudiannya menerima notifikasi bank yang memaklumkan bahawa ada transaski pemindahan wang daripada akaunnya dan selepas merasakan ditipu, wanita itu kemudiannya terus membuat laporan polis.

    Zulkipli seterusnya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran di media sosial yang menawarkan pulangan lumayan, sebaliknya mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu.

    Semakan boleh dibuat melalui balai polis yang berdekatan atau http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di 013-2111222, CCID Response Centre di 03-26101559/03-26101599, atau melalui Facebook di https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

  • Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah pada pertengahan Ramadan – Anwar

    Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah pada pertengahan Ramadan – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi fasa dua diselesaikan pada pertengahan bulan Ramadan atau sekurang-kurangnya awal April, sebelum sambutan Aidilfitri.

    Beliau berkata arahan itu dimaklumkan kepada Kementerian Kewangan, sebagai usaha meringankan beban mereka yang memerlukan, terutama golongan B40.

    “Saya telah memberitahu Kementerian Kewangan dan agensi terlibat supaya meringankan (bebanan) mereka dengan bantuan STR fasa dua yang harus diselesaikan pada pertengahan Ramadan atau awal April.

    “Insya-Allah dua minggu sebelum (hari) raya (Aidilfitri) kita akan keluarkan fasa dua untuk golongan B40 bagi mendapat STR masing-masing,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai penambahbaikan STR berbanding bantuan yang diberikan sebelum ini dan bagaimana kerajaan memastikan sumbangan dapat kepada golongan sepatutunya.

    Mengulas mengenai penambahbaikan bantuan STR, Anwar berkata dalam Belanjawan 2023, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak menerima sumbangan hingga maksimum RM3,100, biarpun Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berjumlah RM2,500 masih diagihkan.

    “Ada perincian kategori, contohnya (isi rumah) yang mempunyai lima anak atau tiga anak dan kadar tambahan yang penting iaitu untuk miskin tegar, tambahan RM600 daripada peruntukan awal.

    “Untuk BKM pula, ibu bapa tunggal mempunyai anak dan warga emas, RM500 untuk ibu bapa tunggal dan untuk warga emas sebanyak RM300,” katanya.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan kini membuka permohonan baharu untuk STR, dan meminta individu yang layak untuk membuat permohonan segera sebelum 31 Mac supaya pembayaran dapat dikeluarkan pada Ramadan ini.

    “Setakat 13 Mac seramai 320,103 orang telahpun mendaftar dan terima,” katanya.

    Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata STR Fasa 1 untuk golongan B40 diberikan kepada isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 yang layak, untuk menerima sumbangan sehingga RM2,500 bergantung kepada bilangan anak.

    Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih, dengan keluarga dalam kumpulan miskin tegar menerima terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100.

    STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion. – BERNAMA

  • Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    Terdapat kelemahan pengurusan aktiviti 40 hutan simpan kekal di Selangor

    LAPORAN Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan aktiviti melibatkan 40 daripada 76 Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor.

    Dalam kenyataan Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini, HSK berkenaan masih belum melaksanakan kerja-kerja pengukuran dan penandaan sempadan luar hutan itu.

    Laporan itu memaklumkan sembilan pewartaan masuk dan tujuh pewartaan keluar HSK masih belum selesai disiar warta melibatkan tempoh antara satu hingga tujuh tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala seluas 106,754.66 hektar (42.5 peratus) HSK masih belum diwartakan mengikut 12 kelas fungsi.

    “Pencapaian keberhasilan memberikan impak negatif terhadap aspek sosial dan alam sekitar kesan daripada ketidakpatuhan aktiviti kuari serta konflik hidupan liar,” menurut laporan itu.

    Laporan itu turut mendapati 40 kes penerokaan haram dalam HSK direkodkan dengan keluasan 3,537.01 hektar, iaitu aktiviti pertanian (3,356.67 hektar), penempatan dan infrastruktur (146.08 hektar) serta penternakan (34.26 hektar).

    Selain itu, terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) di negeri itu bagi aktiviti kuari seperti bekas penyimpanan minyak diletakkan di kawasan terbuka, pengendalian bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan sewajarnya, kesan pembakaran terbuka di tapak kuari dan kualiti air serta udara melebihi had ditetapkan.

    Menurutnya lagi, pencapaian output dari aspek kutipan hasil hutan menunjukkan penurunan dan anggaran kehilangan hasil permit penggunaan berjumlah RM7.16 juta bagi pengurusan hutan lipur dan RM1.36 juta untuk ladang hutan.

    Dalam pada itu, JAN memaklumkan LKAN mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Selangor Tahun 2021 secara kesuruhannya mendapati kedudukan kewangan negeri adalah kukuh.

    “Secara keseluruhannya, baki Kumpulan Wang Disatukan bagi Selangor meningkat sebanyak RM358.69 juta atau 14.7 peratus menjadi RM2.804 bilion pada 2021 berbanding RM2.445 bilion pada 2020,” menurut laporan itu.

    Pada akhir 2021, Selangor mencatatkan lebihan semasa dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM250.34 juta dan lebihan dicatatkan itu adalah apabila hasil yang diterima berjumlah RM2.284 bilion melebihi perbelanjaan mengurus sebanyak RM2.034 bilion dalam tahun semasa.

    LKAN dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini dan laporan itu dimuat naik dalam laman web JAN http://www.audit.gov.my. – BERNAMA

  • Dua pengarah syarikat didakwa salah guna kuasa harta syarikat

    Dua pengarah syarikat didakwa salah guna kuasa harta syarikat

    DUA pengarah syarikat Revenue Group Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta milik syarikat mereka tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, lima tahun lepas.

    Dua beradik itu Ng Shih Chiow, 50, dan Ng Shih Fang, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad, melupuskan harta iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat Revenue Group Berhad tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, dengan mendaftarkan kereta tersebut atas nama Shih Fang (tertuduh kedua).

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan di Jalan Genting Kelang di Kuala Lumpur, pada 3 Okt 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili adik-beradik itu, memohon anak guamnya dilepaskan dengan bon jaminan sendiri, atas alasan mereka memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

    “Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana masing-masing mempunyai isteri dan anak di negara ini, malah mereka hadir ke mahkamah untuk membersihkan nama mereka daripada pertuduhan ini serta mempertahankan syarikat mereka,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 14 April untuk sebutan kes.

    Sebelum ini media melaporkan, Revenue Group Bhd menggantung fungsi eksekutif Shih Chiow dan Shih Fang berkuat kuasa serta merta, sementara menunggu siasatan lanjut berhubung aduan tertentu terhadap mereka.

  • Kanak-kanak maut dipercayai lemas di kolam renang

    Kanak-kanak maut dipercayai lemas di kolam renang

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut dipercayai lemas di kolam renang sebuah hotel di Mentakab, Temerloh semalam.

    Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.45 petang selepas mangsa yang merupakan anak tunggal, dibawa teman lelaki ibunya yang berusia 41 tahun untuk beriadah.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang semasa teman lelaki ibunya leka menggunakan telefon bimbit di tepi kolam renang tersebut.

    “Lelaki itu telah meminta bantuan pengawal keselamatan untuk mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam renang yang berkedalaman dua meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Azhar berkata mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Mentakab, sebelum disahkan meninggal dunia.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh untuk bedah siasat.

    Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Suspek yang menyerang Kamal Adli di Singapura akan dituduh hari ini

    Suspek yang menyerang Kamal Adli di Singapura akan dituduh hari ini

    SEORANG lelaki yang menyerang artis Malaysia Kamal Adli dalam kejadian di Singapura akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

    Menurut Polis Singapura (SPF), lelaki berusia 33-tahun itu akan dituduh di mahkamah kerana “disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya.”

    “Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” kata SPF dalam satu kenyataan.

    Sebelum itu, SPF berkata pihak polis menerima panggilan tentang satu kes di Singapore Expo pada 9.19 malam Ahad di mana suspek telah memukul seorang lelaki berusia 36 tahun menggunakan cota di lokasi itu.

    “Cota itu dirampas dan dijadikan barangan kes dengan siasatan masih diteruskan.”

    SPF berkata ia mengamalkan toleransi-sifar terhadap apa-apa tindakan keganasan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

    Kamal, 36, yang mengalami kecederaan terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di republik itu.

    Kamal dan isteri Uqasha Senrose berada di Singapura bagi acara Hari Raya Mega Sale 2023 selama tiga hari bermula Jumaat yang berlangsung di Dewan 5A, Singapore Expo.

    Menurut Uqasha, kejadian berlaku di akhir acara itu tetapi tidak memberikan butiran apa yang menyebabkan suaminya itu diserang.

  • Putera Mahkota Saudi lancar syarikat penerbangan baharu Riyadh Air

    Putera Mahkota Saudi lancar syarikat penerbangan baharu Riyadh Air

    PUTERA Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud pada Ahad mengumumkan pelancaran syarikat penerbangan nasional baharu, Riyadh Air.

    Syarikat penerbangan itu dimiliki sepenuhnya Dana Pelaburan Awam (PIF) kerajaan, dijangka menyumbang AS$20 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan, lapor Xinhua, memetik laporan Agensi Akhbar Saudi (SPA).

    Syarikat penerbangan nasional baharu itu akan “memanfaatkan lokasi geografi strategik Arab Saudi antara tiga benua, membolehkan Riyadh menjadi pintu masuk utama dan destinasi global untuk pengangkutan, perdagangan dan pelancongan”.

    Syarikat penerbangan baharu itu akan beroperasi di Riyadh dan menjadi hab utamanya.- Bernama

  • Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    Pelabur asing jual lebih RM500 juta saham tempatan

    PELABUR asing terus meninggalkan pasaran ekuiti Malaysia dengan merekodkan jualan bersih sebanyak RM556.9 juta minggu lalu, 64 peratus lebih tinggi berbanding jumlah jualan bersih pada minggu berakhir 3 Mac 2023, kata MIDF Research.

    Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing melakukan jualan bersih hampir setiap hari dagangan pada minggu urus niaga berkenaan.

    “Jualan paling tinggi adalah pada hari Isnin berjumlah RM183.1 juta dan kemudiannya menyederhana kepada RM58.2 juta pada Khamis,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan, hari ini.

    Bagaimanapun, MIDF Research berkata ia meningkat semula pada hari Jumaat, merekodkan aliran keluar bersih berjumlah RM140.1 juta.

    Setakat tahun ini, jumlah jualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing bernilai RM1.24 bilion.

    “Sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta), manakala sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM359 .5 juta), produk dan perkhidmatan industri (-RM90.3 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (-RM63.5 juta),” katanya.

    Sementara itu, ia berkata institusi tempatan telah membeli ekuiti domestik bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan merekodkan sejumlah RM461.3 juta, kira-kira 56 peratus lebih tinggi daripada jumlah belian mereka pada dua minggu lalu.

    “Setiap hari dagangan minggu lalu adalah kegiatan belian bersih oleh institusi tempatan, dengan aliran masuk paling banyak dicatatkan pada Isnin berjumlah RM161.1 juta,” katanya.

    Setakat tahun ini, firma penyelidikan itu berkata institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti domestik bernilai RM1.2 bilion.

    “Peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut membabitkan sejumlah RM95.6 juta dan setiap hari dagangan adalah hari belian bersih oleh mereka, kecuali Selasa dengan aliran keluar bersih RM4.4 juta,” katanya.

    Setakat tahun ini, MIDF Research berkata peruncit tempatan merupakan pembeli bersih dengan mencatatkan RM44.5 juta.

    Dari segi penyertaan, ia menambah terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan (-3.5 peratus), institusi tempatan (-14.7 peratus) dan pelabur asing (-33.1 peratus).

  • Polis tahan enam individu terlibat kes pecah rumah di Baling

    Polis tahan enam individu terlibat kes pecah rumah di Baling

    POLIS menahan sekumpulan individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dan premis di sekitar daerah ini menerusi tiga serbuan yang dijalankan di Pulai dan Bongor, Baling, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata penahanan semua suspek yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 56 tahun itu sekali gus berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah, kedai dan sekolah di daerah Baling dengan kerugian dianggarkan mencecah RM150,000.

    “Pada 27 Feb lepas, satu aduan diterima berhubung kejadian pecah sekolah rendah di kawasan Kupang, menyebabkan pihak sekolah kehilangan wang hasil jualan buku yang disimpan di dalam pejabat sekolah tersebut.

     “Susulan laporan yang dibuat oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, kita melancarkan Op Pintu Khas antara 28 Februari hingga 1 Mac lepas dan berjaya menahan kesemua suspek dalam tiga serbuan berasingan serta merampas beberapa barang kes,” katanya dalam kenyataan, di Baling hari ini.

    Menurutnya, kesemua suspek ialah warga tempatan dan empat suspek lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Mengulas lanjut, Shamsudin berkata kesemua suspek lelaki itu juga mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di daerah Baling, Kuala Muda dan Sik sejak awal tahun lepas.

    Katanya, dua suspek perempuan yang ditahan pula berperanan sebagai tukang menjual barang kemas yang dicuri ke kedai emas di sekitar Kuala Ketil, Baling, Sungai Petani dan Sik serta Pengkalan Hulu di Perak.

    Beliau berkata antara barang yang dirampas susulan tangkapan kumpulan terbabit ialah 13 ketul emas hasil daripada barang kemas yang telah dilebur, dua bentuk cincin emas, dua utas rantai tangan emas, satu utas rantai leher emas dan beberapa barangan lain.

    “Kesemua suspek direman hingga esok untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan turut dijalankan terhadap pemilik kedai emas dan kedai pajak gadai yang disyaki bertindak membeli barang kemas yang dicuri.

  • Reformasi pendidikan, langkah tampung kenaikan kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat

    Reformasi pendidikan, langkah tampung kenaikan kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat

    PELAN bagi merealisasikan reformasi pendidikan di institut pengajian tinggi dan langkah kerajaan menampung peningkatan kos untuk mengerjakan ibadah haji serta umrah, antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai reformasi pendidikan itu diajukan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) kepada Menteri Pendidikan Tinggi.

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula ingin tahu langkah serta bantuan disediakan kerajaan bagi menampung peningkatan mendadak kos untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

    Turut tersenarai, soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta penjelasan Menteri Pertahanan berhubung pelaksanaan skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen khususnya kategori B40.

    Soalan mengenai kualiti dan kos perkhidmatan 5G yang ditawarkan syarikat telekomunikasi, usaha mengurangkan kos kepada pengguna serta tempoh masa liputan 5G di seluruh negara boleh dicapai pula diajukan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Komunikasi dan Digital.

    Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

    Menurut takwim di laman Parlimen, rang undang-undang itu akan dibahas di peringkat jawatankuasa selama 10 hari.