Author: Bernama

  • ‘El Chapito’ remaja 14 tahun bunuh lapan orang ditahan polis

    ‘El Chapito’ remaja 14 tahun bunuh lapan orang ditahan polis

    PIHAK berkuasa Mexico menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Chapito sempena nama raja dadah Mexico yang terkenal, atas pertuduhan terlibat dalam menembak mati lapan orang.

    Jabatan Keselamatan Awam Amerika Utara mengumumkan penahanan itu menerusi satu kenyataan pada Khamis, menurut United Press International (UPI).

    Pihak berkuasa berkata remaja lelaki yang tidak dikenali itu adalah seorang daripada dua orang yang melepaskan tembakan ke atas sebuah keluarga yang meraikan hari lahir di kejiranan Fundidores di Chimalhuacan, sebuah bandar di timur laut Mexico City, yang membunuh lapan orang dan mencederakan tujuh yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

    Polis berkata remaja itu adalah antara sembilan orang yang ditahan semasa operasi 12 jam antara lewat 10 Mac dan awal Sabtu di Chimalhuacan dan bandar Nezahualcoyotl berdekatan.

    Seorang lagi didakwa berhubung kes tembakan itu manakala selebihnya didakwa dengan pertuduhan jenayah berkaitan dadah, kata jabatan itu.

    Tertuduh dewasa dibawa ke Pusat Reintegrasi Sosial dan Penjara Neza-Bordo manakala remaja itu diserahkan kepada hakim kawalan khusus dalam Sistem Keadilan Jenayah Komprehensif untuk Remaja, katanya.

    ‘El Chapo’, yang nama sebenarnya Joaquin Guzman, menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Colorado setelah didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan berkaitan kedudukannya sebagai ketua kartel Sinaloa yang terkenal.

    Jenayah kekerasan dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa di negara ini.

    Pada awal 2010-an, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Ponchis ditangkap dan didakwa sebagai pembunuh upahan untuk kartel dadah Mexico, menurut laporan itu.

  • Pendakwaan salah: Sundra Rajoo tidak teruskan saman terhadap Tommy Thomas dan 12 lagi

    Pendakwaan salah: Sundra Rajoo tidak teruskan saman terhadap Tommy Thomas dan 12 lagi

    BEKAS Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N. Sundra Rajoo tidak akan meneruskan samannya terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan 12 pihak lain berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya berkaitan kes pecah amanah wang AIAC.

    Ini berikutan Sundra Rajoo telah memfailkan notis pemberhentian menerusi Tetuan Cheok Ng Lee Law Chambers pada 8 Mac lepas.

    Berdasarkan sistem mahkamah, notis pemberhentian itu menyatakan Sundra Rajoo selaku plaintif memberhentikan sepenuhnya tindakan saman yang difailkannya pada 15 Okt 2021 terhadap defendan-defendan tanpa perintah untuk kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tuntutan saman tersebut.

    Perkara itu disahkan oleh peguam TJ Lee, yang mewakili Sundra Rajoo ketika dihubungi hari ini.

    Pada 21 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Thomas dan 12 lagi selaku defendan untuk membatalkan saman Sundra Rajoo selepas memutuskan bahawa saman itu bukanlah kes yang sesuai dan wajar untuk dibatalkan kerana ia bukan kes yang mudah kerana fakta naratif dalam pernyataan tuntutan melebihi satu halaman.

    Defendan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan rayuan itu sepatutnya didengar pada 13 Jun ini di Mahkamah Rayuan.

    Selain Thomas, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohamad Shukri Abdull, beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li, Mohd Adrian Zaiman Zainiar, Md Yusrin Md Yusof, Mohd Fadhly Mohd Zamry, T. Nesavan, Mr. Sharan Raj, Hasmizzy Md Hasim, Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan kerajaan Malaysia.

    Pernyataan tuntutan Sundra Rajoo mendakwa, atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas, pegawai SPRM Mohd Adrian serta Md Yusrin telah menahannya secara salah dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang, 21 Nov 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

    Beliau mendakwa penahanan itu bercanggah dengan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

    Sundra Rajoo mendakwa Mohd Adrian dan Md Yusrin telah menahannya walaupun telah dimaklumkan bahawa beliau telah diberikan keistimewaan serta kekebalan ejen diplomatik atas kapasitinya sebagai Pengarah AIAC ketika itu.

    Susulan itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah ditahan reman serta disingkirkan daripada jawatannya sebagai Pengarah AIAC dan akibat penahanan itu, beliau telah diejek manakala reputasinya turut terjejas.

    Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    Tembak isteri: Mahkamah arah Lans Koperal jalani pemeriksaan mental

    MAHKAMAH Majistret Kangar hari ini mengarahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dituduh membunuh isterinya menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

    Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Pengarah Pendakwa Raya Perlis Mohd Nordin Ismail agar Mohamad  Nizarman Hassim, 27, menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Mohamad Nizarman yang memakai t-shirt berwarna merah dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

    Dia didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 14 April  ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

    Media sebelum ini melaporkan tertuduh menembak mati isterinya di bilik tidur utama rumah keluarga mangsa.

  • Saya tidak cepat ‘koyak’, terbuka terima teguran rakyat – MB Perlis

    Saya tidak cepat ‘koyak’, terbuka terima teguran rakyat – MB Perlis

    MENTERI Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau sentiasa terbuka menerima padangan dan teguran daripada rakyat dan tidak cepat ‘koyak’ demi kebaikan bersama ke arah pembangunan negeri itu.

    “Saya baca teguran di kumpulan WhatsApp tapi saya tak tulis (balas), saya tidak pernah koyak pun apabila dikomen yang berbagai-bagai,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang) berhubung perancangan kerajaan bagi menjadikan pandangan dan idea rakyat sebahagian daripada kerangka pembangunan negeri.

    Mohd Shukri (PAS-Sanglang) berkata beliau menyertai berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp melibatkan pelbagai komuniti dan akan membaca setiap komen yang diberikan dan menerimanya dengan positif.

    Beliau turut menasihati orang ramai agar mengemukakan pandangan dan teguran terus kepada pihak kerajaan negeri atau menerusi wakil rakyat.

    “Insya-Allah, kita di kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima apa-apa pandangan daripada rakyat,” katanya dan menambah pandangan rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan di setiap kawasan, sebagai contoh menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam bersama rakyat.

    Beliau berkata kerajaan negeri turut menerima permohonan, aduan dan cadangan daripada pelbagai lapisan rakyat menerusi Bahagian Pentadbiran Daerah, selain menerusi Platform Aduan Integriti dan Aduan Awam yang boleh disampaikan melalui email di [email protected] dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). – BERNAMA

  • Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    Mahkamah Paris kekalkan penangguhan diberi kepada Malaysia terhadap tuntutan kumpulan Sulu

    MAHKAMAH Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan final award kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

    Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris kumpulan Sulu terhadap perintah penangguhan itu, tidak boleh diterima.

    “Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan final award itu, kekal,” menurut kenyataan itu.

  • Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    Polis Johor terima 16 laporan penceramah hina institusi beraja

    POLIS Johor setakat ini telah menerima 16 laporan berhubung seorang penceramah lelaki yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi beraja.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan berkenaan dibuat susulan kenyataan dibuat menerusi sebuah video berdurasi 31 saat yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.

    “Satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Polis Johor turut menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidak harmonian dan kegentaran awam.

  • Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan

    Tiada kelas akademik minggu pertama sesi persekolahan

    TIADA kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 19 Mac dan 20 Mac ini, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek, kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

    “Fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik tetapi langkah yang diambil pada sesi 2023/2024 ini adalah melaksanakan pendidikan didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah,” katanya dalam sidang media sempena amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024, di sini hari ini.

    Sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.

    Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

    “Kalau dahulu fokus hari pertama terus mengajar subjek akademik tetapi kali ini kita minta sekolah merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti. Semua ini akan bangkitkan satu semangat iaitu saling menyokong sudah diterjemah di awal persekolahan,” katanya.

    Pkharuddin berkata Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023 memberi panduan kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau aktiviti yang bersesuaian bagi menyediakan pelajar dari segi sosial dan mental.

    Katanya nilai-nilai jasmani, emosi, rohani dan sosial diutamakan dahulu bagi membentuk pelajar menjadi beradab, berakhlak dan berintegriti.

    Bagaimanapun, beliau berkata sekolah dengan bilangan pelajar tidak ramai dan telah selesai melaksanakan aktiviti tersebut boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

    Pkharuddin dalam pada itu berkata sebarang bentuk pertandingan, sambutan, majlis yang tidak memberi impak besar dimansuhkan mulai sesi persekolahan 2023/2024 sebagai inisiatif segera menangani isu beban tugas guru.

    Kekerapan semakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) pula dikurangkan kepada setahun sekali mulai sesi persekolahan ini, berbanding sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebelum ini, katanya.

    Beliau berkata sambutan Hari Guru juga dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, berbanding sebelum ini membabitkan peringkat negeri dan daerah, katanya.

    Para pendidik juga diberikan autonomi dalam perancangan dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bilik darjah dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan, katanya.

    Bagi menangani isu beg berat, Pkharuddin berkata antara usaha dilaksanakan bagi sesi ini ialah penyediaan lokar, penggunaan buku aktiviti yang disediakan kementerian dan penggunaan buku kerja hanya sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu kelas.

    Selain itu, buku latihan dihadkan pada dua buah untuk setiap mata pelajaran pada satu-satu masa serta tidak melebihi 80 muka surat, katanya. – BERNAMA

  • Tarikh lihat anak bulan Ramadan 22 Mac

    Tarikh lihat anak bulan Ramadan 22 Mac

    TARIKH melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini ialah pada petang Rabu, 22 Mac bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijrah.

    Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, tarikh permulaan puasa akan diisytiharkan pada malam itu melalui radio dan televisyen.

    Kenyataan itu menyebut jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

    Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan juga diperkenankan melihat anak bulan di Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

    Di Perak, lokasi melihat anak bulan adalah di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

    Lokasi lain Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

    Selain itu, Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berinchang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan (Pahang).

    Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

    “Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    Kertas siasatan kes ugutan jenayah terhadap kumpulan muzik Radja selesai

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Sabtu lepas.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

    Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada 14 individu warga tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.

    “Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 3.30 petang Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

    Kamarul Zaman berkata kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

    Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru, pukul 11.15 malam Sabtu, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur.

  • Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    Pengurus syarikat perikanan direman bantu siasatan kes suapan

    SEORANG pengurus sebuah syarikat perikanan direman tiga hari bermula semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bulanan melibatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 1 Langkawi.

    Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek berusia 37 tahun itu, dibenarkan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

    Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai terlibat sebagai orang tengah memberi suapan bulanan kepada anggota APMM, sebagai dorongan mengelak bot diperiksa anggota penguat kuasa Maritim Malaysia.

    Katanya, suspek ditahan semalam di Kuala Perlis bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Sumber SPRM itu berkata, seorang anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan Maritim ditahan oleh SPRM di Sandakan, Sabah kerana dipercayai menerima supanan bulanan ketika bertugas di Pulau Langkawi, Kedah.

    Beliau berkata, SPRM akan melakukan satu lagi tangkapan terhadap seorang lagi anggota Maritim Malaysia berpangkat Bintara Kanan Maritim, melibatkan kes yang sama.

    Sumber itu berkata, sehingga kini seramai tujuh anggota Maritim Malaysia dan dua orang awam ditahan sejak Februari, bagi membantu siasatan menerima suapan bulanan melibatkan anggota Maritim Malaysia Daerah Maritim 1 Langkawi dan anggota Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis.

    Pengarah SPRM Perlis Suzeliyana Hashim yang mengesahkan perkara itu.