Author: Bernama

  • Himpunan besar-besaran untuk tumbangkan kerajaan tidak benar – Polis

    Himpunan besar-besaran untuk tumbangkan kerajaan tidak benar – Polis

    POLIS mengesahkan dua kenyataan yang ditularkan menerusi media sosial berkenaan, akan berlakunya perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada adalah tidak benar.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata tahap keselamatan semasa terkawal, dan sehubungan itu orang ramai dinasihati agar tidak menyebar atau berkongsi lanjut tentang kenyataan itu, menerusi mana-mana platform media sosial.

    “Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitan kegusaran awam. Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang terlibat.

    “Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang berniat ingin menimbulkan kegusaran awam,” katanya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

    Semalam, tular di media sosial dua kenyataan yang hampir sama mendakwa bakal berlaku satu perhimpunan besar-besaran oleh orang Melayu di ibu negara, bertujuan menumbangkan kerajaan semasa.

  • Buang al-Quran: Polis selesai ambil keterangan 14 individu

    Buang al-Quran: Polis selesai ambil keterangan 14 individu

    SERAMAI 14 individu termasuk tiga penerbit dan tiga pencetak telah pun selesai memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang ke dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, Kuala Lumpur, bulan lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata polis kini masih dalam proses melengkapkan siasatan kes berkenaan dan sedang berusaha mengesan pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

    “Kami masih belum dapat punca sebenar al-Quran ini dari mana dan polis masih berusaha mengesan serta mengenal pasti pihak yang terlibat dengan pembuangan al-Quran secara tidak berhemah itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan pembuangan al-Quran di dalam longkang selepas hadir pada program High Profile Policing sempena Peringatan Hari Polis yang ke-216 di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

    Sebelum ini, satu video tular di laman sosial yang memaparkan seorang individu mengutip beberapa naskhah al-Quran, dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak sehingga menimbulkan perasaan marah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298 A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian atas agama.

    Sementara itu, beliau sekali lagi turut menegaskan amaran yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Jumaat lepas, bahawa polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang membangkitkan isu perkauman.

    “Polis tidak akan membiarkan ibu kota warga Kuala Lumpur dan Putrajaya diganggu-gugat keselamatan serta ketenteramannya susulan sentimen perkauman.

    “Saya tidak kompromi dengan isu ini (sentimen perkauman) maka saya harap masyarakat dapat menyokong dengan apa yang polis sasarkan iaitu menjaga ketenteraman keharmonian ibu kota ini,” katanya.

    Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama, dan telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara agar ia tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan.

    Susulan itu, Acryl Sani memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara terkawal serta menzahirkan komitmen dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara berterusan, demi memastikan keselamatan kekal terjamin.

  • Polis siasat penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’

    Polis siasat penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’

    POLIS membuka satu kertas siasaran berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata walaupun program itu telah dibatalkan semalam, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

    Beliau berkata ekoran itu, polis telah merakamkan kenyataan pengadu serta beberapa saksi bagi membantu siasatan.

    “Polis juga telah menghubungi salah seorang NGO yang terlibat program ini dan dia memberi aku janji kepada polis untuk hadir ke IPD Sentul untuk diambil keterangan pada esok. Sebaik kertas siasatan dibuat kamu akan rujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.

    “Saya berharap pihak yang terlibat memberi kerjasama untuk kami lengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui selepas program High Profile Policing sempena Peringatan Hari Polis yang ke-216 di KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan program ‘Jom Ziarah Gereja’ oleh NGO yang bernaung KBS.

    Pada Selasa lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.

    Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan hari wanita yang diadakan hadapan Sogo dan Dataran Merdeka yang dikaitkan dengan perarakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada 12 Mac lalu, Azmi berkata seramai tujuh individu termasuk penganjur telah selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan.

    “Kami menjangkakan akan merujuk kertas siasatan yang dilengkapkan ke pejabat TPR Selasa ini,” katanya.

  • Azlan Man gagal pertahan jawatan ketua UMNO bahagian

    Azlan Man gagal pertahan jawatan ketua UMNO bahagian

    BEKAS Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kangar, yang disandangnya sejak 2014 pada saingan Pemilihan UMNO yang berakhir, semalam.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu, tewas kepada bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

    Fathul Bari yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas berjaya memperoleh 368 undi, untuk mengatasi Azlan yang hanya memperoleh 179 undi.

    Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Ahli MT bagi penggal 2023-2026 yang berakhir semalam, melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.

    Ketika ini keputusan penuh masih belum diumumkan.

    Sementara itu di Melaka, Persidangan Perwakilan Bahagian Tangga Batu turut menyaksikan kejutan apabila penyandang Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tewas tipis dengan empat undi kepada Datuk Rais Yasin.

    Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, melakar kemenangan apabila memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi.

    Sementara itu, Dr Muhamad Akmal Saleh yang pada Sabtu lepas menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin yang baharu.

    Berdepan saingan empat penjuru, ADUN Merlimau itu juga melakar sejarah apabila menjadi pemimpin paling muda pada usia 35 tahun memegang jawatan tersebut, selepas menewaskan penyandangnya Datuk Hasan Rahman dengan meraih 340 undi berbanding 194 undi.

    Dua lagi calon yang tewas adalah ADUN Serkam yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan (151 undi) dan bekas Bendahari Bahagian Datuk Mohd Yusof Osman (21 undi).

  • Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    Kerajaan tanggung kenaikan kos haji RM1,000 untuk B40 – Anwar

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menanggung kenaikan kos menunaikan ibadah haji sebanyak RM1,000 bagi setiap jemaah haji golongan B40 pada tahun ini.

    Anwar berkata perkara itu merupakan perubahan yang dilakukan Kerajaan Perpaduan berkaitan pemberian subsidi kepada umat Islam di negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

    “Kita buat perubahan untuk golongan B40, walaupun tahun lalu semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini untuk B40 (kos haji) naik RM1,000. Tahun ini sepatutnya naik RM1,000, saya kira-kira rasanya untuk B40 tak perlu.

    “Jadi kenaikan RM1,000 itu akan ditanggung Kementerian Kewangan supaya orang (B40) boleh pergi (menunaikan ibadah) haji tanpa kenaikan (kos),” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Shah Alam hari ini.

    Bagi golongan M40 pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan kos haji adalah sebanyak RM3,000 manakala golongan T20 perlu membayar kos haji sepenuhnya.

    “Jadi ini cara kita melihat yang tidak dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini kerana tahun sebelumnya masih naik (kos haji),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Tabung Haji menjangkakan kos bagi menunaikan haji tahun ini akan meningkat lebih RM2,000 kepada RM30,850 bagi seorang. – BERNAMA

  • Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    Pemandu lori, kelindan maut rempuh belakang treler rosak

    SEORANG pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler rosak, yang diletakkan di tengah jalan di Kilometer 43.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Gua Musang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku, ketika kedua-dua mangsa menaiki lori kecil membawa muatan cat dari arah Gua Musang menuju Kota Bharu, pada 6.45 pagi.

    “Kejadian mengakibatkan pemandu lori Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25, dan kelindannya Nik Mohamad Nasrullah bin Mohd Nizam, 26, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan barangan besi itu berhenti di tengah-tengah jalan akibat mengalami kerosakan pada kotak gear,” katanya menerusi sebuah kenyataan di sini.

    Sik berkata jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang, untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 kerana memandu secara melulu, sehingga menyebabkan kemalangan maut,” katanya. – BERNAMA

  • Jana Wibawa: Bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM

    Jana Wibawa: Bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah, kerana disyaki bersubahat meminta wang suapan berjumlah kira-kira RM2 juta, bagi membantu menyelesaikan kes siasatan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan yang dituduh berkaitan projek Jana Wibawa.

    Sumber berkata suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu, dipercayai meminta suapan tersebut sebagai balasan antaranya untuk meminta pihak SPRM menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan menukar pertuduhan rasuah kepada pertuduhan alternatif.

    Beliau berkata suspek ditahan kira-kira 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur semalam.

    “Suspek pernah bertugas sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah di Putrajaya, sebelum bersara pada Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut sumber, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan individu tersebut direman tiga hari bermula hari ini sehingga Isnin, selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • SPRM jejak aset, wang haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

    SPRM jejak aset, wang haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjejaki aset dan wang, dipercayai berjumlah jutaan ringgit hasil kegiatan haram sindiket penipuan pelaburan antarabangsa, yang dilumpuhkan menerusi Op Tropicana pada Feb lepas.

    Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan usaha menjejak aset dan wang haram itu, dijalankan dengan kolaborasi Bank Negara Malaysia dan badan penguat kuasa antarabangsa termasuk Interpol, National Crime Agency (NCA-United Kingdom) dan Federal Bureau of Investigation (FBI).

    SPRM berkata usaha itu, merupakan tindakan susulan setelah empat dalang utama sindiket yang terdiri daripada warga asing, didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Khamis (16 Mac) dan di Mahkamah Butterworth semalam (17 Mac), iaitu dalam tempoh tiga minggu selepas operasi berkenaan dilancarkan.

    Keempat-empat warga United Kingdom telah dijatuhi hukuman penjara dan didenda selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, lima warga British dan dua rakyat Filipina merupakan antara 10 individu yang ditahan SPRM, dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 21 Feb lepas, berkaitan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

    Mereka ditahan dalam operasi dinamakan Op Tropicana diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM yang menyerbu 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk tiga pusat panggilan sindiket iaitu dua yang terletak di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

    Berhubung dakwaan bahawa lima bank utama dipantau SPRM berkaitan penglibatan dalam sindiket penipuan tersebut, SPRM memaklumkan siasatan berkenaan lebih tertumpu kepada individu-individu terlibat dan bukan melibatkan institusi kewangan tersebut secara khusus.

    “Mereka ini merupakan segelintir golongan profesional termasuk pegawai-pegawai bank, akauntan dan setiausaha syarikat, yang bertindak membolehkan urusan sindiket haram tersebut beroperasi,” katanya.

    Sehubungan itu, SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan BNM dan agensi penguat kuasa lain untuk memerangi sindiket penipuan antarabangsa. – BERNAMA

  • Kampung haram warga asing di ladang kelapa sawit diserbu, 61 ditahan JIM

    Kampung haram warga asing di ladang kelapa sawit diserbu, 61 ditahan JIM

    JABATAN Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 61 pendatang tanpa izin dalam satu operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Taman Perindustrian Air Hitam di Klang, Selangor malam tadi.

    Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata sebanyak 32 lelaki dan 29 perempuan warga Indonesia termasuk 18 kanak-kanak dan bayi berusia enam bulan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 11.30 malam.

    Beliau berkata hasil risikan mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak enam tahun lepas dengan menempatkan sebanyak 30 hingga 40 rumah yang dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air.

    “Warga asing ini dipercayai menggunakan bekalan elektrik dan air curi serta tandas yang mereka bina juga terus disalurkan ke dalam sungai. Keadaan kawasan petempatan di situ sangat kotor dan tidak layak untuk didiami, saya khuathir ia akan memberi ancaman kesihatan.

    “Saya juga sempat melihat cara kehidupan mereka di sini, ada yang bercucuk tanam seperti cili, ubi dan pisang serta memelihara ayam kampung bagi menyara kehidupan. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci di kawasan sekitar,” katanya selepas Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sini hari ini.

    Beliau berkata ketika serbuan, lebih 30 penghuni dipercayai berjaya meloloskan diri dengan menyusuri muara sungai berdekatan.

    Pemerhatian Bernama juga mendapati petempatan terbabit turut dilengkapi dengan surau, kedai runcit dan gelanggang badminton.

    Khairul Dzaimee berkata serbuan itu dilakukan berdasarkan aduan daripada penduduk setempat yang mendakwa terdapat petempatan tersorok didiami warga asing di dalam kawasan ladang kelapa sawit.

    “Hasil aduan, anggota saya menyamar dan menggunakan dron bagi melihat keseluruhan kawasan ini. Kami mendapati terdapat sebuah petempatan asing di sini,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tujuh daripada mereka memiliki Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan Kedutaan Indonesia untuk pulang ke negera mereka semasa musim pandemik COVID-19.

    “Kesemua mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata operasi itu melibatkan 195 anggota imigresen serta 10 pegawai Jabatan Pendaftaran dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

  • Penipuan dalam talian: Guru dakwa rugi lebih RM120,000

    Penipuan dalam talian: Guru dakwa rugi lebih RM120,000

    SEORANG guru mendakwa kerugian lebih RM120,000 selepas diperdayakan dalam urusan membeli seunit sistem membayar automatik rangkaian tol atau SmartTAG yang dijual pada harga RM80 menerusi media sosial.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa kejadian bermula selepas dia menekan pautan yang diberikan suspek untuk membuat pembayaran.

    “Mangsa mendakwa telah memasukkan maklumat perbankannya ke pautan itu namun pembayaran tidak berjaya menyebabkan dia kembali mengisi pautan diberikan dengan maklumat perbankan sebuah bank lain miliknya.

    “Mangsa mendakwa tetap tidak dapat menyelesaikan urusan pembayaran menyebabkan dia menyemak akaun banknya dan mendapati terdapat 16 transaksi pengeluaran dilakukan tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata mangsa membuat laporan Selasa lepas (14 Mac) di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

    Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat turun aplikasi atau mengikut pautan yang tidak sah atau mencurigakan serta membuat semakan di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.