Author: Bernama

  • Umat Islam di India, Bangladesh dan Sri Lanka mula berpuasa esok

    Umat Islam di India, Bangladesh dan Sri Lanka mula berpuasa esok

    UMAT Islam di India kecuali di negeri Kerala akan mula berpuasa esok.

    Tarikh permulaan puasa itu ditetapkan pada Jumaat memandangkan anak bulan Ramadan tidak kelihatan pada Rabu kecuali di negeri yang terletak di bahagian selatan.

    Bangladesh dan Sri Lanka juga akan mula berpuasa pada esok.

    Sementara itu, Jawatankuasa Ruet-e-Hilal Pakistan (jawatankuasa melihat anak bulan) mengisytiharkan Khamis sebagai tarikh permulaan puasa di negara ini.

    Maldives turut mula berpuasa hari ini.

  • Cadangan MRSM berbayar, kos haji tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    Cadangan MRSM berbayar, kos haji tumpuan Dewan Rakyat hari ini

    CADANGAN mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar kepada golongan yang berkemampuan dijangka dibangkitkan di mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) bertanyakan menteri kemajuan desa dan wilayah mengenai perkara itu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.

    Syed Saddiq ingin mengetahui mengenai proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar serta proses pemilihan pelajar bagi kemasukan ke sekolah berkenaan.

    Turut menarik perhatian, persoalan mengenai asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20 yang dibangkitkan Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) kepada perdana menteri.

    Pada sesi soal jawab lisan, Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta menteri kesihatan menyatakan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membina tempat letak kenderaan bertingkat di semua hospital kerajaan bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta yang kritikal.

    Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula bertanyakan menteri dalam negeri bila pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, diberi kewarganegaraan automatik.

    Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

  • Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    POLIS merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta yang dijumpai di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad, Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang suspek bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran dan meninggalkan van itu dalam keadaan enjin masih hidup, ketika serbuan dijalankan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang van terbabit mendapati 13 guni putih berisi dadah jenis syabu disorokkan di dalam timbunan pakaian terpakai.

    “Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Hampir 7,000 pegawai, pakar perubatan letak jawatan sejak 2018

    Hampir 7,000 pegawai, pakar perubatan letak jawatan sejak 2018

    SERAMAI 6,036 pegawai perubatan dan 890 pakar perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) meletak jawatan sejak 2018 hingga 2022.

    Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dalam tempoh sama juga seramai 1,651 pegawai farmasi KKM meletakkan jawatan.

    Beliau berkata, antara alasan peletakan jawatan itu ialah untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun, atas sebab peribadi, menerima tawaran menjadi pensyarah institusi pengajian awam dan swasta, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berhijrah ke luar negara serta membuka klinik atau farmasi sendiri.

    “KKM turut ambil maklum isu berbangkit peletakan jawatan ini disebabkan suasana atau persekitaran kerja di kementerian. Saya lihat isu ini adalah universal, kita tidak dapat halang mereka berhijrah untuk pendapatan yang lebih baik dan persekitaran kerja yang lebih kondusif,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Md Nasir Hashim yang mahu kementerian menyatakan apakah punca doktor dan ahli farmasi mengambil keputusan berhenti daripada perkhidmatan di hospital kerajaan dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di Dewan Negara.

    Lukanisman pada masa sama, mengakui terdapat juga pegawai menyatakan alasan peletakan jawatan mereka kerana merasakan diri dibuli ketika bertugas, selain tekanan tugas berat sehingga merasakan KKM tidak mampu menjaga kebajikan pekerja.

    “Bagaimanapun untuk kes-kes seperti ini, kita sedia membantu mereka dan beri peluang untuk bertugas.. KKM juga sedang mencari solusi berkaitan insiden buli sehingga membawa kepada peletakan jawatan.. buat masa ini kita sudah ada sistem iaitu pegawai boleh memanjangkan aduan mereka sekiranya terdapat masalah atau isu dalam fasiliti KKM,” katanya.- BERNAMA

  • Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah

    Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah

    SEORANG murid perempuan berusia sembilan tahun maut akibat digilis treler ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 11.25 pagi.

    Beliau berkata kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang melanggar motosikal dinaiki mangsa bersama seorang wanita berumur 54 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

    “Wanita yang juga pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang.

    “Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Morni berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala wanita dan kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Mohammad Ab Rahman dilantik Panglima Tentera Darat ke-29

    Mohammad Ab Rahman dilantik Panglima Tentera Darat ke-29

    TIMBALAN Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-29 berkuat kuasa hari ini.

    Beliau menggantikan Panglima Tentera Darat ke-28 Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang mula bercuti esok sebelum menamatkan perkhidmatan pada 21 Sept ini setelah hampir 43 tahun berkhidmat.

    Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan nombor satu dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Auditorium Wisma Pertahanan, di ibu negara, hari ini.

    Terdahulu, Mohammad yang berpangkat leftenan jeneral telah dinaikkan pangkat kepada jeneral bagi menjawat tampuk pimpinan tertinggi TDM.


    Mohammad yang dilahirkan pada 15 Mac 1964 di Machang, Kelantan telah berkhidmat lebih 35 tahun selepas ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 1 Julai 1987.

    Beliau merupakan lepasan Maktab Tentera Diraja Cawangan Putra pada 1980 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di University Of North Carolina di Charlotte, Amerika Syarikat.

    Sepanjang perkhidmatan dalam TDM, Mohammad telah memegang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Briged), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

    Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob. – BERNAMA

  • Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

    BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa, yang dihadapinya.

    Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah hari ini.

    “Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

    Semasa prosiding itu, Rozina menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya datang lebih awal ke mahkamah.

    “Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,” kata hakim itu.

    Wan Saiful kemudian memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.
    Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

    Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

    Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

    Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022. – BERNAMA

  • Dua lelaki didakwa ‘jual’ darjah kebesaran

    Dua lelaki didakwa ‘jual’ darjah kebesaran

    DUA lelaki didakwa memperdaya seorang individu, menyerahkan wang berjumlah RM140,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk Seri, yang tidak wujud tahun lalu.

    Tertuduh, Rohaized Abd Razak, 49 dan Shahferoz Khan Mohamed Ayub Khan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret, di Shah Alam, tidak mengaku bersalah memperdaya individu berusia 58 tahun itu.

    Mengikut pertuduhan, perbuatan terbabit dilakukan di sebuah restoran di pusat beli-belah di daerah Petaling, di antara 10 November hingga 10 Disember tahun lalu.

    Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman, menawarkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin berjumlah RM15,000, dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun peguam kepada Rohaized, Hazwan Hassan, memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang juga suri rumah, empat anak yang sedang belajar dan dua anak kecil.

    Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Shahferoz Khan turut memohon jaminan rendah, dengan alasan anak guam memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan kes itu dilakukan.

    Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan ikat jamin masing-masing RM9,000, dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei ini.

    Sementara itu, Polis Selangor dalam kenyataan berasingan memaklumkan, dua lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan penjualan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), membawa gelaran Datuk Seri.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mereka ditahan pada 15 dan 17 Mac lalu dalam dua serbuan di sekitar Melaka dan Selangor, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa pada Februari, yang mengalami kerugian sebanyak RM140,000.

    Hussein berkata, kedua-dua suspek memperdaya mangsa untuk mendapatkan pengurniaan SPMS, dengan syarat mangsa membuat bayaran sumbangan sebanyak RM600,000.

    “Untuk meyakinkan mangsa, suspek memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah itu.

    “Akibat terpedaya dengan penipuan dan surat yang diterima, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

    “Namun, mangsa berasa ditipu apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah. Dia kemudiannya tidak menjelaskan baki bayaran sebaliknya membuat laporan polis,” katanya.

    Hussein berkata, polis turut merampas surat yang dipercayai palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan itu.

  • Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah pulang barang rampasan

    Anggota polis mengaku tidak bersalah terima rasuah pulang barang rampasan

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sandakan hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk memulangkan beberapa barang rampasan.

    Mohd Razif Hashim, 30, didakwa menerima wang tunai RM3,500 daripada seorang individu bernama Said Shah di dalam sebuah kereta di kawasan Pasar Bandar Sibuga Jaya, Batu 8, dekat Sandakan pada kira-kira 11.30 pagi 30 Jun 2021.

    Mengikut pertuduhan, wang itu adalah sebagai dorongan untuk tertuduh memulangkan motosikal, buku hutang dan dua pasport Said yang dirampas pada 27 Jun 2021.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Hakim Jason juga membenarkan Mohd Razif diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • PDRM siasat video tular dua lelaki hina nabi – Saifuddin

    PDRM siasat video tular dua lelaki hina nabi – Saifuddin

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah menerima laporan berhubung video tular dalam media sosial berkaitan dua lelaki dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan kini sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia.

    “Sudah tentu KDN akan memberi keutamaan kepada perkembangan kes ini yang tentunya tidak sihat sama sekali dalam konteks amalan beragama di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-233 di Maktab Penjara Kajang, di Kajang hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad.

    Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 52 saat dalam media sosial memaparkan dua lelaki dipercayai menghina Nabi Muhammad SAW.