Author: Bernama

  • Lelaki warga India didakwa bunuh pesara

    Lelaki warga India didakwa bunuh pesara

    LELAKI warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan membunuh seorang pesara.

    S Logamurugan, 27, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Sa’adon Sahat, 57, di belakang premis bangunan tiga tingkat Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim antara 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Feb lalu.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menetapkan 10 Mei depan untuk sebutan semula kes.

  • Peniaga ikan pekasam mengaku tidak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

    Peniaga ikan pekasam mengaku tidak salah buat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor

    SEORANG peniaga ikan pekasam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di laman sosial Twitter, pada tahun lepas.

    Nor Fadzelli Nor Asmadi, 32, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk teks yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan nama profil ‘Fadzelli6’.

    Hantaran tersebut dibaca pada 25 Nov tahun lepas kira-kira 2 petang di Tingkat 19, Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

    Nor Fadzelli didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazil Sani Mohamed Fadzil yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan kepada Nor Fadzelli.

    Tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan dia sebagai anak sulung menanggung lima beradik dengan hanya membantu ibunya menjual ikan pekasam.

    Azrol membenarkan Nor Fadzelli diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.

  • Lelaki 78 tahun maut ditikam dalam pergaduhan di inap desa

    Lelaki 78 tahun maut ditikam dalam pergaduhan di inap desa

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah inap desa di Jalan Pinang, Taman Kota, dekat Kulai, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.55 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa yang berusia 78 tahun itu dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

    “Pemeriksaan awal pada tubuh si mati mendapati terdapat kecederaan akibat ditikam di bahagian perut.

    “Hasil siasatan dipercayai seorang lelaki (suspek) telah mengamuk dan bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau. Punca kejadian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tok berkata, suspek yang berusia 35 tahun berjaya ditahan di kaki lima berdekatan kawasan kejadian, kira-kira 20 minit selepas kejadian dilaporkan dan polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa.

    “Polis turut mengambil rakaman litar tertutup di inap desa berkenaan bagi membantu siasatan. Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah dan dia juga dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 14 Mac dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000

    Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000

    BAKAL jemaah haji tahun ini berpeluang mendapatkan Pakej Rahmah Haji ditawarkan pada harga bawah RM50,000 seorang oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberikan lesen oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu disambut baik oleh 23 PJH, malah ada yang menawarkan pakej pada harga antara RM43,000 dan RM45,000.

    “Alhamdulillah dengan tawaran kurang daripada RM50,000 ini kita harap akan lebih ramai (jemaah haji) mengambil tawaran disediakan, Insya-Allah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Karnival PJH 1444H/2023M bertema ‘Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji’ yang julung kali dianjurkan TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia).

    Turut dilancarkan Direktori PJH sebagai rujukan untuk bakal jemaah haji.

    Na’im berkata, 23 PJH yang diberi lesen oleh TH memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah haji yang pergi sama ada secara muassasah atau pakej.

    “Sejak beberapa tahun ini, banyak berita berkaitan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan pihak media. Kerajaan memandang serius dan bertekad menangani penipuan membabitkan jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ini,” katanya.

    Beliau berkata, TH bekerjasama erat dengan polis serta syarikat berdaftar bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menangani masalah itu.

    Na’im juga menegaskan TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkait tawaran dan pakej haji, justeru individu atau syarikat menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Akta Tabung Haji 1995.

  • Anwar ‘agak dukacita’ tak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Putera Mahkota

    Anwar ‘agak dukacita’ tak dapat bertemu Raja Arab Saudi, Putera Mahkota

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Arab Saudi hari ini berkata negara itu sebagai rakan utama bagi Malaysia di Timur Tengah.

    Anwar pada sidang media di Jeddah berkata hubungan Malaysia dengan Arab Saudi termasuk dalam urusan perniagaan, perbankan dan kegiatan Islam masih terjalin begitu baik.

    Sementara itu, Anwar berkata pimpinan Arab Saudi juga sebenarnya telah memohon supaya dia memanjangkan kunjungannya sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu.

    Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkotanya telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

    “Saya sambut baik pandangan ini tetapi agak dukacita kerana tidak dapat memenuhi, termasuk pertemuan yang dijdualkan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, kerana dijadualkan esok untuk majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong dan sejurus selepas itu lawatan rasmi ke Kemboja,” katanya.

    Anwar dan delegasi berlepas ke Kuala Lumpur daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, 12.30 pagi Sabtu, waktu tempatan.

    Perdana menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja pada 27 Mac ini.

    Sepanjang lawatan rasminya, Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, antara lain sempat mengadakan pertemuan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam.

    Anwar juga menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL) Sheikh Dr Mohammad bin Abdulkarim Al-Issa.

    Selain itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani tiga Perjanjian Persefahaman melibatkan syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi

    Anwar dan delegasi juga sempat melengkapkan ibadah umrah di Mekah dan ziarah di Madinah serta beramah mesra dalam program iftar bersama rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Mekah dan Madinah.

  • Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    Dua terbunuh dalam letupan kilang coklat di AS

    SEKURANG-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam letupan dan kebakaran di sebuah kilang coklat di Pennsylvania Amerika Syarikat, lapor Sputnik.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan pada Jumaat (21:00 GMT), memusnahkan sebahagian daripada kilang coklat R.M. Palmer Company di West Reading, Berks County, lapor The New York Times memetik kenyatan polis West Reading.

    WPVI-TV melaporkan dua orang maut dan tujuh lagi hilang. Sekurang-kurangnya enam orang dimasukkan ke hospital akibat kecederaan.

    Letupan berkemungkinan disebabkan oleh kebocoran gas. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

  • Penemuan puluhan bangkai, rangka kucing: Veterinar digesa siasat

    Penemuan puluhan bangkai, rangka kucing: Veterinar digesa siasat

    PERSATUAN Haiwan Malaysia menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar membuat siasatan menyeluruh dan komprehensif berhubung penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di Kuala Lumpur, 11 Mac lepas.

    Penganalisis Jenayah Haiwan yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata pihaknya menerima aduan berkenaan daripada pemilik rumah itu yang disewa seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun setelah laporan polis dibuat pengadu pada 13 Mac lepas, tidak mendapat sebarang reaksi positif.

    Beliau berkata pengadu terpanggil untuk membuat pemeriksaan di rumah berkenaan selepas menerima aduan daripada jiran-jiran yang tidak tahan dengan bau busuk dipercayai datang dari rumah tersebut.

    “Ketika pemeriksaan dibuat di rumah berkenaan yang kebetulan tidak berkunci selain suspek yang sedang tidur di dalam bilik, pengadu terkejut kerana menemukan bangkai dan percikan darah di situ.

    Tong berisi organ kucing

    “Dia kemudiannya melihat ke bahagian dapur sebelum menemui bangkai kucing yang telah dilapah.

    “Dia turut menemukan sebuah tong yang berisi organ kucing selain penemuan sama di dalam peti sejuk,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Arie berkata selain itu, pengadu turut mendakwa terdapat sebuah baldi yang berisi daging dipercayai daging kucing yang baru dikisar suspek.

    Setelah mengumpul beberapa bukti berupa gambar di lokasi kejadian, pengadu telah tampil membuat laporan polis.

    ‘Laporan polis tak dilayan’

    Bagaimanapun, katanya laporan dibuat tidak dilayan dengan alasan polis tiada kuasa membuat siasatan dan penguatkuasaan, walaupun terdapat Seksyen 428 Kanun Keseksaan (khianat dan membunuh haiwan) di bawah bidang kuasa polis.

    Menurut Arie pihaknya telah memaklumkan kes berkenaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya pada 16 Mac lepas supaya siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh bagi mengetahui motif insiden tersebut berlaku.

    “Kami gesa siasatan dibuat segera terhadap kaedah mematikan yang zalim kerana berdasarkan keadaan kucing yang kulitnya dilapah, organ dikeluarkan serta badan dipotong, ini menunjukkan keraguan terhadap cara mematikan yang tidak berlandaskan peraturan dan undang-undang haiwan di negara ini.

    “Ini adalah kes pertama yang dikesan melibatkan pembunuhan haiwan dalam kuantiti yang banyak di negara ini oleh seorang lelaki tempatan,” katanya sambil menegaskan mahu pendakwaan dibuat di mahkamah terhadap suspek mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 demi keadilan kepada haiwan tersebut.

  • Sultan Johor titah cadang tanah Orang Asli jadi tanah kesultanan

    Sultan Johor titah cadang tanah Orang Asli jadi tanah kesultanan

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mencadangkan tanah-tanah Orang Asli di negeri ini dijadikan tanah kesultanan.

    Baginda bertitah hal ini bagi memastikan ia lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia.

    “Kawasan Orang Asli dan sempadannya telah ditentukan oleh kerajaan negeri sejak zaman Almarhum Sultan Abu Bakar lagi.

    “Di samping Enakmen Tanah Kesultanan, penguatkuasaan sedia ada juga harus dipergiatkan ke atas sebarang salah laku,” titah Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook baginda, malam tadi.

    Sultan Johor bertitah langkah-langkah perlu diambil bagi mengelakkan Orang Asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Baginda bertitah ada dalam kalangan Orang Asli dieksploitasi bagi menceroboh tanah demi kegiatan haram seperti tanaman kelapa sawit, memotong kayu-kayan yang bernilai serta memburu binatang liar.

    “Orang Asli di Johor dijaga baik oleh pihak kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk kehidupan mereka seperti jalan raya, perumahan, sekolah serta surau. Sesetengah penempatan Orang Asli turut ada kemudahan Internet.

    “Namun, ada orang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas golongan ini, mengeksploitasikan mereka dalam kegiatan yang tidak sah di sisi undang-undang. Ada yang menceroboh tanah perladangan sehingga beratus ekar. Sudah pasti mereka dipergunakan oleh orang luar,” titah baginda.

  • Azeem raih emas 100m di Florida

    Azeem raih emas 100m di Florida

    JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mencipta sensasi di Amerika Syarikat selepas menjuarai acara 100 meter (m) di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi tadi (3 pagi waktu Malaysia).

    Pada kejohanan yang berlangsung di Mike Long Track di Tallahassee, Florida, Azeem yang mewakili Universiti Auburn menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.32 saat (s) sekali gus meninggalkan sembilan pelumba lain.

    Lebih manis, ia adalah kemenangan sulung buat atlet berusia 18 tahun itu yang membuat debut kejohanan luar dewan di bumi ‘Uncle Sam’ itu selepas tiga penampilan dalam acara 60m dalam dewan sebelum ini.

    Tempat kedua acara itu dimenangi Andre Ewers (10.49s) manakala tempat ketiga dimenangi Trei Thorogood (10.51s) mewakili Universiti Syracuse.

    Bulan lepas, Azeem menampilkan permulaan baik di Amerika Syarikat selepas memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki dalam dewan miliknya sendiri pada kejohanan Tiger Paw Invitational.

  • Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan rasuah berkaitan permit kerja

    SEORANG bekas penolong juruteknik Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Labuan hari ini atas tujuh tuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,500 berhubung dokumentasi permit kerja.

    Mazeran Mohamad Zain, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui transaksi dalam talian antara 31 Okt 2019 dan 20 Dis 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

    Hakim Jason Juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan seorang penjamin tempatan serta perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 22 Mei untuk sebutan kes.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Joe Randy Juster, manakala tertuduh diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh.