Author: Bernama

  • Peniaga mengaku tidak bersalah perdagang dua wanita untuk seks

    Peniaga mengaku tidak bersalah perdagang dua wanita untuk seks

    SEORANG peniaga hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks di Bahau, Jempol.

    Tertuduh, Muhammad Soleh Abdullah, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Soleh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati antara November 2022 hingga 11 Mac lepas, pada 11.50 malam di Taman Khaya 2 Bahau, Jempol, memperdagangkan seorang wanita berusia 28 tahun bagi eksploitasi seks.

    Bagi pertuduhan kedua, dia bersama seorang lagi yang masih bebas antara 2 Mac hingga 11 Mac, pada tempat dan waktu yang sama didapati memperdagangkan seorang lagi wanita berusia, 34, bagi tujuan yang sama.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala Muhammad Soleh diwakili peguam, M. Gobinathan.

    Hakim kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah turut mengarahkan supaya Muhammad Soleh tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei ini bagi sebutan semula kes.

  • Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    Pesara rugi lebih RM190,000 diperdaya sindiket penipuan

    SEORANG pesara di Alor Gajah kerugian sebanyak RM194,210 akibat diperdaya sindiket penipuan yang mendakwanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa iaitu seorang wanita berusia lewat 50-an menerima panggilan telefon daripada wanita bernama Faridah yang mendakwa sebagai peguam ketika mangsa berada di rumahnya, kira-kira 8.30 malam pada 21 Dis lepas.

    “Suspek mendakwa mangsa yang juga bekas kerani agensi kerajaan terlibat dalam pengubahan wang haram sebelum perbualan mereka disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, Selangor bagi membuat laporan polis.

    “Seorang lagi suspek yang menyamar sebagai polis kemudian mengesahkan nama mangsa terlibat dalam jenayah itu dan terdapat waran tangkap atas nama mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mangsa menafikan penglibatannya dalam jenayah itu tetapi beliau telah disoal siasat dan diminta memberikan segala butiran akaun bank termasuk jumlah baki yang dimilikinya.

    Katanya mangsa juga diarah membuat akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya itu ke dalam akaun baharu berkenaan bagi tujuan siasatan.

    Arshad berkata akibat diperdaya sindiket itu, mangsa telah memindahkan kesemua wang miliknya berjumlah RM194,210 secara berperingkat bermula 28 Dis 2022 hingga 2 Jan 2023 dan mangsa menyedari semua wang tersebut kemudian telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga tanpa pengetahuannya pada 6 Jan lepas.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 24 Mac lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Anak mengaku salah kelar ibu, adik hingga cedera parah

    Anak mengaku salah kelar ibu, adik hingga cedera parah

    SEORANG penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas dua pertuduhan mencederakan ibu dan adik perempuannya dengan mengelar mereka menggunakan pisau pemotong daging.

    Muhammad Hidayat Abu Samad, 24, didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Sapiah Abdul Kadar, 49, dan Noor Iman Dania Abu Samad 11, dengan menggunakan pisau pemotong daging yang merupakan suatu alat untuk menetak di sebuah rumah di Taman Bukit Larang Indah, Melaka Tengah pada 10 malam, 10 Mac lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon Muhammad Hidayat yang tidak diwakili peguam menjalani pemeriksaan di Hospital Permai, Johor bagi mendapatkan laporan kesihatan mental.

    Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan psikiatri.

  • Polis rampas 31 kilogram ganja bernilai lebih RM78,000 terbesar di Pahang

    Polis rampas 31 kilogram ganja bernilai lebih RM78,000 terbesar di Pahang

    POLIS merampas 32 ketulan mampat disyaki ganja seberat lebih 31 kilogram dengan anggaran nilai RM78,207.50 berikutan penahanan seorang pembantu kedai makan, minggu lepas, yang merupakan rampasan terbesar di Pahang untuk tahun ini.

    Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dadah itu ditemukan dalam bangsal di Kampung Chendering di Kuantan, susulan penahanan suspek bersama satu ketulan mampat dadah itu, dipercayai sedang menunggu pelanggan, pada 5.30 petang, 21 Mac lepas di Jaya Gading.

    “Bangsal itu terletak di tepi rumah keluarga suspek dan pemeriksaan menemukan ketulan mampat dadah tersebut disimpan dalam guni dan bekas plastik.

    “Suspek dipercayai mula mengedar dadah sejak dua bulan lepas dan bergerak secara solo dengan bekalan dibawa masuk dari Kelantan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

    Ramli berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 65,566 penagih sehari dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.5 gram.

    Ramli berkata ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah selain turut mempunyai lapan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

    Polis, menurut Ramli akan memohon supaya reman suspek selama seminggu yang berakhir hari ini, disambung bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali.

  • Kemenangan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dibatalkan

    Kemenangan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dibatalkan

    KEMENANGAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 hari ini.

    Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Abdul Latip Mohamad berkata beliau menerima pemakluman itu menerusi satu surat daripada UMNO pusat menerusi aplikasi WhatsApp pada 2.26 petang tadi.

    Beliau berkata surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.

    “Surat itu memaklumkan setelah penelitian dibuat terhadap pemilihan berkenaan, Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu adalah tidak sah.

    “Sehubungan itu, UMNO bahagian Tangga Batu perlu membuat pemilihan semula bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

    Pada pemilihan berkenaan, Rais menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan hanya empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi.

    Rais turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.- BERNAMA

  • Kementerian tubuh jawatankuasa kaji bukan Islam wajib kursus kahwin

    Kementerian tubuh jawatankuasa kaji bukan Islam wajib kursus kahwin

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan kertas cadangan bagi penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji kebolehlaksanaan mewajibkan kursus praperkahwinan kepada pasangan bukan Islam.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata jawatankuasa itu akan mencadangkan program bersesuaian dan ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, mengulas cadangan Senator Aknan Ehtook agar pasangan bukan Islam yang bakal berkahwin juga melalui kursus praperkahwinan bagi membekalkan ilmu kekeluargaan kepada mereka.

    Sementara itu, mengulas mengenai kekurangan pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di pusat penempatan sementara (PPS) ketika banjir, Aiman Athirah berkata jabatan itu sudah mengambil langkah bagi mengatasi isu berkenaan menerusi pemerkasaan komuniti.

    “JKM telah mengambil inisiatif untuk memperkasakan komuniti dengan melantik ketua komuniti, ketua agensi tempatan, pengetua, guru-guru besar dan lain lain sukarelawan komuniti sebagai penyelia dan ahli jawatankuasa dan petugas di PPS yang diaktifkan semasa berlaku banjir besar.

    “Melalui pendekatan pemerkasaan dan daya tahan masyarakat semasa bencana, ia akan membolehkan ketua-ketua komuniti membuka dan mengoperasikan PPS dengan pemantauan minima daripada kakitangan JKM,” katanya.

  • RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RUU mansuh hukuman mati dibentang kali pertama di Dewan Rakyat

    RANG Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.

    Menurutnya, naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.

    Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

    Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.

    Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.

    Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.

    Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

    Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022. – BERNAMA

  • Kubah masjid runtuh, 12 orang cedera di Sulawesi

    Kubah masjid runtuh, 12 orang cedera di Sulawesi

    SEKURANG-kurangnya 12 orang cedera apabila sebahagian kubah masjid di Sulawesi Selatan, Indonesia runtuh.

    Masjid di daerah Ujung Tanah, Makassar yang dibina pada 1993 dilaporkan runtuh ketika ratusan jemaah termasuk kanak-kanak berkumpul untuk menunaikan solat Tarawih.

    Datuk Bandar Makassar Danny Pomanto berkata mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital tentera, pusat kesihatan masyarakat Pattingalloang dan Hospital Akademis Jaury.

    Beliau juga mengarahkan semua pihak berkuasa yang berkaitan memberi sokongan kepada mangsa yang cedera dan mengarahkan penutupan sementara masjid.

    Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama jabatan kerja awam bandar untuk mengenal pasti punca kejadian, ketua polis Pelabuhan Makassar Yudi Frianto dipetik media sebagai berkata.- BERNAMA

  • Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad orang lain

    Enam warga Filipina dipenjara guna MyKad orang lain

    GARA-GARA mengggunakan MyKad milik individu lain untuk memasuki negara ini minggu lepas, enam warga Filipina termasuk seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara satu hingga enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Sepang hari ini.

    Lima tertuduh Sahara Jamil, 51; Husin Jailun, 48; Nur Aisah Isanul, 19; Ujirin Pandakan, 43; Mukmin Oskar, 29; masing-masing dihukum penjara enam bulan dan turut didenda RM5,000 seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

    Kesemua mereka juga diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

    Remaja perempuan berusia 15 tahun pula dihukum penjara selama sebulan dan tiada dikenakan denda selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

    Mahkamah memerintah kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu Khamis lepas dan diarah supaya dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua individu berkenaan didakwa telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Gate J11, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang, kira-kira 1.30 tengah hari pada Khamis lepas.

    Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.

    Terdahulu, Zulkarnain dan Nor Fadilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh masuk ke negara ini melalui saluran yang tidak sah dan tindakan itu merupakan ancaman yang besar kepada negara.

    Pada Sabtu lepas, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa disyaki terbabit sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di Sabah dalam operasi khas Op Lancar bersama JPN.

  • JKDM Kelantan rampas rokok bernilai RM551,749

    JKDM Kelantan rampas rokok bernilai RM551,749

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM551,749 dalam dua serbuan premis di Kuala Krai, Isnin lepas.

    Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan itu dilakukan pada 11 pagi oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang.

    “Hasil daripada maklumat yang diterima dan intipan yang dilakukan, pasukan operasi merampas 441,120 batang rokok dan dua kenderaan turut disita.

    “Rampasan rokok dianggarkan bernilai RM174,300 di pasaran tempatan dengan kehilangan nilai cukai berjumlah RM367,449,” katanya dalam sidang media di JKDM Rantau Panjang di Kelantan hari ini.

    Wan Jamal Abdul Salam berkata susulan serbuan terbabit seorang lelaki berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

    “Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengangkut masuk rokok-rokok tersebut dari selatan tanah air dan disimpan di suatu tempat sebelum diedarkan kepada pelanggan untuk pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. 

    Jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mana yang lebih besar dan maksimum 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara selama suatu tempoh minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.