Author: Bernama

  • Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran dua kilang

    Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran dua kilang

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengambil masa hampir 10 jam untuk memadamkan kebakaran dua buah kilang iaitu kilang memproses lilin dan air mineral di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang, malam tadi.

    Ketua Zon 1 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Tilmizi Mustapha berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, menerima panggilan berhubung kebakaran kedua-dua kilang itu pada 9.18 malam.

    Beliau berkata, sepasukan anggota termasuk pegawai dari BBP Pasir Gudang, BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran dua kilang masing-masing berkeluasan 70×200 kaki terbakar hampir 80 peratus setiap satu. Operasi pemadaman dilakukan di bahagian dalam, kiri dan kanan bangunan, bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan.

    “Kita turut melakukan pengepaman bergilir dari jentera Pasir Gudang dengan jentera Tebrau menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran dan jentera Bandar Baru Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada kira-kira 7 pagi ini dan operasi masih dijalankan bagi memadam sisa api di kedua-dua kilang tersebut.

    Bagaimanapun katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Piala Sudirman: Malaysia mara ke saingan separuh akhir

    Piala Sudirman: Malaysia mara ke saingan separuh akhir

    PASUKAN muda negara terus menceriakan seluruh peminat badminton negara awal pagi ini apabila mereka berjaya menundukkan Indonesia, untuk melangkah ke saingan suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

    Apa yang membanggakan adalah semangat juang ditunjukkan oleh pemain Malaysia, yang berhempas pulas dalam saingan yang berlarutan selama hampir enam jam, sebelum dapat menundukkan musuh ketat dalam arena badminton, Indonesia, dengan keputusan 3-2.

    Ini merupakan kejayaan pertama Malaysia menundukkan Indonesia dalam Piala Sudiman selepas tiga pertemuan, sejak pertembungan pertama dalam peringkat kumpulan pada edisi 1999 di Copenhagen, Denmark, yang menyaksikan pasukan negara jiran itu menewaskan pasukan negara 4-1.

    Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan langkah kemenangan negara dengan menewaskan pilihan nombor satu dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam perlawanan pertama, dengan straight set 21-12, 21-15, dalam masa 33 minit.

    Bagaimanapun dalam perlawanan kedua, juara perseorangan wanita Sukan SEA 2019 S.Kisona gagal meneruskan kehebatan apabila ditewaskan oleh pemain nombor 21 dunia Gregoria Mariska Tunjung dengan 22-20, 18-21, 21-19 dalam masa 67 minit.

    Kemudian tiba giliran pemain harapan negara, juara All England 2021 Lee Zii Jia untuk mempamerkan kehebatan dan menceriakan peminat badminton negara apabila berjaya menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting dalam straight set 21-11, 21-16, sekali gus mencatatkan kemenangan pertama beliau menundukkan pemain itu selepas empat pertemuan sebelum ini.

    Seterusnya pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah jelas mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam aksi mereka, namun ia tidak cukup untuk mengenepikan pemenang pingat emas Olimpik Tokyo Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

    Pasangan Greysia-Apriyani berjaya memberikan sinar harapan kepada Indonesia apabila menundukkan pasangan negara dengan  22-20, 17-21, 21-18, menjadikan kedudukan kini 2-2.

    Dalam perlawanan penentuan pasangan campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mempamerkan aksi hebat, terutama dalam perlawanan ‘rubber set’ untuk mengejutkan pilihan keempat dunia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti, dengan 21-16 untuk memuktamadkan kemenangan Malaysia.

    Terdahulu Hoo-Cheah memenangi set pertama dengan 21-19 namun disebabkan banyak kesilapan, set kedua dimenangi Praveen-Melati dengan 21-9.

    Malaysia dijangka berhadapan dengan cabaran sengit dalam saingan berikutnya apabila dijadualkan bertembung sekali lagi dengan pasukan Jepun di peringkat separuh akhir pada pukul 9 malam esok (4 petang waktu Finland).

    Sebelum ini pasukan negara ditewaskan oleh Jepun 1-4 dalam saingan peringkat Kumpulan D.

    Jepun mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Taiwan, 3-1.

    Sementara itu dalam perlawanan lain di saingan peringkat suku akhir, penyandang juara China menewaskan Denmark 3-2 untuk menempah pertemuan dengan Korea Selatan nanti, selepas Korea Selatan menundukkan Thailand, 3-2.

    Dalam saingan peringkat Kumpulan D sebelum ini pasukan negara mencatatkan kemenangan keatas England 3-2 pada 27 Sept, disusuli dengan kemenangan 5-0 menundukkan Mesir pada hari berikutnya.

  • 5 insiden gastroenteritis di Singapura selepas makan kuih bulan dari Malaysia

    5 insiden gastroenteritis di Singapura selepas makan kuih bulan dari Malaysia

    SINGAPURA sedang menyiasat lima insiden gastroenteritismembabitkan 23 orang yang dilaporkan mengalami gejala itu selepas makan kuih bulan dari Malaysia.

    Dalam satu kenyataan bersama, Kementerian Kesihatan Singapura dan Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan seorang dimasukkan ke hospital dan sudah dibenarkan keluar manakala yang lain sama ada mendapatkan rawatan pesakit luar, berubat sendiri atau sembuh tanpa rawatan.

    Kuih Bulan Mao Shan Wang Snowskin diimport oleh Mdm Ling Bakery Pte Ltd dan dijual di kedai-kedai runcit di Singapura.

    “SFA telah mengarahkan pengimport segera hentikan jualan serta pengedarannya dan menarik balik produk berkenaan dari pasaran,” menurut kenyataan itu.

    Gastroenteritis adalah radang perut dan usus yang menyebabkan cirit-birit, kekejangan perut, mual atau muntah, serta demam, akibat makanan atau air yang tercemar.

  • Syarat vaksinasi lengkap kekal untuk sektor sosial, ekonomi dalam semua fasa PPN

    Syarat vaksinasi lengkap kekal untuk sektor sosial, ekonomi dalam semua fasa PPN

    SYARAT vaksinasi COVID-19 lengkap untuk setiap kemudahan sektor sosial dan ekonomi dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kekal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap, kekal bagi semua fasa PPN.

    Katanya ia berikutan perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi semua negeri, serta mengambil kira dominasi varian Delta iaitu sebanyak 94.9 peratus dalam kalangan varian baharu COVID-19 yang dikesan dalam negara.

    “Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan.

    Ketika ini negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah berada dalam Fasa Dua PPN; manakala Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Perlis, Pahang, Terengganu serta Sarawak dalam Fasa Tiga; dan Negeri Sembilan serta Labuan dalam Fasa Empat.

    Khairy berkata individu akan diiktiraf sebagai telah lengkap vaksinasi apabila telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi penerima vaksin jenis dua dos seperti Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac; manakala melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan bagi vaksin jenis dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

    Beliau berkata kejayaan untuk membawa negara keluar dari pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan sahaja tetapi juga kepada tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk,” katanya.

    Khairy berkata perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

  • 11,889 kes baharu COVID-19

    11,889 kes baharu COVID-19

    Malaysia merekodkan 11,889 kes baharu COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, berbanding 12,735 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman Facebooknya memaklumkan, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif kes adalah 2,257,584.

  • Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    Lokman Adam didakwa sebar berita tidak benar mengenai vaksin, virus COVID-19

    BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebarkan berita palsu melalui rakaman audio visual mengenai vaksin dan virus COVID-19, pada April dan Mei lepas.

    Lokman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Lokman didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.

    Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil “Lokman Adam” itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April lepas.

    Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di Kuala
    Lumpur pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April. 

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

    “Pihak kami memohon untuk penyerahan pasport OKS kerana kawasan Lembah Klang akan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.

    Peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memohon jaminan rendah serta pasport anak guamnya tidak ditahan atas alasan sempadan negara masih belum dibuka. 

    “Anak guam saya kini tidak bekerja dan membantu isterinya menjual sate selain masih menanggung 11 orang anak mereka,” kata Logen.

    Mahkamah membenarkan Lokman diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov depan untuk sebutan semula kes.

  • ”Jangan gadai prinsip sebagai anggota Paskal”- Sultan Selangor

    ”Jangan gadai prinsip sebagai anggota Paskal”- Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) supaya tidak sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan pasukan.

    Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM  bertitah lambang trimedia yang tersemat di dada anggota Paskal adalah lambang kehormatan, yang perlu dipertahankan.

    “Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota Paskal dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar Paskal,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

    Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.

    Sultan Sharafuddin turut mengingatkan warga Paskal supaya tidak mengabaikan tuntutan agama dan sentiasa mengingati Tuhan, walau dalam apa jua keadaan sekali pun selain sentiasa berdoa sekiranya mengalami kesukaran terutamanya ketika bertugas.

    “Doa akan memberikan kekuatan dan keberanian dan menghindar dari ketakutan. Insya-Allah,” titah baginda.

    Baginda bertitah faktor keselamatan hendaklah dititikberatkan dan diuji berulang kali sebelum latihan dilaksanakan dan mahu semua warga pasukan komited, melaksanakan amanah dengan penuh taat setia dan bersemangat tinggi.

    Titah baginda, hampir 39 tahun penubuhan, Paskal telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dalam melaksanakan misi-misi yang dipertanggungjawabkan, di dalam mahupun di luar negara dan berharap prestasi dan imej Paskal dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi.

    “Jika diimbas kembali, penubuhan Paskal pada tahun 1982, pasukan ini telah berfungsi untuk mempertahankan Stesen Luar Pantai TLDM di Laut China Selatan, selain melaksanakan pelbagai operasi-operasi khas di laut, darat dan udara daripada pelbagai ancaman,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin bertitah sepanjang tempoh itu juga, Paskal telah berjaya melatih seramai 1,103 orang pegawai dan anggota Tentera Laut dari dalam dan luar negara, melalui pelbagai kursus-kursus khas yang dijalankan.

    Titah baginda lagi, untuk melayakkan diri menjadi seorang anggota Paskal bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap pegawai dan anggota perlu melalui latihan-latihan yang keras dan memerlukan daya tahan yang luar biasa, malah pelbagai bentuk latihan berat perlu dihadapi bagi menguji ketahanan fizikal dan juga mental para pelatih.

    Baginda turut mengingatkan semua warga Paskal supaya persiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental, serta memastikan sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi dan operasi khas yang diamanahkan oleh pihak tertinggi TLDM.

  • Pindaan Akta Parlimen diteliti tidak benarkan Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ada kes mahkamh hadir sidang

    Pindaan Akta Parlimen diteliti tidak benarkan Ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara ada kes mahkamh hadir sidang

    PINDAAN ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang diteliti bagi membolehkan Dewan tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang sedang berdepan pendakwaan mahkamah mengambil bahagian dalam persidangan kedua-dua Dewan sehingga kes selesai.

    Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata perkara itu antara yang dicapai dalam mesyuarat khas Transformasi Parlimen hari ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipengerusikan beliau (Rais) mewakili Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

    “Selain itu kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal satu kod etika khas bagi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pentadbir Parlimen Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

    “Susulan mesyuarat itu, satu draf rang undang-undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Menteri untuk dibentang dan diluluskan kerajaan,” katanya. 

    Beliau berkata perkembangan penting yang turut dicapai ialah apabila Menteri turut menyokong penuh langkah meminda dan memperkasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

    Menurutnya langkah itu akan menyaksikan Parlimen tidak lagi tertakluk di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat.

    Rais berkata segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 Sept lepas, yang antara lain memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.

    Satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha ini dapat dilunaskan sebaik mungkin, katanya.

  • Tiada varian Mu dikesan di Malaysia

    Tiada varian Mu dikesan di Malaysia

    TIADA varian Mu COVID-19 dikesan daripada sampel-sampel yang diambil di seluruh negara sehingga kini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

    Menurut kenyataan MOSTI hari ini sehingga 30 Sept lalu, sejumlah 1,312 sampel dianalisis oleh konsortium merangkumi tujuh makmal seterusnya meningkatkan jumlah genom yang dimuat naik ke Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID) kepada 3,009. 

    Menurut MOSTI makmal-makmal tersebut adalah Institut Genom Malaysia (GMI); Institut Penyelidikan Perubatan (IMR); Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI);

    Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM);  Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan UM; Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara serta Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak.

    Menerusi analisis itu, sebanyak 1,246 sampel atau 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian jenis delta, 11 sampel beta dan 55 dari varian lain yang sampel-sampel tersebut dipilih oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan diambil dari seluruh negara. 

    “Varian delta ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baru tempatan dengan pantas,” menurut kenyataan itu.

    Menurut MOSTI maklumat tentang varian dan penularan varian amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus untuk membendung dan mengawal penularan varian yang amat berbahaya, serta menggiatkan lagi program pembangunan vaksin tempatan.

    Kenyataan itu juga memaklumkan, Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan kementeriannya meluluskan RM3,227,200 di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek genome surveillance virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus penyebab penyakit COVID-19. 

    Projek tersebut dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARSCoV-2 yang penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 terutamanya varian yang membimbangkan (VOC) seperti varian Delta serta varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) seperti varian Lambda dan Mu.

    “Ini merupakan perkembangan sokongan pembiayaan MOSTI dalam meningkatkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan vaksin tempatan yang kondusif serta berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana RM13.9 juta kepada konsortium merangkumi tujuh makmal untuk memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan. 

    Kenyataan itu juga memaklumkan melalui program tersebut kapasiti ujian berjaya ditingkatkan sebanyak lima kali ganda dengan jumlah ujian bagi ketujuh-tujuh makmal terlibat melebihi 1,000 ujian genom sebulan berbanding 200 sebulan sebelum ini.

    “Dengan sokongan dana daripada MOSTI ini, dijangka sebanyak 10,000 penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV2 akan dapat dicapai,” menurut kenyataan itu. 

  • Jenayah sindiket semakin meningkat, SPRM perlu kaedah siasatan lebih kemas – Azam

    Jenayah sindiket semakin meningkat, SPRM perlu kaedah siasatan lebih kemas – Azam

    BERMULA dengan hanya sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri sekitar lima dekad lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni selepas berjaya membongkar pelbagai kes rasuah berprofil tinggi.

    SPRM yang kini menjejak usia matang ke-54 tahun, tidak lagi menoleh ke belakang malah lebih fokus untuk membanteras isu-isu rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (rasuah berskala besar), seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini.

    “Kita tidak boleh duduk di takuk lama, kita sudah melalui zaman pascakemerdekaan, zaman pembangunan modenisasi, perkembangan ekonomi, melalui zaman kesusahan kewangan ekonomi pada 1999 kemudian negara berkembang semula dan perubahan landskap politik,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

    Perkongsian Azam mengenai perkembangan semasa suruhanjaya itu dibuat menerusi wawancara khas bersama media yang berlangsung secara maya sempena sambutan ulang tahun BPR/SPRM Ke-54 yang bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’. 

    Menurut Azam, selepas lebih separuh abad SPRM menjadi agensi ulung dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa mengikut undang-undang, pelbagai cabaran turut dihadapi.

    Beliau berkata jenayah yang berbentuk grand corruption dan jenayah sindiket semakin meningkat dan pihaknya perlu melihat kaedah penyiasatan yang lebih kemas dan berkesan.

    “Kita perlu menggandakan usaha dalam kaedah perisikan dan penyiasatan menggunakan teknologi yang lebih maju dan saya akan memohon kepada kerajaan untuk membantu kita menambah kapasiti dalam peningkatan penggunaan teknologi dalam siasatan,” katanya.

    Mengulas mengenai sambutan ulang tahun SPRM kali ini, Azam berkata pelbagai program telah dirangka untuk mempromosikan semangat integriti dalam kalangan masyarakat.

    “Integriti ini bermaksud amanah, tanggungjawab, disiplin dan perkara-perkara baik dalam diri manusia itu, jika perkara ini tiada, sudah tentu apa sahaja usaha kita untuk perangi rasuah tidak berkesan.

    “Antara lain, kita perlu mengadakan undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat, pegawai kerajaan dan pegawai SPRM. Selepas itu, barulah  usaha untuk memerangi rasuah boleh dijalankan dengan berkesan,” katanya.- BERNAMA