Author: Bernama

  • Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    Polis buka kertas siasatan video dakwa anggota lakukan peras ugut

    POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung penularan video di aplikasi sosial semalam yang mendakwa seorang anggota polis memeras ugut individu di Bulatan Dato Onn di ibu negara.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah mengenal pasti individu dan anggota polis terlibat dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Yahaya, siasatan awal pihak polis mendapati individu yang dirakam telah mendakwa diperas ugut oleh anggota polis berkenaan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di media sosial tanpa sumber sahih dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222.

    Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi TikTok semalam memaparkan seorang anggota polis lengkap beruniform melakukan pemeriksaan terhadap individu berlatar belakangkan Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato Onn.- BERNAMA

  • Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    Had usia teksi, e-hailing seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun – APAD

    AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan pelanjutan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing di seluruh negara dinaikkan kepada 15 tahun.

    Menurut APAD dalam kenyataan hari ini, langkah itu sejajar hasrat Kementerian Pengangkutan untuk melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah penambaikan sistem pengangkutan negara.

    Menurut agensi itu pelanjutan tersebut terguna pakai bagi kenderaan dalam kelas lesen teksi dan e-hailing yang telah mencapai had usia maksimum bermula 1 Jan tahun ini.

    Antara syarat lain ialah semua kenderaan yang akan diberi kelulusan tersebut mematuhi dan melepasi semua syarat pemeriksaan berkala wajib Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), selain mematuhi syarat operasi lain yang ditetapkan bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan, keselesaan pengguna dan imej industri terjamin, menurut kenyataan itu.

    “Sehubungan itu, pihak APAD berharap pemain industri teksi dan e-hailing dapat meningkatkan mutu perkhidmatan seterusnya menjadikan perkhidmatan ini sebagai mod pilihan rakyat yang diyakini dan berkualiti,” katanya.

    Maklumat dan pertanyaan lanjut boleh didapati di laman portal rasmi APAD iaitu www.apad.gov.my atau hadir terus ke pejabat APAD berhampiran.- BERNAMA

  • Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    Geram kad bank ‘ditelan’, lelaki pecah skrin mesin ATM

    POLIS menahan seorang lelaki kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri awal pagi tadi.

    Ketua Polis Iskandar Puteri, Rahmat Ariffin, berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu disyaki berada bawah pengaruh alkohol ketika melakukan perbuatan berkenaan, kira-kira 3.15 pagi.

    Beliau berkata, lelaki tersebut bertindak demikian selepas berang apabila kad banknya tidak dikembalikan oleh mesin itu ketika melakukan transaksi.

    “Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Iskandar Puteri berjaya menangkap suspek yang disyaki melakukan khianat pada harta-benda.

    “Pemeriksaan mendapati suspek memecahkan skrin sebuah daripada mesin ATM di bank tersebut selain turut menendang tong sampah yang mengandungi resit dalam bank terbabit akibat geram,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

  • Exco Melaka dijangka angkat sumpah Rabu

    Exco Melaka dijangka angkat sumpah Rabu

    MAJLIS istiadat angkat sumpah barisan exco Melaka dijangka berlangsung Rabu ini.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan nama exco itu dibincang dan diterima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga timbalan perdana menteri, semalam.

    “Seperti yang saya janjikan, saya telah melengkapkan senarai nama barisan exco dalam tempoh 48 jam.

    “Senarai nama yang dirundingkan telah diterima dan saya akan menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam selepas beliau pulang dari luar negara.”

    Beliau berkata demikian selepas memulakan tugas rasmi sebagai ketua menteri Melaka ke-13 dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh pagi ini.

    Katanya, urusan pengumuman rasmi barisan exco itu akan diselesaikan sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ke Melaka Rabu ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas komposisi Exco daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan serta jawatan timbalan exco yang akan diwujudkan. Katanya, hal itu hanya akan diumumkan kemudian.

    “Apa yang boleh saya katakan, portfolio cantik dan menarik. Jadi, kita tunggulah Rabu ini,” katanya.

    Terdahulu, Rauf, 62, tiba di Seri Negeri dengan menaiki kenderaan rasmi ketua menteri pada 7.30 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Jumaat lalu, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

    RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya (HPj), semalam.

    Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dan pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

    “Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan sahabat handai yang sama-sama mendoakan kehadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan warga kerja HPj termasuk pakar perubatan dan petugas kesihatan lain serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Raja Perlis itu dapat berjalan dengan sempurna.

    “Pembedahan Tuanku Raja Perlis telah dijalankan bersama empat orang Pakar Perunding Ortopedik dan tiga orang Pakar Perunding Anestesia. Turut berada di hospital pada semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) HPj Dr Mohammad Khairol Anwar Yusop,” menurut kenyataan itu.

    Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berada di HPj ketika pembedahan itu dilaksanakan.- BERNAMA

  • Senarai Exco baharu cantik, menarik – Ab Rauf

    Senarai Exco baharu cantik, menarik – Ab Rauf

    KETUA Menteri Melaka yang baharu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan barisan exco kerajaan negeri yang akan dibentuk, sebagai ‘cantik dan menarik’.

    Beliau berkata walaupun pembentukan kerajaan negeri itu tidak sama seperti di Perak dan Pahang selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, namun dengan barisan exco baharu itu akan menonjolkan perpaduan dalam kalangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), sama seperti di peringkat kerajaan Persekutuan.

    “Kita akan memberikan kesamarataan dalam pembentukan ini…Insya-Allah nanti saya beritahu (barisan Exco), tapi ia amat cantik dan menarik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bazar Ramadan di Klebang di Melaka hari ini.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu sebelum ini dilapor berkata, beliau membayangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH akan menyertai kerajaan negeri, sekali gus memastikan barisan Exco yang akan dibentuk lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

    Ditanya bila barisan Exco akan diumumkan, ADUN Tanjung Bidara itu berkata ia akan diumumkan selepas mendapat persetujuan daripada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    “Takpelah kita tunggulah… kalau lewat sikit pun masih ada masa kecederaan. 48 jam itu saya cakap saya dah bentuk (barisan Exco) tapi saya tak umum lagi (senarai),” katanya.

    Mengulas mengenai tindakan bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mahu UMNO mengambil tindakan terhadap kritikan terbukanya susulan pertukaran Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf berkata ia bukan masa untuk bergaduh sesama sendiri.

    “Zaman sekarang kita nak mengolah negeri Melaka ke arah lebih baik, bukan nak tunjuk kita bergaduh sesama kita. Kita tak boleh jadi hero dalam mana-mana isu.

    “Sebenarnya yang kita nak bawa dalam apa juga pembentukan yang baharu ini, kita nak bawa rakyat ini lebih baik lagi, negeri ini lebih makmur,” katanya.

  • Polis tahan lelaki ugut, khianat pemandu lain di lampu isyarat Pasir Gudang

    Polis tahan lelaki ugut, khianat pemandu lain di lampu isyarat Pasir Gudang

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di Pasir Gudang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah menangkap lelaki itu di kawasan Pasir Putih, Pasir Guaang, pada pukul 6.20 petang.

    Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 35 tahun itu, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang telah memotong kenderaannya, kira-kira pukul 2.15 petang.

    Tambah beliau, dia kemudiannya bertindak menghimpit dan melanggar belakang kereta mangsa, sebelum mereka kemudiannya berhenti di tepi jalan dan dia mengeluarkan sebatang besi lalu mengugut untuk memukul mangsa.

    “Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebatang besi berukuran 60 sentimeter.

    “Bagaimanapun, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Sohaimi berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Pasir Gudang, petang semalam.

    Beliau berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.10 petang dan pihaknya turut merampas kesemua barangan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM8,000 dan dipercayai untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

    Mohd Sohaimi berkata antara yang dirampas ialah tiga guni mercun bola Thai, satu kotak mercun ‘Happy Boom’ Padi, satu kotak mercun ‘Happy Boom Sunset Bar’ dan satu kotak mercun ‘Happy Boom Assorted Celebrations Cake.

    “Bagaimanapun, hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    “Lelaki itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

  • KPM rancang pengambilan khas tangani kekurangan guru

    KPM rancang pengambilan khas tangani kekurangan guru

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan mengadakan pengambilan khas guru baharu dalam tempoh terdekat bagi mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara ketika ini.

    Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata KPM kekurangan guru kira-kira 4.49 peratus atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan dan meninggal dunia.

    “Sekarang kita mengalami masalah kekurangan guru dan pelbagai usaha serta langkah sedang dijalankan oleh KPM untuk mengatasi masalah itu antaranya kami dalam rancangan untuk adakan pengambilan khas guru-guru baharu.

    “Pengambilan itu akan diumumkan dalam satu atau dua bulan lagi bagi mengatasi masalah kekurangan guru terutama bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Institut Pengajian Tinggi Awam Siri 2 Tahun 2023 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Shang Wu, George Town hari ini.

    Lim berkata masalah kekurangan guru itu berlaku di seluruh negara dan bukan hanya negeri tertentu malah turut membabitkan kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

    Sementara itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata pameran itu bertujuan menyediakan platform kepada pelajar sekolah menengah khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia untuk mengetahui dengan lebih mendalam peluang yang disediakan oleh kerajaan dan agensi untuk mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan masing masing.

    Katanya, KPM menyeru agar semua pelajar menyertai pameran pendidikan institusi pengajian tinggi awam yang diadakan di empat lokasi iaitu di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor untuk meneroka peluang pendidikan yang boleh disertai selepas tamat pendidikan peringkat menengah.

    “Menyedari betapa pentingnya kualiti pendidikan, semua lapisan masyarakat perlu didedahkan dengan peluang yang setara agar masa depan anak-anak kita terjamin dan menjadi aset kepada negara,” katanya.

  • ESSCom rampas RM33.291 juta dadah,barang kawalan di ESSZone tahun lalu

    ESSCom rampas RM33.291 juta dadah,barang kawalan di ESSZone tahun lalu

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) merekodkan rampasan barang kawalan serta dadah bernilai RM33.291 juta di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) pada tahun lalu, kata Komander ESSCom Datuk Hamzah Ahmad.

    Katanya rampasan itu adalah hasil operasi di darat dan laut yang dikoordinasikan oleh ESSCom dengan pelaksanaan 1,401,593 pemeriksaan terhadap individu, kenderaan dan bot sekali gus menghasilkan 1,003 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

    “Elemen penting yang mempengaruhi kejayaan operasi keselamatan pada tahun lalu adalah kerjasama baik antara pasukan keselamatan dan masyarakat di ESSZone” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan sempena hari ulang tahun ke-10 ESSCom di Lahad Datu hari ini.

    Dalam pada itu, Hamzah berkata ESSCom yang ditubuhkan pada 10 tahun lalu terus unggul mempertahankan kedaulatan di wilayah pantai timur Sabah selain dapat menangani pelbagai jenayah rentas sempadan termasuk penculikan bagi wang tebusan.

    “Kali terakhir kes penculikan melibatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf berlaku di ESSZone pada 15 Jan 2020 dan antara sebabnya, kawalan keselamatan yang ketat yang berterusan termasuk pelaksanaan perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah di ESSZone (Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Kinabatangan, Sandakan),” katanya.

    Di samping itu katanya kerajaan sedaya upaya meningkatkan kawalan keselamatan di ESSZone melalui pembinaan dan menaik taraf pos kawalan pasukan keselamatan sejak 10 tahun lalu.

    “Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk pemerkasaan persempadanan selain membina sistem pengawasan di laut bagi tujuan pemantauan pergerakan komuniti maritim ESSZone,” katanya.

  • Bekas ADUN Bukit Kayu Hitam meninggal dunia

    Bekas ADUN Bukit Kayu Hitam meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar meninggal dunia hari ini.

    Perkara itu dimaklumkan anaknya Ahmad Qusyairi menerusi hantaran di Facebook yang menyatakan bapanya yang berusia 67 tahun meninggal dunia pada pukul 5.42 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

    Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan punca Allahyarham meninggal dunia.

    “Abah pergi di bulan Ramadan yang penuh mulia. Dimaklumkan bahawa ayah saya Datuk Ahmad Zaini Japar telah kembali ke rahmatullah pada jam 5.42 pagi di PPUM Kuala Lumpur.

    “Solat jenazah dan penghormatan terakhir untuk Allahyarham akan diadakan di rumah Allahyarham di No.176, Jalan Indah 3, Suasana Indah, Jitra, Kedah selepas selesai urusan di hospital,” katanya.

    Ahmad Qusyairi berkata jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Changlun, Changlun.

    Allahyarham Ahmad Zaini yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 dan berjaya mempertahankan kerusi itu semasa PRU13 pada 2013.

    Bagaimanapun pada PRU14, Allahyarham gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan difahamkan tidak melibatkan diri dalam PRU15 disebabkan masalah kesihatan.