Author: Bernama

  • Penyanyi Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

    Penyanyi Jason Lo kekal bebas tuduhan dadah

    PENYANYI Jason Lo kekal bebas atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo daripada pertuduhan itu.

    “Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden (Jason Lo) dikekalkan,” kata Noorin.

    Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan, manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

    Pada 24 Jun tahun lepas, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo yang juga ahli perniagaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 48, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.

    Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun.

    Jason Lo ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya dalam kes itu.

    “Saya percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan saya hargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantu saya dalam kes ini,” katanya. — BERNAMA

  • Jurujual dituduh pandu melulu hingga sebabkan kematian

    Jurujual dituduh pandu melulu hingga sebabkan kematian

    SEORANG jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor Isnin minggu lalu.

    Tan Min Chun, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, di sini pada 3.30 petang 27 Mac, dengan memandu kenderaan jenis Mazda CX5 secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohd Kamarul Shahril A Samad, 43.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh, namun peguam, Tan Song Yan yang mewakili Min Chun memohon ia dikurangkan atas alasan anak guamnya masih menanggung isteri dan anak berusia setahun selain menjaga ibu sudah berusia.

    Majistret Siti Zubaidah Mahat membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April sebagai tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA

  • 24 Julai dengar permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    24 Julai dengar permohonan Irwan Serigar, Arul Kanda batal saman 1MDB

    MAHKAMAH Tinggi hari ini menetapkan 24 Julai ini untuk mendengar permohonan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bagi membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka yang menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

    Peguam Brendan Siva, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, berkata Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    “Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan (Mohd Irwan dan Arul Kanda) memfailkan afidavit tambahan bagi permohonan mereka untuk meminda pernyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Mei ini serta memfailkan hujahan tambahan untuk permohonan pembatalan saman sekiranya ada pada tempoh masa yang sama (31 Mei),” katanya.

    Prosiding itu turut dihadiri peguam K. Lavinia mewakili Mohd Irwan manakala peguam K. Gobinath bertindak bagi pihak Arul Kanda.

    Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Februari 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak AS$1.83 bilion dan AS$3.5 bilion.

    Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

    Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka telah melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

    1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

    Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

    Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

  • Lelaki ditahan bersama 21 kotak rokok seludup

    Lelaki ditahan bersama 21 kotak rokok seludup

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas 21 kotak rokok dipercayai diseludup bernilai RM84,000, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya di Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata individu berusia 46 tahun itu ditahan sepasukan polis Gerakan Am Batalion 5 Simpang Renggam pada 4.05 petang.

    “Lelaki terbabit ditahan kerana memiliki pelbagai rokok tidak bercukai dan hasil tangkapan kita menemui 18 kotak rokok jenama John JDB, dua kotak Canyon Premium Merah dan sekotak Manchester Merah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata turut dirampas sebuah motosikal dan kereta Proton Saga dengan keseluruhan rampasan termasuk rokok berjumlah RM108,000.

    Bagaimanapun, Mohd Sohaimi berkata pihaknya masih menyiasat bagi mengetahui peranan lelaki itu dan dari mana rokok seludup terbabit diperoleh.

    Menurutnya lelaki tersebut yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, direman 14 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam  1967.

  • Ditipu scammer, pesara guru rugi lebih RM500,000

    Ditipu scammer, pesara guru rugi lebih RM500,000

    SEORANG pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian lebih RM500,000 gara-gara terpedaya dengan panggilan ‘scam’ yang kononnya dari syarikat insurans.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 59 tahun itu pada mulanya dikatakan mempunyai tuntutan insurans di sebuah hospital swasta sebelum panggilannya disambung kepada ‘pegawai polis’ untuk siasatan sumber kewangan yang ada dalam akaun wanita itu.

    “Wanita itu diminta untuk membuat pindahan keseluruhan wang ke dalam satu akaun miliknya bagi tujuan siasatan sumber kewangan milik mangsa. Akibat cemas dan ketakutan, mangsa memberikan semua maklumat kad ATM bank milik mangsa kepada individu terbabit bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

    Mohd Yusri berkata, mangsa kemudian menyedari wangnya sebanyak RM585,904.22 lesap semasa ingin mengeluarkan wang dari akaun banknya, mangsa menyedari ditipu syarikat insurans berkenaan dan membuat laporan polis.

    Justeru, orang ramai diingatkan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa ‘scam’ termasuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej individu atau nombor telefon yang tidak dikenali .

    “Guna aplikasi whoscall, truecaller dan sebagainya untuk mengetahui identiti pemanggil, jangan mudah panik dan cemas apabila menerima panggilan daripada scammer.

    “Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut seraya memberi pilihan untuk ‘selesai di luar’, sentiasa membuat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi yang berkaitan,” katanya.

    Orang ramai juga diminta memberitahu pasangan, rakan atau ahli keluarga tentang panggilan diterima bagi mendapatkan pandangan atau menghubungi hotline National Scam Response Centre 997 untuk laporan atau mendapatkan khidmat nasihat.

    Jangan kongsi atau serah maklumat perbankan dalam apa jua keadaan jika diminta oleh orang yang tidak dikenali, katanya.

  • Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    Mekanik didakwa edar kanabis lebih 60kg

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Batu Pahat hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 60kg bulan lepas.

    Mohd Borhan Saim, 37, didakwa mengedar kanabis seberat 63,120 gram di tepi Jalan Kampung Parit Selamat, Mukim 7, Yong Peng di Batu Pahat, pada 8.30 malam, 26 Mac lepas.

    Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Lelaki itu mengangguk faham selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    Bomoh pengganda wang bunuh 10 pelanggan ditahan polis

    SEORANG bomoh pengganda wang dikenali sebagai ‘Mbah Slamet’ yang disyaki membunuh 10 orang pelanggan sejak 2020 ditahan polis di Jawa Tengah pada Sabtu lepas.

    Slamet Tohari, 45, ditahan di rumahnya di Desa Balun, Wanayasa, Banjarnegara bersama seorang pembantunya yang mempromosikan perkhidmatan penggandaan wang di media sosial.

    Kegiatannya terbongkar apabila Polis Banjarnegara menjalankan siasatan berhubung kehilangan mangsa terakhir yang gagal dihubungi keluarga sejak 24 Mac lepas.

    Ketua Polis Banjarnegara, Hendri Yulianto berkata, mangsa memaklumkan sedang berada di rumah Mbah Slamet kepada anaknya melalui pesanan WhatsApp.

    “Mangsa dari Sukabumi, Jawa Barat berpesan agar menghubungi polis jika beliau masih belum pulang selepas 26 Mac,” katanya.

    Bertindak atas laporan, polis menemukan mayat mangsa dipercayai akibat diracun, di ladang Desa Balun serta penemuan tiga kubur mangsa lain yang majoriti dari luar Banjarnegara termasuk dari Palembang.

    Sebanyak 10 mayat dipindahkan pihak berkuasa setakat ini.

    Kesemua mangsa diperdaya Mbah Slamet yang kononnya mampu menggandakan wang daripada 40 juta rupiah (RM11,822) kepada lima bilion rupiah (RM1.5 juta).

    Kes disiasat di bawah Perkara 340 Kanun Jenayah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun penjara.

  • Gempa bumi di Laut China Selatan tidak hasilkan gegaran permukaan-MetMalaysia

    Gempa bumi di Laut China Selatan tidak hasilkan gegaran permukaan-MetMalaysia

    GEMPA bumi yang berlaku di Laut China Selatan awal pagi semalam tidak menghasilkan sebarang gegaran di permukaan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini.

    MetMalaysia memaklumkan perkara ini kerana gempa bumi itu berlaku terlalu dalam iaitu 611 kilometer (km), malah pemantauan yang dijalankan secara dekat mendapati tiada sebarang gempa susulan berlaku.

    Menurut kenyataan itu, Sistem Rangkaian Seismik MET Malaysia telah mengesan gempa bumi itu berlaku pada pukul 3.32 pagi dengan 4.4 pada skala Richter di kedudukan 6.45° Utara 115.87° Timur di Laut China Selatan.

    “Sehubungan itu, maklumat gempa bumi tersebut telah direkodkan dan tidak dihebahkan kepada pihak awam semalam, namun MetMalaysia akan terus menjalankan pemantauan kejadian gempa bumi.

    “Kedudukan gempa bumi berkenaan berada di kedudukan yang secara amnya di luar zon aktif gempa iaitu di luar lingkaran api Pasifik,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, tular dalam media sosial mendakwa satu kejadian gempa bumi berlaku di Laut China Selatan kira-kira 53 km dari Kota Kinabalu.

    Menurut kenyataan MetMalaysia, berdasarkan peta seismotektonik edisi kelima pada 2009 yang dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains, gempa bumi itu berada di kawasan inactive thrust fault.

    “Oleh yang demikian, gempa bumi yang berlaku di laut dengan magnitud kurang daripada lima dan kedalaman melebihi 300 km tidak memberi kesan di permukaan,” menurut kenyataan itu.

  • Pengumuman agihan dividen TH tahun ini dijangka lewat – Menteri Agama

    Pengumuman agihan dividen TH tahun ini dijangka lewat – Menteri Agama

    TARIKH pengumuman dan semakan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2022 dijangka sedikit lewat berbanding tahun lepas, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata ia berikutan agihan dividen hanya boleh dibuat selepas audit bersih dilaksanakan.

    “Insya-Allah dalam masa terdekat… ia agak lewat sedikit kerana laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memerlukan TH untuk mengumumkan agihan dividen setelah audit bersih dibuat.

    “Jadi ia mengambil sedikit masa untuk membuat pengumuman tarikh (agihan dividen) berbanding tahun lepas,” katanya sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Negara hari ini.

    Ia bagi menjawab celahan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin mengetahui tarikh pengumuman dividen TH pada tahun ini.

    Pada tahun lalu, pengumuman berhubung perkara itu dilakukan pada 24 Feb 2022.

    Sementara itu Mohd Na’im berkata kerajaan sangat komited dan optimis dalam melahirkan huffaz yang berkualiti dengan merangka pelbagai strategi selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dilancarkan pada 2018.

    Menurutnya berdasarkan data Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, rekod sehingga Februari 2023 mencatatkan seramai 10,675 huffaz berjaya dilahirkan dengan 2,102 orang daripadanya merupakan huffaz profesional daripada lapan buah institusi pengajian tinggi.

    “Kerajaan juga telah membina pelan tindakan DPTN yang mengandungi 20 strategi dan 32 inisiatif yang berpandukan kepada lima teras antaranya memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan; mewujudkan model insitusi tahfiz serta mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana,” katanya.

  • Penyerang Kamal Adli tidak dibenar ikat jamin

    Penyerang Kamal Adli tidak dibenar ikat jamin

    MAHKAMAH Singapura tidak membenarkan lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli diikat jamin.

    “Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Mental (IMH), saya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin,” kata Hakim Daerah Brenda Tan hari ini.

    Hakim bersetuju terhadap permohonan pendakwaan untuk tidak menawarkan ikat jamin dan menangguhkan kes itu selama empat minggu bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan siasatan.

    “Kes ini ditangguhkan selama empat minggu kepada 2 Mei,” kata Tan.

    Tertuduh sebelum itu direman tiga minggu di IMH untuk pemerhatian psikiatri.

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac atas pertuduhan “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya”.

    Mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalaha dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.

    Terdahulu, tertuduh yang hadir di mahkamah, membantah permohonan pendakwaraya untuk tidak membenarkan dia diikat jamin.

    Tertuduh yang ditanya Tan berhubung bantahannya, berkata semakan IMH telah mendapati dia “berkelakuan dan bertingkah laku baik”.

    “Jadi saya tidak nampak kenapa saya tidak diberi tawaran jaminan,” kata tertuduh yang tidak diwakili peguam.

    Tan menangguhkan kes itu selama kira-kira tiga minit bagi membolehkan mahkamah membaca dua perenggan, khususnya 18 dan 21 dalam laporan IMH, kepada tertuduh.

    Tertuduh yang memakai baju-T hitam kemudiannya berkata “tidak semua dalam perenggan 18 dan 21 adalah benar…saya tidak setuju.”

    Pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, Polis Singapura menerima maklumat mengenai kes tertuduh didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive.

    Polis merampas baton itu yang menjadi barang kes.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 di Dewan 5A Ekspo Singapura selama tiga hari bermula 10 Mac. Insiden berlaku di penghujung acara itu.