Author: Bernama

  • Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    MALAYSIA menyumbang RM5 juta kepada Palestin untuk membantu usaha membina semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei.

    Pertukaran Nota (EoN) mengenai sumbangan itu dimeterai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada Khamis.

    Saifuddin berkata, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.

    “Serangan yang tidak henti-henti oleh Israel telah musnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19,” katanya di majlis menandatangani EoN itu.

    Walid Abu Ali menunjukkan gambar Klinik Al-Remal yang mengalami kerosakan akibat serangan udara rejim Zionis Israel Mel lalui dalam sidang media bersama Saifuddin Abdullah di Putrajaya, hari ini. – Gambar: Facebook Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.

    Beliau berkata, sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan kepada UNRWA sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan US$1 juta yang akan dibayar sebanyak US$ 200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

    “Sumbangan kerajaan itu sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

    Selain bantuan kewangan, Saifuddin berkata, Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.

    “Terdapat ramai penuntut Palestin di Malaysia, ada dapat biasiswa dan ada tidak. Kami mahu bincang perkara ini dengan pihak berkaitan untuk lihat bagaimana kita boleh bantu pelajar Palestin di Malaysia dan menarik lebih ramai datang belajar di sini dengan bantuan kewangan.

    “Mengenai pekerjaan pula, rakyat Palestin yang tinggal di sini hanya guna kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ) dan kami akan pastikan mereka tidak dieksploitasi,” katanya.

    Sementara itu, Walid berkata, Klinik Al-Rimal sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.

    “Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin. Kami amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel,” katanya.

    Walid berkata, beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad. – BERNAMA

  • Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    PERBICARAAN kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke 26 Okt ini kerana peguam utamanya, Harvinderjit Singh menghadiri pengebumian.

    Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Harvinderjit menghadiri upacara pengebumian pengajarnya sebelum beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

    “Pihak-pihak telah bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan pada hari ini kepada 26 dan 27 Okt depan.

    “Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Muhammad Shafee terikat dengan kes lain,” kata peguam itu pada prosiding perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung pada hari ini.

    Sarah berkata, perbicaraan selama empat hari adalah memadai memandangkan hanya tiga lagi saksi akan dipanggil dan mencadangkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 8 dan 10 Dis ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan tarikh perbicaraan pada November dilapangkan dan menangguhkan perbicaraan pada hari ini selain menetapkan 26 Okt untuk sambung bicara.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lipis hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapa kandungnya, minggu lalu.

    Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Mohammad Maasai, 68, dan ibu, Zailan Zainudin, 64, di sebuah rumah di Kampung Kemahang Benta, di sini antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Okt lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding berkenaan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

    Berikutan itu Siti Aisyah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang dan kejadian didakwa berlaku selepas lelaki itu berbual bersama bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan. – BERNAMA

  • Mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka jalan seperti biasa

    Mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka jalan seperti biasa

    MESYUARAT Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    “Ada yang boleh dan tidak boleh. Jadi, bagi memastikan kerajaan di bawah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Kamel Mohamad, saya sebagai Ketua Menteri dan Exco yang ada sudah tentu membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara ini terus berfungsi dengan baik.

    “Ini terutama aktiviti berkaitan bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa, dipantau seperti kebiasaannya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) serta perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka, di sini hari ini.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zailee Dollah dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman.

    Mesyuarat Exco berlangsung semalam adalah yang pertama dipengerusikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kerajaan sementara sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

    Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

    Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, Melaka dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ketiga bulan ini.

    “Melaka sepatutnya boleh bersama dengan Pahang untuk beralih ke Fasa Empat namun keadaan kes yang turun naik menyebabkan kita tangguhkan dahulu. Keputusan peralihan fasa akan ditentukan pada minggu hadapan,” katanya.

    Sementara itu, OSHMP25 merupakan kesinambungan daripada tiga pelan strategik lima tahun KKP terdahulu yang bermatlamat membentuk budaya kerja selamat dan sihat, sekali gus menjadi tunggak dalam menjadikan tempat kerja di Malaysia selamat serta sihat menerusi program strategik pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan yang komprehensif.

    Program seminar itu dihadiri 50 peserta secara bersemuka dan 750 lagi secara dalam talian, terdiri daripada golongan profesional dari jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, universiti awam dan swasta serta pengamal KKP. – BERNAMA

  • Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    SEORANG bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

    Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, dekat sini di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

    Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

    Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pada 17 dan 19 Jun 2019.

    Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

    Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

    Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

    Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi. – BERNAMA

  • Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    TIGA individu termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mengedar dadah minggu lepas.

    Tertuduh lelaki warga India Narayanan Loganathan, 42, wanita warga Indonesia Puteri Adelia, 21, dan wanita tempatan M. Hemamalani, 26, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

    Mengikut kertas pertuduhan, Narayanan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 62,000 gram di sebuah rumah di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.15 petang, 4 Okt lepas.

    Lelaki yang bekerja di kedai runcit itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Puteri Adelia dan Hemamalani yang tidak bekerja pula didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah jenis pil Yaba seberat 161 gram di sebuah rumah lain di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.30 petang hari yang sama.

    Pertuduhan ke atas kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut seksyen sama dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan Narayanan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Raja Segaran.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia. – BERNAMA

  • MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

    Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

    “Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

    “Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

    Terdahulu, Nancy berkata, dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

    Katanya, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

    Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini. – BERNAMA

  • 5 maut, 2 lagi cedera dalam serangan guna panah

    5 maut, 2 lagi cedera dalam serangan guna panah

    LIMA terbunuh dan dua yang lain cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, kira-kira 82 km barat daya ibu kota Norway, Oslo pada Rabu, kata polis.

    Seorang daripada dua mangsa yang cedera adalah anggota polis berpakaian awam. Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital, menurut maklumat yang disahkan oleh Ketua Polis daerah tenggara Oyvind Aas kepada Perbadanan Penyiaran Norway (NRK) pada Rabu malam.

    “Sekitar pukul 18:13 waktu tempatan, polis menerima maklumat mengenai seorang individu yang bersenjatakan busur dan anak panah menyerang orang awam,” lapor Xinhua memetik Aas dalam sidang media sebelumnya.

    Menurut ketua polis, suspek ditangkap di kawasan yang sama sekitar jam 18:40 waktu tempatan. Berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri sebelum ditangkap.

    “Berdasarkan maklumat yang kami ada, suspek bertindak sendirian. Berdasarkan kejadian itu, ia wajar dipertimbangkan sebagai serangan pengganas, namun terlalu awal untuk membuat kesimpulan,” kata Aas.

    Polis belum dapat menentukan sama ada kejadian itu adalah serangan bermotif pengganas dan masih meneruskan pengawasan di kawasan itu.

    Menurut Aas siasatan mengenai serangan itu masih berjalan. – BERNAMA

  • 90.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    90.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    MALAYSIA kini mencatat 90.9 peratus populasi dewasa atau 21,290,960 individu lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (13 Okt).

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan di portal COVIDNOW, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,230,828 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, sejumlah 207,520 dos vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 46,252,254 dos bagi golongan dewasa.

    Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 453,906 atau 14.4 peratus melengkapkan suntikan vaksin, manakala 75.9 peratus atau 2,390,062 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept lepas. – BERNAMA

  • Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

    Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

    AHLI Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.

    Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: “Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.

    Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Muhammad Rafique, yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.

    Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Ketika membenarkan tertuduh diikat jamin, Rozina berkata jika boleh penjamin berkenaan adalah individu yang tinggal di Semenanjung.

    “Kita tidak mahu sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sana (Labuan) atau apa sahaja, ia menjadi kesukaran…jadi, mahkamah mahu penjamin yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor,” kata Rozina.

    Mahkamah turut menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA