Author: Bernama

  • 1MDB dibenar serah writ saman 6 pihak luar negara

    1MDB dibenar serah writ saman 6 pihak luar negara

    1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan writ saman terhadap enam pihak termasuk dua syarikat perbankan, di luar negara.

    Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon membenarkan permohonan 1MDB untuk kebenaran menyerahkan writ saman itu kepada defendan yang berada di luar negara.

    Enam pihak itu ialah syarikat perbankan Coutts & Co Ltd dan J.P. Morgan (Switzerland) Ltd; dua syarikat yang diperbadankan di Arab Saudi iaitu Petrosaudi International Limited dan Petrosaudi Holdings (Cayman) Limited serta dua individu masing-masing warga Arab Saudi, Tarik Isam Ahmed Obaid (Tarik Obaid) dan warga Britain, Patrick Andrew Marc Mahony (Patrick Mahony).

    Kesemua pihak itu merupakan defendan kedua hingga ketujuh dalam tuntutan saman difailkan 1MDB bernilai US$1.83 billion antaranya atas dakwaan melanggar kontrak, cuai dan melakukan konspirasi jenayah bagi penyelewengan dana 1MDB.

    Perkara itu disahkan oleh peguam dari Messrs. Rosli Dahlan Saravana Partnership semasa dihubungi Bernama di sini hari ini.

    “Ya, kami sahkan bahawa hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan plaintif bagi kebenaran untuk menyampaikan notis writ di luar bidang kuasa terhadap defendan di luar negara.

    “Selepas mendengar hujah peguam plaintif, mahkamah mengeluarkan perintah yang membenarkan permohonan kami. Mahkamah turut menetapkan 8 Nov sebagai tarikh untuk pengurusan kes berikutnya,” kata peguam 1MDB itu selepas prosiding secara maya.

    Beliau menambah setakat hari ini defendan pertama Deutsche Bank (Malaysia) Bhd telah disampaikan writ saman itu.

    1MDB selaku plaintif secara ex parte telah menfailkan notis permohonan itu secara berasingan pada 27 Ogos lepas, untuk mengeluarkan dan menyampaikan writ saman serentak bagi penyampaian di luar bidang kuasa.

    Defendan pertama, Deutsche Bank, adalah pihak tempatan, dan Peraturan Mahkamah membenarkan permohonan dibuat terhadap defendan kedua hingga kelima walaupun mereka berada di luar Malaysia, antara lain di Zurich dan Geneva, Switzerland; Al Khobar di Arab Saudi dan Grand Cayman di Kepulauan Cayman, sementara defendan keenam Tarik Obaid adalah penduduk Al-Khobar, Arab Saudi, defendan ketujuh Patrick Mohany di London, Britain.

    Dalam permohonan itu plaintif turut memohon kebenaran untuk menyampaikan writ saman serentak terhadap semua defendan di mana sahaja mereka boleh ditemukan.

    Pada 7 Mei lepas, 1MDB memfailkan saman itu dengan menamakan Deutsche Bank (Malaysia) Bhd, Coutts & Co, J.P. Morgan (Switzerland), Petrosaudi International, Petrosaudi Holdings (Cayman), Tarik Obaid dan Patrick Mahony sebagai defendan pertama hingga ketujuh.

    Plaintif mendakwa kesemua defendan cuai, melanggar kontrak dan berkonspirasi untuk menipu 1MDB sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat berkenaan serta menjejaskan reputasi dan nama baik 1MDB. – BERNAMA

  • Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes samun dan rogol pekerja asing

    Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes samun dan rogol pekerja asing

    POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pecah masuk sebuah asrama pekerja asing, serta samun dan rogol seorang wanita di bilik asrama berkenaan di kawasan perumahan di Perai, di sini Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan secara berasingan di kawasan Seberang Perai Tengah, di Bukit Mertajam semalam.

    Beliau berkata berdasarkan laporan, wanita warga asing berkenaan dikatakan sedang tidur di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja asing itu, apabila dia dikejutkan oleh seorang lelaki yang masuk ke biliknya pada kira-kira pukul 4 pagi.

    “Wanita itu mendakwa pintu biliknya itu berkunci, dan suspek yang bersenjatakan objek tajam meletakkan senjata itu di leher mangsa sebelum merogolnya dan mengambil wang RM299,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shafee berkata berdasarkan pemeriksaan suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil pintu hadapan rumah dan bilik mangsa.

    Katanya wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut manakala dua lelaki dengan pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 dan 376 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Badan Peguam Malaysia mohon jadi sahabat mahkamah rayuan Najib, Nazifuddin

    Badan Peguam Malaysia mohon jadi sahabat mahkamah rayuan Najib, Nazifuddin

    BADAN Peguam Malaysia memohon untuk menjadi ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Mahkamah Persekutuan.

    Berdasarkan surat bertarikh 13 Okt yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam Malaysia memohon mahkamah membenarkan lapan peguamnya diterima masuk sebagai ‘amicus curiae’ bagi mendengar rayuan itu.

    Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran merayu perintah Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai itu.

    Badan Peguam Malaysia antara lain menyatakan bahawa kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai ‘amicus curiae’ untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

    Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, ketika dihubungi pemberita mengesahkan pihaknya telah menerima surat itu menerusi e-mel hari ini.

    Beliau berkata pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 29 Okt ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rasidah Roslee.

    Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan

    Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh Hakim Datuk Ahmad Bache dan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

    Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    LHDN, melalui kerajaan Malaysia, turut memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. – BERNAMA

  • COVID-19: 12,456 kes sembuh, atasi 8,084 kes baharu

    COVID-19: 12,456 kes sembuh, atasi 8,084 kes baharu

    SEBANYAK 12,456 kes sembuh COVID-19 direkodkan setakat 12 tengah hari tadi, mengatasi jumlah kes baharu iaitu 8,084 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menurutnya, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 2,240,345.

    Dr Noor Hisham berkata, daripada 8,084 kes baharu, sebanyak 8,063 adalah penularan tempatan manakala 21 lagi kes import.

    “Sejumlah 98.4 peratus atau 7,951 daripada jumlah kes baharu hari ini melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan, manakala 1.6 peratus atau 133 kes pula kategori tiga, empat, dan lima,” katanya dalam kenyataan.

    Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 702 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 683 kes melibatkan wabak itu dan 19 lagi disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Bagi kes yang memerlukan bantuan pernafasan adalah 367 dengan 286 kes melibatkan COVID-19 serta 81 yang lain disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Selain itu, 17 kluster baharu dikenal pasti membabitkan sembilan kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi serta satu kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

    Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebagai persediaan ke arah fasa endemik, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menaik taraf perkhidmatan Pusat Penilaian COVID-19 dan antara inisiatif yang dilaksanakan adalah penambahbaikan penilaian kes COVID-19 di fasiliti kesihatan primer.

    Bagi tujuan itu, beliau berkata klinik kesihatan akan melakukan ujian pengesahan bagi orang yang disyaki, selain individu bergejala boleh tampil ke klinik kesihatan berdekatan bagi menjalani pemeriksaaan dan penilaian kesihatan secara ‘walk-in’ atau janji temu bagi mengurangkan kesesakan, masa menunggu serta risiko jangkitan silang.

    “Selain itu, inisiatif melibatkan pemantauan kes COVID-19 oleh pengamal perubatan swasta (CAC GP) dengan kini terdapat 1,149 CAC GP yang diwartakan di seluruh Malaysia dengan 81 daripadanya aktif dalam menyediakan perkhidmatan pemantauan kes yang sedang menjalani isolasi di rumah,” katanya.

    KKM turut melaksanakan penubuhan CAC Swasta (CACS) oleh pengamal perubatan swasta dengan menetapkan garis panduan kepada pihak yang ingin menyediakan perkhidmatan tersebut iaitu pemohon hendaklah pemegang perakuan daripada sesebuah klinik perubatan swasta berdaftar di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

    Pemohon juga perlu diwartakan sebagai Pegawai Diberi Kuasa di bawah Seksyen 3, Akta 342 bagi tujuan pemberian perintah pengawasan dan penjagaan di rumah serta pemakaian peranti pengawasan.

    Selain perluasan CAC secara maya bagi individu positif yang tidak bergejala dan bukan dari golongan berisiko tinggi, KKM turut melaksanakan perkhidmatan Automated Voice Recording (Robocall) dengan individu yang melaporkan gejala akan menerima SMS dan panggilan Robocall untuk mereka hadir ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan lanjut. – BERNAMA

  • UMNO yang rugi kalau tolak politik muafakat

    UMNO yang rugi kalau tolak politik muafakat

    APA jua pendirian yang disuarakan UMNO tidak boleh melihat kepada kepentingan parti sahaja tetapi harus melihat kepada kedudukan parti sebagai pihak yang memimpin kerajaan dan memerlukan kerjasama banyak pihak.

    Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sekiranya kerjasama itu ditolak ia akan merugikan parti.

    “Politik muafakat, perbincangan dan inklusiviti ini perlu diberi perhatian serius oleh UMNO,” katanya kepada media selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) ataupun Bersatu.

    Annuar berkata, beliau berpandangan UMNO tidak harus melupakan betapa pentingnya kerjasama dengan banyak pihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Perdana Menteri memerlukan sokongan dan hubungan baik dengan banyak pihak dan tidak seharusnya satu PRN atau Pilihan Raya Kecil boleh menggugat konsep Keluarga Malaysia dan inklusiviti yang dianjurkan beliau,” katanya.

    Annuar berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini akan memutuskan pendirian Ahmad Zahid berhubung PRN Melaka.

    “Apapun saya fikir UMNO harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kenyataan yang dikeluarkan daripada pendapat individu boleh membawa masalah kepada parti.

    “Dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi bagi mengelakkan pandangan peribadi kerana ia didorong oleh sentimen tertentu yang merugikan,” katanya. – BERNAMA

  • Zahid keluarkan RM17.9 juta dana Yayasan Akalbudi bantu anak perempuan beli hotel di Bali

    Zahid keluarkan RM17.9 juta dana Yayasan Akalbudi bantu anak perempuan beli hotel di Bali

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid telah mengeluarkan sejumlah RM17.9 juta daripada dana Yayasan Akalbudi (YAB) antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata anak Ahmad Zahid iaitu Datuk Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.

    “Pembeli yang berminat ialah Nurulhidayah dan ini disahkan oleh Tan Sri Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83) serta Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) yang telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama,” katanya.

    Beliau berkata perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan spesifik kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB berjumlah RM17,953,191.04 melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.

    “Firma itu (Lewis & co) telah mengeluarkan sekeping cek pada 30 Jun 2016 bagi jumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd sebaik menerima arahan daripada tertuduh. 

    “Menurut B. Muralidharan (saksi pendakwaan ke-87), beliau telah diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu bagi tujuan membeli 60 peratus saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset. 

    “Sebelum ini, Tan Sri Rashid memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesukaran dari segi pembayaran bagi pinjaman sebanyak US$24.8 juta daripada EXIM Bank untuk pembelian hotel tersebut di Bali, Indonesia,” katanya.

    Raja Rozela berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

    Beliau berkata Ahmad Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.

    Katanya Ahmad Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.

    “Mejar Mazlina Mazlan (bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid) dalam kenyataannya menyebut cek terbabit disediakan atas arahan dan pengetahuan tertuduh,” katanya. 

    Pendakwaan turut menyangkal dakwaan pembelaan bahawa Mazlina memiliki kawalan penuh ke atas buku cek justeru, tertuduh tidak mempunyai akses kepada dokumen itu. 

    “Itu hanya alasan kerana Ahmad Zahid adalah bos Mazlina. Beliau hanya perlu meminta Mazlina menunjukkan buku cek dan penyata kad kredit kepadanya.

    “Kami berhujah bahawa Mejar Mazlina bukan sengaja menyembunyikan buku cek daripada tertuduh. Tidak ada asas untuk rumusan itu,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB. 

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Isnin depan. – BERNAMA

  • Inspektor polis lepas, bebas tuduhan tukar barang rampasan

    Inspektor polis lepas, bebas tuduhan tukar barang rampasan

    SEORANG pegawai polis wanita berpangkat inspektor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, daripada pertuduhan menukar barang rampasan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 201.2 gram kepada gula batu untuk dihantar ke Jabatan Kimia pada 2019.

    Majistret P. Sarulatha  membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Inspektor Juliana Shamsuddin, 37, di akhir kes pendakwaan.

    Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan dikendalikan sejak dia dituduh kali pertama pada 12 Feb tahun lepas.

    Juliana didakwa menukar barang rampasan membabitkan 15 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 201.2 gram kepada gula batu sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis, dengan niat melindungi seorang individu daripada hukuman.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu sekitar pukul 7.30 malam pada 4 Jan 2019 sehingga pukul 11.31 pagi pada 10 Jan 2019 di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dekat sini, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan dengan tempoh penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Sarulatha dalam penghakimannya berkata terdapat beberapa kelompongan yang tidak dapat ditutup oleh pihak pendakwaan antaranya membabitkan kawalan kunci bilik penyiasat, sehingga menimbulkan tanda tanya.

    Selain itu, beliau berkata pihak pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang juga seorang anggota polis, yang disebut ketika perbicaraan berlangsung.

    “Pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan. Pertuduhan juga cacat apabila hanya satu daripada 15 paket plastik lut sinar sahaja diuji membuatkan kandungan 14 paket lagi menjadi tanda tanya,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon manakala  tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi. – BERNAMA

  • Syed Saddiq dilantik Pengerusi Kaukus Medical Cannabis

    Syed Saddiq dilantik Pengerusi Kaukus Medical Cannabis

    SEMBILAN Ahli Parlimen bersetuju menubuhkan Kaukus Medical Cannabis yang dipengerusikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengkaji isu kawal selia penggunaan ketum dan kanabis perubatan bagi mengurangkan kemudaratan sebagai antara bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.

    Satu kenyataan bersama oleh sembilan Ahli Parlimen berkenaan hari ini menyatakan kaukus berkenaan diwakili Ahli Parlimen merentas pelbagai parti sebagai usaha bipartisan yang murni dalam merangka dasar dan strategi berkaitan ketum dan kanabis perubatan.

    “Kaukus ini akan hadir dengan draf cadangan untuk perhatian kerajaan bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada kaedah perubatan ketum dan kanabis dapat dijaga melalui sistem kesihatan negara,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan bersama itu ditulis Syed Saddiq dan ahli-ahli kaukus iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Khalid Abd Samad (Shah Alam); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat); Datuk Ignatius Darell Leiking (Penampang); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Dr Azman Ismail (Kuala Kedah); Lukanisman Awang Sauni (Sibuti) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

    Sebagai sebahagian daripada rangka kerja awal, kaukus berkenaan akan bertemu dengan kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan berkaitan serta kementerian yang terlibat bagi mendapatkan pandangan untuk pembentukan dasar.

    Menurut kenyataan itu ia juga selaras dengan usaha mengembangkan industri ketum dan kanabis perubatan di Malaysia yang memberi manfaat kepada industri kesihatan negara.

    “Kaukus Medical Cannabis percaya bahawa semangat bipartisan yang diangkat ini akan dapat diterjemah kepada dasar dan strategi yang baik untuk manfaat rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Peniaga air tebu hampir hancur jari tersepit mesin

    Peniaga air tebu hampir hancur jari tersepit mesin

    SEORANG lelaki hampir hancur jari tangan kirinya selepas tersepit pada mesin air tebu dalam kejadian di Taman Dato’ Shahbandar, dekat sini pagi tadi. 

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohammad Idris berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.34 pagi tadi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian bagi membantu lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu yang berniaga air tebu di depan rumah.

    “Anggota bomba mengambil masa kurang daripada lima minit bagi mengeluarkan tangan kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad berkata peniaga tersebut dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut. – BERNAMA

  • Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    Suri rumah mengaku tidak bersalah peras wang suami

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap suami sendiri dengan mengambil wang tunai mangsa berjumlah RM13,000 di sebuah hotel dekat sini, bulan lepas.

    Alimi Wahidah Shamsul, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

    Dia didakwa berniat jahat melakukan pemerasan terhadap suami, Mat Yassin Junus, 60, dengan cara mengambil wang tunai berkenaan sebagai cagaran sehingga membawa ketakutan kepada mangsa di sebuah hotel dekat Kota Bharu kira-kira 6.19 petang, 21 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nazuha Mohd Nasir menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam Aryani Mohd Amin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon jumlah jaminan tidak lebih RM2,000.

    “Tertuduh mempunyai dua anak yang masih bersekolah malah turut menjaga ibunya yang berusia 75 tahun dan uzur,” kata peguam itu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes. – BERNAMA