Author: Bernama

  • Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    Lelaki ada rekod dadah kantoi seludup 94,600 rokok

    SEORANG lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan pernah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) sekali lagi ditahan selepas memiliki sebanyak 94,600 batang rokok seludup bernilai RM189,200 di Kampung Dangar, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua rokok itu dijumpai di rumah suspek berusia 49 tahun itu ketika serbuan dilakukan pada kira-kira pada pukul 11 malam.

    “Pemeriksaan badan ke atas suspek gagal menemukan sebarang barangan larangan namun selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumahnya, 10 kotak besar mengandungi 94,600 batang rokok putih dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam kes berasingan, Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya merampas 400 biji pil kuda selepas menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di hadapan sebuah kedai di Kampung Tobuak di Tendong pada 11.30 malam tadi.

    Ketika ditahan dan pemeriksaan badan dilakukan, polis menemukan satu beg hitam kelabu di pinggang suspek sebelum menjumpai dua paket plastik biru berisi 400 biji pil kuda bernilai RM4,000.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin serta memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya menambah kes rampasan pil kuda ini akan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen15(1)(a) akta yang sama. – BERNAMA

  • Mangsa banjir Melaka meningkat, Selangor semakin pulih

    Mangsa banjir Melaka meningkat, Selangor semakin pulih

    JUMLAH mangsa banjir di Melaka terus meningkat pagi ini manakala keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Selangor pula semakin pulih.

    Di MELAKA, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,105 orang daripada 283 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 932 mangsa daripada 249 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka, Lt Kolonel Cuthbert John Martin Qudra berkata jumlah PPS di tiga daerah masih kekal 12 buah setakat ini.

    Beliau berkata, Melaka Tengah mencatat jumlah mangsa paling ramai membabitkan 718 orang daripada 173 keluarga di enam PPS.

    Antara PPS dibuka di daerah tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

    Di daerah Alor Gajah pula seramai 121 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala di Jasin, seramai 266 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen.

    Beliau berkata, lokasi terjejas banjir di Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

    Katanya, bagi Alor Gajah, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasau dan Tehel.

    Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, setakat 8 pagi tadi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semakin pulih.

    “Keadaan banjir semakin baik dan mengikut rekod yang kita peroleh, terdapat tujuh pusat pemindahan di Sepang yang melibatkan 69 keluarga dengan 279 mangsa,” katanya kepada Bernama.

    Norazam berkata, pihak berkuasa akan membenarkan mangsa banjir di PPS pulang jika keadaan selamat dan semakin baik. – BERNAMA

  • Majlis Pemulihan Negeri perlu ditubuhkan di setiap negeri – Muhyiddin

    Majlis Pemulihan Negeri perlu ditubuhkan di setiap negeri – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Pemulihan Negeri perlu ditubuhkan di setiap negeri bagi mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.

    Beliau berkata majlis itu boleh menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi melancarkan proses pemulihan yang dirancang. 

    Menurutnya dalam beberapa sesi dialog sebelum ini, antara perkara yang dibangkitkan oleh peserta berhubung Majlis Pemulihan Negara adalah mengenai kaitannya dengan kuasa kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT); dan bukannya (melibatkan) kuasa Persekutuan sahaja.

    ”Oleh itu bagi mempercepatkan proses pemulihan, saya harap kerajaan-kerajaan negeri (dapat) menubuhkan majlis itu dan ia mempermudahkan urusan MPN,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sesi Dialog Pemain Industri Sektor Ekonomi dan Sosial Negeri Melaka di Melaka hari ini. 

    Mengenai sesi dialog hari ini Muhyiddin berkata antara pandangan yang diterima daripada pemain industri pelancongan adalah supaya pembukaan pintu sempadan negara disegerakan agar pelawat asing dapat datang ke negara ini untuk melancong.

    ”Perkara ini ada dalam pertimbangan kerajaan dan saya akan kemukakan lagi pandangan itu dalam mesyuarat MPN yang akan datang,” katanya. 

  • Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    MALAYSIA secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah pada Rabu berkata Malaysia teguh dengan komitmennya yang senantiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

    Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

    “”Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

    Datuk Saifuddin Abdullah
    Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin.

    Menurut laporan media, Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej pada Isnin berkata bahawa Oman, Tunisia, Qatar, dan Malaysia mungkin menyertai Perjanjian Abraham.

    Bekas pentadbiran Amerika Syarikat Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan beberapa negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi, menormalkan hubungan dengan Israel. – BERNAMA

  • JPN semak status rakyat Malaysia umur 90 ke atas

    JPN semak status rakyat Malaysia umur 90 ke atas

    JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyemak dan mengemas kini maklumat serta status rakyat Malaysia berumur 90 tahun ke atas.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ia susulan dakwaan ada rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia tidak didaftarkan kematian mereka dalam sistem JPN khususnya mereka yang berumur 90 tahun ke atas.

    Hamzah berkata pasukan itu akan menyemak dan mengemas kini maklumat serta status individu berkenaan bagi mengesahkan status sebenar mereka, sama ada masih hidup atau meninggal dunia.

    Menurut beliau, antara pendekatan yang digunakan JPN untuk pengesahan status adalah dengan menghubungi waris terdekat dan mencari mereka di alamat terakhir yang didaftarkan dengan JPN.

    “Sekiranya mendapati mereka telah meninggal dunia berdasarkan pengesahan waris atau pihak-pihak tertentu, maka JPN akan mendaftarkan kematian mereka berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada,” katanya pada majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-73 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

    Berdasarkan rekod JPN, katanya terdapat 63,620 individu yang berusia 90 tahun ke atas yang masih hidup.

    Mengenai urusan pendaftaran pengundi yang berumur 18 tahun, Hamzah berkata JPN sentiasa bersedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan proses itu.

    “JPN sentiasa membantu dan memberikan akses sistem JPN kepada pihak SPR untuk mendapatkan maklumat individu yang layak mengundi serta bagi proses pendaftaran dan semakan daftar pengundi,” katanya.

    Hamzah dalam pada itu berkata JPN akan terus memperkasa inisiatif turun padang seperti program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang bertujuan membantu rakyat tidak berkeupayaan untuk hadir berurusan di pejabat JPN bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

    Menurutnya, JPN telah menjalankan 4,116 Program Mekar dalam tempoh 2017 hingga 2021, dengan sejumlah 104,517 permohonan diterima merangkumi urusan kad pengenalan, kelahiran dan kematian. – BERNAMA

  • Identiti Digital Nasional dilaksana sepenuhnya 2024

    Identiti Digital Nasional dilaksana sepenuhnya 2024

    IDENTITI Digital Nasional (IDN) akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2024, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau menjelaskan bahawa IDN tidak akan menggantikan MyKad sebagai dokumen pengenalan diri sebaliknya merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.

    “Pengesahan individu secara digital ini penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara,” katanya pada sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-73 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

    Hamzah berkata proses perancangan IDN bermula tahun ini, dengan sistem dan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan ditambah baik supaya sentiasa terkini dan selamat agar urusan pengesahan identiti pengguna melalui IDN dapat dikendalikan dengan baik.

    “Dengan adanya IDN ini, semakan dan pengesahan individu warganegara yang mempunyai MyKad dapat dilaksanakan dengan mudah dan tepat.

    “Ia bukan hanya dapat membantu melancarkan semua proses yang terlibat, apa yang lebih penting ia mampu memberi keyakinan tinggi kepada rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

    Menurut Hamzah JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang membangunkan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM) yang merupakan satu integrasi antara sistem JPN dengan Sistem Laporan Polis (PRS) yang melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.

    Beliau berkata sistem itu memudahkan proses pengesahan kematian yang dilaporkan kesemua balai polis berkenaan dan melibatkan kematian yang tiada unsur jenayah di rumah.

    Melalui sistem integrasi itu, katanya JPN akan membuat pengesahan kematian secara dalam talian sekali gus mempercepatkan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris.

    “Sebelum pelaksanaan SPDIM ini, rakyat perlu menunggu untuk mendapatkan sijil kematian, namun dengan adanya sistem ini pengeluaran sijil kematian boleh dibuat pada hari yang sama kematian dilaporkan di balai polis,” katanya.

    Hamzah berkata JPN akan memperluaskan perkhidmatan dalam talian sedia ada antaranya pendaftaran kelahiran, permohonan kad pengenalan 12 tahun, pendaftaran perkahwinan dan gantian MyKad kepada urus niaga lain berdasarkan kesesuaian bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatannya.

    “Perkhidmatan dalam talian atau eServices yang telah disediakan JPN telah mencapai satu tahap yang membanggakan. Kini pemohon hanya perlu hadir ke pejabat JPN untuk membuat pengesahan dan mengambil dokumen yang telah siap diproses,” katanya.

    Hamzah dalam pada itu berkata tema sambutan Hari Pendaftaran Negara tahun ini iaitu “JPN 73 Tahun: Transformasi Digital” adalah bersesuaian dan bertepatan susulan peralihan ke arah transformasi perkhidmatan secara digital dan dalam talian.

    “Peralihan dan penambahbaikan daripada sistem lama kepada digital ini terbukti mampu meningkatkan tahap keselamatan maklumat data peribadi penduduk Malaysia, terutamanya dalam mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab seperti pemalsuan kad pengenalan mahupun ‘black economy’ (ekonomi gelap),” katanya. – BERNAMA

  • 1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    1MDB: Tiada siapa halang Arul Kanda hadiri prosiding PAC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada siapa yang menghalang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy daripada menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan laporan audit akhir syarikat itu.

    Bekas Pengarah Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Arul Kanda atas tuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB.

    Sri Ram: Pada pengetahuan anda, adakah anda atau sesiapa menghalang Arul Kanda daripada menghadiri mesyuarat PAC untuk memberikan penjelasannya?

    Saadatul Nafisah: Tidak.

    Sri Ram: Jadi, anda tidak buat apa-apa untuk menghalangnya?

    Saadatul Nafisah; Ya.

    Bagaimanapun, beliau berkata Arul Kanda menghadiri mesyuarat pada 25 Feb, 2016, iaitu sehari selepas satu mesyuarat yang pegawai kanan kerajaan bersetuju meminda laporan asal 1MDB.

    “Beliau datang dengan laporan meminta pindaan,” kata saksi pendakwaan ketujuh itu, sambil menambah bahawa perkara yang berlaku pada 24 dan 25 Feb 2016 itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PAC.

    Menjawab soalan lain, Saadatul Nafisah, yang menyifatkan laporan audit 1MDB sebagai laporan audit khusus, berkata laporan audit mengenai projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) juga merupakan laporan khusus.

    Beliau berkata laporan audit khusus mengenai 1MDB dan projek klia2 juga dianggap bersifat siasatan.

    “Ini kerana tidak seperti audit biasa yang dibuat JAN, laporan audit khusus diminta oleh kabinet atau PAC, dan juruaudit diberi kuasa bukan sahaja mendapatkan maklumat daripada pihak diaudit tetapi juga daripada pihak lain,” tambahnya.

    Sri Ram: Anda menyifatkan ini (1MDB) sebagai audit khusus. Adakah ini kali pertama dilakukan (oleh JAN)?

    Saadatul Nafisah: Tidak. Kami telah melakukan beberapa kali sebelum ini. Terdapat permohonan daripada kabinet mengenai projek klia2.

    Beliau berkata audit mengenai projek klia2 dijalankan semasa Najib menjadi perdana menteri tetapi beliau (Najib) tidak meminta salinan laporan ataupun sebarang perubahan pada laporan itu.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 29 Nov. – BERNAMA

  • Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    Keputusan PAS buat pemilihan atau tidak, minggu depan

    KEPUTUSAN sama ada pemilihan jawatankuasa tertinggi PAS pada Muktamar Tahunan Ke-67 parti itu November ini akan dijalankan atau sebaliknya, bakal diketahui minggu depan.

    Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengumuman akan dibuat selepas mengumpul maklumat daripada pihak PAS kawasan yang baru selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

    “Setakat ini kita tiada maklumat (sesi pemilihan) sebab PAS kawasan baru sahaja habis mengadakan mesyuarat agung, jadi kita tunggu mereka hantar keputusan kepada PAS pusat.

    “Dari situ baru kita tahu sama ada akan ada pertandingan, termasuk calon dan sebagainya. Kita jangka dalam seminggu ini mereka akan hantar keputusan, jadi selepas 25 Okt baru kita akan tahu,” katanya.

    Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muktamar Tahunan PAS Ke-67 tahun akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di Terengganu. – BERNAMA

  • Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    Mahkamah benarkan rayuan Shafee saman fitnah terhadap Majlis Peguam

    MAHKAMAH Persekutuan di Putrajaya hari ini membenarkan rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam dan dua lagi berhubung peranannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Dua lagi responden ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C. George.

    Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli juga mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi terhadap Majlis Peguam selaku responden ketiga.

    Hakim Abdul Rahman ketika membacakan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah tidak membuat perintah yang sama terhadap Thomas dan George, kerana responden pertama dan kedua mereka bukan badan berkanun yang terikat dengan Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976.

    Beliau berkata rayuan itu hanya berkaitan dengan persoalan sama ada responden bertanggungjawab dalam tort pelanggaran kewajipan statutori dan bukan untuk sebab-sebab lain tindakan, iaitu fitnah dan konspirasi untuk memfitnah.

    “Rayuan ini juga tidak berkaitan dengan pertanyaan sama ada perayu (Muhammad Shafee) telah atau tidak bersalah atas salah laku. Ia adalah perkara yang perlu ditentukan oleh Lembaga Disiplin dalam prosiding tatatertib yang sedang berjalan terhadap perayu.

    “Seksyen 99(1) LPA (Akta Profesion Undang-Undang) mensyaratkan sebarang aduan mengenai kelakuan peguam bela dan peguam cara harus dibuat secara bertulis dan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.

    “Dengan melanggar syarat undang-undang ini, Thomas dan George telah menggerakkan Majlis Peguam di bawah Seksyen 64(6) LPA untuk mendapatkan kelulusan mengutuk perayu ‘dengan tegas’ kerana melanggar disiplin,” katanya dalam keputusan yang disampaikan secara maya melalui Zoom.

    Hakim Abdul Rahman berkata Majlis Peguam telah melakukan pelanggaran undang-undang yang lebih serius apabila menerbitkan usul itu di laman webnya dan membentangkannya untuk diselesaikan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

    “Ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi sangat tidak adil dan memudaratkan perayu kerana ini merupakan prasangka terhadap kesalahannya sebelum prosiding tatatertib di hadapan Lembaga Disiplin,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman berkata untuk membenarkan ahli Majlis Peguam membuat aduan salah laku melalui usul di bawah Seksyen 64(6) LPA adalah menjadikan Seksyen 99(1) sama sekali tidak mempunyai makna, untuk itu setiap aduan mengenai tingkah laku peguam bela dan peguam cara hanya boleh dibuat kepada Majlis Peguam, dan akan diputuskan secara ringkas dari dewan tanpa perlu merujuk aduan itu kepada Lembaga Disiplin.

    “Ini bukan sesuatu yang akan dikira oleh mahkamah ini kerana ia merupakan pelanggaran undang-undang yang jelas di bawah Majlis Peguam sebagai penjaga LPA. Dalam konteks kes sekarang, badan yang diamanahkan oleh undang-undang untuk menguruskan semua perkara berhubung kelakuan peguam bela dan peguam cara adalah Lembaga Disiplin dan bukan Majlis Peguam.

    “Majlis Peguam tidak mempunyai urusan hakikat dan undang-undang untuk menangani sebarang aduan salah laku oleh peguam bela dan peguam cara, sama ada melalui usul di bawah Seksyen 64(6) atau dengan cara lain,” katanya.

    Hakim Abdul Rahman juga berkata kuasa untuk mendisiplinkan peguam bela dan peguam cara diberikan oleh Lembaga Disiplin dan kuasa ini perlu dilaksanakan oleh Lembaga berdasarkan peraturan yang relevan.

    “Majlis Peguam tahu dengan tepat apakah prosedur yang betul dalam menangani salah laku oleh ahli-ahlinya. Oleh itu ia tidak bertindak dengan baik dalam kes ini dalam membenarkan usul yang dikemukakan oleh Thomas dan George dibentangkan dan diputuskan dari Dewan, sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan Lembaga,” katanya.

    Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Porres Royan dan Lambert Rasa-Ratnam, masing-masing mewakili Thomas, George dan Majlis Peguam manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri. 

    Pada 19 Ogos 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

    Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan Muhammad Shafee terhadap responden. Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, menolak rayuan Muhammad Shafee dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

    Muhammad Shafee yang memfailkan saman itu pada Mac 2015, mendakwa pada 28 Februari 2015, Thomas yang disokong oleh George telah menerbitkan dan menyerahkan usul untuk dibincangkan di AGM Majlis Peguam pada 14 Mac 2015.

    Usul itu berhubung peranan Muhammad Shafee sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Persekutuan, mendakwa beliau (Muhammad Shafee) telah melanggar peraturan profesion undang-undang yang melarang peguam daripada mencari publisiti untuk diri sendiri.

    Usul itu turut mendakwa Muhammad Shafee terlibat dalam jelajah di seluruh negara bagi menghina banduan dan menarik perhatian terhadap peranannya dalam sabitan ke atas Anwar.

    Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan terhadap Anwar dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara, namun Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

    Dalam permohonannya, Muhammad Shafee antara lain memohon pengisytiharan bahawa usul itu mala fide kerana tujuan usul semata-mata untuk memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sesuai untuk mendengar usul itu. – BERNAMA

  • Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    MALAYSIA masih berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya tidak mengenakan diskriminasi vaksin bagi individu yang mahu ke negara itu bagi urusan mengerjakan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak ada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin COVID-19 (yang digunakan Malaysia) adalah berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.

    Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

    Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

    Khairy dalam pada itu berkata, satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

    Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

    Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A’fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

    “Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini,” kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

    Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A’fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta. – BERNAMA