PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai sebuah institusi untuk membantu anak-anak Keluarga Malaysia, dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Buat permulaan, beliau berkata bantuan di bawah yayasan ini akan disalurkan kepada anak-anak yang terkesan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun lepas.
“Seterusnya, yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia,” katanya.
Berucap dalam majlis pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, beliau meminta rakyat menginsafi kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih semasa pandemik ini.
“Adik Nazurah Nabilah binti Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala adik Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia tiga tahun,” katanya.
Ismail Sabri berkata anak-anak ini adalah antara 5,173 anak-anak rakyat negara ini yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19 dan terpaksa menggalas tanggungjawab besar ekoran kehilangan ibu bapa dan tidak dapat membesar sebagai kanak-kanak biasa.
“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka,” katanya.
Beliau meletakkan harapan tinggi supaya seluruh rakyat kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian,” tambahnya. – BERNAMA
IDEA “Keluarga Malaysia” yang diilhamkan kerajaan bukanlah retorik atau slogan semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata idea itu merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.
Mengambil contoh sebuah keluarga, Ismail Sabri berkata sekiranya terdapat anak yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu mereka akan diberi lebih tumpuan.
“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.
“Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik akan terus diberikan fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan,” beliau berkata dalam ucapannya di Majlis Pelancaran “Keluarga Malaysia” di Kuching, malam ini.
Perdana Menteri berkata sejajar dengan konsep “Keluarga Malaysia” pembangunan sosio ekonomi negara di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.
Katanya Sarawak merupakan antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang akan diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.
“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada enam negeri ini.
“Peruntukan ini melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi,” katanya.
Ismail Sabri berkata pendekatan sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.
Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lepas. – BERNAMA
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut di Tawau hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.45 petang tadi.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Alif Amuddin dengan menyusuri sungai pada jarak dua kilometer radius pencarian dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Turut bersama dalam operasi mencari itu ialah pasukan polis serta penduduk kampung,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan setakat petang ini kanak-kanak berkenaan belum ditemukan manakala operasi SAR ditangguh pada 6.05 petang tadi dan akan bersambung esok. – BERNAMA
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada [email protected] bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau berkata KPDNHEP serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.
“Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.
“Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di Kuala Berang, hari ini.
Dalam pada itu, Rosol berkata KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing Food Panda Malaysia Sdn Bhd (Food Panda) sepanjang tahun lepas manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
“Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.
Beliau berkata susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu khususnya Food Panda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.
“Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-hailing) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata Kementerian Kewangan setakat ini dilihat menyambut baik cadangan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam yang berhadapan dengan masalah kenaikan kos operasi dan harga dedak ayam.
Menurutnya pinjaman mudah dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun itu dilihat dapat membantu golongan penternak menstabilkan kos operasi dan pengeluaran ayam seterusnya membantu menstabilkan kembali harga ayam di pasaran.
“Ketika ini fokus kementerian adalah meneliti semua cadangan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam untuk jangka masa panjang kerana tidak mahu isu harga ini berulang pada masa depan,” katanya. – BERNAMA
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini dijangka sengit di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan jangkaan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Jangkaan itu adalah berikutan pendirian yang diambil ketiga-tiga parti berkenaan yang berhasrat untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN, selain kegagalan mencapai kata sepakat antara BN dan PN.
Bagaimanapun, terdapat sebilangan kerusi yang mungkin menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru dengan Parti Putra yang telah diluluskan pendaftarannya pada 8 Mei 2019, dan diterajui Presiden Datuk Ibrahim Ali menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu.
Daripada 28 kerusi DUN, enam daripadanya iaitu Paya Rumput, Rembia, Telok Mas, Pengkalan Batu, Sungai Udang dan Pantai Kundur, dijangka menjadi kerusi panas.
DUN Paya Rumput, Rembia, Telok Mas dan Pengkalan Batu sebelum ini adalah kerusi dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, namun empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kawasan tersebut iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Bersatu), Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP), bertindak menyokong BN bagi membentuk kerajaan baharu yang diterajui BN pada Mac tahun lepas.
Sebelum ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lepas, kerajaan negeri Melaka dipimpin bekas Ketua Menteri, Adly Zahari selepas PH membentuk kerajaan dengan majoriti tipis iaitu 15 kerusi, dan pembangkang 13 kerusi dan kepimpinannya hanya bertahan selama 22 bulan.
Melaka kemudian melalui satu lagi episod pertukaran kerajaan dengan BN kembali menerajui negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan pentadbirannya hanya bertahan hampir dua tahun setelah terdapat gerakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundur), Norhizam dan Noor Effandi untuk keluar dari blok kerajaan susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, sekali gus menyebabkan DUN Melaka terbubar bagi memberi laluan kepada PRN.
Meskipun keadaan cuaca semasa yang kerap hujan di Melaka yang terletak di selatan tanah air iaitu kira-kira 145 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur, bahang PRN kini semakin terasa dengan kehadiran silih berganti pemimpin-pemimpin utama parti politik ke negeri ini, walaupun ia masih berbaki kira-kira dua minggu lagi sebelum penamaan calon dilangsungkan pada 8 Nov depan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang turut menjangkakan pertembungan tiga penjuru berkata, pertandingan tiga penjuru merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan pada PRN berkenaan dan hanya parti yang berjaya mendapat kepercayaan rakyat akan membentuk kerajaan.
Namun menurutnya, dalam landskap politik masa kini, tiada lagi parti yang dilihat dominan dan berkemungkinan kerajaan baharu yang akan terbentuk selepas 20 Nov nanti merupakan kerajaan campuran dan semua parti memiliki peluang yang sama.
“Kalau tiga penjuru berkesan bagi parti yang menang mereka (mungkin) akan kekal dengan cara itu (pada PRU15). Dulu parti-parti bekerjasama untuk menghadapi pilihan raya bagi membentuk kerajaan, tetapi sekarang parti-parti bertanding atas tiket masing-masing.
“Kerjasama datang selepas pilihan raya. Mungkin parti-parti tak mahu terikat dan lepas pilihan raya baharu fikir. Macam di Indonesia, lepas bertanding baharu berpakat (untuk bentuk kerajaan),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pun begitu, Mohd Izani percaya parti yang mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri lebih awal seperti mana yang dilakukan PH sebelum ini, yang menamakan Timbalan Presiden Bersatu ketika itu (kini Presiden Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar Kedah pada PRU14, berkemungkinan boleh mendapat kepercayaan rakyat keseluruhan.
Melaka yang mempunyai keluasan 1,650 kilometer (km) persegi dan memiliki seramai 495,196 pemilih berdaftar setakat 3 Okt lepas mengikut daftar pemilih terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memiliki lima kawasan DUN dikategori sebagai kawasan bandar, separa bandar (10) dan luar bandar (13).
Lima kerusi dikategori sebagai kawasan bandar adalah DUN Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir, Ayer Keroh, Bukit Katil, separa bandar (Rembia, Durian Tunggal, Duyong, Sungai Udang, Paya Rumput, Klebang, Bemban, Merlimau, Pengkalan Batu, Ayer Molek) dan luar bandar (Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Gadek, Machap Jaya, Asahan, Telok Mas, Pantai Kundur, Rim, Serkam, Sungai Rambai).
Daripada keseluruhan 28 kerusi itu, sembilan kerusi – Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Rim, Merlimau, Gadek, Durian Tunggal dan Klebang – dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi, dengan enam daripadanya adalah kerusi disandang oleh wakil rakyat BN dan baki dikuasai PH.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata tempahan bilik di 176 hotel bajet di negeri ini masih belum mencatatkan peningkatan mendadak, dan keadaan itu dijangka akan meningkat bermula bulan depan. – BERNAMA
TIDAK menjadi kesalahan bagi mana-mana pertubuhan agama atau fahaman untuk memberikan sumbangan kepada anggota keselamatan di negara ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata, tindakan Persatuan Kebajikan Bintang Utara mewakili pertubuhan Freemasons negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyumbangkan 5,000 pelindung muka adalah bagi membantu anggota keselamatan yang bertugas sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Sebenarnya, tidak menjadi masalah sesiapapun boleh bagi sumbangan kepada pihak kita, lagi pun sumbangan pelindung muka untuk diedarkan kepada pihak polis dalam menghadapi tugasan harian, kita sama-sama berjuang mengekang jangkitan COVID-19 dan mereka tampil ke depan untuk membantu.
“Saya tidak nampak ada sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja kerana itu hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang pengamal media akhbar berbahasa Tamil, Letchumi Rajoo yang menghidap penyakit angin ahmar di kediamannya di Taman Desa Pengkalan di Ipoh, hari ini.
Sebuah portal berita (Malaysiakini) hari ini melaporkan, Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyalurkan bantuan 5,000 pelindung muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada 15 Okt lepas.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya bersedia membantu Polis Kontinjen Johor untuk menjejaki dua beranak berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Setakat ini kita belum jumpa lagi dua individu yang dikehendaki itu dan sekiranya ada info lanjut kita akan maklumkan kemudian,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sedang menjejaki M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di Ipoh yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama Tunku Ismail.
Ia membabitkan dokumen letter of undertaking pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit yang dipercayai palsu. – BERNAMA
JAWATANKUASA Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini meluluskan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing, bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan, dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.
“Kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini yang diluluskan, merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.
Katanya, SOP di peringkat praperlepasan ialah telah menerima vaksinasi lengkap di negara sumber, melakukan ujian saringan menggunakan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR), 72 jam sebelum meninggalkan negara asal, mengemukakan sijil vaksinasi, mematuhi syarat dan dasar imigresen, serta lain-lain kriteria yang ditetapkan kerajaan.
Ismail Sabri berkata, kemasukan pekerja asing hanya dibenarkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Namun, pekerja asing warga Thailand yang bekerja sebagai kru kapal vesel penangkapan ikan tempatan, dibenarkan masuk melalui laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Betong dan Rantau Panjang.
Katanya, semasa ketibaan, mereka juga perlu melalui laluan khas pekerja asing yang disediakan.
Perdana Menteri berkata, selepas ketibaan, pekerja asing perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari di pusat kuarantin sekitar Lembah Klang yang diperakui kerajaan, kecuali kru kapal penangkapan ikan tempatan warga Thailand yang dibenarkan menggunakan pusat kuarantin berdekatan pintu masuk.
Ujian RT-PCR perlu dilakukan pada hari kedua dan hari kelima tempoh kuarantin dan sekiranya positif, kes kategori satu atau dua perlu diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta, manakala kes kategori tiga, empat dan lima perlu dirujuk ke hospital swasta.
Sebaliknya, jika keputusan disahkan negatif dan telah tamat kuarantin, pekerja asing akan dibawa ke premis majikan menggunakan pengangkutan disediakan majikan, serta perlu melengkapkan urusan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. – BERNAMA
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar dipilih menjadi Ketua Pemuda MIC baharu bagi penggal 2021-2024 selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada penamaan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu hari ini.
Keputusan itu diumumkan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran selepas proses pencalonan selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di sini, ditutup pada 1 tengah hari.
Raven Kumar, 38, sebelum ini merupakan Ketua Putera MIC dari 2015 hingga 2018 menggantikan R.Thinalan yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda.
Sementara itu, jawatan Ketua Wanita pula bakal menyaksikan pertembungan antara penyandangnya J. Usha Nandhini dengan bekas Ketua Wanita 2013 hingga 2018 Datuk Mohana Muniandy.
Usha Nandhini, 49, pernah menjawat jawatan Ketua Puteri dari 2003 hingga 2013 sebelum menjadi Ketua Wanita setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.
Mohana, 45, tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti pada 2018, namun membuat kemunculan semula pada pencalonan hari ini.
Vigneswaran turut mengumumkan A. Kishva, 30, menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya S. Padmarajah yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Selain itu, R. Puvaneswary, 34, diumumkan sebagai Ketua Puteri parti selepas menang tanpa bertanding bagi menggantikan CM Hemalatha yang juga tidak mempertahankan jawatan berkenaan.
Pemilihan peringkat sayap parti itu dijadualkan pada 30 Okt ini.
Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC akan berlangsung pada 19 Nov manakala pemilihan pada 26 Nov.
Raven Kumar ketika ditemui pemberita berjanji akan meningkatkan taraf hidup pemuda India di negara ini khususnya melalui bidang pendidikan, sukan dan kebudayaan.
“Kami juga akan fokus dan bantu usaha kerajaan dalam pelaksanaan Undi 18,” katanya. – BERNAMA
MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikut arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai pengendali tunggal sistem Visa Luar Negara (VLN) ke Malaysia di China.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata ia berdasarkan catatan minit oleh Najib pada surat bertarikh 23 Mei 2013 yang dihantar kepada Ahmad Zahid yang menyatakan ‘projek ini perlu diteruskan’.
Semasa disoal peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu mengenai siapa yang memberi arahan itu berdasarkan catatan minit tersebut, Suriani berkata: “Arahan Perdana Menteri.”
Ketika dirujuk kepada minit lain bertarikh 20 Jan 2014 pada surat berkenaan oleh peguam itu, Suriani berkata: “Minit itu menyatakan ‘YB Datuk Sri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan’
Hamidi: Ia ayat perdana menteri kepada timbalan perdana menteri?
Suriani: Betul.
Suriani turut bersetuju dengan Hamidi bahawa beliau juga akan melaksanakan arahan sekiranya diarah oleh ketuanya, Tan Sri Alwi Ibrahim yang merupakan Ketua Setiausaha KDN ketika itu.
Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN memberitahu mahkamah bahawa UKSB ada menghantar beberapa surat kepada Najib bagi memohon pertimbangannya untuk mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Gan Peng Kun semasa pemeriksaan semula mengenai catatan minit yang diterima KDN daripada Ahmad Zahid berhubung tempoh lanjutan kontrak VLN, saksi pendakwaan keempat itu menjelaskan ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
“Pendirian kementerian adalah sekiranya bersetuju untuk buat lanjutan itu, ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana kontrak masih berjalan dan ada banyak masa lagi sebelum ia tamat. Sebab itu saya rasa perlu ada masa dan ruang untuk buat penilaian terlebih dahulu.
“Kontrak belum tamat lagi. Ada tiga tahun. Satu jangka masa yang panjang. Sepatutnya tiga tahun lagi diberi masa membuat penilaian (pelanjutan kontrak). Itu pendirian kementerian,” katanya.
Sementara itu, saksi pendakwaan kelima, bekas penolong setiausaha, Bahagian kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Sheeba Kunhmon, 48, berkata Ahmad Zahid menerima gaji serta elaun berjumlah RM44,383.15 setiap bulan bermula dari 2015 hingga 2018 ketika menjawat jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
“Semasa memegang jawatan itu pada 2015 hingga 2018, Ahmad Zahid menerima RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.
“Sebagai Menteri Persekutuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri) antara 2008 dan 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh TPR Zander Lim Wai Keong.
Ketika disoal Lim mengenai sumber gaji yang diterima oleh Ahmad Zahid, Sheeba menjawab: “Dari kerajaan Malaysia.”
Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 20 Dis depan. – BERNAMA
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.
Beliau berkata, tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.
“Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.
“Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.
“Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA,” katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai dekat Labuan, hari ini.
Mohd Zuki berkata selepas kesemua negeri beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.
“Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin…penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara,” katanya.
Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.
JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Okt lepas memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN. – BERNAMA