Author: Bernama

  • Rafiq sokong keputusan Mas Ermieyati calon Ketua Menteri

    Rafiq sokong keputusan Mas Ermieyati calon Ketua Menteri

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong penuh keputusan mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya gabungan itu berjaya memperoleh majoriti kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

    Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan kepimpinan pusat itu dan memohon seluruh jentera PN Melaka bekerja keras, bagi memenangkan semua calon PN.

    “Sebagai orang parti dan juga pemimpin parti, semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan, biro politik Bersatu dan juga Majlis Tertinggi PN.

    “Saya sebagai Pengerusi PN Melaka memberikan sokongan sepenuhnya kepada keputusan tersebut dan saya meminta, memohon semua jentera PN seluruh Melaka harus bekerja keras bagi kemenangan calon-calon PN di semua kerusi yang kita tandingi,” katanya di Melaka, hari ini.

    rafiq naizamohideen

    Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri daripada PN, jika parti itu memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan pada PRN Melaka.

    Mohd Rafiq yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas berkata, ura-ura mengatakan beliau tidak dicalonkan sebagai Ketua Menteri kerana tidak disokong sebagai akar umbi Bersatu hanyalah spekulasi semata-mata, malah secara konsisten berkempen bagi memenangi kerusi Telok Mas.

    “Saya yakin saya dah turun ke akar umbi, berjumpa secara tidak langsung dengan pengundi-pengundi di masjid, surau dan warung, sokongan kepada PN di Telok Mas sangat positif dan saya yakin rakyat akan terjemahkan sokongan ini pada esok hari iaitu hari mengundi PRN Melaka,” katanya.

    Ditanya sasaran kerusi dimenangi PN esok, beliau berkata: “Saya rasa tidak perlulah saya sebut di sini tetapi saya yakin PN walaupun kemunculan pertama (bertanding pilihan raya) di Melaka, kita akan buat kejutan dengan sokongan rakyat di Melaka”.

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, esok dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Kerusi DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Mohd Rafiq yang ditentang calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dari Barisan Nasional (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi Telok Mas dimenangi Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) yang ketika itu bertanding di bawah tiket PH dengan majoriti 1,288 undi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • Jho Low berada di sebalik tabir 1MDB – Ismee

    Jho Low berada di sebalik tabir 1MDB – Ismee

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Low Taek Jho atau Jho Low berada di sebalik tabir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana pihak pengurusan syarikat itu sentiasa menerima e-mel berkaitan pelaburan dan pembangunan yang akan dijalankan oleh 1MDB daripada ahli perniagaan dalam buruan itu.

    Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu atas kapasiti apa Jho Low menghantar e-mel tersebut dan tahap penglibatan beliau dalam syarikat itu.

    “Apa yang saya dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB tahu, bahawa Jho Low mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Disebabkan hubungan baik Jho Low dan Datuk Seri Najib, BOD tidak mengabaikan langsung cadangan Jho Low, tetapi apa yang saya lihat dalam BOD, setiap perkara itu mestilah melalui arahan yang betul dan mengikut prosedur,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

    Ismee berkata, Jho Low juga menggunakan nama Najib dalam percakapan serta cadangannya sebagai ‘bos’ atau ‘PM’ dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

    TIA adalah syarikat pelaburan strategik yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.

    Menurut Ismee, apa yang beliau nampak ketika Jho Low berada dalam Jawatankuasa Pemandu TIA adalah lelaki itu berperanan sebagai penasihat kepada Najib.

    “Jho Low hanya dilantik secara rasmi dalam Jawatankuasa Pemandu TIA sahaja dan tiada cadangan untuk melantiknya dalam 1MDB,” katanya.

    Ismee berkata perkenalannya dengan Jho Low adalah ketika pelantikan Jawatankuasa Pemandu di Istana Terengganu pada awal tahun 2009 apabila lelaki itu memperkenalkan diri secara santai kepadanya.

    Saksi itu berkata beliau tidak mengetahui atas kapasiti apa Jho Low hadir dalam majlis berkenaan (pelantikan Jawatankuasa Pemandu) tetapi beranggapan dan berpandangan bahawa lelaki itu adalah penasihat kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

    Ismee juga memberikan contoh bahawa, Jho Low mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak Abu Dhabi dan ia dapat dilihat ketika beliau mengikuti Najib untuk lawatan rasmi ke Abu Dhabi.

    “Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat model masjid yang akan dibina di Malaysia atas usaha sama antara syarikat Aabar dengan 1MDB. Semasa lawatan itu, sambutan dari Abu Dhabi yang diberikan kepada Najib adalah tinggi dengan pertunjukan udara tentera dan lain-lain lagi.

    “Ada satu ketika, ketika musim haji, Jho Low pernah membantu mendapatkan kuota tempatan haji sebanyak 10,000 orang bagi rakyat Malaysia,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

  • Dewan Rakyat kecoh, Rayer bikin panas isu MITRA

    Dewan Rakyat kecoh, Rayer bikin panas isu MITRA

    SESI penggulungan Bajet 2022 Kementerian Perpaduan bertukar kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang, tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

    Situasi mula ‘hangat’ selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mencelah sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 bagi kementerian berkenaan, kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Halimah, menyebabkan berlaku ‘pertikaman lidah’ antara mereka.

    “Perkara ini penting kerana selepas perkara ini dibongkarkan pada sesi lalu, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), telah buat satu penyiasatan dan ada tangkapan telah dibuat.

    “Persoalan saya sama ada, ada pemimpin parti politik MIC terlibat secara langsung, maka Dewan ini perlu tahu, kerana 16 orang biasa telah ditahan dan melontarkan nama-nama (terlibat),” kata Rayer.

    Terdahulu, Halimah berkata keputusan untuk tidak menjawab berhubung isu berkenaan adalah atas nasihat SPRM, kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Selepas perkara-perkara ini dibangkitkan dalam sesi lepas, kementerian saya telah menyatakan kerjasama dengan SPRM, kita minta SPRM masuk ke dalam kementerian (untuk) menjalankan siasatan ini.

    “Sebelum dibangkitkan pun kita telah minta SPRM masuk untuk lihat segala proses permohonan dan kelulusan, yang dibuat dari tahun 2019,” katanya.

    Selain Rayer, alasan diberikan Halimah tidak diterima beberapa Ahli Parlimen lain daripada blok pembangkang, antaranya P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang bangun mencelah dengan mencadangkan supaya laporan MITRA diberikan kepada Ahli Parlimen.

    Bagi meredakan keadaan Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon mengeluarkan amaran kepada Rayer dan Kasthuriraani, kerana mencelah sesi penggulungan kementerian itu tanpa keizinannya.

    “Peraturan 37(1) (b) (Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat) anda nak cakap minta izin daripada saya. Saya tak bagi. Saya tak izinkan. Setiap celahan, saya berikan kebenaran.

    “…anda (Kasthuriraani) terus bercakap tanpa dapat kebenaran, saya beri amaran kepada Batu Kawan,” katanya.

    Keadaan menjadi tenang selepas itu dan Halimah meneruskan penggulungannya berhubung isu-isu yang dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen berkaitan kementerian itu, semasa sesi perbahasan. – BERNAMA

  • PN yakin tawan kerusi DUN Ayer Molek, Bukit Katil

    PN yakin tawan kerusi DUN Ayer Molek, Bukit Katil

    PERIKATAN Nasional (PN) yakin ‘menawan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan DUN Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

    Calon PN bagi kerusi Ayer Molek, Mohd Fadly Samin dan Muhammad Al Afiz Yahya di Bukit Katil berkata, keyakinan berkenaan adalah berasaskan kajian lapangan yang dijalankan jentera parti itu.

    Menurut kedua-calon berkenaan, 70 peratus pengundi di Ayer Molek dan 60 peratus pengundi di Bukit Katil mahukan perubahan.

    “Mereka juga mahukan calon muda dan saya menawarkan khidmat saya sebagai calon muda terutama untuk menyelesaikan isu anak muda yang dianaktirikan,” katanya Mohd Fadly pada sidang media di Melaka hari ini.

    Mohd Fadly berkata, isu pendidikan dan banjir juga menjadi fokus khidmatnya sekiranya beliau diberi mandat di kawasan itu.

    Mohd Fadly berdepan saingan empat penjuru menentang Datuk Rahmad Mariman yang juga penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Ahmad Muaz Idris (Bebas) dan Mohd Rafee Ibrahim (Pakatan Harapan (PH).

    al afiz yahya
    Gambar: Facebook

    Sementara itu, Muhammad Al Hafiz berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau berdepan cabaran hebat di Bukit Katil kerana berdepan bekas ketua menteri Adly Zahari sebagai momokan parti lawan semata-mata.

    “Kita dah pernah duduk dalam PH, kita tahu bagaimana mereka bekerja, parti tertentu yang kerusi lebih kecil hanya boneka kepada parti yang lebih dominan, walaupun dikatakan prestasi Adly baik, tetapi saya yakin 60 peratus, PN boleh menang di Bukit Katil,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Melaka.

    Muhammad Al Hafiz berkata, isu keselamatan dan banjir akan tumpuannya di kawasan itu.

    Selain Adly dari PH, Muhammad Al Hafiz akan berdepan dengan Datuk Hasnoor Sdg Husin (BN) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas). – BERNAMA

  • Sebarang bentuk kerjasama hanya diputus selepas PRN Melaka – Muhyiddin

    Sebarang bentuk kerjasama hanya diputus selepas PRN Melaka – Muhyiddin

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    SEBARANG bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas pilihan raya, kata Pengerusi Perikatan (PN) Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, buat masa ini, biarlah proses Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) berjalan lancar, dan beri peluang untuk rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang hendak dibentuk.

    “Saya tidak katakan kita bersedia bekerjasama atau tidak bersedia bekerjasama… jawapan saya jangan diputar media mengatakan saya bersedia, saya tidak berkata begitu, ‘I am non-committal’.

    “Saya mahu melihat apa keputusan pilihan raya dan selepas itu kita akan atur apa langkah strategi kita,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama ‘British Malaysia Chamber of Commerce’ di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan semalam bahawa BN, sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan dan tidak hanya terhad kepada PN sahaja, sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi yang dimenangi.

    “Yang penting kita teruskan usaha yang akan memutuskan nanti akhirnya pengundi-pengundi akan nilai setiap parti bertanding mereka nak sokong mana… harap mereka sokong PN dan apa pun soal berbangkit selepas itu akan lihat selepas itu.

    “Kalau pengundi Melaka faham dan tahu ini adalah pilihan raya untuk negeri bukan Pilihan Raya Kecil yang nak pilih wakil rakyat seorang…sewajarnya ada satu pandangan yang agak menyeluruh undi mereka untuk bentuk kerajaan,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Melaka selepas memenangi 15 kerusi iaitu 8 (DAP), 3 (PKR), 2 (Amanah) dan 2 (Bersatu).

    Pada 2020, PN mengambil alih kerajaan dengan 17 kerusi iaitu 14 BN, dua Bersatu dan satu Bebas sebelum empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu ini. – BERNAMA

  • PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok, siapakah orangnya?

    PN umum calon Ketua Menteri Melaka esok, siapakah orangnya?

    awal ja'afar prn melaka mohd muhammad

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri pakatan itu esok, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, calon Ketua Menteri PN itu akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan itu, bagi memilih individu yang diterima masyarakat secara keseluruhannya serta mampu mendapat sokongan daripada pengundi di atas pagar.

    “Jadi kalau pun beliau (Ketua Menteri) datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.

    “Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera, ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya di Alor Gajah, hari ini.

    Pengerusi PN. Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Nov dilaporkan berkata gabungan itu akan mengumumkan calon Ketua Menteri daripada Parti PribumiBersatu Malaysia (Bersatu), sebelum hari pengundian pada 20 Nov ini untuk menerajui kepimpinan Melaka, jika pakatan itu diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Setakat ini, Barisan Nasional menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri, manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH).

    PN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 Nov ini dengan parti komponennya Bersatu bertanding di 15 kerusi manakala PAS lapan, dan Gerakan lima.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

    Sementara itu, Hamzah mengucapkan takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, hari ini.

    “Takziah kepada keluarga bekas ADUN Asahan, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, baru sahaja saya dapat berita bahawa beliau telah meninggalkan kita.

    “Beliau juga merupakan sahabat dalam politik ini. Dalam pejuangan kadang kala sahabat akan terus jadi sahabat, tetapi dalam nak menentukan masa depan, perjuangan lebih mustahak,” katanya.

  • Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    Rumah penjagaan terbakar, lima wanita warga emas maut

    LIMA maut dalam kebakaran di sebuah rumah jagaan swasta di bandar Dnipro di tengah Ukraine, kata Polis Negara dalam satu kenyataan pada Selasa, lapor Xinhua.

    Menurut kenyataan itu, selepas kebakaran, lima wanita berusia antara 75 hingga 89 tahun ditemui mati di dalam bilik mereka.

    Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada litar pintas, dan mangsa meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

    Polis memulakan prosiding jenayah terhadap kejadian itu dan menahan pengurus rumah jagaan berkenaan.

    Pada Januari tahun ini, 15 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah rumah penjagaan swasta di bandar Kharkiv, timur Ukraine. – BERNAMA

  • 8 rumah terbakar, 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang

    8 rumah terbakar, 7 keluarga tinggal sehelai sepinggang

    TUJUH keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lapan unit rumah, termasuk satu yang tidak berpenghuni, musnah dalam kebakaran di kawasan berhampiran Jalan Sultanah Zainab, Kampung Sireh di Kota Bharu, awal pagi ini.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dah Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Abu Hassan Mohd Nawi, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.56 pagi.

    Beliau berkata, setibanya di lokasi pada pukul 3.11 pagi, satu deretan lapan unit rumah kediaman didapati sedang terbakar kira-kira 80 peratus, dan api dilihat marak dengan pantas disebabkan bangunan rumah itu diperbuat daripada kayu papan lama.

    “Seramai 41 pegawai dan anggota dari balai bomba Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Tunjong, Pasir Tumboh dan Pengkalan Kubor terlibat dalam operasi pemadaman, menggunakan sembilan jentera termasuk dua lori tangki, dan api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.11 pagi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

    Sementara itu, salah seorang mangsa yang ditemui Muhammad Shaari, 21, berkata, pada mulanya beliau terdengar suara jeritan meminta tolong, dan sebaik sahaja keluar daripada rumah beliau mendapati beberapa unit rumah sudah terbakar dan api kelihatan cukup marak.

    “Saya segera kejutkan ibu serta adik-adik yang sedang tidur di tingkat atas (rumah dua tingkat), dan sempat menyelamatkan diri dan keluarga, walaupun saya mengalami sedikit kecederaan di kaki sebelah kiri akibat terkena percikan api.

    “Ketika ini kami sekeluarga diarahkan oleh penghulu kampung untuk menetap di taska yang berdekatan dengan rumah kami,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pagi ini. – BERNAMA

  • TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi.

    Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.

    “Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen,” katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, di Butterworth awal pagi ini.

    Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

    Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.

    Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan perkarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Difahamkan pihak hospital akan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi hari ini.

    Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.

    • 18 Jun 1996 — Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
    • 23 Julai 1996 — Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
    • 10 Sept 1998 — Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.
    • 2 Okt 2000 — Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
    • 18 Dis 2003 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
    • 23 Jun 2005 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
    • 4 Mei 2007 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
    • 15 Jun 2017 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
    • 16 Nov 2021 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban. – BERNAMA
  • Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan rogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui 7 Disember ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pendakwaan.

    “Saya perlu masa untuk semak dokumen, nota, bukti dan hujahan bertulis semua pihak dalam beberapa minggu sebelum membuat keputusan,” katanya.

    Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala pihak pembelaan terdiri daripada Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

    Terdahulu, Rajpal berhujah bahawa terdapat banyak persoalan kepada mangsa yang tidak dapat dijawab secara terperinci termasuk tidak membangkitkan isu rogol itu kepada orang terdekat seperti ibu atau isteri tertuduh.

    Rajpal turut membangkitkan mengenai kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada Yong selain terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

    Peguam itu berkata cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya boleh direka kerana berdasarkan keterangan agensi pekerjaan, dakwaan itu adalah normal sekiranya pembantu rumah ingin pulang ke negara asal serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah selain terdapat konspirasi politik.

    Sementara itu, Azlina berhujah, mangsa telah memberitahu bahawa dia tidak menceritakan kepada isteri tertuduh dan keluarga terdekat kerana telah diugut sebelum ini.

    Azlina berkata mangsa, juga telah menghubungi Kedutaan Besar Republik Indonesia sebanyak tiga kali pada 11 pagi keesokan harinya untuk melaporkan kejadian (dakwaan rogol) dan fakta tersebut disahkan melalui panggilan telefon.

    Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

    Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – BERNAMA