Author: Bernama

  • PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PN tak akan bubar untuk kembali bersama UMNO

    PERIKATAN Nasional (PN)  tidak akan meninggalkan prinsip penubuhannya dan tidak akan dibubarkan untuk kembali bersama UMNO.

    Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN sudah berhijrah jauh dan yakin dengan prinsip dan asas pembentukannya untuk menawarkan suatu bentuk parti yang mendukung kerajaan dengan lebih baik.    

    “Minta maaf. Kami berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti, menentang rasuah dan salah guna kuasa.

    Itu menjadi dasar perjuangan kita. Sebab itu bagi saya, telah berada di sini, kita akan terus beristiqamah, bergabung bersama dan bekerja lebih kuat supaya kita akan jadi pencabar utama kepada Barisan Nasional,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PN di sini malam ini. 

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ada pihak meminta beliau membubarkan Bersatu dan kembali bersama UMNO.

    Katanya, keberadaan PN dalam arena politik negara yang menawarkan perubahan ke arah lebih baik adalah bagi membolehkan rakyat jelata di negara ini mempunyai satu lagi pilihan untuk dipertimbangkan. 

    “Itu bagi saya penting, bukan soal peribadi saya atau soal apa kerana kita berpendapat, pembentukan Bersatu dan Gabungan PN suatu perkembangan politik sihat dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya. – BERNAMA

  • BN menang, kembali bentuk kerajaan negeri Melaka

    BN menang, kembali bentuk kerajaan negeri Melaka

    BARISAN Nasional (BN) mencatat kemenangan cemerlang dan bergaya dengan memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

    Keputusan PRN itu menyaksikan gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

    Calon-calon dari Parti  Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) yang bertanding lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang tampil buat pertama kali dengan bertanding satu kerusi serta 22 calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

    Kali terakhir BN memperoleh majoriti dua pertiga di Melaka ialah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila memenangi 23 kerusi.

    Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri, yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri, juga gagal memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

    Selain mengekalkan 12 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN turut memperoleh sembilan kerusi baharu iaitu Rembia, Kelebang, Machap Jaya, Telok Mas, Pengkalan Batu, Gadek, Durian Tunggal, Paya Rumput dan Duyong.

    Pada PRU14, BN memenangi kerusi Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

    Namun, BN gagal mempertahankan kerusi Sungai Udang yang merupakan kubu kuat parti itu.

    Kerusi Rembia pula dimenangi oleh Datuk Muhammad Jailani Khamis, yang sebelum ini memenanginya atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU14. Beliau kemudian meninggalkan PKR dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas sebelum menyertai UMNO pada Januari tahun ini.

    Dalam PRN Melaka kali ini, UMNO bertanding merebut 20 kerusi iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

    PRN Melaka juga menyaksikan kebangkitan semula parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang masing-masing menyumbang kerusi kepada kemenangan bergaya BN.

    MCA memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu Machap Jaya dan Kelebang tetapi tewas di Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Banda Hilir dan Bemban.

    MIC, yang mempertaruhkan V.P.P Shanmugam di DUN Gadek, meraih kemenangan dengan menewaskan Azafen Amin (Bebas), Laila Norinda Maon (Putra), B.S. Mohan Singh (Bebas), Mohd Amir Fitri Muharam (Bebas) dan G. Saminathan (PH). 

    PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah bertanding di kesemua 28 kerusi namun hanya mampu memenangi kerusi DUN di Ayer Keroh, Kota Laksamana, Bukit Katil, Kesidang dan Bandar Hilir berbanding jangkaan menguasai sekurangnya-kurangnya 15 kerusi.

    PH memperoleh 15 kerusi pada PRU14 sebelum dua ADUN dari Bersatu dan seorang ADUN DAP meninggalkan pakatan itu dan menyokong kerajaan baharu BN-PN yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan juga bertanding di 28 kerusi tetapi hanya memenangi kerusi Sungai Udang dan Bemban.

    Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin gagal dalam percubaan pertamanya bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara apabila tumpas kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka Datuk Abdul Rauf Yusoh dalam pertandingan tiga penjuru itu.

    Selain itu, Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen turut tewas di DUN Telok Mas selepas berpindah dari kerusi DUN Paya Rumput.

    PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai ketua menteri. 

    Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

  • BN bentuk kerajaan negeri Melaka, capai majoriti mudah

    BN bentuk kerajaan negeri Melaka, capai majoriti mudah

    Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh 15 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka hari ini.

    Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh pada 9.42 malam ini di Menara Persekutuan di sini.

    “BN telah memenangi sejumlah 15 kerusi daripada 28 kerusi yang diperuntukkan dan dengan ini berjaya memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

    Abdul Ghani juga berkata proses pengundian bagi pilihan raya berkenaan berjalan dengan baik dan lancar. – BERNAMA

  • Negara Teluk, Asia waspada perangi ekstremisme

    Negara Teluk, Asia waspada perangi ekstremisme

    NEGARA-NEGARA Teluk dan Asia perlu waspada dalam memerangi ekstremisme serta tidak harus mengalihkan pandangan daripada peperangan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, perkembangan di Afghanistan mungkin menjadi pencetus semangat kepada kumpulan militan yang tidak aktif di Asia Tenggara sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kedua-dua rantau akan menjadi syurga buat pengganas yang mencari pangkalan baharu.

    Hishammuddin berkata, ketika dunia menumpukan perhatian kepada peperangan menentang COVID-19, tindakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa keganasan dan ekstremisme sudah tidak begitu penting namun kerajaan di seluruh dunia tidak harus membiarkan perkara ini mengaburi pandangan mereka serta membuai mereka dengan rasa selamat yang palsu.

    “Ketika puak pelampau ini merasakan perhatian kita telah teralih maka pada saat itulah mereka akan bertindak memperhebat niat jahat mereka,” katanya dalam ucapan yang disampaikan secara maya pada Sesi Pleno Kedua Dialog Manama anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISS) yang berlangsung di Bahrain hari ini.

    Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, Penasihat Keselamatan Negara bagi United Kingdom, Sir Stephen Lovegrove dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Eksekutif ISS, Dr John Chipman.

    Hishammuddin juga berkata, kedua-dua rantau berpeluang menempa masa depan yang lebih baik bersama-sama dalam landskap global baharu apabila dunia beralih ke fasa endemik.

    Beliau berkata, Negara-Negara Teluk dan Asia harus mencari persamaan dan memupuknya merentasi pelbagai sektor sebagai dua rantau yang dihubungkan oleh begitu banyak persamaan.

    “Kita perlu bekerja keras ketika ini dalam usaha menjamin masa depan yang kita inginkan untuk anak cucu kita. Kita perlu melakukannya untuk diri sendiri demi membina asas yang kukuh buat wawasan masa depan bersama ini.

    “Kita harus mampu melakar nasib sendiri secara bersama. Kita harus mengelak daripada ditarik ke arah yang berbeza dan menempa keunikan dalam wawasan,” katanya. – BERNAMA

  • Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    PERKAHWINAN menggunakan khidmat sindiket nikah dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak seterusnya boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan yang jelas, justeru pasangan pengantin seharusnya memilih kaedah yang telah disahkan.

    “Sindiket nikah tiada autoriti untuk melaksanakan perkahwinan, masyarakat di luar sana yang tidak arif dengan prosedur perkahwinan akan menganggap apa yang dilakukan sindiket nikah adalah betul sedangkan ia tidak betul.

    “Jika SOP perkahwinan tidak diikuti dengan betul, maka perkahwinan itu tidak sah. Perkara ini perlu diambil berat oleh pasangan yang ingin berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin Negeri Kelantan di Lembaga Tabung Haji Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau mengulas mengenai seruan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kepada pasangan yang bernikah menggunakan khidmat sindiket ‘Lebai Lah’ dari Kuala Krai supaya tampil menghubungi jabatan berkenaan.

    Langkah tersebut dibuat untuk mengesahkan sama ada pendaftaran pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya berikutan penahanan bekas imam itu pada 28 Okt lepas.

    Sementara itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah untuk menunaikan ibadah umrah.

    “Masyarakat juga perlu memilih ejen berdaftar supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

    “Umrah ini di bawah kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). MOTAC telah meletakkan harga lantai umrah ialah RM6,900 dan harga itu yang paling murah,” katanya. – BERNAMA

  • Awas sindiket penipuan tawar tunai haji langkau giliran

    Awas sindiket penipuan tawar tunai haji langkau giliran

    ORANG ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan penipuan berkaitan pakej haji, umrah dan badal haji yang menawarkan giliran lebih awal untuk menunaikan ibadah haji, khususnya ketika aktiviti rentas negara dibenarkan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, jika aktiviti penipuan itu tidak dibanteras dan ditangani, ia dikhuatiri akan memperdayakan bakal jemaah dan pendeposit di Tabung Haji (TH) sehingga kerugian sejumlah wang yang besar.

    “Penipuan ini biasa, bukan TH sahaja terkena, ada yang libatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara kerajaan yang dapat pencen dan lain-lain. Seelok-eloknya kena dengar pengumuman rasmi TH (tentang giliran menunaikan haji).

    “Perkara ini membimbangkan bukan sahaja dari aspek pengoperasian tetapi juga untuk jemaah dan pendeposit. Kita selalu uar-uarkan perkara ini di semua platform iaitu kita tidak memberi tawaran badal haji dan tawaran haji kecuali melalui giliran seperti sebelum ini.

    “Kalau ada yang kata masukkan duit, bagi nama, itu tidak betul. Panggilan tawaran haji biasanya kita buat disusuli dokumen, bukan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan bantuan zakat di bawah Program TH Prihatin 2021 Perak kepada peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Ipoh hari ini.

    Beliau merujuk kepada aktiviti penipuan membabitkan tawaran ke Tanah Suci, Makkah yang menggunakan aplikasi WhatsApp kononnya bakal jemaah atau pendeposit akan mendapat giliran lebih cepat tanpa perlu menunggu panggilan daripada TH, setelah membayar sejumlah wang.

    Idris berkata sehubungan itu, bakal jemaah dan pendeposit yang ada menerima mesej mengenai tawaran mengerjakan ibadah itu daripada aplikasi tersebut diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa dan TH untuk tindakan seterusnya.

    “Elok buat laporan agar TH boleh kesan nombor telefon dan identiti (dalang penipuan),” katanya dan menambah laporan boleh dibuat dengan menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 0362071919.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH, Idris berkata senarai keanggotaan membabitkan tujuh individu telah diputuskan dan disiapkan semalam untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong Jumaat depan.

    Menurutnya, jika diperkenankan, RCI ini tidak akan mengganggu gugat pengoperasian, urusan deposit dan segalanya yang membabitkan TH ketika ini kerana ia diwujudkan bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan badan tersebut antara 2014 hingga 2020.

    Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) pada Julai lepas bertujuan membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH. – BERNAMA

  • Proses pengundian PRN Melaka berjalan lancar

    Proses pengundian PRN Melaka berjalan lancar

    PELAKSANAAN prosedur pengundian berjalan lancar setakat ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan pengundi, bertepatan dengan norma baharu ketika perang melawan COVID-19 masih belum selesai.

    Tinjauan Bernama mendapati Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini sempat melawat dua pusat pengundian bagi meninjau kelancaran prosedur mengundi tersebut dan pematuhan SOP oleh pengundi.

    Tiba pada 10.15 pagi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh, beliau meluangkan masa hampir 20 minit melawat saluran-saluran pengundian dan menyantuni pengundi serta petugas-petugas SPR di pusat mengundi itu.

    Beliau juga sempat meninjau khemah pusat mengundi khas yang disediakan bagi pengundi bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius.

    Abdul Ghani juga meluangkan masa selama 30 minit ‘turun padang’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil di sini dan berpuas hati dengan kelancaran prosedur pengundian dan pengurusan SPR bagi mengelakkan kesesakan terutama apabila terdapat jumlah pengundi yang ramai pada satu-satu masa.

    Kedua-dua pusat pengundian berkenaan juga tenang dan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

    Pengundi diingatkan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

    Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    12.30 tengah hari: Bilangan pengundi yang hadir ke pusat mengundi di SK Durian Daun, Masjid Tanah semakin berkurang dengan cuaca masih panas terik.

    11.30 pagi: Pengundi tetap bersemangat menunaikan kewajipan meskipun cuaca panas terik di pusat mengundi SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    11 pagi : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau kelancaran proses mengundi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sekolah Menengah Bukit Katil.

    10:40 pagi: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau tempat mengundi khas dan kelancaran proses mengundi di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh.

    10:20 pagi: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh meninjau kelancaran proses mengundi dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin Ayer Keroh.

    10.08 pagi: Petugas KKM menjalankan proses sanitasi secara berkala di pusat mengundi SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    9.30 pagi: Calon Bebas bagi DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee selesai mengundi di Sekolah Rendah Agama JAIM,Taman Datuk Thamby Chik Karim.

    8.56 pagi: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Peringgit pada pukul 8:55 pagi.

    8.47 pagi: Calon BN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tiba di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah untuk mengundi.

    8.46 pagi: Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selesai memgundi di SK Jeram, Masjid Tanah

    8.25 pagi: Calon DUN Bukit Katil Adly Zahari selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bersama isteri Dalilah Awaludin di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    8.22 pagi: Pesakit yang menerima rawatan turut keluar mengundi di SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    8.19 pagi: Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tiba di pusat mengundi SK Jeram, Masjid Tanah

    8.18 pagi: Petugas KKM bersedia di khemah tempat mengundi khas sekiranya terdapat pengundi yang bergejala di SK Durian Daun, Masjid Tanah.

    8.12 pagi: Datuk Mas Ermieyati selesai mengundi di SK Ramuan China Besar.

    8.10 pagi: Pengundi mula menunaikan tanggungjawab mereka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    8.06 pagi: Pengundi mula membuang di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah, keadaan tenang dan terkawal serta teratur.

    8.04 pagi: Cuaca mulai hujan renyai dan pengundi mula dibenarkan masuk ke Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    8.03 pagi: Petugas SPR membantu menolak warga emas yang uzur untuk dibawa ke pusat mengundi

    7.58 pagi: Calon PN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tiba di pusat mengundi SK Ramuan China, Alor Gajah Melaka

    7.56 pagi: Warga emas beratur sebelum memasuki pusat mengundi yang akan dibuka pada pukul 8 pagi di SK Jeram, Masjid Tanah

    7.54 pagi: Petugas SPR membuat persiapan terakhir sebelum sesi pengundian bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    7.53 pagi: Para pengundi menunggu untuk menjalankan kewajipan mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah selepas menjalani saringan suhu badan serta menyemak daftar pemilih.

    7.51 pagi: Petugas SPR bersedia dengan memakai pelindung muka dan sarung tangan bagi proses pengundian di SK Ramuan China Besar Alor Gajah

    7.45 pagi: Kelihatan pengundi telah mula beratur menunggu Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

    7.41 pagi: Sebahagian pengundi telah tiba dan menunggu giliran untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini.

    7.40 pagi: Semakin ramai pengundi tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah yang terlebih dahulu perlu menjalani saringan suhu badan serta menyemak daftar pemilih.

    7.38 pagi: Beg yang menempatkan kotak undi telah diletakkan stesyen mengundi di SK Ramuan China Besar

    7.35 pagi: Petugas KKM dari Klinik Kesihatan Bukit Cina melakukan persediaan di Pusat Mengundi SK Ramuan China Masjid Tanah

    7.15 pagi: Polis mengawal pintu masuk pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Masjid Tanah. – BERNAMA

  • Pesakit strok naik ambulans pergi mengundi

    Pesakit strok naik ambulans pergi mengundi

    SEORANG pesakit strok dibawa menaiki ambulans demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

    Abdul Rahim Yaacob, 57, yang merupakan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dibawa dari kediamannya di Kampung Durian Daun, kira-kira 2.4 kilometer dari pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun `K’ menggunakan ambulans St. John Ambulance Malaysia.

    Beliau yang menghidap strok ringan sejak lapan bulan lepas berkata petugas di pusat mengundi itu banyak membantunya terutama menolak kerusi roda bagi menunaikan undi.

    “Kalau hilang satu undi, kita rugi, jadi pakcik undilah…walaupun tak sihat dalam keadaan strok, jadi kerana negara kenalah tunaikan kewajipan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi.

    Proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN hingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    PRN itu diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

  • PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PRN Melaka banyak peristiwa, situasi ‘pertama kali’

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan beberapa situasi ‘pertama kali’ berlaku, bermula pada hari penamaan calon 8 Nov lepas.

    Melaka melakar sejarahnya tersendiri dengan menyaksikan ia negeri pertama mengikuti langkah Sabah yang bertukar ketua menteri sebanyak tiga kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

    Selain itu, bumi Hang Tuah itu juga buat pertama kali dalam sejarahnya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya pusat seperti kelaziman sebelum ini.

    PRN Melaka ini membariskan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) selain wujud satu Gagasan Bebas yang meliputi 13 calon, buat julung kalinya menyertai proses demokrasi negara.

    Pada pilihan raya negeri ini juga, PAS buat pertama kali ‘berkorban’ lambang sendiri dengan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

    Kali pertama PAS tidak menggunakan lambangnya adalah pada PRU keempat pada 1974 dan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), sebelum parti Islam itu meninggalkan BN pada 1977 dan bertanding sebagai pembangkang pada PRU kelima yang diadakan pada 1978.

    Parti Gerakan yang sebelum ini menggunakan lambang BN sebelum meninggalkan gabungan itu pada 23 Jun 2018 selepas PRU14, turut menggunakan logo PN pada PRN Melaka.

    Mengenai calon pula, Datuk Norhizam Hassan Baktee buat pertama kalinya bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu yang dimenangi pada PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Pada 2 Mac 2020, Norhizam yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka ketika itu, menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah PN, lalu dipecat oleh DAP.

    Melaka juga bakal mencipta sejarah sekiranya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang bertanding menentang Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Zainal Hassan (PH) di DUN Tanjung Bidara, dilantik Ketua Menteri wanita pertama sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan negeri.

    Sebelum ini, jawatan Ketua Menteri Melaka telah disandang oleh 12 pemimpin dengan individu pertama adalah Tan Sri Osman Talib, diikuti Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Talib Karim, Datuk Setia Abdul Ghani Ali, Datuk Seri Adib Adam dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

    Turut tersenarai sebagai bekas Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Seri Mohd Zin Abdul Ghani, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Datuk Seri Idris Haron, Adly Zahari dan terakhir ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    PRN yang berlangsung di tengah-tengah pandemik COVID-19 juga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara diselaraskan dengan beberapa larangan dikenakan termasuk ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka. – BERNAMA

  • Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    Hujan renyai tak halang orang Melaka keluar awal mengundi

    HUJAN renyai di beberapa kawasan pagi ini tidak menghalang pengundi keluar seawal 7.30 pagi, beratur di luar pusat mengundi merangkumi antaranya sekolah dan dewan bagi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Tinjauan Bernama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Besar di Alor Gajah mendapati rata-rata yang keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat kawasan mereka, terdiri daripada golongan warga emas.

    Usia dan pergerakan terhad akibat masalah kesihatan juga tidak menghalang mereka untuk keluar mengundi.

    Maimun Hasan, 78, yang berkerusi roda menjadi pengundi pertama tiba di SK Durian Daun, Masjid Tanah kira-kira 7.35 pagi manakala Abdul Rahim Yaacob, 57, yang menghidap penyakit strok turut tiba awal untuk menunaikan haknya di pusat pengundian sama.

    Selain golongan warga emas, turut keluar awal mengundi adalah mereka yang bertanding, antaranya calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengundi di SK Ramuan China Besar sejurus pusat pengundian dibuka.

    Begitu juga dengan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Katil, Adly Zahari yang tiba di SK Durian Tunggal, pada 8.10 pagi.

    Calon Barisan Nasional (BN) DUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mengundi di SK Kampung Jeram pula menunaikan tanggungjawabnya pada 8.43 pagi diikuti Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan calon BN DUN Lendu yang mengundi di SK Durian Daun.

    Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang merupakan calon BN DUN Sungai Udang pula tiba untuk mengundi pukul 8.47 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lih Jen, Pokok Mangga di sini diikuti calon PH DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron, yang tiba di pusat pengundian itu bersama isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah dengan menaiki motosikal Yamaha 135LC.

    Proses pengundian di Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

    Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi DUN sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

    Pada 16 Nov lepas, seramai 11,557 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 31 pusat pengundian awal dengan 47 saluran manakala seramai 7,601 orang layak mengundi secara pos.

    Proses pengundian juga menyaksikan amalan norma baharu apabila pengundi diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran dengan mengimbas kod respons pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat mengundi.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka hari ini berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman. – BERNAMA