Author: Bernama

  • Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    Lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah di Masjidil Haram setiap hari sejak awal Ramadan

    MASJIDIL Haram, masjid paling suci umat Islam yang terletak di tengah-tengah Kota Makkah, Arab Saudi, mencatat kedatangan lebih 950,000 pengunjung dan jemaah umrah dari serata dunia setiap hari sejak awal Ramadan, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Menurut SPA, pengurusan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut menyatakan kesiapsiagaannya untuk menerima pertambahan jumlah kedatangan jemaah dalam 10 hari terakhir Ramadan.

    “Jabatan akan menggerakkan semua sumber manusia dan peralatan operasinya bagi menjamin kelancaran ibadah umrah dan keselamatan jemaah”, kata jabatan itu seperti dipetik SPA.

    Tambahnya, operasi pembersihan dan pensterilan di Masjidil Haram melibatkan lebih 4,000 pekerja pembersihan sebanyak 10 kali setiap hari.

    Setiap proses pembersihan menggunakan lebih 80,000 liter (L) sabun cecair, 1,600L penyegar dan kira-kira 15,000L cecair pembasmi kuman.

    Lebih 70 pasukan lapangan juga digerakkan 24 jam setiap hari untuk menyahkuman setiap ruangan di Masjidil Haram dan halaman luarnya, menggunakan bahan mesra alam dan lebih 500 pembersih tangan automatik.

    Pengagihan air Zamzam juga digandakan dengan lebih 200,000 botol diagihkan di halaman Tawaf (Mataf) menggunakan robot AI, tidak termasuk pengagihan secara beg silinder oleh lebih 1,400 pekerja dan puluhan tong statik setiap hari.

    Selain itu, lebih 8,000 kerusi roda biasa dan berkuasa elektrik disediakan untuk kegunaan jemaah umrah dan pengunjung warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

    Jabatan itu turut menekankan keperluan bagi jemaah dan pengunjung untuk mematuhi arahan semasa melaksanakan ibadah dan memberi kerjasama penuh kepada anggota keselamatan dan petugas bagi menjamin suasana keagamaan yang tenang dan selamat.

  • Wanita didakwa sembunyi wang ahli perniagaan

    Wanita didakwa sembunyi wang ahli perniagaan

    SEORANG wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah USDT202,992.36 (RM894,787.12) dalam akaun mata wang kripto, milik seorang ahli perniagaan warga Singapura, tahun lepas.

    Elaine Lee, 27, yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah syarikat swasta, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah USDT202,992.36 (RM894,787.12) kepunyaan Sim Kwang Kai Andrian, 45, yang dimasukkan ke dalam akaun wallet address (akaun mata wang kripto) milik tertuduh yang tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit apartment di Jalan Bangsar di Kuala Lumpur pada 21 Disember sehingga 23 Disember 2022, mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Elaine juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu gagal memberikan penjelasan memuaskan bagaimana dia memiliki wang tersebut pada tempat dan tarikh sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Lim Yoi Ping yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis.

    Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan kes.

  • Kontraktor dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan edar dadah

    Kontraktor dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan edar dadah

    SEORANG kontraktor perabot terlepas hukuman gantung selepas lelaki itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah lima tahun lalu.

    Keputusan itu dibuat Hakim Noor Hayati Mat ke atas Wong Shee Kang, 53, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Wong di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati tiada bukti atau fakta yang relevan untuk mengaitkan tertuduh dengan dadah yang ditemukan.

    “Dadah terbabit ada dalam bonet Toyota Camry milik kakak tertuduh dan walaupun tertuduh mempunyai kunci serta alat kawalan jauh, namun ia tidak boleh digunakan untuk membuka bonet kereta itu.

    “Bonet itu perlu diumpil dan tertuduh juga bukan pemilik kereta berkenaan. Jarak antara kereta ditemukan dan tertuduh ditahan juga agak jauh dan memakan masa hampir 30 minit,” katanya.

    Selain itu mahkamah juga mendapati tiada keterangan yang menunjukkan tertuduh berada di Jalan Saga 16 iaitu tempat kereta ditemukan di hadapan sebuah rumah.

    “Selepas meneliti nota prosiding yang dihujahkan oleh kedua-dua pihak, secara maksimum mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

    Wong didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 7.81 kilogram (kg) di hadapan sebuah rumah di Jalan Saga Taman Desa Cemerlang di Johor Bahru, pada 3.30 petang, 30 Okt 2018.

    Kontraktor perabot dan renovasi itu didakwa mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Wong turut dibebaskan bagi pertuduhan kedua, didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 19.4kg di lokasi dan waktu yang sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nasrudin Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.

    Perbicaraan kes itu yang bermula setahun yang lalu telah mendengar 10 saksi pendakwaan memberi keterangan.

  • Bekas timbalan pengurus ladang PPK didakwa minta suapan RM6,000

    Bekas timbalan pengurus ladang PPK didakwa minta suapan RM6,000

    BEKAS Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas dua pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM6,000 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, didakwa secara rasuah meminta wang daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berkaitan Projek Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang, sekitar September 2021.

    Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Mohd Asyraf boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

    Peguam Saleh Ahmad yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dijalankan serta menanggung seorang isteri dan empat orang anak.

    Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua permohonan syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, selain menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

  • Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    Wanita, adik ipar direman bantu siasatan salah guna kuasa

    SEORANG kakitangan awam dan adik iparnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di sebuah jabatan Persekutuan sejak 2019.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Tarmizie Nik Mohd Sukri terhadap ketua pembantu tadbir berusia 44 tahun dan pemilik syarikat berusia 39 tahun itu.

    Kedua-dua wanita itu masing-masing ditahan pada pukul 1.45 petang dan 2.10 petang semalam, di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber SPRM, kes salah guna kuasa itu dipercayai telah berlaku sejak 2019 dan melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

  • 5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    5 termasuk penyerang maut dalam insiden tembakan di sebuah bank

    SEORANG lelaki bersenjata dan empat yang lain terbunuh dalam satu kejadian tembakan di sebuah bank di bandar Louisville di negeri Kentucky Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut polis.

    Lapan orang turut cedera termasuk dua pegawai polis. Seorang daripada pegawai polis itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, lapor Agensi Berita Jermam (dpa).

    Timbalan ketua polis Louisville Paul Humphrey berkata, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.

    Dua pegawai polis itu cedera ketika berbalas tembakan dengan penyerang.

    Humphrey berkata, setakat ini belum jelas sama ada penyerang ditembak oleh polis atau membunuh diri.

    Menurut siasatan awal, suspek merupakan kakitangan bank itu atau pernah bekerja di bank berkenaan.

  • PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    PDRM sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg dadah dari Malaysia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

    Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

    “Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

    Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

    Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. – BERNAMA

  • FSA2 KWSP bukan cagaran kepada bank

    FSA2 KWSP bukan cagaran kepada bank

    FASILITI Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan berbentuk cagaran oleh peminjam terhadap pihak bank, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Katanya, pihak bank tidak boleh menggunakan simpanan peminjam KWSP sekiranya ahli atau peminjam gagal membayar ansuran pinjaman mereka.

    “Cagaran maksudnya (pihak bank) mempunyai hak untuk menguatkuasakan cagaran apabila berlaku kegagalan daripada pihak peminjam, maksudnya jika pinjam RM5,000, tak bayar, serta-merta ambil RM5,000.

    “Tetapi FSA2 ini bukan cagaran, pemberi pinjaman iaitu bank tidak boleh menggunakan simpanan KWSP sekiranya ahli gagal membayar ansuran pinjamannya.

    “Ahli mempunyai hak untuk membuat pengeluaran apabila mencapai umur 50 atau 55 tahun kerana ahli masih dilindungi di bawah Seksyen 51 Akta KWSP 1991,” katanya ketika menggulung usul pengeluaran lanjutan KWSP di Dewan Negara, hari ini.

    Terdahulu, usul bagi membahaskan pengeluaran lanjut KWSP dikemukakan Senator Datuk Razali Idris, mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

    Bagaimanapun, usul dibawa Razali yang telah dibahas oleh 12 ahli Dewan Negara ditolak.

    Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP buat kali yang kelima kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

    “Kalau kita hendak popular bagi sahaja (luluskan) semua pengeluaran, keluarkan sahaja RM5,500 atau RM3,300 sampai kosong tetapi kerajaan ini kerajaan bertanggungjawab sebab itulah kita tidak benarkan,” katanya.

    Persidangan Dewan Negara bersambung esok. – BERNAMA

  • Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    Lantikan Azeez pengerusi Keda diteliti semula – PM

    PELANTIKAN pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan diteliti semula, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “Saya bincang dengan Presiden UMNO Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), belum dihantar surat, kita akan teliti semula, belum ada pelantikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Bank Simpanan Nasional Cawangan Meru Raya.

    Anwar berkata demikian bagi mengulas pelantikan beberapa pemimpin UMNO ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

    Pada 5 April lalu, Abdul Azeez Abdul Rahim diumum oleh Zahid sebagai pengerusi Keda.

    Sementara itu, Anwar berkata pelantikan pemimpin UMNO ke dalam GLC berdasarkan kelayakan dan mereka yang dilantik perlu mengikuti syarat ketat.

    “Ia juga bukan syarikat tersenarai awam, kalau ada kelayakan kita akan lantik.

    “Syarat-syarat kita ketat, mereka (yang dilantik) mesti bertanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih, elaun juga dihadkan ikut kelayakan,” katanya. – BERNAMA

  • Pengamal perubatan tradisional didakwa perdaya warga emas RM460,000

    Pengamal perubatan tradisional didakwa perdaya warga emas RM460,000

    SEORANG pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas dengan memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran lebih RM460,000.

    P Wicknesvaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Wicknesvaran didakwa memperdayakan G Kanniason, 60, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM467,935 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Yap Kwan Seng, Menara Ampang di Kuala Lumpur pada 21 Julai hingga 29 Disember 2022, mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis.

    Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan kes.