Author: Bernama

  • Selepas mengaku berbohong di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang Singapura letak jawatan

    Selepas mengaku berbohong di Parlimen, Ahli Parlimen pembangkang Singapura letak jawatan

    Oleh MASSITA AHMAD

    PARTI Pekerja (WP) Singapura mengumumkan peletakan jawatan Raeesah Khan dari parti itu dan juga sebagai Ahli Parlimen (MP).

    Menurut parti pembangkang itu, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah mengadakan mesyuarat pada 8 malam, 30 Nov untuk membincangkan dan memutuskan syor Jawatankuasa Tatatertib yang telah dibentuk pada 2 Nov bagi menyiasat berkaitan kehadiran Khan di Parlimen.

    Dilaporkan Khan pada 1 Nov mengakui berbohong di Parlimen pada sidang terdahulu mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya disalah urus oleh polis.

    Menurut WP pada 4.30 petang Selasa, Khan memaklumkan kepada setiausaha agung WP dan juga Ketua Pembangkang Pritam Singh hasratnya untuk meletak jawatan.

    “Beliau kemudian menghadiri mesyuarat CEC pada 8 malam dan menyampaikan secara peribadi hasratnya itu,” kata WP menerusi kemas kini Facebooknya pada lewat Selasa.

    Khan, 27, Ahli Parlimen termuda di Singapura, mewakili perwakilan kumpulan (GRC) Sengkang untuk kawasan Compassvale .

    Beliau adalah seorang daripada empat ahli parti yang bertanding di bawah tiket GRC Sengkang bersama Jamus Lim, He Ting Ru dan Louis Chua pada semasa Pilihan Raya Umum Julai 2020.

    Khan turut memuat naik surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen di akaun Facebooknya yang ditujukan kepada Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin. – BERNAMA

  • 2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    2 kanak-kanak mati lemas dalam bekas lombong

    DUA kanak-kanak ditemukan lemas di sebuah bekas lombong di Kampung Sisik, Tanjung Resang di Mersing, petang semalam.

    Mangsa dikenali sebagai Wilton Callos, 4, dan rakannya Medical Micaella, 10.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.16 petang sebelum lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Semasa kejadian mangsa bersama-sama ibunya dan adik-beradik serta jiran dan anak-anak telah pergi ke lombong pasir tersebut untuk tujuan berkelah.

    Beliau berkata, pihaknya bertindak melakukan pencarian dua kanak-kanak itu di permukaan lombong sebelum kedua-duanya dijumpai oleh bapa kepada salah seorang mangsa pada jarak kira-kira empat kaki dari tebing terbabit.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya diberikan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) namun tiada tindak balas,” katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.

    Mohd Alias berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Mersing dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik anggota tentera dan operasi ditamatkan pada 7.28 malam. – BERNAMA

  • Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    Mini makmal diserbu, polis rampas, sita dadah & aset bernilai lebih RM10 juta

    POLIS menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 Nov lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.

    Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.

    “Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

    Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset-aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.

    Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

    Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 Nov lalu.

    — BERNAMA

  • WHO belum jelas sama ada Omicron mudah berjangkit

    WHO belum jelas sama ada Omicron mudah berjangkit

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad berkata, masih belum jelas sama ada varian Omicron COVID-19 lebih mudah berjangkit, atau menyebabkan gejala penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain termasuk Delta, lapor Xinhua.

    WHO berkata, kedua-dua perkara itu masih belum dipastikan meskipun data awal menujukkan terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital di Afrika Selatan akibat varian itu.

    Pertubuhan itu turut mengesahkan pada masa ini tiada maklumat untuk mengesyorkan simptom yang dikaitkan dengan Omicron adalah berbeza daripada simptom varian lain, kerana ia mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu untuk diketahui.

    Semua varian COVID-19, termasuk varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia, boleh menyebabkan penyakit atau kematian yang teruk, khususnya bagi individu yang paling terdedah, dan oleh itu pencegahan adalah sangat penting.

    Bagaimanapun, WHO berkata bukti awal menunjukkan mungkin terdapat peningkatan risiko jangkitan semula dengan Omicron, tetapi maklumat adalah terhad. Maklumat terperinci mengenai perkara ini akan tersedia dalam beberapa hari dan minggu lagi.

    Kenyataan itu menyebut bahawa ujian PCR semasa dapat mengesan Omicron, sementara kajian lanjut masih diteruskan untuk memahami bagaimana varian Omicron akan memberi kesan kepada vaksin dan rawatan COVID-19 sedia ada.

    WHO pada Jumaat mengklasifikasikan varian terbaharu virus SARS-CoV-2 B.1.1.529, kini dengan nama Omicron, sebagai Variant of Concern (VOC).

    Ia juga mengesyorkan penyiasatan lapangan dan penilaian makmal untuk lebih memahami potensi varian baharu itu dan kesannya terhadap epidemiologi COVID-19, keberkesanan langkah kesihatan awam dan sosial serta peneutralan antibodi. – BERNAMA

  • Isu 200,000 warga asing menganggur selesai hujung 2021

    Isu 200,000 warga asing menganggur selesai hujung 2021

    MASALAH lambakan kira-kira 200,000 warga asing tidak bekerja di negara ini yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan telah berbincang dengan beberapa syarikat yang menggajikan pekerja asing termasuk peladangan, untuk mengambil mereka bekerja semula.

    “Keutamaan akan diberikan kepada warga asing yang telah berdaftar dan telah disenaraikan melalui program berkenaan, untuk mendapatkan pekerjaaan memandangkan mereka sudah ada di dalam negara ini.

    “Sebab kalau warga asing yang baharu akan mengambil masa, yang ini mereka sudah terima vaksin cukup, boleh mula bekerja dalam masa dua minggu dari sekarang, kita akan selesaikan sebelum akhir tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

    Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Hamzah berkata demikian ketika ditanya mengenai status permohonan pekerjaan kira-kira 200,000 warga asing, yang memohon untuk bekerja semula di negara ini.

    Pada 2 Nov, Hamzah dilaporkan berkata 212,926 warga asing dan 11,751 majikan membuat permohonan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

    Sementara itu, Hamzah berkata kerajaan sedang memperincikan permintaan syarikat kawalan keselamatan swasta di negara ini, yang memohon kebenaran untuk menggajikan pekerja dari Bangladesh, Indonesia dan Filipina selain dari Nepal.

    Beliau berkata setakat ini seramai 30,000 warga asing daripada 180,000 pengawal keselamatan bertugas di negara ini merupakan warga Nepal, manakala selebihnya merupakan warga tempatan.

    “Kuota dibenarkan masih kekal iaitu 80 peratus pengawal keselamatan warga tempatan dan hanya 20 peratus warga Nepal, yang mempunyai pengalaman dalam agensi keselamatan. Isunya adalah untuk menggantikan sebahagian daripada 30,000 warga Nepal yang sudah habis tempoh bekerja, kita mahu cari pengganti untuk isi kuota itu, bukan menambah.

    “Sebolehnya kita mahu mengutamakan pengambilan pengawal keselamatan daripada warga tempatan, kerana jawatan itu perlu diisi individu yang mempunyai integriti dan memahami undang-undang negara,” katanya.

    Terdahulu, Hamzah dalam ucapannya mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan ‘pencungkil bakat’ dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota agensi keselamatan itu, terdiri daripada calon terbaik di seluruh negara.

    “Saya minta kalau boleh, ada pencungkil bakat diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.

    “Melalui pencungkil bakat ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan kemahiran insani, kecerdasan emosi dan berkemahiran teknologi, ini yang kita mahu,” katanya. – BERNAMA

  • DUN Johor: Tiada wakil pembangkang dalam JTPD

    DUN Johor: Tiada wakil pembangkang dalam JTPD

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini menolak rundingan mengenai cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

    Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat memaklumkan seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bersetuju manakala 27 ADUN bersetuju setelah undian secara rahsia dijalankan selama dua minit.

    Terdahulu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan dan berdasarkan maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kedudukan ADUN dalam JTPD adalah merujuk kepada ADUN di pihak kerajaan.

    Beliau berkata sejak persidangan DUN lepas, cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang dalam JTPD telah dibangkitkan dan susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan sepertimana Arahan No.1 (2020) daripada ICU Jabatan Perdana Menteri.

    “Maklum balas daripada ICU Jabatan Perdana Menteri melalui surat bertarikh 18 Nov 2021 menyatakan bahawa buat masa ini, kedudukan Ahli Parlimen dan ADUN dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan JTPD seperti arahan No.1 2020.

    “Menerusi arahan itu, dalam Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara adalah merujuk kepada Ahli Parlimen dan ADUN yang sama parti dengan kerajaan,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada hari terakhir Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri hari ini.

    Bagaimanapun, Hasni berkata atas semangat sebagai rakan strategik, kerajaan negeri berbesar hati menjemput semua ADUN Pakatan Harapan dalam mesyuarat JTPD sebagai pemerhati yang membawa maksud bahawa mereka akan dijemput hadir pada setiap kali mesyuarat JTPD.

    “ADUN pembangkang juga boleh kemuka cadangan secara bertulis kepada pengerusi JTPD bagi daerah masing-masing. Malangnya, perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelah sana tidak bersetuju sekiranya dijemput sebagai pemerhati malah mempersenda pemerhati sebagai pelawat.

    “Oleh itu, kerajaan negeri tiada pilihan lain dan akan mengguna pakai Arahan No. 1 (2020) sepenuhnya,” katanya.

    Ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 18 Nov lepas, beliau berkata kesemua 56 ADUN termasuk pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun.

    Katanya kerajaan negeri juga bersetuju menjemput ADUN pembangkang menyertai mesyuarat JTPD sebagai pemerhati. – BERNAMA

  • Bincang daftar GRS jadi parti politik, had KM dua penggal

    Bincang daftar GRS jadi parti politik, had KM dua penggal

    CADANGAN mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti politik dan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah sehingga dua penggal akan dibincang secara bersama oleh pemimpin parti komponen gabungan itu, kata Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor.

    Ketua Menteri Sabah itu berkata secara dasarnya kedua-dua cadangan itu dilihat baik untuk Sabah, namun memerlukan persetujuan semua parti komponen GRS sebelum dapat dilaksanakan.

    Hajiji berkata beliau menyambut baik kesediaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin membincangkan cadangan mendaftarkan GRS sebagai parti politik secara teliti dan berharap langkah itu dapat mengukuhkan kerjasama dalam gabungan itu.

    “Kerajaan Negeri Sabah didukung oleh GRS, jadi untuk mendaftar gabungan ini secara rasmi adalah cadangan yang boleh kita pertimbangkan, mana-mana yang baik untuk politik Sabah dan GRS kita akan teliti sebaiknya,” katanya kepada pemberita di Tuaran, hari ini.

    Terdahulu beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di sini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan GRS Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mencadangkan supaya pemimpin GRS mengambil langkah segera mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi.

    Salleh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, dilapor berkata ia sebagai langkah mengukuhkan GRS yang dibentuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 dan perlu bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli gabungan khususnya antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

    Semalam Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi I GRS dilaporkan berkata cadangan mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi memerlukan penelitian lebih mendalam.

    GRS adalah gabungan parti dalam PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS), BN (UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah) serta Parti Bersatu Sabah.

    Mengulas lanjut cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah sehingga dua penggal, Hajiji berkata cadangan yang diusulkan pada Persidangan Tahunan Bersatu Peringkat Bahagian di Sabah itu, akan dibawa ke peringkat kerajaan untuk dipertimbangkan selepas dipersetujui parti komponen GRS.

    “Usul ini melibatkan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah, jadi perlu diteliti secara terperinci semua pihak termasuk pimpinan GRS, selepas itu barulah tindakan seterusnya dapat dilakukan,” katanya.

    Selain Bersatu Bahagian Tuaran pada hari ini, bahagian lain yang mengusul dan meluluskan cadangan itu sebelum ini ialah Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau. – BERNAMA

  • Struktur pentadbiran Bersatu perlu ditambah baik

    Struktur pentadbiran Bersatu perlu ditambah baik

    PENAMBAHBAIKAN dalam struktur pentadbiran Bersatu wajar dilakukan bukan hanya di peringkat negeri malah secara keseluruhan, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

    Katanya penambahbaikan dalam pengurusan Bersatu itu perlu dilakukan, bagi membolehkan asas perjuangan penubuhan parti berkenaan dapat dikembalikan.

    “Mengambil kira senario yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru ini, saya berpendapat bukan sahaja rombakan di (peringkat) negeri wajib dibuat, tetapi (parti) perlu melihat semula struktur pentadbiran secara keseluruhan yang melibatkan pengurusan parti itu sendiri,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Alor Gajah di A Famosa Resort di sini hari ini.

    Katanya struktur pentadbiran itu adalah seperti siapa yang telah dipilih, manakala yang dilantik dikekalkan namun kena ada penambahbaikan dari segi pengurusan parti, termasuk keahlian dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas peletakan jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, Jumaat lalu.

    Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata terpulang kepada pucuk pimpinan, untuk menilai semula gerak kerja dalam meneruskan agenda parti untuk menjadi sebuah parti alternatif yang mendukung perjuangan bangsa dan agama.

    “Ini bukan saja melibatkan struktur penyusunan semula negeri, tetapi memperhalusi cara (parti) mengurus dan mentadbir peringkat pusat dan itu terpulanglah kepada presiden.

    “Ia pentingnya untuk semua kembali kepada perjuangan asal Bersatu, yang mana jika asasnya parti ini ditubuhkan dahulu. Kita akui kelemahan dalam gerak kerja parti yang telah menjadi antara punca kepada kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRN (Melaka), dan harap ia dapat dijadikan iktibar,” katanya. – BERNAMA

  • Jentera Bersatu Sabah perlu pendekatan baharu berkempen

    Jentera Bersatu Sabah perlu pendekatan baharu berkempen

    JENTERA pilihan raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah perlu kreatif dan berinovatif dalam berkempen bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang di era COVID-19, kata Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Mengambil contoh pendekatan berkempen secara dalam talian pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini, beliau berkata pendekatan itu mungkin lebih mencabar bagi menjayakan pilihan raya umum (PRU) akan datang di Sabah dengan capaian Internet yang masih rendah terutamanya di kawasan pedalaman.

    “Sekarang adalah amat penting (ketika PRU belum dipanggil) bagi jentera pilihan raya setiap parti untuk mendekati pengundi.

    “Bersatu Bahagian Beluran kini ada 104 cawangan dan lebih 8,000 ahli yang boleh memanfaatkan masa sekarang untuk menyantuni rakyat, khususnya pengundi,” katanya yang juga Ketua Bersatu Bahagian Beluran kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Beluran, hari ini.

    Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata meskipun Bersatu Beluran mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, namun pendekatan kempen secara dalam talian juga perlu diselami dan diberi perhatian setiap jentera pilihan raya. – BERNAMA

  • KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2) ekoran harga melambung

    KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2) ekoran harga melambung

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

    Op Pasar (Sayur 2) dilancarkan susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

    Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, brokoli dan cili merah telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

    “Kementerian tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran kerana kami juga mempunyai keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang turut merasai tempias ini.

    “Setakat semalam, KPDNHEP telah mengeluarkan 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya ketika ditemui pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

    Tambah Rosol lagi, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

    Pada masa sama, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

    “PPH dan pegawai penguat kuasa kita memang turun padang setiap hari tanpa gagal untuk memantau harga barangan di lapangan dan sentiasa melaporkannya sekiranya berlaku perubahan harga,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti esok.

    Beliau berkata saranan itu disampaikan kepada syarikat berkenaan dalam satu pertemuan pada Jumaat untuk mendapatkan justifikasi mengenai perubahan harga itu.

    “Walaupun begitu, kita juga sedang memikirkan mekanisme untuk membantu mereka (Gardenia (KL) Sdn Bhd) yang turut terkesan dengan peningkatan harga gandum yang membawa kepada kenaikan harga roti. Kita seboleh-bolehnya mahu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan peniaga tidak perlu sampai tutup kilang sementara pengguna juga tidak terbeban dengan kenaikan harga walaupun 10 sen,” katanya. – BERNAMA