Author: Bernama

  • Rayuan kes SRC: Najib mohon kemuka bukti baharu

    Rayuan kes SRC: Najib mohon kemuka bukti baharu

    DATUK Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd.

    Bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan tersebut semalam melalui Tetuan Shafee & Co, hanya seminggu sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuannya yang dijadualkan pada 8 Dis.

    Menerusi notis usul yang diperoleh media, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan supaya keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes berkaitan SRC itu serta keterangan mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

    Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib berkata permohonan itu dibuat olehnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan dan dapat mengumpul semua maklumat dan dokumen yang diperlukan.

    Najib, 68, mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan berkenaan.

    Najib berkata, beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas, mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antaranya dari Singapura.

    “Dinyatakan bahawa, Kerajaan Singapura telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki oleh Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

    “Pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan oleh portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya telah menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low termasuk dana yang dikaitkan dengan 1MDB,” katanya.

    Najib mendakwa, Tawfiq dan dua anak lelakinya iaitu Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz telah menandatangani akuan berkanun yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik benefisial akaun CEIL dan US$15.4 juta telah dihantar dan dipersetujui kepada permohonan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura (CAD) supaya ia dipindahkan ke akaun 1MDB.

    Dana itu dikatakan daripada Iron Rhapsody Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands yang dikendalikan oleh Tawfiq dan seorang anak lelakinya.

    Afidavit Najib menyatakan bahawa antara 2008 dan 2009, Iron Rhapsody menerima US$16.219 juta daripada syarikat-syarikat milik Jho Low hasil daripada Nota Jangka Sederhana Islam 1MDB sebanyak RM5 bilion yang dijual pada 2009.

    Najib mendakwa bahawa pada 20 Jan 2021, peguamnya telah menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan dan dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsdoy Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta kepunyaan mereka.

    “Beberapa e-mel susulan turut dihantar dan dibalas. Akhirnya, pada 24 Mac tahun ini, peguam saya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguam saya. Di sebalik usaha di atas, saya tidak dapat mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov tahun ini.

    “Saya benar-benar percaya bahawa bukti yang telah ditemui dan disahkan secara boleh dipercayai mendedahkan keterlibatan Zeti dalam rancangan Jho Low. Saya percaya bahawa peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada amaran atau isu luar aturan ditimbulkan mengenai perkara berkaitan urus niaga dalam akaun saya antara 2011 dan 2015 dan seterusnya menyediakan cara untuk Jho Low melakukan manipulasinya,” kata Najib.

    Oleh itu, beliau memohon Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan ini sebelum menyampaikan keputusannya.

    Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari yang sama beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

    Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu. – BERNAMA

  • COVID: Lebih 70 peratus kes kematian di Terengganu individu tidak pernah divaksin

    COVID: Lebih 70 peratus kes kematian di Terengganu individu tidak pernah divaksin

    SERAMAI 595 individu atau 77.5 peratus dari keseluruhan 768 kes kematian akibat COVID-19 di Terengganu adalah individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada 768 kematian yang direkodkan itu, 425 kes atau 55 peratus adalah lelaki manakala 343 kes atau 45 peratus wanita, dengan 658 orang atau 85.7 peratus daripada jumlah kematian itu mempunyai faktor komorbid.

    “Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata antara faktor peningkatan kematian itu adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit yang berumur lebih 50 tahun.

    Sejak kebenaran rentas negeri bermula 11 Okt lepas dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, Jabatan Kesihatan Negeri telah menjangkakan berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan pergerakan masuk ahli keluarga yang pulang ke kampung dan aktiviti pelancongan.

    Dr Kasemani berkata bermula hujung Oktober sehingga 30 Nov lepas, Terengganu telah mencatat peningkatan kemasukan kes COVID-19 ke hospital sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu (September hingga Oktober), dengan penggunaan katil COVID-19 di hospital mencecah 59.7 peratus.

    “Sebanyak 84.4 peratus kemasukan ke hospital adalah pesakit bagi kategori 3, 4 dan 5 dan ini menyumbang kepada penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terkini sebanyak 72.5 peratus. Selain itu, sejak hujung Oktober juga, 39.5 peratus kes yang dimasukkan ke ICU adalah individu yang tidak divaksin,” katanya.

    Sehingga kini, 69.2 peratus daripada jumlah populasi di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 dan 92.6 peratus dalam kalangan populasi dewasa di negeri ini menerima dos primer.

    Dr Kasemani berkata bagi suntikan dos penggalak pula, sehingga kini seramai 31,397 individu sahaja telah disuntik dan pencapaian dos penggalak itu amat rendah hanya 3.4 peratus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

  • Harga racun serangga melambung hingga 199 peratus

    Harga racun serangga melambung hingga 199 peratus

    HARGA racun serangga meningkat sehingga 199 peratus iaitu RM66 kepada RM197.50, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

    Beliau berkata, selain itu harga racun kulat juga mencatatkan peningkatan 20.77 peratus; racun siput hampir 20 peratus; baja sebatian Tiara Blue sebanyak 19.4 peratus; Agrobridge 19.1 peratus; dan NPK Blue 14.5 peratus.

    “Memang benar kenaikan yang ketara ini berlaku, disebabkan oleh harga pasaran dunia yang di luar kawalan MAFI dan ini memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran yang ditanggung oleh petani.

    “…(Sebagai) alternatif, langkah yang perlu diambil oleh kerajaan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menggalakkan pengurangan kebergantungan kepada baja kimia, kita menggalakkan petani untuk beralih kepada pertanian organik umpamanya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kaedah alternatif dalam mengurangkan dan usaha jangka panjang menghapuskan penggunaan baja dan racun sintetik tanpa menjejaskan produktiviti, malah meningkatkan hasil pengeluaran.

    Ronald berkata, antara langkah yang diambil termasuk pengaplikasian teknologi efektif mikroorganisme (EM), menggalakkan penggunaan semula bahan sisa pertanian seperti pereputan jerami padi, baja organik serta memperkenalkan penggunaan sisa pertanian jerami padi sebagai medium tanaman.

    “Namun, ini adalah langkah jangka panjang dan kita masih tidak dapat lari daripada kebergantungan penggunaan baja kimia dan cara pertanian konvensional yang diamalkan petani di negara kita,” katanya. – BERNAMA

  • Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    Harga barang naik, KPDNHEP beri sebulan cari penyelesaian

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi tempoh sebulan untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh dan berterusan bagi menangani isu kenaikan harga barangan dan makanan.

    Menteri berkenaan, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi penyelesaian jangka masa pendek, kementerian memperkenalkan program Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

    Beliau berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program itu di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara secara berperingkat.

    “Buat masa ini kementerian mencadangkan program ini dibuat dua kali sebulan, tapi ada permintaan supaya dibuat lebih kerap. Jualan Keluarga Malaysia ini adalah langkah jangka pendek supaya pengguna boleh pergi ke tempat seperti ini membeli dengan harga yang lebih kurang daripada pasaran yang dikatakan tinggi.

    “Kita juga perlu melihat bagaimana untuk menangani masalah ini (kenaikan harga) untuk jangka panjang. Kita risau juga kalau kita tidak ada perancangan yang lebih menjurus kepada penyelesaian jangka panjang takut ini (kenaikan harga) boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam temu bual program Selamat Pagi Malaysia di TV1 yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari KPDNHEP hari ini.

    Program Jualan Keluarga Malaysia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai di sini, pada 5 petang ini.

    Mengulas lanjut, Nanta berkata kenaikan harga barangan dan makanan disebabkan beberapa faktor antaranya aktiviti perniagaan seperti restoran dan kedai makan yang mula beroperasi sepenuhnya selepas kelonggaran diberikan kerajaan yang menyebabkan permintaan barangan asas meningkat secara mendadak.

    “Begitu juga faktor keluaran sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang yang kurang kerana lazimnya hujung tahun musim tengkujuh dan industri itu kekurangan tenaga buruh asing yang telah memberi kesan kepada aktiviti pengeluaran untuk menampungnya.

    “Kita juga difahamkan ada sayur-sayuran yang diimport dari negara asing, tapi apabila diimport dari negara asalnya harganya sudah tinggi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Nanta berkata KPDNHEP mengalu-alukan individu yang kehilangan kerja atau perniagaan berikutan pandemik COVID-19 supaya menceburi industri francais.

    Beliau berkata potensi industri itu amat besar kerana berasaskan perniagaan yang sudah sedia ada dan mudah untuk memulakannya selain mempunyai pasaran yang luas.

    “…untuk membuka cawangan (francais) contohnya, kita (KPDNHEP) boleh bantu, kerana kita telah diberikan peruntukan dalam bajet untuk mengembangkan francais,” katanya. – BERNAMA

  • 65 pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya positif Covid-19

    65 pelajar Sekolah Seri Puteri Cyberjaya positif Covid-19

    SERAMAI 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya didapati dijangkiti Covid-19.

    Perkara itu dimaklumkan menerusi ciapan di laman Twitter Radzi Jidin Comms @DRJComms iaitu laman Twitter rasmi pasukan komunikasi Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Menurut ciapan yang dikeluarkan malam ini, Radzi telah hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh (SBP) itu.

    “Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan itu.

    Pada 9 Okt lepas, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

    Institusi pendidikan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka mula beroperasi pada 31 Okt lepas.

    Operasi institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu adalah berdasarkan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 18 Okt lepas. –  BERNAMA

  • Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    Murid faham tatacara ujian kendiri di sekolah – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mendapati sebahagian besar murid sudah biasa melakukan ujian kendiri saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Radzi yang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 di sini hari ini bagi melihat pengoperasian sekolah dan hari pertama pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah berpuas hati dengan proses berkenaan.

    “Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

    “Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik, murid dapat mematuhi arahan yang diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada media.

    Sehubungan itu, Radzi berkata KPM yakin proses tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya hingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Dis ini.

    Mengenai pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran dilaksanakan pada setiap minggu pada Rabu, Radzi berkata seramai 28 daripada 280 murid di SK Bandar Sri Damansara 3 dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

    Pada 27 Nov lepas, KPM memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

    Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara mingguan bermula 29 Nov. – BERNAMA

  • PRN Sarawak: Anak Arwah Tok Nan bakal bertanding di Tanjong Datu

    PRN Sarawak: Anak Arwah Tok Nan bakal bertanding di Tanjong Datu

    ANAK  bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), Azizul Annuar Adenan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

    Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu dibuat kerana penyandang kerusi tersebut yang juga balu kepada Tok Nan iaitu Datuk Amar Jamilah Anu mahu mengundur diri serta memberikan ruang kepada Azizul.

    “Kami di Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sendiri mahu orang muda… adalah wajar kami memberi laluan kepada anaknya untuk meneruskan wawasannya (Allahyarham Adenan Satem). Saya rasa beliau (Azizul) sudah bersedia, beliau berbakat, mempunyai latar belakang… saya tak kisah nak bagi tahu, beliau ada karakter, macam bapa dia juga.

    “Saya beri bayangan tadi dan saya akan sahkan pada 3 Dis nanti. Selalunya bayang-bayangan akan jadi benar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal SarawakCentex Lundu di Lundu.

    Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata pada PRN kali ini, beliau mahu menampilkan calon orang muda kerana mereka berpotensi di samping melatih mereka untuk memimpin Sarawak di masa hadapan.

    “Kami (GPS) bagi pendedahan bagaimana untuk menguruskan politik yang stabil, bagaimana menguruskan pembangunan yang memberikan kesan kepada rakyat… apakah kualiti pimpinan yang mesti ada, Alhamdulilah kita dalam parti (PBB) kita ada pimpinan yang kita latih.

    “Kita bekerja dalam satu pasukan, lagi-lagi pasukan besar bernama GPS, bukan senang memimpin Sarawak … kita mesti adil kerana rakyatnya berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan,” katanya.

     Jamilah Anu menang kerusi DUN Tanjong Datu pada PRN Sarawak 2017, menggantikan Allahyarham Adenan yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

  • Agong gusar penularan varian baharu Omicron

    Agong gusar penularan varian baharu Omicron

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan kegusaran terhadap penularan varian baharu COVID-19, Omicron yang dikategorikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata sehubungan itu, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat untuk terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan serta menyeru supaya mereka berwaspada dan tidak alpa dalam menjalani aktiviti harian.

    “Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin COVID-19 dan mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baginda turut menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan untuk membendung penularan varian tersebut yang diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya dan cepat merebak.

    “…khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan COVID-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, terutama dari negara yang melaporkan kes COVID-19 varian Omicron,” katanya.

    Ahmad Fadil berkata menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti berbanding varian-varian lain serta mutasi dalam varian tersebut berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

    Beliau berkata Seri Paduka berharap rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala dan mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

    Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berpandangan segala pengorbanan dan usaha semua pihak termasuk petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi COVID-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak itu.

    Beliau berkata Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan terhadap langkah proaktif yang diambil KKM dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan hospital-hospital dan klinik-klinik bagi menghadapi kemungkinan peningkatan bilangan kes harian sekiranya varian Omicron menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara.

    “Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan COVID-19, khususnya varian Omicron, dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai,” katanya.

    Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan supaya rakyat dan negara ini sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – BERNAMA

  • Tiada alasan naikkan harga ais – Ismail Sabri

    Tiada alasan naikkan harga ais – Ismail Sabri

    Syarikat pengeluar ais tidak mempunyai alasan kukuh untuk menaikkan harga di pasaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Mengulas laporan mengenai peningkatan harga sebungkus ais sebanyak RM0.50 bermula hari ini, Ismail Sabri berkata kenaikan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan masih mengekalkan tarif air dan elektrik ketika ini.

    “Harga ais tidak sepatutnya naik kerana kerajaan beri kemudahan bekalan air dan elektrik pada harga murah, tiada kenaikan,” katanya  kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga barangan keperluan di MyFarm Outlet Kasih, di sini hari ini.

    Membanding alasan kenaikan harga roti yang berpunca daripada peningkatan harga gandum, Ismail Sabri berkata: “Negara kita tidak tanam gandum, kita import gandum. Jadi ia beri kesan pada harga roti.”

    Berikutan rungutan pelbagai pihak, Ismail Sabri mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan kajian terperinci berhubung faktor kos pengeluaran.

    “Kita (kerajaan) mahu maklumat bagi harga kos di setiap rantaian bekalan.

    “Kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan keperluan disebabkan faktor kos pengeluaran,” katanya.

  • Tak perlu Tanah Besar Malaysia, istilah Malaysia Timur sudah memadai

    Tak perlu Tanah Besar Malaysia, istilah Malaysia Timur sudah memadai

    CADANGAN menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia tidak membawa sebarang keistimewaan kepada kedua-dua negeri itu.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan berpandangan, istilah sedia ada dalam undang-undang iaitu Malaysia Timur adalah memadai.

    Beliau berkata, berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat Jabatan Peguam Negara, didapati istilah Tanah Besar Malaysia tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

    “Penjenamaan itu tidak membawa apa-apa, kerana ia hanya bagi easy reference, tidak menambah atau menolak apa-apa keistimewaan kepada mana-mana negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji untuk menjenamakan Sabah dan Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan Federation of Malaya sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.

    Menurutnya, di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti East Malaysia dan Peninsular Malaysia.

    Tambahan pula katanya cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak, akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo bagi merujuk kepada Sabah dan Sarawak.

    Pada 3 Nov lepas, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

    Bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini. – BERNAMA