Author: Bernama

  • Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    Banduan cuci kereta anggota Jabatan Penjara dibayar gaji

    JABATAN Penjara hari ini menjelaskan berhubung isu gambar seorang penghuni penjara mencuci kenderaan seorang anggota jabatan itu yang tular di laman sosial, merupakan individu dilatih dan terlibat dalam program pemulihan luar penjara dikenali sebagai Banduan Kerja Luar Penjara (BKLP).

    Jabatan Penjara dalam kenyataan memberitahu setiap banduan yang terlibat, telah menjalani saringan ujian fizikal dan mental tertentu untuk menjalani BKLP, dengan pemantauan anggota penjara selain turut menerima gaji hasil daripada pekerjaan mereka lakukan.

    “Kebanyakan institusi penjara menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan dan ia turut dibuka kepada orang awam dengan kadar harga bayaran berpatutan dan perkhidmatan berkualiti.

    “Masyarakat setempat yang berhasrat menggunakan perkhidmatan ditawarkan itu, dialu-alukan untuk berhubung dengan penjara berdekatan sebagai tanda sokongan masyarakat setempat terhadap program pemulihan Jabatan Penjara, dalam menyediakan peluang pekerjaan dan kerjaya kepada penghuni apabila dibebaskan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, tular di media sosial satu tangkap layar mendakwa seorang pegawai Jabatan Penjara menyuruh seorang banduan mencuci kereta miliknya.

    Tangkap layar berkenaan mengundang pelbagai kecaman, yang menganggap pegawai berkenaan menggunakan banduan itu untuk kepentingan peribadinya. – BERNAMA

  • Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    Mengejutkan! DAP mahu batal projek Transit Aliran Autonomi Kuching

    prn sarawak

    TEKAD Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen untuk membatalkan cadangan pembinaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini amat mengejutkan dan dikesali, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

    Beliau berkata, sebagai Ahli Parlimen Stampin, Chieng Jen pastinya tahu bahawa kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuching semakin bertambah buruk selaras dangan pertambahan penduduk, dan jumlah kenderaan di kawasan kota.

    “Tidakkah Chieng Jen tahu bahawa jumlah penduduk Kuching dan juga kenderaan berdaftar masing-masing meningkat tiga dan lapan peratus setiap tahun, sekali gus mengakibatkan peningkatkan kesesakan di bandar raya?

    “Berdasarkan trend pertumbuhan semasa bagi trafik kawasan bandar raya Kuching, pertumbuhan jumlah kenderaan dijangka menjangkau 41 peratus dari 317,400 pada tahun 2015 kepada 449,200 pada tahun 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Kui Hian merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah dalam PRN12 ini.

    Semalam Chieng Jen, yakni adalah calon DAP bagi kerusi DUN Padungan dilaporkan berkata PH tidak akan meneruskan projek mega yang dianggap ‘projek gajah putih’ seperti projek ART, sekiranya ia berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan.

    Dr Kui Hian seterusnya menggesa pengundi di Sarawak menyokong GPS sekiranya mereka percaya bahawa Kuching, malah seluruh Sarawak, berhak mengecap nikmat pembangunan. – BERNAMA

  • Zuraida minta penyokong Ali Biju undi Friday

    Zuraida minta penyokong Ali Biju undi Friday

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin menyeru dan meminta semua penyokong Datuk Ali Biju di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian untuk sama-sama memberi sokongan padu kepada calon GPS, Friday Belik.

    Menteri Perusahaan dan Perladangan dan Komoditi itu berkata selepas berundur daripada pilihan raya berkenaan sebagai calon Bebas, Khamis lalu, Ali Biju sendiri telah meminta penyokongnya membantu Friday menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Dis ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak sempena Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia 2021 di Samarahan, hari ini.

    Selain Friday, kerusi Krian juga ditandingi oleh calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Kuan Sam Sui.

    Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata beliau bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yand dahulunya dikenali Parti Pekerja Sarawak.

    “Saya tak ada terima apa-apa tawaran lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.

    Untuk rekod, pendaftaran Parti Bangsa Malaysia diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 Okt lalu dan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng kini menjawat jawatan timbalan presiden baharu parti itu. – BERNAMA

  • Pemilihan UMNO mungkin November 2022 – Mohamad

    Pemilihan UMNO mungkin November 2022 – Mohamad

    PEMILIHAN UMNO bagi penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November tahun depan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Katanya, ia perlu diadakan sebelum tamat tempoh semasa iaitu pada Disember tahun depan.

    Justeru, pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya pada Julai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Rembau di Seremban, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa UMNO bahagian yang meminta pemilihan parti diadakan sekurang-kurangnya setahun sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ditanya mengenai sama ada terdapat usul supaya lima jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang pada Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, Mohamad berkata tiada cadangan seumpama itu diterima setakat ini.

    Sementara itu, mengenai permohonan UMNO Selangor yang mahu diberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat.

    “Perkataan autonomi itu besar, kalau mahu bersama PAS tiada isu, kenapa perlu minta autonomi…minta untuk berunding terus dengan PAS, itu tidak mengapa.

    “Tiada arahan daripada parti untuk kita memutuskan hubungan atau mengkaji semula dengan PAS,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berharap pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu menerusi MN kerana kerjasama antara UMNO dan PAS di negeri itu ini amat baik dan dilihat lebih berkesan.

    Mohamad berkata hubungan UMNO dan PAS dalam MN masih seperti biasa dan tiada keputusan dibuat mengenai masa depan kedua-dua parti itu.

    “Orang ingat MN itu satu pertubuhan berdaftar, kita tidak berdaftar, ia hanya sebagai platform untuk kita menjalinkan kerjasama. Setakat ini UMNO tidak ada memutuskan apa-apa hubungan, begitu juga PAS belum memutuskan apa-apa hubungan, jadi kita macam biasa.

    “MN ini persefahaman untuk menyatu padukan umat Melayu dan Islam, tiada ikatan perjanjian yang mengikat (kedua-dua parti) tetapi atas persefahaman supaya kita orang Melayu dan Islam jangan berpecah, bukan sahaja dalam politik tetapi dalam banyak hal lagi,” katanya. – BERNAMA

  • SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    SPRM nafi tahan Presiden Parti Bumi Kenyalang

    prn sarawak

    DAKWAAN bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan pagi tadi adalah tidak benar.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan agensi itu mengejar Voon juga tidak benar.

    Menurut SPRM, agensi itu telah beberapa kali cuba menghubungi Voon sebelum ini namun gagal dan hari ini, beliau dikesan berada sekitar Kenyalang Park di Kuching.

    Kenyataan itu menyebut pihak SPRM juga telah menjelaskan kepada Voon mengenai keperluan beliau hadir ke pejabat agensi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung klip video yang disebarkannya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

    “Beliau juga turut diserahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang-undang.

    “SPRM hanya menyampaikan notis pemakluman untuk beliau memberikan kerjasama dalam siasatan. Voon juga telah memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

    SPRM menjelaskan pihaknya sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    Terdahulu, Voon dilaporkan mendakwa beliau telah ditahan oleh pegawai SPRM ketika memandu melintasi Kenyalang Park selepas kenderaannya diarahkan berhenti. – BERNAMA

  • Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    Daerah baharu Gedong bandar satelit Samarahan

    prn sarawak

    GEDONG kini secara rasmi adalah sebuah daerah di Sarawak, satu pengiktirafan yang akan meningkatkan corak hidup masyarakat, dan seterusnya menjadi bandar satelit bagi kawasan Samarahan.

    Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebagai daerah baharu, Gedong akan mempunyai infrastruktur dan struktur pentadbiran yang lebih tersusun dan terperinci.

    “Kita akan merancang Gedong sebagai bandar satelit, dengan kawasan kampung serta rumah panjang (sekitarnya) akan menikmati kemajuan pertanian moden.

    “Gedong akan mempunyai satu pendekatan pembangunan melalui Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA), satu agensi merancang dan seterusnya membangunkan daerah di kawasan Samarahan termasuk Gedong,” katanya ketika melancarkan Gedong sebagai daerah baharu di Sarawak di Geding, hari ini.

    Abang Johari turut mengumumkan pembentukan lima daerah baharu termasuk Gedong iaitu Siburan di Serian, Sebuyau di Samarahan, Lingga dan Pantu di Sri Aman, serta satu daerah kecil Balai Ringin di Serian.

    Beliau berkata, Gedong akan menjadi pusat penyelidikan yang berteraskan hasil biodiversiti kerana adanya institusi pendidikan tinggi berdekatan di Samarahan.

    Katanya kawasan luar bandar akan diubah menjadi satu kawasan yang moden mempamerkan keindahan budaya rakyat Sarawak.

    “Kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui jalan yang kita bangunkan termasuk jalan pesisir; dan sektor ekonomi termasuk pertanian dan pelancongan yang ada khazanah di kawasan Gedong, Simunjan, dan sekitarnya,” tambahnya

    Pada majlis sama Abang Johari menyampaikan cek pampasan tanah bagi projek Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong serta projek naik taraf jalan di sekitar Simunjan bernilai RM5.35 juta.

    Beliau turut menyampaikan lesen pendudukan sementara Skim Pembesaran Kampung Masjid Gedong Fasa II. – BERNAMA

  • Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Rompakan berkumpulan, seorang pegawai SPRM ditahan

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang semalam.

    SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.

    “Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” menurut kenyataan itu.

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Ali Biju kempen minta pengundi pangkah calon GPS

    Ali Biju kempen minta pengundi pangkah calon GPS

    prn sarawak

    SETELAH mengumumkan penarikan diri daripada bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian semalam, Datuk Ali Biju hari ini berkata beliau akan berkempen secara aktif bermula Ahad bagi membantu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu berkata beliau akan menerangkan kenapa langkah untuk berundur daripada pilihan raya berkenaan dibuat, agar pengundi dan penyokong tahu bahawa keputusan itu adalah bagi kebaikan semua pihak.

    ”Saya akan ke kampung-kampung dan setiap rumah panjang dan terangkan kepada pengundi supaya tidak perlu pangkah saya, pangkah calon GPS. Ini saya akan buat semasa saya berjumpa pengundi di peringkat akar umbi,” kata Ali, yang merupakan penyandang kerusi Krian, pada sidang media di Saratok hari ini.

    Semalam Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata keputusan itu adalah bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

    Semasa penamaan calon pada Isnin, Ali membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini, sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

    Walaupun nama Ali secara rasminya masih akan tersenarai di kertas undi nanti, pertandingan sebenar bagi merebut kerusi DUN Krian kini membabitkan calon GPS, Friday Belik; Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Danny Kuan daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

    Selaras dengan keputusan itu, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok turut merayu agar penyokongnya selama ini memberi sokongan kepada calon GPS.

    “Kita kena tenangkan penyokong saya yang selama ini setia selama 10 tahun, dan dengan kenyataan baik dan bermakna, maka saya rasa penyokong-penyokong saya boleh menerima, iaitu kita memberi laluan kepada GPS dan menyokong calon GPS di Krian,” katanya pada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Ali merupakan penyandang kerusi DUN Krian selama dua penggal apabila meraih undi terbanyak pada PRN 2011 dan 2016 ketika mewakili PKR. Pada 2016, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.

    Ditanya jika beliau tetap menang di kerusi berkenaan memandangkan namanya masih terpapar dalam kertas undi, beliau berkata: “Ia hanya spekulasi.”

    Ali sebaliknya optimis dan yakin dengan sokongan kepada calon GPS menerusi kempen nanti, parti itu mampu memenangi kerusi berkenaan.

    “Kemenangan GPS juga adalah kemenangan saya, kalau GPS menang saya juga menang,” katanya. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata calon tidak boleh menarik diri selepas penamaan calon pada pukul 10 pagi seperti yang termaktub di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

    Dengan pengorbanan yang dilakukannya itu, Ali turut berharap agar GPS memberikan laluan kepada Bersatu untuk bertanding di Parlimen Saratok, yang turut disandangnya, pada Plihan Raya Umum ke-15 akan datang.

    Sementara itu, Mohamed Azmin turut menzahirkan penghargaan kepada Ali atas pengorbanannya demi memperkukuhkan hubungan akrab antara GPS dan Bersatu di peringkat Persekutuan. – BERNAMA

  • 3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    3 ahli Bersatu tanding bebas patut tarik diri

    prn sarawak

    AHLI Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menasihati tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak agar mengikut jejak langkah Datuk Ali Biju dan menarik diri.

    Beliau berkata, mereka sepatutnya akur dengan persefahaman antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Persefahaman itu menyaksikan Bersatu tidak bertanding pada PRN Sarawak.

    “Kita di peringkat parti mendengar nasihat Presiden dan beliau telah mengarahkan semua ahli parti supaya membantu serta menyokong calon-calon Gabungan Parti Sarawak,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di Kampung Pichin, Serian hari ini.

    Willie diminta mengulas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, Datuk Ali Biju semalam yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sebagai calon Bebas dan berikrar memberi sokongan penuh kepada calon GPS iaitu Friday Belik.

    Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, ahli Bersatu sepatutnya bekerjasama supaya wujud kesinambungan yang akan membawa kepada kestabilan politik bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat persekutuan.

    “Dari segi demokrasi, hak mereka untuk bertanding tidak boleh dinafikan kerana mereka boleh letak jawatan dan bertanding sebagai calon Bebas… itu hak mereka… tetapi kita perlu melihat dari segi kerangka yang lebih besar dan gambaran yang lebih luas dalam senario politik pada masa hadapan,” katanya.

    Difahamkan ahli Bersatu lain yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Sarawak ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

    Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak ditetapkan pada 6 Dis manakala pengundian awal pada 14 Dis dan pengundian pada 18 Dis. – BERNAMA

  • Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan negeri Sarawak terhadap Presiden PSB

    Mahkamah tolak saman fitnah kerajaan negeri Sarawak terhadap Presiden PSB

    MAHKAMAH Tinggi Kuching hari ini menolak saman fitnah yang difailkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh berhubung kenyataan beliau mengenai isu cukai jualan negeri (SST) membabitkan Petronas.

    Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin membuat keputusan itu selepas mendapati Kerajaan Negeri Sarawak telah dinamakan secara salah sebagai plaintif, yang sepatutnya dihadkan kepada atau merangkumi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan oleh itu, locus standinya dalam kes ini tidak dibuktikan.

    “(Mahkamah juga mendapati) perkataan yang dipertikai tidak memfitnah plaintif dan oleh itu, mahkamah menolak writ saman serta pernyataan tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 tertakluk kepada pentaksir,” katanya.

    Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan saman terhadap Soon Koh menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta kerana mendakwa bekas Menteri Kewangan negeri itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Mei lepas mengenai penyelesaian bersama antara plaintif dengan Petronas dalam isu Cukai Jualan Negeri (SST).

    Dalam penghakimannya, Christopher berkata beliau sudah berkali-kali menasihati kedua-dua pihak agar menyelesaikan pertikaian itu menggunakan saluran politik dan bukan melalui mahkamah.

    “Kes ini berakhir selepas perbicaraan selama 10 hari dengan memanggil tujuh saksi plaintif dan tiga saksi defendan yang ternyata telah menghabiskan wang serta masa kedua-dua pihak selain mahkamah ini.

    “(Wang dan masa ini) sepatutnya digunakan untuk memberikan khidmat kepada pengundi dalam usaha meningkatkan rasa legitimasi kerajaan negeri di mata rakyat Sarawak,” katanya.

    Sementara itu, pada sidang media di Pusat Khidmat PSB Bawang Assan hari ini, Soon Koh berkata beliau gembira keputusan Mahkamah Tinggi itu memihak kepadanya.

    Katanya beliau hanya membangkitkan beberapa pertanyaan mengenai isu berkenaan dan bercakap bagi semua rakyat negeri ini selain bertindak sebagai wakil rakyat dan pembangkang di Sarawak.

    “Saya berhak untuk menyuarakan apa yang melibatkan kepentingan awam,” katanya. – BERNAMA