Author: Bernama

  • Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken hari ini memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.

    Blinken berkata, kerana kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.

    “Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa COVID-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.

    “Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.

    Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

    Beliau berkata AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin COVID-19 dapat diagihkan secara saksama.

    “Menjelang 2022, AS menjangkakan untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia, kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya. – BERNAMA

  • Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    Lori tangki meletup, 60 mangsa terbakar hidup-hidup

    ANGKA kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 60 orang apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di bandar pelabuhan Cap-Haitien di utara Haiti pada Selasa, kata seorang pegawai tempatan.

    Berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital di Cap-Haitien, bandar kedua terbesar di Haiti, lapor Xinhua memetik Timbalan Datuk Bandar Patrick Almonor yang menyifatkan letupan itu sebagai “mengerikan.”

    “Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar” akibat letupan itu, tambah Almonor.

    Kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera memandangkan kawasan hospital sesak dengan mangsa.

    Menurut Timbalan Datuk Bandar, letupan berlaku pada pagi Selasa selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik. Beberapa bahan api melimpah keluar.

    Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata. Pada 25 Okt, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa. – BERNAMA

  • Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    Jangan bawa kambing atau lembu masuk dewan pula

    YANG Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid hari ini menegur tindakan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) yang membawa ayam segar ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam.

    Beliau berkata, pihak keselamatan diminta melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.

    “Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.

    “Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya,” katanya berseloroh sebelum meneruskan persidangan yang memasuki hari keempat di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

    Semalam, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 kira-kira 12.23 tengah hari apabila bertindak mengeluarkan ayam segar dari bungkusan beg di tempat duduknya.

    Beliau berkata, tindakan itu dilakukan kerana isu harga ayam yang membebankan rakyat ketika ini dilihat seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkuasa dan tidak melihat usaha dilakukan exco terlibat seperti mengadakan pertemuan bersama peruncit serta pengusaha bagi menangani masalah sebenar rakyat.

    Tindakannya memegang ayam beberapa minit itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan malah ada antara Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencelah dengan mengatakan “ayam itu letaklah…balik buat rendang” selain Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Bebas-Titi Serong) yang mempersoalkan sama ada rakyat bersedia menghadapi harga mentah ayam terutama apabila musim perayaan. – BERNAMA

  • Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    Rusuhan perlawanan bola sepak, polis tahan 10 lelaki

    POLIS Labuan hari ini menahan 10 lelaki selepas berlakunya kejadian rusuhan yang melibatkan penyokong dan pemain ketika satu perlawanan bola sepak di Kompleks Sukan Labuan semalam.

    Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Ghani berkata kesemua lelaki tempatan berusia antara 17 dan 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada satu perlawanan bola sepak bawah 23 tahun.

    Beliau berkata, lapan daripada mereka telah dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Labuan, manakala dua lagi direman sehingga esok.

    “Kami menerima laporan kejadian keganasan tidak lama selepas ia berlaku…rusuhan bermula ketika separuh masa kedua perlawanan antara pasukan Bambu 2 dan PAT United kira-kira jam 1.30 tengah hari.

    “Terdapat penyokong dari kedua-dua pasukan yang tidak berpuashati dengan kekasaran berlaku ketika permainan, menyebabkan mereka masuk ke padang dan mencetuskan pergaduhan antara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan, dengan beberapa individu mengalami kecederaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Mohd Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

  • BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    BNM beli tanah RM2.07 bilion, hasil jualan bayar hutang 1MDB – PAC

    PENJUALAN Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama.

    PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

    “Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

    Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

    “Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.

    PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

    “Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.

    Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

    Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

    BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

    Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020. – BERNAMA

  • Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    Duit lesap, hajat guru tadika jadi isteri ‘menteri’ tak kesampaian

    SEORANG guru tadika mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘menteri’ menerusi laman Facebook pada awal bulan ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa guru tadika wanita berusia 59 tahun itu mendakwa telah ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri ‘menteri’ berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama Siti yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.

    “Mangsa seterusnya telah memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.

    “Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    Pegawai SPRM disyaki terlibat kes rompakan RM700,000

    DUA individu termasuk seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman, masing-masing tiga dan empat hari bagi membantu siasatan kes rompakan melibatkan kerugian RM700,000.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kedua-dua individu berumur lingkungan 30 tahun itu ditahan pada Sabtu dan semalam oleh sepasukan anggota daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi.

    Beliau berkata, setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, SPRM dalam kenyataan mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.

    Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini melibatkan kerugian hampir RM1 juta. – BERNAMA

  • Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    HARAPAN pemain badminton perseorangan wanita utama negara S. Kisona untuk kembali cemerlang tidak kesampaian, apabila beliau tewas kepada Neslihan Yigit dari Turki, pada pusingan pembukaan Kejuaraan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol, hari ini.

    Pemain nombor 28 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk mengenepikan cabaran Kisona yang berada di kedudukan 58 dunia, 21-14, 21-15, pada perlawanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin.

    Perlawanan hari ini merupakan penampilan Kisona yang pertama selepas hampir dua bulan berehat selepas menjadi mangsa serangan rasis di media sosial, berikutan kekalahannya kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi dari Jepun di perlawanan separuh akhir Piala Sudirman di Vaanta, Findland pada Oktober.

    Sementara itu pemain perseorangan persendirian lelaki negara Cheam Jun Wei, juga gagal meneruskan cabarannya selepas tewas pada pusingan pertama kepada Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 21-8.

    Beberapa pemain negara termasuk juara All England 2021 Lee Zii Jia, selain pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan beraksi pada perlawanan pusingan pertama yang akan bersambung esok.

    Zii Jia selaku pemain pilihan keenam kejohanan akan behadapan pemain dari Kanada Jason Anthony Ho-Shue, manaka Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Belanda, Ties Van Der Lecq-Debora Jille. – BERNAMA

  • Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    Harimau Malaya tewas di tangan Vietnam 3-0

    HASRAT Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam ini.

    Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

    Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

    Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

    Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

    Pada aksi tersebut, kegagalan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak mengeluarkan bola di udara dengan kemas, nyaris meletakkan Vietnam di depan seawal minit kedua, namun sepakan voli Nguyen Cong Phuong melambung tinggi.

    Cong Phuong sekali lagi mencemaskan gawang negara menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-10 yang bijak diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, sebelum Malaysia menerima tamparan apabila Mohamad Aidil yang mengalami kecederaan di paha terpaksa dibawa keluar pada minit ke-24.

    Pemain muda Dominic Tan dibawa masuk untuk digandingkan bersama Shahrul Mohd Saad dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Vietnam, bagi meledak gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi Nguyen Quang Hai berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan.

    Selang seminit kemudian, Malaysia memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan Vietnam tertanduk bola ke belakang tepat ke kaki penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal, namun rembatan kaki kiri pemain berusia 19 tahun itu jauh tersasar.

    Kombinasi kurang baik antara Shahrul dan Dominic sekali lagi menghukum skuad kebangsaan, apabila Nguyen Cong Phuong mudah membuat larian untuk melepasi halangan dua pemain itu sebelum mengacah Dominic, dan melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-36. – BERNAMA

  • Hubungan PAS-UMNO masih baik, kata Abdul Hadi

    Hubungan PAS-UMNO masih baik, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan hubungan antara parti itu bersama UMNO masih baik, meskipun dua parti itu dilanda pelbagai konflik sejak kebelakangan ini.

    “Hubungan dengan UMNO, Alhamdulillah masih baik secara umumnya. Kita anggap UMNO sebagai parti bukan sebagai individu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Taman Tamadun Islam, di Kuala Terengganu hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hubungan antara PAS dan UMNO yang dlihat semakin dingin, sejak Pilihan Raya Negeri Melaka pada November lepas.

    Katanya hubungan baik antara kedua-dua parti itu dapat dilihat melalui kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional yang ditunjangi UMNO, Bersatu dan PAS, yang masih kukuh sehingga kini.

    Dalam pada itu Abdul Hadi turut menafikan bahawa hubungannya dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dingin, seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

    “Saya rasa masih hangat, dekat Parlimen saya sama-sama duduk dekat-dekat (dengan Ahmad Zahid). Boleh tengok kerusi Parlimen itu sebelah saya Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Zahid Hamidi. Saya duduk di tengah-tengah jadi pendamai antara semua pihak,” katanya sambil berseloroh.

    Selain itu Abdul Hadi turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi meleraikan permasalahan, yang membelenggu dua parti itu.

    Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata negara memerlukan gagasan lebih besar daripada Muafakat Nasional bagi menjamin kestabilan negara dan mengukuhkan ikatan ummah.

    Katanya gagasan dalam kerangka yang lebih besar juga dilihat mampu mengeluarkan PAS dan UMNO, daripada kemelut-kemelut kecil seperti yang berlaku pada masa ini.

    “Mungkin negara memerlukan penyatuan gagasan besar bukan hanya dalam lingkungan Semenanjung, tetapi meliputi Sabah dan Sarawak.

    “Kita ada kepentingan bersama yang perlu dipertahankan. Walaupun dalam konteks politik kita ada konflik parti masing-masing, tetapi muafakat itu sangat penting dan kita seharusnya bersatu,” katanya. – BERNAMA