Author: Bernama

  • Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    Jakim sangkal laporan cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah

    LAPORAN yang menyatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal, adalah tidak benar, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) hari ini.

    Jakim dalam kenyataan hari ini, sebagai maklum balas terhadap laporan bertajuk ‘Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti’ menegaskan hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

    “Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan,” menurut Jakim.

    Selain itu, Jakim memaklumkan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal (anak bulan/bulan sabit) menerusi peralatan teodolit.

    Menurut Jakim imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

    Satu perbincangan khusus juga kemudiannya dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat, menurut kenyataan itu. 

    “Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” menurut Jakim.

    Jakim dalam kenyataannya juga menyangkal artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia kerana semakan di laman sesawang itu mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

    Jakim berkata semua pihak diminta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

    “… masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

    “Jakim menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya.

  • Tikam anak saudara kerana dengar ‘suara’, lelaki dihukum mati

    Tikam anak saudara kerana dengar ‘suara’, lelaki dihukum mati

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penganggur selepas didapati bersalah membunuh anak saudara perempuannya, tiga tahun lepas.

    Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Safuan Ramli, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mohd Safuan dituduh membunuh Nurhafiya Aufa Mohd Taquddin yang berusia tiga tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Felda Cherul Dua di Kemaman, pada 27 Januari 2020, kira-kira pukul 1 tengah hari, 27 Januari 2020.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Hassan dalam penghakimannya berkata, walaupun pihak pembelaan mengatakan tertuduh membunuh tanpa niat kerana mendengar ‘suara’, namun mahkamah berpendapat lelaki itu waras ketika melakukan perbuatan tersebut.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Muhamad Yasser Mohd Nasri manakala tertuduh diwakili peguam Mazlan Md Zain.

    Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut ditikam oleh bapa saudaranya di bahagian dada menggunakan pisau pemotong sayur.

  • Buruh hina Agong, bangkit isu perkauman dipenjara 6 bulan

    Buruh hina Agong, bangkit isu perkauman dipenjara 6 bulan

    SEORANG buruh dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana membuat dan menghantar komunikasi jelik dengan menghina Yang di-Pertuan Agong serta menimbulkan isu perkauman di laman Facebook miliknya.

    Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rahim Abdullah, 49, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

    Bagi pertuduhan pertama, Rahim didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik berhubung isu perkauman dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya dengan menggunakan laman profil ‘Tuk Chik’ pada 3.34 petang, 25 Jan lepas dan pautan itu kemudian dibaca di sebuah restoran di sini pada 5 petang, 8 April lepas.

    Dia didakwa atas tiga lagi pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik terhadap Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook sama, antara 10.52 pagi dan 11.26 pagi, pada 2 dan 3 April lepas dan pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju pada 10.45 pagi, 5 April lalu.

    Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    Ketika rayuan, Rahim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal serta tidak berniat untuk memprovokasi mana-mana pihak, selain turut memohon maaf kepada institusi diraja atas kesalahan dilakukan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nur Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar, agar tidak melakukan kesalahan sama.

    “Dalam kes ini secara terang OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara serta tidak menghayati rukun negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, manakala bagi hantaran isu perkauman, OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya.

  • 9 lelaki ditahan, bergaduh hingga sebabkan kematian di Bangsar

    9 lelaki ditahan, bergaduh hingga sebabkan kematian di Bangsar

    SEMBILAN lelaki warga tempatan ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan berkumpulan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua suspek terbabit berumur antara 24 hingga 30 tahun dengan motif kejadian dipercayai berlaku kerana wujud dendam lama antara mangsa dan suspek.

    Beliau berkata mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun bersama rakannya seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah ke Jalan Telawi untuk minum.

    “Setelah selesai minum dan dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.

    “Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” kata Amihizam dalam kenyataan hari ini.

    Amihizam berkata polis merampas senjata digunakan oleh suspek iaitu sebilah pisau dan sebotol arak.

    “Arahan untuk menuduh telah dikeluarkan ke atas tiga orang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala enam lagi suspek tangkapan tersebut dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

    Dalam kes berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sedang mengesan seorang saksi kes pecah amanah yang merupakan pekerja di O.G. Height Condo, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

    Amihizam berkata saksi itu dikenali sebagai Loo Yuit Mei berumur 66 tahun bekerja sebagai pengurus bangunan, beralamat terakhir di C-6-3, Kiara Residence 2, No 3, Jalan Jalil Perwira 1, Bukit Jalil 58200 Kuala Lumpur.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan saksi tersebut diminta hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan atau menghubungi Insp Isma Hassif Ismail di talian 011-16253955,” katanya.

  • Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa terbakar 80 peratus, empat bilik musnah

    KLINIK Kesihatan Pengkalan Chepa di Kota Bharu terbakar 80 peratus akibat kebakaran empat buah bilik dalam kejadian pada pukul 12.26 tengah malam, semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, PKPgB Alam Nasut Ilias berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 12.33 tengah malam dan mendapati empat buah bilik iaitu bilik pemandu ambulans serta tiga bilik pemeriksaan doktor (pesakit luar) di klinik kesihatan berkenaan hangus dijilat api.

    “Seramai 17 anggota termasuk bantuan daripada BBP Kota Bharu terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.18 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Kontraktor dijel 10 tahun, 6 sebatan cederakan dua bapa saudara

    Kontraktor dijel 10 tahun, 6 sebatan cederakan dua bapa saudara

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara seorang kontraktor kepada 10 tahun dan enam kali sebatan bagi dua kesalahan menyebabkan kecederaan parah kepada dua bapa saudaranya.

    Nik Muhammad Syafir Mat Rof, 29, sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap kesalahan.

    Bagaimanapun, dia diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.

    Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan serta hukuman Nik Muhammad Syafir dan tertuduh kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman.

    Pada prosiding pada Rabu, panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Nik Muhammad Syafir.

    Hanipah, yang menyampaikan keputusan mahkamah, berkata hukuman penjara dan sebatan yang dikenakan terhadap tertuduh adalah keterlaluan.

    Pada 30 April 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Nik Muhammad Syafir dan sepupunya, Muhamad Pazir Yahya, 41, juga seorang kontraktor, bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap Nik Rosdi Abdullah, 43, dan Nik Rohimi Abdullah, 27.

    Nik Rosdi adalah seorang pemandu bas manakala Nik Rohimi bekerja sebagai tukang rumah.

    Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama enam lagi telah menyerang Nik Rosdi dan Nik Rohimi menggunakan pedang, batang besi serta kayu di Kampung Gong Pasir, Daerah Pasir Putih, Kelantan pada 5 petang 20 Sept 2017.

    Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhamad Pazir yang gagal hadir pada prosiding hari ini dan memerintahkan penjaminnya mengemukakan alasan munasabah berhubung perkara itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei untuk sebutan semula bagi kes waran tangkap itu.

    Terdahulu, peguam Cheah Poh Loon yang mewakili Nik Muhammad Syafir memohon agar hukuman tertuduh diringankan kerana insiden itu turut membabitkan individu lain yang masih bebas dan mendakwa mereka menyerang kedua-dua mangsa akibat salah faham.

    Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman pula memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara 12 tahun kerana kecederaan yang dialami mangsa adalah serius.

    Beliau turut merujuk kes Azman Bin Din melawan Pendakwa Raya yang menyaksikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM10,000 bagi kesalahan serupa.

    Muhamad Pazir diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

  • Suri rumah rugi hampir RM500,000 angkara ‘phone scam’

    Suri rumah rugi hampir RM500,000 angkara ‘phone scam’

    POLIS Perak menerima satu lagi laporan individu yang mengalami kerugian wang akibat terpedaya dengan ‘phone scam’ dalam kejadian Sabtu lalu.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri, berkata kali ini ia melibatkan seorang suri rumah berusia 50-an yang mengakibatkan kerugian hampir RM500,000.

    “Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kerian menerima laporan daripada wanita berusia 50-an itu pada Sabtu lepas.

    “Kejadian berlaku pada Februari lalu apabila pengadu menerima panggilan telefon kononnya dari pihak insurans dan polis yang mendakwa pengadu terbabit dalam satu tuntutan palsu dan terlibat dengan kes jenayah pemerasan dan judi haram,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, terpedaya konon bagi tujuan siasatan, pengadu diminta mendedahkan maklumat akaun kepada pihak berkenaan dan kemudian diarahkan membuat pindahan wang ke dalam akaun diberikan.

    Yusri berkata, pengadu menyedari diperdaya apabila memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarganya dan hasil semakan mendapati wang simpanan dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM459,754.

    Dalam pada itu, Yusri menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa terpedaya.

    “Orang ramai juga boleh merujuk kepada Bilik Gerakan IPD Kerian di talian 05 721 2222 atau hubungi CCID Scam Response Centre di talian 03 2610 1559 atau 03 2610 1599 atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

    Minggu lalu, Yusri mendedahkan seorang pesara guru wanita mengalami kerugian lebih RM585,000 selepas terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

  • Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    Tukang rumah didakwa bunuh isteri

    SEORANG tukang rumah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya di Bukit Besi, awal bulan ini.

    Mohd Amir Hamzah, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

    Dia dituduh menyebabkan kematian Rubiah Sabtu, 41, di Kampung Besol, Batu 6, Bukit Besi antara 7.30 hingga 8 pagi pada 5 April lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

    Media sebelum ini melaporkan, Rubiah yang parah pada bahagian muka, maut dipercayai dipukul dengan tukul besi di kediamannya selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri itu.

    Mangsa yang merupakan peniaga runcit kecil-kecilan, mempunyai enam anak hasil perkahwinan terdahulu dan selepas mengahwini tertuduh tahun lalu, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

  • Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    Sekurang-kurangnya 100 terbunuh serangan udara di Myanmar

    SEKURANG-KURANGNYA 100 orang awam termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara tentera di Myanmar, menurut laporan media dan saksi.

    Tentera melancarkan roket ke perbandaran Pazigyi di wilayah Sagaing pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Roket itu dilancarkan ketika upacara pembukaan pejabat baharu Angkatan Pertahanan Rakyat antijunta di situ. Ramai penduduk kampung dilaporkan datang ke bandar untuk menghadiri majlis berkenaan.

    Pertempuran sengit juga dilaporkan tercetus di kawasan itu baru-baru ini antara tentera dan kumpulan bersenjata yang menentang junta.

    Myanmar diperintah junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres mengecam sekeras-kerasnya serangan pada Selasa itu dan meminta mereka yang melakukannya supaya bertanggungjawab.

    Laporan media menunjukkan Pazigyi kini dalam keadaan huru-hara. Menurut saksi, jumlah kematian mungkin akan meningkat.

    Penduduk berkata tentera menunggu upacara bermula bagi melancarkan serangan udara dan gambar yang disiarkan di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan.

    Kerajaan bayangan antijunta di Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional dalam satu kenyataan menyifatkan serangan itu sebagai ‘perbuatan keji’ dan bukti keganasan junta terhadap orang awam yang tidak bersalah.

  • Tengku Zafrul dilantik bendahari UMNO Selangor

    Tengku Zafrul dilantik bendahari UMNO Selangor

    MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dilantik sebagai bendahari UMNO Selangor.

    UMNO Selangor dalam kenyataan memaklumkan ketuanya Megat Zulkarnain Omardin turut melantik Abdul Mutalif Abdul Rahim sebagai setiausaha UMNO negeri dan Mohd Zaidi Md Zain sebagai ketua penerangan UMNO negeri.

    Pelantikan itu dibuat semasa mesyuarat pertama UMNO negeri itu semalam, selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac lalu.

    Mesyuarat itu juga mengambil ketetapan iaitu UMNO Selangor akan terus mendukung kerajaan perpaduan dan komited memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan demi kestabilan negara.

    Menurut kenyataan itu, UMNO Selangor mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dan akan mewujudkan Jawatankuasa Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri dalam masa terdekat serta mengadakan program bersama pimpinan kerajaan negeri.

    Selain itu, UMNO Selangor turut memutuskan rangka kerja dalam penyediaan jentera di setiap peringkat dan memulakan gerakan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) serta meneruskan perundingan bersama Pakatan Harapan Selangor dalam menentukan pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN.

    Mesyuarat itu juga menyatakan UMNO Selangor sebulat suara bersetuju dan menandatangani memorandum memohon kepimpinan tertinggi parti itu membela bekas presiden Datuk Seri Najib Razak yang banyak berjasa kepada negara.