Author: Bernama

  • Bersatu lulus pindaan perlembagaan, tubuh sayap Srikandi Muda

    Bersatu lulus pindaan perlembagaan, tubuh sayap Srikandi Muda

    BERSATU meluluskan sembilan pindaan kepada perlembagaan parti bagi penubuhan sayap baharu Srikandi Muda pada Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu, hari ini.

    Pindaan Perlembagaan Bersatu itu diluluskan sebulat suara tanpa dibahaskan.

    Usul pindaan perlembagaan itu dibentangkan oleh Naib Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan disokong Naib Ketua Armada, Ceasar Mandela Malakun dihadapan kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir.

    “Untuk makluman sidang perwakilan, hasil daripada penubuhan sayap baharu iaitu Srikandi Muda maka perlembagaan juga perlu dipinda dalam beberapa Fasal yang berkaitan. Oleh kerana itu, kebanyakan pindaan adalah berkaitan penubuhan Srikandi Muda,” kata Mas Ermieyati.

    Perkara yang dipinda antara lain membabitkan fasal berkaitan pendaftaran keahlian yang memasukkan jawatan Ketua Srikandi Muda, tanggungjawab dan hak ahli, pemberhentian dan pemecatan ahli serta berkenaan tanggungjawab dan kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi.

    Selain itu, fasal berhubung Badan Pimpinan Negeri turut dipinda bagi membolehkan Ketua Srikandi Muda pusat melantik Naib Srikandi Muda negeri sekali gus menjadi anggota badan pimpinan negeri serta membabitkan Majlis Pimpinan Tinggi dan berhubung Majlis Pimpinan Tertinggi serta mengenai penubuhan Sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Sayap Bersekutu.

    Perhimpunan berkenaan juga turut meluluskan usul memansuhkan yuran pendaftaran ahli sebanyak RM4. – BERNAMA

  • Runding segera agihan kerusi PRU-15 dalam PN

    Runding segera agihan kerusi PRU-15 dalam PN

    RUNDINGAN pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu dimuktamadkan segera, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Setakat ini, belum ada keputusan rasmi mengenai pembahagian kerusi yang patut ditandingi di mana-mana di kawasan, sama ada bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Rundingan kerusi untuk parti-parti hendaklah dimulakan segera di mana kawasan yang dimiliki oleh Bersatu, di mana PAS, di mana Gerakan, termasuk parti-parti di Sabah… harus diputuskan dalam satu tempoh yang tidak terlalu panjang,” katanya ketika menggulung dan menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu, di Kuala Lumpur, hari ini.

    Mengenai Undi18 yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jan tahun depan, Muhyiddin berkata parti perlu menyusun strategi bermula dari sekarang supaya perjuangan Bersatu dapat menarik minat golongan muda.

    “Kita perlu ingat situasi yang ada sekarang ini akan berubah dengan begitu besar. Kita tidak boleh andaikan keputusan yang lepas akan kekal sebegitu kecuali kita uruskan soal Undi18 ini,” katanya. – BERNAMA

  • PRU-15: PN tidak akan bentuk sebarang kerjasama dengan PH

    PRU-15: PN tidak akan bentuk sebarang kerjasama dengan PH

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan membentuk sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat kerana gabungan PN yang dianggotai komponen parti PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) mempunyai perbezaan dengan PH.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata kerjasama hanya boleh dipertimbangkan sekiranya berlaku rombakan besar-besaran dalam PH.

     “Dalam bentuk kerjasama PH yang sedia ada tak mungkin, bukan kita tidak suka perpaduan kerana ada banyak perbezaan ketara. Saya dulu ada pengalaman di situ (dan) sebab itu kita (Bersatu) buat keputusan untuk meninggalkan PH.

    “Antara faktor menyebabkan kita tidak bersedia untuk bersama-sama adalah satu parti yang ada dalam PH dilihat sebagai tidak pro-Melayu, Bumiputera, sejarahnya mempertikaikan hak dan sebagainya, jadi kita tidak fikir boleh bersama dalam jemaah,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Keempat Bersatu di sini hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mewakili PH, baru-baru ini mencadangkan supaya PH dan PN bekerjasama pada PRU akan datang.

    Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika ditanya mengenai bagaimana parti itu boleh menarik sokongan masyarakat luar bandar, berkata beliau tidak bimbang untuk berdepan dengan parti lain dalam pertandingan di kerusi luar bandar.

    “Sebab itu di Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini kita ambil cabaran untuk (bertanding) tiga penjuru. “… dan terbukti bahawa walaupun kita tidak berjaya menambah bilangan, tetapi penganalisis yang saya sebut dalam ucapan tadi telah membuat kajian mendalam yang menunjukkan bahawa trend sokongan yang agak besar beralih kepada Bersatu ataupun rakan lain di dalam Perikatan Nasional, termasuk PAS,” katanya

  • Harta musnah sekelip mata, banjir terburuk di Sepang

    Harta musnah sekelip mata, banjir terburuk di Sepang

    PENDUDUK daerah Sepang menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah.

    Pengusaha kebun cili Ahmad Irham Mohd Noor, 40, berkata kebun beliau yang terletak di Dengkil telah musnah dalam sekelip mata.

    “Banjir kali ini memang terburuk sekali kerana air naik secara mendadak dan tidak surut-surut sejak semalam,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

    Menceritakan saat detik, beliau berkata, kebun cilinya dinaiki air pukul 8 pagi semalam namun air naik mendadak sehingga paras leher pada pukul 12 tengah hari semalam.

    “Kerugian keseluruhan…anggaran kerugian lebih RM50,000. Tiada apa yang tinggal semua peralatan menanam, benih dan pokok cili yang baru naik habis musnah,” katanya.

    Ahmad Irham berkata, penduduk sekitar berkata kawasan itu yang tidak pernah berdepan bencana banjir buruk sejak 1971 dan keadaan itu bertambah merisaukan kerana paras air tidak surut malah semakin meningkat.

    Beliau berharap bantuan dari pihak berkuasa bukan sahaja memberi tumpuan kepada penduduk, tetapi juga petani kecil yang tinggal sehelai sepinggang.

    Tinjauan Bernama di sekitar Dengkil turut mendapati, operasi menyelamat oleh pihak bomba sedang dijalankan.

    Kelihatan penduduk Taman Emas dan Taman Mutiara sedang menuju keluar dengan barangan penting kerana dikatakan air yang naik sejak 3 pagi tadi tidak surut, malah semakin naik sehingga paras leher.

    Difahamkan, seramai 100 penduduk terkandas dan menunggu pertolongan bomba untuk mengeluarkan mereka dari kawasan tersebut.

    Penduduk Taman Emas, Suhana Ismail, 40, berkata rumahnya dikira terletak di kawasan tinggi namun air dilihat terus naik sejak 3 pagi tadi.

    “Tinggal sini sejak 2009 tapi tidak pernah berdepan banjir teruk macam kali ini. Seteruk-teruknya pun jika hujan lebat air masuk sampai halaman depan. Tapi kali ini air mula masuk rumah dan terus naik sehingga tangga,” katanya.

    Beliau yang mempunyai empat cahaya mata termasuk seorang anak kurang upaya itu berkata, jiran menolong membawa anak-anaknya menggunakan kolam pelampung kerana keadaan dilihat tidak reda dan khuatir keadaan menjadi buruk malam nanti. – BERNAMA

  • Keahlian Bersatu kini 563,524 orang- Setiausaha Agung

    Keahlian Bersatu kini 563,524 orang- Setiausaha Agung

    PARTI Bersatu merekodkan jumlah keahlian seramai 563,524 ahli di seluruh negara setakat ini, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Hamzah ketika membentangkan laporan ringkas pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Keempat parti itu yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini berkata, sebanyak 5,643 cawangan telah ditubuhkan di seluruh negara, berbanding 2,960 cawangan direkodkan pada tahun lalu.

    “Sayap bersekutu secara rasminya telah ditubuhkan mengikut perlembagaan parti dan ia diketuai Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

    “Bagi mencerminkan keterbukaan dan pengiktirafan parti, Dr Santara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Johor, Datuk Dr Chong Fat Full dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata perhimpunan itu juga akan memuktamadkan cadangan pindaan perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sebuah lagi sayap baharu iaitu Srikandi Muda.

    Sementara itu, Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah memaklumkan perjalanan perhimpunan yang dijadualkan tamat pada jam 6 petang ini akan dipendekkan bagi menggerakkan ahli parti untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

    Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dimulakan dengan perhimpunan agung Srikandi dan Armada. – BERNAMA

  • Banjir bertambah buruk, lebih 21,000 orang dipindahkan

    Banjir bertambah buruk, lebih 21,000 orang dipindahkan

    KEADAAN banjir bertambah buruk di beberapa negeri apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada lebih 21,000 orang tengah hari ini dengan Perak menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut turun padang meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia dan SK Telok Gong di Klang, Selangor.

    Sebanyak 6,242 mangsa ditempatkan di 80 PPS di daerah Klang, Kuala Langat, Petaling, Sepang, Kuala Selangor dan Hulu Langat di negeri itu, menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran zon merah dan hujan lebat melibatkan lapan daerah di Selangor hari ini.

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 9,851 orang daripada 2,758 keluarga yang ditempatkan di 155 PPS. 

    Pertambahan mangsa yang mendadak berbanding 5,189 orang pagi tadi disebabkan peningkatan mangsa di Temerloh yang menyaksikan 20 PPS dibuka pada tengah hari, berbanding dua pada sebelah pagi.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam. 

    Beliau berkata pemeriksaan hari ini mendapati tiada mangsa di lokasi kejadian, namun terdapat enam kenderaan termasuk dua lori berada di situ dan difahamkan dalam tindakan untuk dialih oleh pemegang konsesi lebuh raya ANIH Berhad. 

    “Kami dimaklumkan operasi mengalih dan membersihkan laluan mungkin mengambil sedikit masa kerana cuaca masih hujan hari ini,” katanya ketika dihubungi. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus meningkat dengan 3,877 orang daripada 903 keluarga ditempatkan di 43 PPS.

    Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kapt Mohd Hanif Omar berkata ia membabitkan 22 PPS di Kuala Krai, 15 di Gua Musang dan masing-masing dua di Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas.

    Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.57 meter (m); Sungai Kelantan di Tangga Krai (27.07 m); Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.09 m); Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (23.66 m); dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.04 m).

    Di TERENGGANU, jumlah mangsa turut meningkat kepada 326 orang daripada 101 keluarga di daerah Dungun dan Kemaman.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan daerah Kemaman kembali dilanda banjir dengan pembukaan dua PPS.

    Di PERAK, sebuah PPS dibuka di Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Batu 4 Changkat Jong, Teluk Intan pagi tadi bagi menempatkan 26 mangsa daripada lapan keluarga.

    Jurucakap APM berkata kesemua mangsa dipindahkan secara berperingkat setelah kediaman mereka dinaiki air selepas paras Air Sungai Bidor mencecah 3.8 m.

    Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 465 individu melibatkan 110 keluarga, manakala di MELAKA, seramai 595 orang daripada 121 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah di negeri itu dengan Alor Gajah mencatat 472 mangsa manakala 123 orang di Melaka Tengah.

    — BERNAMA

  • 472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    SEBANYAK 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi iaitu LRA Langat 2 kerana penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan dan LRA Cheras Batu 11 akibat banjir.

    LRA Sungai Langat pula hanya beroperasi pada pengeluaran bekalan air separa kerana peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi menyebabkan ia hanya boleh mengeluarkan 40 peratus sahaja berbanding pengeluaran harian.

    “Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air melalui alternatif lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan yang terjejas berikutan penutupan beberapa jalan utama ekoran situasi banjir yang meningkat,” menurut kenyataan itu.

    Air Selangor juga belum dapat memastikan jangkaan masa untuk ketiga-tiga LRA itu kembali beroperasi sepenuhnya di kawasan terjejas.

    Ia akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa dan para pengguna boleh boleh mendapatkan senarai kawsan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Agong sifatkan banjir di ibu negara ibarat tragedi 1971

    Agong sifatkan banjir di ibu negara ibarat tragedi 1971

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyifatkan senario banjir yang melanda ibu negara malam tadi, seolah-olah sama dengan banjir besar yang berlaku pada 1971.

    Seri Paduka Baginda bertitah selepas 50 tahun peristiwa tersebut, rakyat Malaysia perlu mengambil teladan untuk bersiap sedia terutamanya pada bulan Disember dan Januari, yang memperlihatkan impak banjir yang seperti berulang.

    Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli turun padang membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, kira-kira 11:30 pagi tadi.

    Dalam lawatannya, Seri Paduka menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berpesan supaya terus bersabar dengan keadaan yang berlaku.

    “Saya masih meninjau keadaan semasa ke semasa dan dalam pada itu, saya ingatkan supaya terus bersabar dan terima (musibah banjir) dengan keredhaan Allah.

    “Jagalah kesihatan, jaga anak-anak semua,” titah baginda.

    Al-Sultan Abdullah juga berharap supaya pihak kerajaan dapat menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada semua mangsa yang terlibat.

    — BERNAMA

  • Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    KELUARGA Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini malam tadi.

    Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata hujan berterusan sejak 7 malam tadi menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.

    Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mertuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.

    “Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kali kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta sahaja.

    “Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga habis terkena air banjir, dinding rumah rosak… saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak-anak, isteri dan ibu mertua sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama mendapati selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi yang turut berdepan situasi sama dan kini kerja-kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan oleh anggota Majlis Bandaraya Seremban.

    Mohd Yusof, yang merupakan pekerja sebuah kilang di Bangi, berkata kerja-kerja pembersihan laman itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk mengangkat timbunan kayu serta pokok besar dan membersihkan lumpur di dalam rumah.

    Terdapat beberapa kawasan di sepanjang Jalan Pantai dekat sini yang dipenuhi lumpur paras buku lali manakala air banjir di kawasan itu surut sejak pagi tadi.

    Mohd Yusof berkata barangan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 14 dan 11 tahun juga rosak.

    Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana ketika kejadian, dua kereta miliknya sempat dialihkan ke lokasi lebih tinggi. – BERNAMA

  • 5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    5,731 PPS mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

    SEBANYAK 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

    “Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Rina berkata, bagi menangani penularan COVID-19, kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes COVID-19 sebelum penempatan dibuat di pusta pemindahan sementara berkaitan.

    Beliau berkata, kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

    “Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

    Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya. – BERNAMA