Author: Bernama

  • Laporan penuh siasatan dalaman kematian anggota tentera siap dalam dua minggu

    Laporan penuh siasatan dalaman kematian anggota tentera siap dalam dua minggu

    LAPORAN penuh siasatan dalaman insiden kematian anggota tentera Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak, pada 12 April lepas dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

    Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini, laporan siasatan berkenaan telah lebih 50 peratus siap dan perkembangan terkini siasatan itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet pada Rabu ini.

    “Siasatan masih berjalan dan selalulunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet…biasanya kita akan ada mesyuarat berkenaan setiap hari Rabu petang.

    “Jadi pada hari Rabu ini kita akan dapat sedikit laporan tetapi dalam tempoh dua minggu ini, selepas hari raya kita yakin laporan penuh akan dapat diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Alor Gajah, di Alor Gajah malam tadi.

    Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan memastikan kebajikan ahli keluarga Allahyarham Mohammad Nasri terutama isteri, Nurhayatul Husna, 30, serta sepasang anaknya Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, sentiasa terbela dan mendapat pendidikan yang sempurna.

    Media sebelum ini melaporkan Mohammad Nasri yang merupakan anggota daripada Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang, dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada 7 April lepas.

    Jenazah Allahyarham Mohammad Nasri dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Pulau Mertajam, Penaga di Pulau Pinang pada 13 April lepas.

    Hasil bedah siasat mendapati kematian anggota tentera itu berpunca daripada kecederaan kepala dipercayai akibat terjatuh.

  • Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    Jet ski terbabas, warga Myanmar maut

    SEORANG warga Myanmar maut selepas jet ski ditunggangnya terbabas sebelum terlanggar sebuah bot di tepi laut dalam nahas di kawasan pantai belakang sebuah hotel di Batu Ferringhi, dekat Georgetown, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Timur Laut, V Saravanan, berkata dalam kejadian 4.45 petang itu, Tun Lin Aung, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di dagu dan leher.

    “Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja kilang di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Ferringhi di Georgetown untuk menghadiri pesta Songkran bersama rakan senegaranya, sebelum mangsa menyewa sebuah jet ski di kawasan pantai dengan harga RM150.

    “Lelaki itu menunggang bersendirian dan kemudiannya dipercayai terbabas sebelum terlanggar sebuah bot yang diletakkan di tepi laut di kawasan pantai tersebut.

    “Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di dagu dan leher, dia ditarik keluar dari laut oleh beberapa saksi yang nampak kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Saravanan berkata, pemeriksaan pasukan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kemalangan itu dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat hari ini.

    Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai dalam keadaan mabuk ketika menyewa jet ski itu dan perkara tersebut turut diakui rakan senegaranya.

    Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati lelaki itu bekerja di negara ini selama tiga tahun dan mempunyai dokumen perjalanan diri serta permit kerja sah.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk merekodkan keterangan beberapa saksi dan rakan mangsa bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

  • Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    Tak puas hati ditegur, lelaki ditahan pukul, cederakan abang

    SEORANG lelaki ditahan kerana memukul dan mencederakan abangnya akibat tidak puas hati selepas ditegur bertengkar dengan ibu mereka.

    Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata dalam kejadian di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur pada 4 pagi Sabtu lalu, mangsa cedera dan lebam di belakang badan, bahu kanan serta tangan kiri.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku selepas mangsa melihat suspek bertengkar dengan ibu mereka kerana lambat keluar dari bilik air.

    Katanya, mangsa berusia 24 tahun menegur adiknya yang mengamuk dan memaki hamun ibu mereka, sebelum dipukul suspek menggunakan getah paip dan batang besi, selain dicederakan dengan pisau.

    “Suspek berusia 23 tahun ditahan polis dan didapati mempunyai tiga rekod lampau di bawah kes jenayah serta Akta Dadah Berbahaya,” katanya menurut Bernama.

    Beliau berkata, polis merampas pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa dan suspek direman empat hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar tersebut adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melancarkan aliran trafik .

    “Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Acryl Sani berkata selain Op Lancar, PDRM juga akan melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

    Menurutnya fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

    “Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.

    “Selain itu, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan,” katanya.

    Beliau meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

    Menurutnya keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang, juga amat dipuji serta dihargai.

    “PDRM menasihatkan pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya.

  • Perdana Menteri Jepun terselamat insiden letupan

    Perdana Menteri Jepun terselamat insiden letupan

    PERDANA Menteri Jepun Fumio Kishida dan ketua kerajaan yang lain terselamat dalam insiden letupan yang berlaku ketika Kishida sedang bersiap sedia untuk menyampaikan ucapan awam di bandar Wakayama, lapor Sputnik.

    Menurut penyiar NHK, kejadian itu berlaku pada 11.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu (02:30 GMT) selepas Kishida menamatkan lawatan ke kawasan nelayan Saikasaki di Wakayama dan sedang bersiap sedia untuk berucap.

    Sebelum perdana menteri memulakan ucapannya, bunyi letupan kuat kedengaran tidak jauh dari lokasi, kata NHK.

    Sementara itu, Agensi Berita Kyodo melaporkan objek menyerupai suar dengan asap dilemparkan ke arah perdana menteri.

    Menurut NHK berikutan kejadian itu, seorang lelaki ditahan.

    Kishida membatalkan ucapan awamnya di Wakayama dan kini berada di ibu pejabat polis utama Wilayah Wakayama, lapor Kyodo.

  • KDN akan bentang rancangan bawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan

    KDN akan bentang rancangan bawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan kertas kerja kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat, mengenai usaha kerajaan untuk membawa keluar kanak-kanak dari depot tahanan imigresen.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kini KDN dalam peringkat akhir mengumpul data-data mengenai jumlah, umur dan keberadaan kanak-kanak di depot tahanan seluruh negara.

    Beliau berkata dalam melengkapkan kertas kerja berkenaan, KDN telah melakukan beberapa libat urus dengan pihak berkepentingan dan pakar antaranya Pengasas MERCY Malaysia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.

    “Buat masa ini terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

    “Daripada jumlah berkenaan, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga,” katanya dalam sidang media di program singgah sahur di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, di Kajang awal pagi ini.

    Saifuddin berkata KDN sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan kanak-kanak yang berada di depot tahanan imigresen dengan memastikan mereka mendapat akses kesihatan dan menerima rawatan sewajarnya sekiranya sakit, selain memberi akses pendidikan.

    “Setakat ini, terdapat lima depot tahanan imigresen yang menyediakan kelas bagi kanak-kanak ini antaranya di sini (Depot Tahanan Imigresen Semenyih), Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas di Johor dan Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah,” katanya.

    Beliau berkata kelas berkenaan dikendalikan oleh kakitangan depot tahanan imigresen berkenaan secara sukarela.

    Sementara itu, Saifuddin berkata sejak Januari sehingga 12 April lepas seramai 14,139 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing melibatkan seramai 10,625 lelaki dewasa, 2,907 perempuan dewasa, 364 kanak-kanak lelaki dan 243 kanak-kanak perempuan.

    “Pengusiran tertinggi merupakan 5,571 warga Indonesia, Myammar (3,285) dan Filipina (2,203),” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh seseorang ditahan di depot tahanan imigresen sebelum dihantar pulang adalah bergantung kepada seberapa segera dokumentasi dapat disiapkan oleh negara asal.

    “Setakat ini, Indonesia merupakan negara yang paling cepat menyediakan dokumentasi untuk warganya yang ditahan di sini, oleh itu kita dapat lihat warganya paling ramai dihantar pulang,” katanya.

    Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

  • Aidilfitri: JBPM beku 80 peratus cuti pegawai,anggota di seluruh negara

    Aidilfitri: JBPM beku 80 peratus cuti pegawai,anggota di seluruh negara

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan 80 peratus cuti pegawai dan anggota bomba di seluruh negara bagi siap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kecemasan dan kebakaran sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

    Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata pembekuan cuti itu melibatkan 10,174 keanggotaan dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 30 April.

    “Persediaan awal yang dilaksanakan oleh JBPM bagi mencegah berlakunya kebakaran semasa musim perayaan, antaranya melalui kempen kesedaran keselamatan kebakaran yang disasarkan kepada komuniti perumahan, pusat-pusat perniagaan dan lain-lain.

    “Masyarakat diingatkan untuk sentiasa meningkatkan aspek keselamatan pencegahan kebakaran di premis dan kediaman masing-masing sebelum pulang ke kampung agar tidak berdepan sebarang kerugian,” katanya kepada Bernama.

    Selain kempen yang dijalankan secara fizikal, e-pembelajaran juga dilaksanakan melalui medium media sosial seperti Facebook, Telegram, Youtube dan TikTok.

    “Risiko berlakunya kebakaran meningkat pada musim perayaan dan penting untuk semua pihak meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengambil langkah mencegah kebakaran,” katanya.

    Ditanya sama ada JBPM ada mengenal pasti kawasan hotspot berpotensi berlaku kebakaran, Abdul Wahab berkata tiada hotspot kebakaran struktur boleh dikenal pasti memandangkan kebakaran struktur berlaku di atas beberapa faktor dan tidak terikat dengan hanya satu faktor seperti peningkatan suhu.

    “Walau bagaimanapun JBPM tetap bersedia dan mengambil kira premis-premis yang menjadi tumpuan orang ramai untuk sambutan Hari Raya dan sempena Ramadan.

    “JBPM juga meningkatkan tahap penguatkuasaan dengan menjalankan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran sebagai langkah bagi mencegah kebakaran,” katanya.

    Selain itu, JBPM juga melaksanakan penempatan pasukan bersedia yang menjalankan rondaan secara berjadual beberapa lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur yang dikenal pasti sebagai laluan utama.

    “Fokus utama pelaksanaan ini adalah bagi mempercepatkan tempoh tindak balas pasukan dan golden hours bagi menyelamatkan nyawa mangsa,” katanya.

    Sementara itu, Abdul Wahab berkata JBPM tidak melaksanakan rondaan khusus berkaitan penggunaan mercun dan bunga api, justeru beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika musim perayaan bagi mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku.

  • Bicara kes saman Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin bermula 16 Okt ini

    Bicara kes saman Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin bermula 16 Okt ini

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 10 hari bermula 16 Okt ini untuk mendengar kes saman difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid berkata Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris menetapkan 16 hingga 20 Okt dan 23 hingga 27 Okt untuk perbicaraan kes itu.

    “Perbicaraan kes saman itu akan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff dan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 19 Mei ini,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkenaan hari ini secara dalam talian.

    Prosiding hari ini turut disertai peguam Shu Ivy yang mewakili Muhyiddin.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahmad Zahid, 70, berkata Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.

    Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan dan mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

    Sementara itu, Muhyiddin, 75, dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Mei tahun lepas mendakwa kenyataan beliau bahawa Ahmad Zahid memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

    Presiden Bersatu itu mendakwa kenyataan dibuat semasa kempen PRN Johor itu merupakan komen adil serta berkepentingan awam. – BERNAMA

  • Padah ceroboh rumah ibu saudara, guru ‘berhari raya’ di penjara

    Padah ceroboh rumah ibu saudara, guru ‘berhari raya’ di penjara

    SEORANG guru terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonannya mendapatkan kebenaran merayu terhadap hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan menceroboh rumah ibu saudaranya.

    Panel tiga hakim terdiri Hanipah Farikullah, Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah, menolak permohonan Mohamad Hassan@Malek, 43, memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini.

    Mohamad sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM10,000 sementara selesai permohonan rayuan.

    Dia didenda RM3,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 24 Ogos tahun lalu atas kesalahan itu.

    Selain itu, dia juga diperintahkan membayar RM500 sebagai kos pendakwaan, jika gagal, dipenjara tiga hari. Dia membayar denda dan kos tersebut.

    Pihak pendakwaan kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap hukuman itu yang dikatakan tidak memadai, manakala Mohamad tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap sabitan atau hukumannya.

    Pada 31 Jan lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan menjatuhi hukuman penjara enam bulan terhadap lelaki itu.

    Mahkamah Tinggi juga mengekalkan denda RM3,500 dan kos pendakwaan.

    Mohamad kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan memohon kebenaran merayu terhadap hukumannya itu.

    Mengikut undang-undang, Mohamad perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan terlebih dahulu sebelum boleh meneruskan rayuan kerana kesnya bermula di Mahkamah Majistret.

    Mohamad didakwa melakukan kesalahan itu dengan memasuki rumah Suhaida Sulaiman yang juga jirannya di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor pada 4.30 pagi, 12 Feb 2019.

    Mengikut fakta kes, dia memasuki bilik Suhaida dan menutup mulut wanita itu dengan tangannya.

    Anak perempuan wanita itu yang berusia 10 tahun yang sedang tidur dengan ibunya menjerit menyebabkan Mohamad melarikan diri dari tempat kejadian.

    Mohamad diwakili peguam Maidzatul Akmal Daud manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mewakili pendakwaan.

  • Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    Tiga wanita direman seleweng dana syarikat pusat urut

    TIGA wanita direman lima hari kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka berjumlah jutaan ringgit.

    Ketiga-tiga wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu terdiri daripada dua pengarah syarikat pembekal minyak urut manakala seorang lagi adalah isteri kepada bekas pengarah urusan syarikat pusat urut tersebut.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketiga-ketiga individu itu ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kerana disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019.

    Mereka dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut pada harga tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka, melibatkan jumlah pembelian bernilai RM9 juta.

    Sumber itu berkata syarikat berkenaan dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta akibat pembelian tersebut.

    Perintah reman bermula hari ini hingga 17 April dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Beliau berkata SPRM kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas pengarah urusan dan bekas pegawai kewangan syarikat pusat urut tersebut.