Author: Bernama

  • Kerajaan UAE salur sumbangan kepada warga ATM terjejas banjir – Hishammuddin

    Kerajaan UAE salur sumbangan kepada warga ATM terjejas banjir – Hishammuddin

    KEPERLUAN warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, terus menjadi perhatian apabila kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara luar terbaharu tampil menghulurkan sumbangan.

    Ketika mengumumkan perkara tersebut, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sumbangan itu berbentuk barang keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan (MINDEF).

    Seramai 3,000 warga ATM melibatkan 775 keluarga terkesan akibat banjir baru-baru ini.

    Beliau berkata sumbangan tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan kerajaan UAE tetapi juga menyerlahkan keakraban hubungan hala antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

    “Hari ini saya nak umumkan kerajaan UAE juga berbesar hati untuk menyalur sumbangan berbentuk barangan keperluan asas khusus untuk anggota, veteran ATM dan warga awam MINDEF yang terkesan.

    “Antara yang akan disumbangkan ialah sejadah berjumlah 2,000 helai, tuala (4,000 helai), cadar (4,000 helai), selimut (4,000 helai) dan bantal (4,000 biji),” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan UAE kerana sentiasa bersama-sama Malaysia ketika negara ini ditimpa musibah.

    Hishammuddin berkata menerusi gabungan lima syarikat swasta termasuk syarikat industri pertahanan, MINDEF setakat ini telah berjaya mengumpul sumbangan bantuan banjir berjumlah RM3.7 juta merangkumi wang tunai dan barang keperluan asas.

    “Syarikat-syarikat yang telah menyalurkan sumbangan dana bantuan banjir kali ini kepada MINDEF ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Affin Bank, Boustead Group, Pharmaniaga dan Sapura Group.

    “Sumbangan yang diterima ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meringankan beban bukan sahaja anggota dan warga awam MINDEF, tetapi juga saya sendiri secara peribadi mahu fokus turut diberikan bagi membantu veteran-veteran ATM yang terkesan akibat banjir di beberapa negeri ketika ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • ATM atur gerak anggota, aset ke 86 lokasi hadapi gelombang kedua – Hishammuddin

    ATM atur gerak anggota, aset ke 86 lokasi hadapi gelombang kedua – Hishammuddin

    ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi berkaitan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

    Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu diambil berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya hujan berterusan bermula semalam hingga 6 Jan ini yang berupaya menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir di beberapa negeri.

    “Secara keseluruhan ATM akan mengatur gerak seramai 115 pegawai dan 2,768 anggota Lain-Lain Pangkat. Selain itu sejumlah enam unit trak tujuh tan, 160 unit trak tiga tan, 129 unit bot  dan 109 unit enjin bot telah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di Koa Bharu hari ini.

    Hishammuddin berkata ATM telah melaksanakan enam pendekatan dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.

    “Enam pendekatan itu adalah satu Batalion sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan, ATM juga mengatur gerak pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah.

    “Selain itu pasukan perubatan ATM juga dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). ATM juga merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM,” katanya.

    Beliau berkata ATM turut memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga.

    “ATM juga menambah bilangan anggota bagi melaksanakan operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke pusat pemindahan sementara serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS,” katanya.

    Menurutnya perancangan ATM ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.

    “Saya serta kepimpinan tertinggi ATM dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) akan memastikan ATM terus melakukan segala usaha yang terdaya demi memelihara keselamatan rakyat sepanjang musim banjir ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pegawai bank rugi RM104,000 ditipu ‘Sarah’

    Pegawai bank rugi RM104,000 ditipu ‘Sarah’

    SEORANG pegawai bank berputih mata apabila kerugian RM104,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa kad kredit miliknya terlibat dalam transaksi pembayaran Oversea Bitcoin, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata kejadian kira-kira 9 pagi, wanita berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat transaksi daripada kad kredit mangsa berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin dan kemudian panggilan disambungkan kepada wakil pihak Bank Negara bernama ‘Sarah’.

    “Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa serta menunjukkan laporan telah dibuat ke atas wanita itu lalu panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lelaki yang memintanya mengemas kini pita magnetik pada kad.

    “Lelaki itu turut meminta mangsa senaraikan kad bank yang ada dan menyuruh wanita itu menukar nombor pin di mesin ATM. Mangsa juga telah memberikan maklumat yang diminta tanpa disedari ia adalah perbuatan Scam,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Jelasnya, mangsa yang mengesyaki dirinya diperdaya telah membuat semakan di bank tempatan pada hari sama dan mendapati terdapat pengeluaran sebanyak RM104,000 sebelum membuat laporan polis semalam.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, tidak panik dan ambil masa untuk periksa kesahihan informasi yang dimaklumkan individu tidak dikenali.

    — BERNAMA

  • Amaran hujan amat lebat di Jeli, Kelantan, Terengganu, dijangka banjir malam ini – JPS

    Amaran hujan amat lebat di Jeli, Kelantan, Terengganu, dijangka banjir malam ini – JPS

    AMARAN cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka dialami di tiga negeri pantai timur Semenanjung – Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat 31 Dis.

    Amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1.25 tengah hari ini, menyebut kawasan-kawasan yang terlibat di tiga negeri itu ialah Jeli (Kelantan), Kemaman (Terengganu) dan Kuantan (Pahang).

    Amaran cuaca buruk peringkat jingga iaitu hujan lebat berterusan juga dikeluarkan untuk kawasan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Besut Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu; dan Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang sehingga 1 Jan. 

    Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir secara berperingkat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu malam ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS itu, risiko banjir diramal di Kelantan bermula pukul 8 malam di jajahan Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Gua Musang dan Pasir Mas.

    Banjir juga diramal di Terengganu secara berperingkat pada 8 malam ini (30 Dis) di beberapa daerah antaranya Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut, manakala risiko banjir diramal di Pahang esok (31 Dis) di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut serta kawasan rendah sekitarnya. 

    “Kawasan lain di Pahang adalah di sekitar Sungai Kuantan, Sungai Rompin, Sungai Pontian dan Sungai Endau melibatkan kawasan di sekitar Kuantan dan Rompin,” menurut kenyataan itu. 

    Bagi negeri Johor, banjir diramal pada 2 petang esok (31 Dis) melibatkan kawasan di sekitar Sungai Mersing, sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau melibatkan daerah Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

    Sementara itu, amaran peringkat waspada iaitu hujan berterusan sehingga 1 Jan diramal di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih); Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) serta Johor.

    Hujan berterusan juga dijangka di Sabah melibatkan pantai barat (Ranau); Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat sehingga 2 Jan.  

    Berikutan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

    Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan, menurut kenyataan itu.

    NADMA melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

    — BERNAMA

  • Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    KERAJAAN Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula Khamis.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi melaporkan keputusan itu dibuat selepas kes harian jangkitan Covid-19 di negara itu kembali melonjak.

    Sehingga semalam, Arab Saudi mencatatkan 602 kes jangkitan baharu, 147 kes sembuh dan satu kematian.

    Pada Okt lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

    MoI menjelaskan semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.

    MoI turut mengulangi gesaan supaya orang ramai mematuhi langkah berjaga-jaga dan segera melengkapkan dos vaksinasi mereka. – BERNAMA

  • Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    POLIS menahan seorang wanita bagi membantu siasatan mengenai video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga penumpang kanak-kanak secara berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut dan membawa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

    Beliau berkata tingkah laku mereka merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

    Menurut Mohd Zaid, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

    “Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

    “Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

    Semalam, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

    — BERNAMA

  • Empat negeri diramal banjir mulai Jumaat ini

    Empat negeri diramal banjir mulai Jumaat ini

    PUSAT  Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan ramalan awal banjir di Kelantan dan Terengganu bermula 31 Dis manakala di Pahang dan Johor mulai 1 Januari ini.

    PRABN di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan itu berikutan amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

    Menurut pemakluman yang disiarkan di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, daerah di Pahang yang diramal banjir adalah Maran, Temerloh, Jerantut dan kawasan sekitar, Kuantan (Sungai Lembing) serta Rompin manakala di Johor, Mersing serta kawasan sekitarnya.

    Di Kelantan, kawasan diramal banjir adalah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan kawasan sekitar; Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar.

    Selain itu, banjir juga diramal di Terengganu melibatkan Besut, Hulu Terengganu dan Dungun serta kawasan sekitar daerah-daerah berkenaan. 

    “Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya.

    Maklumat dan amaran semasa boleh diakses menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, media sosial Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

  • Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    Banjir: Dua hingga tiga juta buku rosak

    KIRA-kira dua hingga tiga juta buku rosak selepas ditenggelami air di gudang Big Bad Wolf dan kedai buku BookXcess @Wolf House di Seksyen 33, Taman Alam Indah di Shah Alam akibat banjir teruk melanda Selangor pertengahan bulan ini.

    Pengasas bersama BookXcess dan Big Bad Wolf Books Andrew Yap berkata jumlah kerugian masih dalam proses penilaian kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk dipastikan.

    “Namun, berdasarkan penilaian awal, jutaan buku sudah pasti rosak, musnah dan tidak dapat diselamatkan begitu juga beberapa peralatan gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yap berkata kerja-kerja pembersihan gudang Big Bad Wolf Books dan pembuangan buku-buku yang rosak sedang dilaksanakan.

    Selain kedai buku BookXcess di Wolf House, beliau berkata kesemua 14 kedai buku BookXcess di seluruh negara, BookXcess Online dan BookXcess dan Big Bad Wolf Books di platform Shopee masih beroperasi seperti biasa dan menerima tempahan.

    “Hanya Wolf House, terletak di Seksyen 33, Taman Alam Indan di Shah Alam ditutup sementara kerana memerlukan pengubahsuaian sepenuhnya akibat kerosakan teruk.

    “Walaupun kami kehilangan dua hingga tiga juta buku, kami berhasrat untuk menderma buku kepada masyarakat sekitar yang terjejas teruk akibat banjir dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka berada di sekitar gudang kami dan kami mengalu-alukan orang untuk sertai usaha altruistik kami,” katanya.

    — BERNAMA

  • Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    Banduan ditahan semula lima jam selepas larikan diri

    POLIS berjaya menahan seorang banduan di sebuah stesen minyak di sini, kira-kira lima jam selepas menerima laporan mengenai kehilangan banduan berkenaan yang melarikan diri dari Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Nilai, Serembang , semalam.

    Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman berkata pada mulanya polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berumur 29 tahun itu yang melarikan diri daripada PRP itu pada pukul 12.54 tengah hari.

    Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai kemudiannya melancarkan operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bagi mengesannya di sekitar kawasan berhampiran.

    “Pada pukul 5.15 petang, polis menahan banduan itu di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira empat kilometer dari PRP berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Menurutnya banduan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu ditempatkan di PRP berkenaan bagi tujuan pemulihan, setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor.

    Mohd Fazley berkata kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau mencuba larikan diri daripada tahanan yang sah. – BERNAMA

  • Serba Dinamik, pengarah dan dua pegawai kanan didakwa kemuka pernyataan palsu

    Serba Dinamik, pengarah dan dua pegawai kanan didakwa kemuka pernyataan palsu

    SYARIKAT penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, seorang pengarah dan dua pegawai kanannya mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, Februari lepas. 

    Serba Dinamik yang diwakili Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Abu Bakar Uzir, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Md Deril.

    Syarikat itu didakwa dengan niat untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung hal ehwal Serba Dinamik Holdings Berhad yang terkandung di dalam “Serba Dinamik Holdings Berhad’s Quarterly Report on the Consolidated Results for the Quarter and Year Ended 31 December 2020”.

    Di mahkamah berasingan, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal, 41, Pengawal Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, 39, dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman, 37, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Feb lepas dan didakwa mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama. 

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM3 juta, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan Syed Nazim, Muhammad Hafiz dan Azhan diikat jamin RM300,000 setiap seorang dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin dan Zulaida Zulkifli manakala Serba Dinamik dan kesemua pegawainya diwakili peguam L.K. Mak.

    Kedua-dua mahkamah menetapkan 27 Jan depan bagi sebutan semula kes.

    — BERNAMA