Author: Bernama

  • Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia akibat kemalangan

    Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia akibat kemalangan

    Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia petang semalam akibat kemalangan.

    Ahli Majlis dan pengasas bersama ADAB, Mohd Arof Ishak yang mengesahkan perkara itu berkata Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

    “Arwah terlibat dengan kemalangan di hadapan rumahnya di Bukit Damansara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail selepas solat jenazah yang akan diadakan selepas solat Jumaat, hari ini.

    Mohd Arof yang juga rakan kepada Allahyarham berkata arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang tidak sukar dicari ganti.

    Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1986.

    Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 1988 meninggalkan isterinya Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim dan tiga orang anaknya.

    Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya, pagi ini.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

    — BERNAMA

  • Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    MENAWARKAN khidmat seks menerusi media sosial pada kadar mencecah RM500 hingga RM600 untuk satu malam, itu taktik dikesan digunakan enam wanita warga Afrika dalam kegiatan pelacuran di kondominium mewah di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

    Dalam serbuan yang dijalankan lewat malam tadi di sebuah kondominium mewah, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an didapati merupakan penuntut di sebuah universiti swasta di sekitar Taman Shamelin Perkasa, di sini dan Subang, Selangor.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan pelacuran itu dipercayai beroperasi sejak tahun lepas menggunakan aplikasi WeChat dan Facebook untuk mencari pelanggan.

    Beliau berkata pelanggan perlu meyakinkan bahawa mereka tidak akan membocorkan rahsia kegiatan itu dan setelah diyakini mereka akan dianggap sebagai pelanggan eksklusif sekali gus menjadi pelanggan tetap. 

    “Kegiatan ini dijalankan di lokasi berbeza bergantung kepada permintaan pelanggan setempat dan dianggarkan mereka memperoleh RM7,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

    Khairul Dzaimee berkata hasil siasatan mendapati lima wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial. 

    Beliau berkata serbuan itu turut menahan tiga lelaki warga Afrika dan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dengan kesemuanya dipercayai pelanggan. 

    Katanya kesemua wanita berkenaan akan direman di Depot Imigresen Putrajaya selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

    Sementara itu, seorang wanita yang ditahan turut dilihat berpura-pura pengsan dan sakit bagi meraih simpati pihak berkuasa.

    — BERNAMA

  • LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) perlu lebih telus dalam memperinci dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataan berkaitan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Rasuah Busters dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontroversi peribadi itu langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang terjejas akibat dakwaan salah laku segelintir pegawainya pada waktu ini.

    “Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.

    “Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut #Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

    SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan itu, menurut kenyataan tersebut sambil menambah konflik berkenaan tidak harus ditangani secara emosi. – BERNAMA

  • KKM siasat 17 kes jangkitan Omicron tiada rekod vaksinasi

    KKM siasat 17 kes jangkitan Omicron tiada rekod vaksinasi

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Jan lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

    Beliau berkata, 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.

    “Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi,” katanya pada sidang media hari ini.

    Menurut Khairy, siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14 peratus atau 17 kes tiada vaksinasi.

    “Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya.

    Khairy juga berkata, jumlah kumulatif varian Omicron dalam kes positif COVID-19 yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

    Beliau berkata susulan itu, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Jan ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan semula.

    Katanya, KKM bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan akan mengemas kini SOP umrah antaranya pengambilan dos penggalak sebagai antara syarat umrah serta pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi.

    Pada masa sama, Khairy berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan berbincang dengan ejen pelancongan untuk penjadualan semula umrah manakala Kementerian Pengangkutan menguruskan jadual penerbangan.

    “KKM ingin mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah agar terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan komuniti.

    KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan optimum serta mengelakkan jangkitan virus itu yang teruk serta komplikasinya. — BERNAMA

  • Mesyuarat khas Parlimen bincang isu banjir 20 Januari

    Mesyuarat khas Parlimen bincang isu banjir 20 Januari

    SATU Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Jan ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi khas itu merupakan platform terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

    “Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

    “Ia bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Ismail Sabri berkata pelaksanaan Mesyuarat Khas ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

  • KWSP tidak dirangka untuk menangani bencana, pandemik

    KWSP tidak dirangka untuk menangani bencana, pandemik

    INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) membantah gesaan yang dibuat oleh pihak tertentu untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan dana tambahan daripada akaun persaraan mereka, menyatakan bahawa pengeluaran tersebut perlu berteraskan alasan ekonomi yang kukuh.

    “KWSP tidak dirangka untuk menangani bencana dan pandemik, sebaliknya, ia bertujuan memastikan pencarumnya menikmati kehidupan yang baik selepas bersara.

    “Ini ditambah lagi dengan hakikat bahawa Malaysia dijangka lebih cepat mencapai taraf masyarakat menua.

      “Malaysia hanya tinggal sembilan tahun untuk menjadi negara menua pada 2030 dan pengeluaran KWSP seterusnya akan memberi tekanan tambahan kepada kos penjagaan kesihatan pada masa depan, jaminan pendapatan dan aliran pendapatan selepas persaraan,” katanya dalam kenyataan.

    MIER berkata demikian sebagai respons kepada pihak tertentu yang menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran i-Citra sekali sahaja sebanyak RM10,000 untuk pencarum yang terjejas akibat banjir di negara ini.

    Pada Ahad, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata KWSP tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian atau langkah untuk mengatasi cabaran berikutan ini akan menjejaskan simpanan persaraan pencarum, terutamanya apabila Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2030.

    MIER berkata skim pengeluaran yang dimulakan kerajaan, iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, berjumlah RM101 bilion, walaupun dapat memberikan sedikit bantuan kewangan, telah menyebabkan pengurangan dana persaraan yang kritikal bagi sebahagian besar ahli KWSP.

    “Pengeluaran besar-besaran itu menyebabkan sebanyak 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, dengan 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam dana persaraan mereka.

    “Tahap ini ternyata jauh daripada nilai ambang sebanyak RM240,000 sebagai simpanan menjelang umur 55 tahun untuk ahli menikmati persaraan yang baik,” katanya.

    MIER menegaskan bahawa tiga skim pengeluaran KWSP sebelum ini merupakan langkah jangka pendek, yang perlu dielak sejak awal lagi dan tidak boleh diulang.

    “Bagi menangani kekangan fiskal jangka pendek yang dihadapi rakyat Malaysia, terdapat justifikasi ekonomi yang kukuh untuk kerajaan menyediakan bantuan tunai tanpa syarat yang mencukupi kepada isi rumah dan syarikat,” katanya.

    MIER mencadangkan langkah jangka panjang adalah penting untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan, iaitu kadar caruman KWSP majikan boleh diselaraskan tanpa menambah beban kos buruh majikan.

    “Kerajaan boleh meningkatkan sedikit kadar caruman majikan untuk pekerja melebihi had nilai ambang tertentu dan pada masa sama menurunkan kadar untuk mereka di bawah paras nilai ambang,” katanya.

    MIER berkata kerajaan perlu mempertimbangkan strategi perlindungan sosial dan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas, iaitu perlu ada pelan dan skim luar jangka yang boleh dimulakan dalam menghadapi bencana dan krisis lain.

    “Kejadian baru-baru ini telah mengajar kita bahawa kita, sebagai sebuah negara, tidak boleh leka berdasarkan kecemasan dan bencana lain yang tidak dijangka boleh berlaku. Beban daripada kejadian ini lazimnya paling teruk dirasai oleh mereka yang kurang bersedia untuk menghadapinya, dan mereka memerlukan sokongan kerajaan untuk membina semula kehidupan mereka.

    “Dana bantuan bencana juga perlu dipertimbangkan. Pada masa sama, liputan dan perlindungan sosial yang mencukupi, terutamanya terhadap mereka yang bekerja sendiri dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal, perlu diperkukuh,” menurut badan pemikir ekonomi itu.

    — BERNAMA

  • Penangguhan umrah untuk lindungi jemaah – Mufti P.Pinang

    Penangguhan umrah untuk lindungi jemaah – Mufti P.Pinang

    KEPUTUSAN kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah dianggap wajar kerana tindakan itu bertujuan melindungi jemaah daripada penularan jangkitan COVID-19 varian Omicron.

    Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata cuma pihak kerajaan perlu menjelaskan kepada orang Islam bahawa penangguhan itu hanyalah sementara saja, dan akan membenarkan perjalanan untuk mengerjakan ibadat umrah sebaik sahaja ancaman jangkitan varian Omicron berakhir.

    Beliau berkata tiada mana-mana pihak yang ingin menghalang sesiapa pun untuk pergi ke Tanah Suci bagi melaksanakan ibadat berkenaan, cuma sekarang ini larangan itu dibuat bagi melindungi jemaah daripada penularan jangkitan COVID-19 varian Omicron.

    “Umat Islam di negara ini perlu mendapat penjelasan lanjut tentang keperluan menangguhkan ibadat berkenaan dari sudut hukum fiqah kerana penjelasan itu wajar agar tidak berlaku salah faham bahawa pihak kerajaan menghalang masyarakat Muslim di negara ini daripada menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Sabtu lepas iaitu Kementerian Kesihatan(KKM) menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Jan ini, berikutan penularan COVID-19 varian Omicron.

    — BERNAMA

  • Tak perlu henti pembalakan di Kelantan – Mohd Amar

    Tak perlu henti pembalakan di Kelantan – Mohd Amar

    TIADA keperluan untuk menghentikan pembalakan di Kelantan kerana aktiviti itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan kuota yang dibenarkan di negeri berkenaan, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata, aktiviti itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut terma dan syarat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan kuota yang dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara.

    “Sebagai contoh, setakat tahun ini kita hanya dibenarkan (menjalankan pembalakan) di kawasan seluas 3,000 hektar sahaja, tidak boleh lebih. Kalau lebih, kita akan dikenakan tindakan oleh Majlis Perhutanan Negara,” katanya.

    “Semua ini (had pembalakan) bukan negeri yang tentukan tapi Majlis Perhutanan Negara, kita hanya ikut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas kewujudan petisyen “Henti Pembalakan Dan Kemusnahan Alam Sekarang!” yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang telah mengumpulkan kira-kira 200,000 tanda tangan.

    Petisyen itu bertujuan menggesa kerajaan negeri untuk mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini susulan banjir besar yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

    Mohd Amar berkata, kegiatan pembalakan di negeri ini bukanlah penyumbang utama kepada musibah banjir yang menjadi fenomena hampir setiap tahun, memandangkan ia telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

    Menurutnya setiap tahun bermula Oktober hingga Disember, tiada penebangan pokok yang dibenarkan kerana ia musim tengkujuh.

    “Yang keluar (balak) dalam musim tengkujuh (ketika banjir) itu mungkin yang ditebang sebelum tempoh berkenaan dan disimpan di Beta (kawasan simpanan balak),” katanya.

    Justeru beliau meminta orang ramai agar tidak hanya menyalahkan pembalakan sebagai punca banjir kerana pelbagai faktor lain juga perlu diambil kira. – BERNAMA

  • Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    Polis buru Ganesparan, gagal hadir kes hina Agong, PM

    POLIS sedang mengesan seorang lelaki tempatan dikenali N. Ganesparan kerana gagal hadir di Mahkamah Kuala Lumpur bagi kes pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berkenaan dikehendaki bersabit waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pada 20 Dis lepas, berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 233(1(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki berusia 40 tahun itu,(dinasihatkan) supaya menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Supt Junainah M. Kasbolah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat Insp Shahrir Mohamad 019-5414014,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Sebelum ini, media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap institusi Diraja dan kerajaan yang tular di media sosial. – BERNAMA

  • Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    Shamsubahrin didenda RM3,000 buat kenyataan kegentaran awam isu Rohingya

    AHLI perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam berhubung pelarian Rohingya, dua tahun lepas.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Shamsubahrin, 56, selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya pada tarikh jatuh hukum hari ini. Tertuduh membayar denda tersebut.

    Rakaman video berdurasi 51 saat turut dimainkan semula di dalam mahkamah hari ini dan tertuduh mengakui yang dia membuat kenyataan tersebut.

    Shamsubahrin didakwa secara sedar telah membuat kenyataan dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam pada 30 April 2020.

    Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Aras 28, Menara KPJ, pada 12.30 tengah hari, 4 Mei 2020.

    Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi itu dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan dia menghidap kanser dan pernah dijangkiti virus COVID-19.

    “Saya hanya mewakili B40 kerana ramai pemandu teksi adalah B40, yang hanya bergantung pada bantuan kerajaan sahaja serta ia tidak mencukupi,” kata tertuduh.

    Mengikut fakta kes, semasa pengadu (seorang anggota polis) melayari internet di pejabat JSJK Bukit Aman, beliau terlihat satu posting video telah dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Soleha Ali. – BERNAMA