Author: Bernama

  • Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    Suami isteri rentung, 7 melecur dalam kebakaran 40 rumah

    SEPASANG suami isteri rentung manakala tujuh lagi melecur dalam kebakaran membabitkan kira-kira 40 rumah di Kampung Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama di Tawau tengah malam tadi.

    Mayat Saiful Rosli, 32, dan isterinya, Jumaidah M Jida, 36, ditemukan anggota bomba awal pagi tadi selepas kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan pada 6.20 pagi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.25 tengah malam tadi dan 25 anggota serta dua jentera diatur gerak ke lokasi.

    “Mangsa yang melecur 86 peratus ialah Abdul Mutalib Suma, 45, manakala seorang lelaki, 26 tahun dan seorang remaja, 18 tahun melecur 17 peratus.

    “Selain itu, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara enam hingga 12 tahun melecur antara 1 hingga 6 peratus dan semua mangsa melecur dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, mangsa kebakaran Mala Tipung, 46, ketika ditemui Bernama menangis teresak-esak apabila mendapati rumahnya yang ditinggalkan kosong selama seminggu itu musnah dalam kebakaran.

    “Saya ke tempat kerja suami seminggu lalu di Sungai Burong Teck Guan, pagi ini saya balik, baru saya tahu rumah kami terbakar, semua tinggal jadi debu, satu barang pun tidak dapat diselamatkan,” katanya hari ini.

    Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hasoni Basiah, 34, berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah oleh sahabatnya, bernama Awil.

    “Saya buka pintu, kawan saya Awil sudah berteriak ‘api’ dan saya tengok api besar sudah di belakang rumah saya, melihat api marak saya kejutkan isteri dan adik ipar, untuk menyelamatkan diri, ” katanya menambah dia hanya sempat mengambil dokumen penting sebelum lari keluar dari rumah.

    Nur Anita Saddu, 30, pula berkata, dia suami serta dua anaknya sempat menyelamatkan diri selepas mendengar salakan kuat anjing seperti memberi amaran sesuatu berlaku sebelum kedengaran suara jiran menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

    “Ketika kami keluar rumah, api sudah merebak ke rumah jiran, saya cuma sempat bawa keluar baju anak manakala suami sempat pindahkan kereta ke tempat selamat,” katanya.

    Selain itu Abbas Tenri, 49, berkata, dua surat lahir anaknya tidak sempat diambil dan musnah bersama barangan lain dalam kebakaran itu.

    “Saya dan tujuh anak selamat cuma ada dua surat lahir anak saya tidak sempat ambil, saya juga bingung esok anak-anak akan mula sekolah tetapi barang-barang sekolah mereka semua musnah,” katanya.

  • Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    Kementerian Pendidikan lanjut pengecualian sewa kantin

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

    “Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

    “Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

    Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

    Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

    “Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

    Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

    “KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

    “Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

    Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka. 

    Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan. – BERNAMA

  • Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    Veteran tentera tak sangka Timbalan Menteri Pertahanan datang rumah

    SEORANG veteran tentera British tidak menyangka tetamu yang datang menyantuni beliau di rumahnya di Taman Bijaya di Klang hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan ketiadaan protokol ketika kunjungan itu.

    Abdul Aziz Mohd Amin, 83, berkata Ikmal Hisham yang datang seorang diri secara bersahaja ramah menyapa beliau dan isterinya Nor Azian Abd Wahab, 76, sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama mereka.

    “Memang saya sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan akan datang ke rumah tapi saya tak sangka orang yang saya leka bersembang itu adalah beliau.

    “Beliau juga bercerita tentang keadaan banjir di Kelantan dan Hulu Langat, tempat yang beliau tinjau sebelum ini sambil tidak putus-putus bertanyakan khabar saya terutama kenapa saya berkerusi roda.

    “Bila menteri datang rumah kita, sudah tentu kita suka. Orang masih ingat pada kita dan dalam ramai-ramai, kita yang terpilih untuk mereka kunjungi,” katanya pada Bernama di rumahnya hari ini.

    Lawatan itu adalah sempena program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut disertai pegawai kanan ATM termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

    Program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran yang terkesan akibat banjir.

    Menurut JHEV, seramai 244 veteran ATM terjejas akibat bencana banjir di Selangor dan 46 orang daripada mereka adalah di daerah Klang.

    Ikmal Hisham juga berkata pada tahun lepas, sejumlah 531 mangsa banjir dibantu dengan peruntukan sebanyak RM265,000. – BERNAMA

  • Isu tanah Kampung Baru: Dakwaan Khalid Samad tak benar

    Isu tanah Kampung Baru: Dakwaan Khalid Samad tak benar

    DAKWAAN Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berhubung tiada pertemuan dijalankan antara pemaju dan pemilik tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, adalah tidak benar.

    Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menjelaskan, sesi perjumpaan antara Shahidan bersama pemilik diaturkan pada 6 Dis lepas di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, manakala perjumpaan bersama pemaju diadakan 8 Dis lalu, bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kampung berkenaan.

    “Hasil perjumpaan berkenaan, Menteri Wilayah Persekutuan meminta pemaju untuk mengkaji semula tawaran atau pakej yang lebih baik untuk diberikan kepada pemilik Kampung Sungai Baru, bagi membantu mereka mendapat sebuah rumah dan wang tunai,” menurut PKB dalam kenyataan hari ini.

    PKB memaklumkan pada 10 Dis, pemaju bersetuju menyediakan tawaran baharu dinamakan Pakej Harmoni kepada pemilik unit flat, yang diputuskan jumlah pampasan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTGWPKL), pada sesi siasatan pengambilan tanah.

    “Pakej Harmoni menawarkan sebuah unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi yang bernilai RM300,000, dengan jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima oleh pemilik flat dipulangkan separuh kepada pemaju.

    “Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki pakej ini dengan harga RM125,000 sahaja,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut kediaman Pakej Harmoni dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air berserta satu petak aksesori tempat letak kereta, sementara pakej itu bagi pemilik teres pula akan ditawarkan semasa siasatan pengambilan tanah yang diadakan kelak.

    Bagi projek pembangunan semula Kampung Baru dijangka mengambil masa 10 tahun dan dilaksanakan secara berperingkat, bagi memastikan aliran tunai pemaju mampu untuk menampung pelaksanaan pembangunan bagi plot berikutnya dalam tempoh tersebut.

    “Pendekatan dan tindakan segera Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan isu ini telah menyelesaikan isu pemilik tanah terlibat dengan pengambilan tanah,” menurut kenyataan tersebut.

    Pada 5 Jan lepas, Khalid dilaporkan berkata sehingga kini, tiada pertemuan dibuat antara pemaju dan pemilik tanah Sungai Baru, Kampung Baru dengan Shahidan bagi menyelesaikan isu berbangkit pengambilan tanah di kawasan berkenaan. – BERNAMA

  • Enam mangsa maut akibat banjir, tanah runtuh

    Enam mangsa maut akibat banjir, tanah runtuh

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    SEKURANG-KURANGNYA enam orang maut dan lebih 500 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir teruk dan tanah runtuh di Wilayah Papua, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

    Ibu kota wilayah itu, Bandar Jayapura, menjadi antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir, termasuk daerah Jayapura Utara, Jayapura Selatan, Abepura, Heram dan Muara Tami.

    “Hujan renyai masih membasahi Abepura,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa banjir yang disebabkan oleh hujan lebat turun selama berjam-jam mulai 10 malam pada Khamis.

    Beberapa rumah, hospital dan bangunan awam semuanya terjejas dan penduduk berpindah dengan sebuah trak dan tiga bot getah.

    Sementara itu, angin ribut membadai daerah Aceh Tenggara, Wilayah Aceh, merosakkan 29 rumah, kemudahan awam dan dua gereja.

    Ia melanda Kampung Lawe Sagu Hulu, Kampung Mbacang Racun di Daerah Lawe Bulan, dan Kampung Tenembak Lang-lang di Daerah Deleng Pokhkison.

    Terkini, banjir juga menenggelamkan kawasan di wilayah Aceh, Jambi dan Sumatera Utara menyebabkan kira-kira 20,000 orang kehilangan tempat tinggal mereka. – BERNAMA

  • Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    Belasah pemandu e-hailing sampai mati, 6 lelaki ditahan

    MALANG tidak berbau bagi seorang lelaki berusia 28 tahun yang diserang sekumpulan lelaki warga tempatan selepas berhibur bersama teman wanitanya, di sebuah pusat hiburan di Kepong pada 28 Dis lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, seramai enam individu memukul mangsa yang merupakan pemandu e-hailing sehingga mengalami pendarahan di bahagian kepala, dan mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘Blunt Force Trauma to The Head’ pada 30 Dis lalu, selepas dua hari mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    Beliau berkata, sebelum kejadian itu berlaku, telah terjadi isu salah faham membabitkan teman wanita mangsa bersama kesemua suspek yang terlibat.

    “Menurut teman wanita mangsa yang merupakan saksi kejadian terbabit, dia bersama mangsa berada di dalam kereta di tempat letak kereta berkenaan, dan mereka melihat kesemua suspek dari dalam pusat hiburan menghampiri dan bertindak membuka pintu kereta milik mangsa.

    “Kesemua suspek menarik keluar mangsa dari kenderaan dan memukul mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan yang parah, dan kesemua suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

    Eng Lai berkata, pihaknya bersama bahagian D9 ibu pejabat Polis Kuala Lumpur, berjaya menahan kesemua individu terbabit di dalam beberapa siri serbuan di lokasi yang berbeza.

    Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiga daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan pelbagai kesalahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan kesemua suspek ditahan reman sehingga 13 Jan depan.

    lelaki dadah sentul
    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Sementara itu, lima wanita antara 15 warga tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual dan memproses pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM300,000 di sekitar ibu kota, Selasa lepas.

    Eng Lai berkata, suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di Jalan Ipoh, Jinjang, Jalan Kuching dan Cheras Awana.

    Beliau berkata antara lain, polis merampas lebih 5 kilogram serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kanabis seberat 745.69 gram (g), pil eramin 5 (173.64 g), pil ekstasi (30.42 g), ketamin (0.99 g) dan syabu (0.94 g).

    “Turut ditemukan makmal mini pemprosesan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar kawasan Jalan Ipoh.

    “Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol dan Ketamin serta tiga lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya

    Eng Lai berkata, mereka ditahan reman selama tujuh hari hingga 11 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat sebagai sumber bekalan,” katanya. – BERNAMA

  • Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    Kes SRC: Najib mohon mahkamah dengar dahulu rayuan

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon Mahkamah Persekutuan mendengar terlebih dahulu rayuan beliau berkaitan bukti baharu yang ingin dikemukakannya dalam kes membabitkan penyelewengan kira-kira RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengesahkan perkara itu, berkata ini adalah kerana bukti tersebut mungkin mempunyai kaitan penting dengan rayuan utama Najib bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Andrin Kamarul pula berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa telah menetapkan 24 Jan sebagai tarikh pengurusan kes selanjutnya bagi rayuan utama pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

    Pada 7 Dis lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC.

    Sehari selepas itu, mahkamah yang sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

    Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA

  • Penyeludup ‘tak cuti’ walaupun banjir, PGA rampas barangan bernilai RM3.7 juta

    Penyeludup ‘tak cuti’ walaupun banjir, PGA rampas barangan bernilai RM3.7 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) mendedahkan aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand tetap aktif pada musim banjir bulan lepas susulan nilai barangan dirampas pihaknya mencecah RM3.7 juta menerusi 20 hari operasi bagi membanteras kegiatan itu. 

    Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Supt Azhari Nusi berkata peningkatan paras air menyebabkan ada penyeludup mengambil kesempatan membawa barangan terus ke stor atau rumah kosong menggunakan perahu atau bot.

    Beliau berkata bagaimanapun modus operandi kumpulan penyeludup itu sudah dapat diagak dan membolehkan tangkapan dan rampasan dilakukan pihaknya menerusi operasi bermula 16 Dis itu.

    “Kita (PGA7) tahu sudah pasti penyeludup akan membawa barangan ke lokasi lebih jauh pada musim banjir berikutan Sungai Golok semakin melebar.

    “Kita bagaimanapun tetap menjalankan penugasan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dapat pergi lebih jauh ke kawasan dinaiki air dan membuat tangkapan. Selain itu, kita juga dibantu  agensi penguat kuasa lain di sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi agihan bantuan banjir sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ABD Enterprise di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi ABD Enterprise Datuk Ku Ardanan Dollah berkata ia merupakan kali pertama pihaknya tampil menghulur sumbangan di Kelantan dengan membawa bekalan keperluan asas untuk lebih 20 keluarga terjejas.

    “Kita turut membekalkan sedikit sumbangan sagu hati kepada golongan petugas barisan hadapan khususnya PGA kerana tetap menjalankan tugasan membanteras penyeludupan dan membantu mangsa banjir, baru-baru ini,” katanya.

    — BERNAMA

  • Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    IBRAHIM Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.

    Ibrahim, 71, dan ‘Puteri Zaleha’ atau nama sebenarnya, Suliaha Abdul Hamid, 62, tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik bicara.

    Pendakwa Syarie Negeri Perak, Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding hari ini kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, Suhaili memohon supaya Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

    Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-dua individu itu yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes.

    Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

    Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berhubung satu ritual menolak bala dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

    Susulan itu, Ibrahim dan tiga individu lain ditahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk (Ipoh) pada petang Khamis.

    Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim atau Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. – BERNAMA

  • Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    HARGA ayam segar dan telur ayam mungkin naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia tamat pada 4 Februari ini namun kerajaan akan mencari mekanisme bagi menanganinya demi kepentingan semua pihak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak serta satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.

    “Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak itu, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.

    “Pengguna juga harus faham mengenai masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin hari ini.

    Alexander berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Februari di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram namun mendapat keluhan daripada penternak yang bukan sahaja melibatkan kos tetapi tempoh skim kawalan yang terlalu lama.

    Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit dan pemborong.

    “Harga siling mungkin akan tinggi tetapi kita akan lihat dahulu sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik sebab ada persaingan,” katanya. – BERNAMA