Author: Bernama

  • Saya mahu rehat dahulu – Dr Noor Hisham

    Saya mahu rehat dahulu – Dr Noor Hisham

    KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib Jumaat ini, menyatakan beliau mahu rehat selepas 35 tahun berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Dr Noor Hisham yang dianggap ‘panglima perang’ KKM ketika negara berdepan pandemik COVID-19, merupakan antara individu penting yang menyampaikan perkembangan terkini dan usaha kerajaan dalam memerangi penularan wabak itu dalam negara.

    “Rehat dulu,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas mengimbas kad perakam waktu pada pukul 4.17 petang sebagai simbolik hari terakhir bertugas di KKM hari ini.

    Beliau diiringi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan warga KKM yang turut hadir mengucapkan selamat bersara kepadanya.

    “Alhamdulilah semua berjalan dengan lancar, COVID-19 pun dah berkurangan dan kita dapat mengawal dengan baik dan memang saya tertunggu-tunggu untuk bersara,” kata Dr Noor Hisham.

    Dr Zaliha dalam satu hantaran di Facebook beliau merakamkan penghargaan kepada Dr Noor Hisham atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang 35 tahun berkhidmat di KKM. – BERNAMA

  • Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    Dua beranak maut,enam cedera dalam kemalangan babit tiga kenderaan

    HASRAT dua beranak untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di KM28 Jalan Terengganu-Kuantan di Kampung Pulau Kerengga, dekat Marang pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata kemalangan pada 6.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera di kepala manakala anaknya, Syuhada Hafiya, 7, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

    Beliau berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Taman Hidayah dekat sini.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dipandu mangsa (Subhi Sayuti) dari arah Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) SsangYong Rexton dinaiki enam sekeluarga berusia lima hingga 37 tahun.

    “Akibat rempuhan itu, kereta Perodua Alza berpusing dan impak pelanggaran menyebabkan pemandunya maut manakala pemandu serta semua penumpang SUV SsangYong Rexton mengalami kecederaan dan dihantar ke HSNZ untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zain berkata terdapat sebuah kereta Perodua Kenari yang berada di belakang kereta Perodua Alza, namun pemandunya seorang lelaki berusia 28 tahun sempat mengelak dan kenderaan itu hanya mengalami kerosakan kecil. – BERNAMA

  • Penghantar makanan didakwa bakar motosikal, skuter depan Suria KLCC

    Penghantar makanan didakwa bakar motosikal, skuter depan Suria KLCC

    SEORANG penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di hadapan pusat beli-belah Suria KLCC, minggu lepas.

    Azril Kamarunzaman, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tempat letak motosikal hadapan Suria KLCC di Jalan Ampang di sini pada 3.30 petang, 13 April lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Muhamad Ridzuan Umar, yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan ibu bapanya yang uzur.

    Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan lebih 10 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan letak kenderaan pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang di sini.

    Berikutan itu, seorang lelaki berusia 30-an ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). — BERNAMA

  • 1MDB: Kakitangan bank dikenakan tekanan untuk segerakan transaksi 1MDBGIL – Saksi

    1MDB: Kakitangan bank dikenakan tekanan untuk segerakan transaksi 1MDBGIL – Saksi

    BEKAS pegawai bank Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa kakitangan Bank BSI telah menerima tekanan daripada 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDBGIL) untuk mempercepatkan proses pelaburan US$2.72 bilion ke dalam akaun syarikat yang disasarkan.

    Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI Kevin Michael Swampillai, 59, berkata wang dalam 1MDBGIL dan akaun pelanggan berkaitan 1MDB tidak berada dalam akaun syarikat terlalu lama kerana sentiasa ada gesaan yang ditunjukkan oleh syarikat untuk melabur wang itu dalam dana fidusiari secepat mungkin.

    Kevin berkata disebabkan itu, kakitangan Bank BSI yang terlibat dalam dana itu seringkali diingatkan mereka mengendalikan urus niaga sensitif dan terikat masa yang melibatkan dana kekayaan negara milik Kerajaan Malaysia dan sikap berpuas hati tidak akan diterima oleh 1MDBGIL.

    Katanya beliau tidak terkejut apabila mengetahui sejumlah besar urus niaga dana fidusiari berlaku dalam masa sehari 1MDBGIL menerima US$2.721 bilion dalam akaunnya di Bank BSI.

    “Ketidakselesaan saya dengan urus niaga ini adalah dari hari pertama. Ia tidak khusus kepada 1MDBGIL tetapi lebih kepada semua transaksi yang melibatkan syarikat berkaitan 1MDB. Transaksi berkenaan sekurang-kurangnya dilihat meragukan,” katanya.

    Kevin berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Najib melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

    Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata beliau memahami tekanan untuk mempercepatkan proses aliran wang datang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kemudiannya menyerahkan kepada seorang lagi Pengurus Perhubungan Bank BSI Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun 1MDBGIL.

    Muhammad Shafee: Apabila tekanan itu dilaksanakan, satu lagi elemen bendera merah telah dinaikkan. Adakah betul pegawai Bank BSI sentiasa diingatkan bahawa mereka berurusan dengan dana Kerajaan Malaysia?

    Kevin: Itu benar.

    Peguam kanan itu kemudian bertanya kepada Kevin sama ada beliau mengetahui penglibatan Jho Low dalam 1MDBGIL, yang saksi itu menjawab secara afirmatif.

    “Beliau diletakkan sebagai pemboleh dan penasihat (bagi 1MDBGIL). Saya tahu ia tidak jelas tetapi itulah yang disampaikan,” katanya.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Mei.

    Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama. – BERNAMA

  • Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    Pelajar tahfiz maut, 11 cedera pulang beli baju raya

    SEORANG pelajar tahfiz maut, manakala 11 lagi cedera apabila van dinaiki mereka terbabas memasuki parit dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu pada 11.32 pagi tadi.

    Dalam kejadian itu, van jenis Ssangyong yang dinaiki pelajar tahfiz tersebut dipercayai dalam perjalanan pulang daripada membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.

    Mangsa, Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

    Ibu mangsa, Wan Noor Azilah Wan Sulaiman, 48, berkata dia yang tinggal di Kampung Tapang, di sini mengetahui berita kemalangan itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.

    “Saya sampai di tempat kejadian 20 minit kemudian, luluh hati apabila melihat tubuh anak telah ditutup. Dalam keadaan masih keliru, saya kuatkan diri untuk melihat juga keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui pemberita di HUSM di sini hari ini.

    Wan Nor Azilah berkata sepatutnya dia akan menjemput anaknya malam ini untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.

    Katanya anak tunggal itu teruja memberitahunya untuk keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan yang lain ketika menelefonnya malam tadi.

    “Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak, saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

    Wan Nor Azilah berkata jenazah Wan Ahmad akan dibawa pulang petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Alam Nasut Ilias berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia, manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.

    Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan, manakala mangsa yang meninggal dihantar ke HUSM untuk bedah siasat. – BERNAMA

  • Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    Dadah RM4.5 juta dirampas dari dalam kereta, kondominium

    POLIS merampas dadah seberat 123.2 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan menahan seorang lelaki disyaki pengedar dalam operasi khas di Cheras dan Selangor pada hari Jumaat dan Sabtu lepas.

    Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata lelaki berumur 29 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Cheras, dan selepas diperiksa polis menemukan 114 kg dadah jenis syabu di dalam kereta jenis Toyota Vellfire milik suspek.

    Beliau berkata susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah kondominium di Ampang yang disewa suspek pada 15 April, dan hasil pemeriksaan pihaknya merampas 1.8 kg ekstasi; 1.3 kg eramin 5; 3 kg ketamin dan 3.1 kg syabu.

    “Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan itu sebagai pendapatan utama.

    “Polis percaya suspek mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

    Yahaya berkata modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah “gated and guarded” dan kereta mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu untuk menampung penggunaan seramai 750,000 orang. Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BERNAMA

  • Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    Polis rampas dadah RM400,000, tahan 3 lelaki

    POLIS menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki Methamphetamine bernilai kira-kira RM400,000 di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Bercham, semalam.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Ipoh dalam operasi khas kira-kira 2.20 petang.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki seorang daripada lelaki itu menemukan satu guni plastik mengandungi 10 bungkusan plastik berisi peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggar seberat 10.4kg.

    “Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan lebih kurang 20,000 penagih. Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah utara negara,” katanya dalam kenyataan.

    Yusri berkata, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

    Beliau berkata, polis akan memohon reman hari ini untuk membolehkan ketiga-tiganya membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek utama dalam kes ini bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan bernilai RM12,000 dan wang tunai sebanyak RM2,200,” katanya. – BERNAMA

  • Polis tahan enam lelaki warga asing dipercayai pecah masuk pejabat

    Polis tahan enam lelaki warga asing dipercayai pecah masuk pejabat

    POLIS menahan enam lelaki warga asing di Metro Prima, Kuala Lumpur Khamis lepas, yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah pejabat dan melarikan sejumlah mata wang asing bernilai RM50,000 di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, awal bulan ini.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata semua suspek yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Metro Prima, dan polis turut merampas 38 keping mata wang asing pelbagai negara yang ditemukan dalam serbuan itu.

    Beliau berkata siasatan mendapati suspek memecah masuk pejabat syarikat peralatan dan perkakasan komputer itu melalui bumbung, dan kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam dua kes lain di ibu negara dan Shah Alam, Selangor.

    “Reman terhadap suspek disambung selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun dan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya siasatan juga diteruskan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

  • Polis tahan lima lelaki pukul,campak wanita bawah jambatan

    Polis tahan lima lelaki pukul,campak wanita bawah jambatan

    POLIS menahan lima lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat memukul dan mencederakan seorang wanita serta mencampakkan mangsa ke bawah Jambatan Kampung Sawah, Banting, kira-kira 30 kilometer dari Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada Khamis lepas, 3.25 pagi, mengatakan telah terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan itu. 

    Katanya wanita tempatan berumur 52 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan itu diselamatkan oleh orang awam yang kemudian menghantar mangsa ke Hospital Banting, selepas sekitar sejam kejadian berkenaan. 

    “Hasil temu bual awal, kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa yang didiami oleh mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata mangsa telah dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian dicampakkan di jambatan tersebut.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat telah berjaya membuat tangkapan terhadap lima orang lelaki warga tempatan pada petang hari yang sama di sekitar Banting dan merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan,” katanya.

    Katanya kesemua suspek berumur antara lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

    “Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya.

  • Bekas Timbalan Pengurus Besar PPK Sepang didakwa lagi minta suapan RM4,800

    Bekas Timbalan Pengurus Besar PPK Sepang didakwa lagi minta suapan RM4,800

    BEKAS Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan meminta suapan RM4,800 berkaitan Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021.

    Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Asyraf Mohd Fauzi, 36, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

    Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Gred E29 di PPK Sepang ketika itu, memperoleh suapan wang tunai RM4,800 daripada seorang lelaki berumur 39 tahun melalui akaun CIMB miliknya sebagai dorongan bagi membantu syarikat Giching Maju Enterprise mendapatkan kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur berhubung Program Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu Telur daripada PPK Sepang.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Sentul Raya di Kuala Lumpur, pada 10 November 2021 hingga 31 Disember 2021, mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Selangor sehingga kes selesai.

    Peguam Saleh Ahmad yang mewakili Mohd Asyraf memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya masih bertugas sebagai Timbalan Pengurus Besar PPK Gombak, perlu menyara isteri dan empat anak.

    “Anak guam saya membayar jaminan RM8,000 bagi dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan beliau tidak mampu membayar wang jaminan RM20,000 yang dicadangkan itu,” katanya dan memaklumkan anak guamnya tidak mempunyai pasport.

    Irna Julieza kemudian memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dua lagi pertuduhan dihadapi tertuduh dan tiada bantahan daripada peguam.

    Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa jika ada, serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor sebulan sekali sehingga kes selesai.

    “Mahkamah juga membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicara bersama dua lagi kes dihadapi tertuduh,” katanya.

    Pada 11 April lalu, Mohd Asyraf mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM6,000 membabitkan program sama.