Author: Bernama

  • No 13 Indeks Pemulihan Nikkei, Malaysia di landasan tepat

    No 13 Indeks Pemulihan Nikkei, Malaysia di landasan tepat

    KEDUDUKAN Malaysia di tangga ke-13 berbanding 115 pada Ogos tahun lepas dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei menunjukkan negara kini berada di landasan yang tepat dalam menangani pandemik itu.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini juga menunjukkan negara menuju situasi lebih baik dan semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik serta langkah penjarakan sosial lebih longgar.

    Beliau berkata, usaha baik ini mesti berterusan dan semua pihak tidak boleh cepat berpuas hati.

    Hishammuddin juga berkata, keutamaan kerajaan ketika ini ialah menurunkan lagi jumlah kes harian, meningkatkan kadar vaksinasi khususnya dos penggalak dan membawa negara ke Fasa Endemik.

    “Ia bukan mudah namun kita berkemampuan untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Menteri-Menteri Kuartet COVID-19 di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, perkara itu boleh dicapai dengan syarat semua pihak kekal berwaspada, terus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), yakin dengan keberkesanan vaksin termasuk dos penggalak serta melakukan ujian pengesanan secara berkala selain mengamalkan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan) sebaik mungkin.

    Hishammuddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak terutama petugas barisan hadapan serta rakyat yang disifatkan sebagai cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam melaksanakan usaha menangani penularan COVID-19 termasuk mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

    Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia di tangga ke-13 dengan 66.5 mata manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan 82 mata diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

    Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat. – BERNAMA

  • RUU Antigangguan Seksual sedia dibentang bacaan kali kedua

    RUU Antigangguan Seksual sedia dibentang bacaan kali kedua

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuat persiapan rapi dan bersedia membentangkan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual pada mesyuarat Parlimen bagi penggal kelima yang dijangka bersidang bermula 28 Feb hingga 24 Mac depan.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, rang undang-undang itu seiring dengan agenda kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan keselamatan dalam menangani ketidaksamaan gender.

    Beliau berkata, bagi tujuan penggubalan rang undang-undang tersebut, KPWKM telah menubuhkan Pasukan Projek Khas (SPT) membabitkan agensi kerajaan antaranya Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ahli akademik dan badan bukan kerajaan yang memiliki kepakaran, pengetahuan serta pengalaman luas berkenaan gangguan seksual.

    “Segala pandangan, maklum balas dan cadangan yang diberikan oleh ahli SPT semasa proses perbincangan dan libat urus amatlah dihargai. Mereka merupakan penggerak utama dalam proses penggubalan rang undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, penggubalan rang undang-undang antigangguan seksual itu telah bermula sejak 2019 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama pada 15 Dis lepas. – BERNAMA

  • Tiada lagi PKP, kawalan lebih ketat di sempadan negara – Hishammuddin

    Tiada lagi PKP, kawalan lebih ketat di sempadan negara – Hishammuddin

    KERAJAAN tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kawalan lebih ketat akan dilaksanakan di pintu masuk dan keluar negara, dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mengambil kira perkembangan jangkitan varian Omicron, langkah kawalan tersebut perlu ditambah baik termasuk menyenaraikan lebih banyak negara berisiko tinggi.

    “Setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia. Sebahagian besar kes jangkitan di negara kita ini masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

    “Kita akan ambil langkah kawalan lebih ketat, tetapi PKP secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kuartet menteri COVID-19 di sini hari ini.

    Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique.

    Hishammuddin berkata, tumpuan kerajaan kini ialah kembali kepada usaha transisi ke arah endemik yang tertangguh akibat beberapa isu sebelum ini.

    Katanya, kerajaan juga memantau rapat status semasa pelaksanaan ‘Vaccinated Travel Line’ (VTL) dengan melihat ruang dan peluang untuk melaksanakannya dengan beberapa negara lagi termasuk Indonesia dan Thailand.

    “Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi COVID-19, bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita,” katanya.

    Sementara itu, berkenaan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, Hishammuddin berkata pihak berkepentingan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat penelitian peringkat akhir SOP dua sambutan itu.

    Katanya, SOP bersesuaian untuk kedua-dua perayaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh kementerian berkaitan. – BERNAMA

  • Setiausaha Akhbar MB Pahang meninggal dunia

    Setiausaha Akhbar MB Pahang meninggal dunia

    SETIAUSAHA Akhbar Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali meninggal dunia pada 5.42 petang tadi di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, dipercayai akibat kanser darah.

    Berita pemergian Abdul Wahab, 61, disahkan oleh wakil Pejabat Menteri Besar Pahang menerusi kenyataan ringkas di aplikasi WhatsApp kepada media hari ini.

    Jenazah akan dimandi serta disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota 5 di sini, dan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, malam ini.

    Allahyarham yang dilahirkan pada 26 Feb 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat iaitu sejak tahun 1995 dan bekerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

    Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 Sept 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Jan 1989.

    Abdul Wahab kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Okt 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.

    Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006.

    Selepas bersara, Abdul Wahab terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.

    Sementara itu, Wan Rosd menyifatkan Allahyarham Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, merupakan seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai setiausaha akhbar.

    Wan Rosdy berkata, Abdul Wahab merupakan figura penting yang membantu beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

    “Jasa dan bakti beliau akan dikenang buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – BERNAMA

  • Kes Adib: Keputusan teruskan prosiding hina mahkamah Tommy Thomas 8 Feb

    Kes Adib: Keputusan teruskan prosiding hina mahkamah Tommy Thomas 8 Feb

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menetapkan 8 Feb untuk memutuskan sama ada Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

    Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Suraya Othman, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah dalam prosiding yang dikendalikan melalui aplikasi Zoom.

    “Kami memerlukan masa kerana terpaksa membuat lebih banyak penyelidikan mengenai perkara ini. Oleh itu, kami menetapkan 8 Feb untuk keputusan,” kata Suraya.

    Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, berkata Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948 menyatakan bahawa koroner atau mana-mana mahkamah rendah mempunyai kuasa dan bidang kuasa lanjut untuk mengeluarkan perintah berkaitan kesalahan menghina mahkamah tanpa mengurangkan kuasa asal yang diperuntuk kepada mereka.

    “Kami dengan rendah hati berhujah bahawa Mahkamah Rendah memiliki bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berkaitan kesalahan menghina mahkamah kerana kuasa dan bidang kuasa lanjut tidak hanya terhad kepada perbuatan itu yang dilakukan di hadapan mahkamah tetapi juga yang dilakukan bukan di hadapan mahkamah.

    “Malah Mahkamah Agung pada 1985 telahpun mengakui bahawa prosiding inkues mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah berkaitan apa-apa kesalahan atau perbuatan menghina mahkamah… Perkara itu tidak pernah ditolak oleh mana-mana mahkamah atasan yang lebih tinggi setakat ini. Ia masih menjadi undang-undang dan oleh itu, merupakan bidang kuasa,” katanya.

    Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili Thomas, pula berkata Mahkamah Koroner telah terkhilaf apabila membenarkan permohonan bagi prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara itu.

    “Kes kita hari ini bukan perbuatan menghina yang dilakukan di hadapan mahkamah. Koroner terbabit telah membuat keputusan sendiri untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah. Tindakan sedemikian iaitu memulakan prosiding komital hanya boleh dilakukan oleh mahkamah lebih tinggi,” katanya.

    Sebelum ini, beliau berkata Koroner tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Thomas memandangkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntuk kuasa itu kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

    Pada prosiding hari ini, mahkamah mendengar rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu sama Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan prosiding komital.

    Dua lagi rayuan yang dikemukakan Mohd Kassim termasuk terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah Mahkamah Koroner yang memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas.

    Dalam permohonannya, Mohd Kassim, 68, mendakwa Thomas telah menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

    Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 Nov 2018.

    Beliau meninggal dunia pada 17 Dis 2018 selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

    Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perbuatan jenayah oleh lebih dua individu. – BERNAMA

  • SPRM Sabah tahan lelaki dipercayai terlibat sindiket Sijil Digital Vaksinasi COVID-19

    SPRM Sabah tahan lelaki dipercayai terlibat sindiket Sijil Digital Vaksinasi COVID-19

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki dipercayai meminta rasuah lebih RM2,000 daripada orang awam bagi tujuan pendaftaran Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 di dalam aplikasi MySejahtera pada Oktober tahun lepas.

    Menurut sumber, lelaki berumur 31 tahun itu juga dipercayai memberi rasuah kepada sukarelawan di satu pusat pemberian vaksin sebagai balasan mendaftarkan nama individu yang tidak menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mendapatkan sijil digital berkenaan.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi di pejabat SPRM di sini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

    — BERNAMA

  • 15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    15 anggota Perhilitan, NWRC jejak harimau di Pos Bihai

    ANGGOTA Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Ibu Pejabat dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak tampil membantu Perhilitan Kelantan bagi menjejaki harimau di Pos Bihai, Gua Musang.

    Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, hampir 15 anggota daripada jabatan berkenaan turun ke penempatan yang diduduki oleh hampir 100 penduduk Orang Asli itu bagi melakukan operasi menjejaki dan memantau harimau sejak Ahad lepas.

    Beliau berkata, tindakan dilakukan susulan kejadian seorang masyarakat Orang Asli suku Temiar yang maut dibaham harimau pada Jumaat lepas di Kampung Sau, Pos Bihai.

    “Kita dapatkan tambahan anggota daripada Perhilitan Ibu Pejabat dan NWRC Sungkai untuk membantu dalam operasi menjejaki harimau di Pos Bihai selain tiga perangkap harimau dan tiga perangkap kamera telah dipasang.

    “Bagaimanapun, setakat ini kita tidak dapat memastikan berapa ekor harimau yang masih ada mahupun sebaliknya memandangkan tiada imej harimau yang ditangkap menerusi kamera yang telah dipasang” katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Hafid berkata, usaha menangkap harimau agak sukar selain kebiasaannya akan mengambil tempoh yang agak lama berbanding hidupan liar lain terutama membabitkan harimau yang agresif.

    “Tangkapan hidupan liar tidaklah semudah seperti yang disangkakan memandangkan hidupan liar ini bergerak dalam skala yang luas terutama harimau dan gajah.

    “Selain itu, pihak kami juga dalam pertimbangan untuk memohon bantuan perangkap harimau daripada negeri lain untuk ditambah di lokasi-lokasi sekitar bagi mempercepat operasi ini,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan supaya tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

    “Dari segi keperluan makanan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim telah tampil menghulurkan bantuan bakul makanan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau.

    Dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi, mangsa, Anek Along, 40-an, dikatakan sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya namun hilang sebelum mayatnya dijumpai penduduk dalam hutan. – BERNAMA

  • Op Akaun Palsu: 7 anggota sindiket keldai akaun dicekup

    Op Akaun Palsu: 7 anggota sindiket keldai akaun dicekup

    TUJUH ahli sindiket keldai akaun yang menjalankan aktiviti penipuan tawaran kerja dan pelaburan tidak wujud, melibatkan kerugian RM466,380.25, ditahan menerusi Op Akaun Palsu dalam empat serbuan berasingan di dalam dan luar Melaka, baru-baru ini.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 40 tahun termasuk pasangan kekasih tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, ditahan di Alor Gajah, Seri Kembangan dan Kajang di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jan lepas.

    Beliau berkata, seorang tukang kebun berusia 30 tahun telah ditawarkan pekerjaan oleh pasangan kekasih berusia 30 dan 21 tahun itu, sebelum dia diminta menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad berkenaan yang akan digunakan sebagai akaun tumpang bagi kegiatan penipuan dan pembelian dalam talian.

    Katanya, mangsa diberi komisen sebanyak RM300 hingga RM400 sekali bayar untuk satu akaun bank dan mangsa telah menyerahkan dua kad ATM miliknya dan nombor pin kad tersebut kepada suspek.

    “Mangsa juga diminta mencari rakan lain yang boleh memberikan kad ATM serta nombor pin akaun bank mereka dan mangsa berjaya mendapatkan lima rakannya yang berminat dengan tawaran daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

    Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Supt E Sundra Rajan.

    Abdul Majid berkata, tukang kebun itu juga telah dibawa ke sebuah rumah di Seri Kembangan oleh dua ahli sindiket tersebut yang dikenali sebagai Yusri dan Naufal.

    Mangsa kemudiannya berasa curiga lalu membuat laporan polis pada 3 Jan lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Beliau berkata, polis telah merampas 58 keping kad ATM pelbagai bank selain beberapa mata wang asing dalam Op Akaun Palsu tersebut.

    “Kami percaya sindiket penipuan ini melibatkan penipuan rentas negara yang telah aktif sejak Oktober tahun lepas dan sindiket dipercayai didalangi suspek warganegara China yang masih diburu.

    “Dengan tertangkapnya ahli sindiket berkenaan, kami percaya sebanyak 36 kes penipuan dalam talian di seluruh negara yang melibatkan kerugian RM466,380.25 berjaya diselesaikan dan tiga kes daripadanya melibatkan kerugian berjumlah RM26,069.22 dilaporkan di Melaka,” katanya.

    Menurut Abdul Majid, siasatan awal juga mendapati kesemua suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes penipuan dan dadah.

    Sementara itu, katanya, penipuan tawaran kerja tidak wujud di Melaka meningkat kepada 76 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM1.23 juta tahun lepas, berbanding empat kes melibatkan kerugian RM79,700 pada 2020.

    Beliau berkata, kes penipuan pelaburan tidak wujud pula menurun pada tahun lepas iaitu sebanyak 126 kes, namun nilai kerugiannya meningkat kepada RM6.49 juta, berbanding 259 kes pada 2020 dengan nilai kerugian RM2.87 juta.

    “Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan wang dan buat semakan dahulu dengan pihak Bank Negara atau polis, sekiranya berasa curiga terhadap transaksi yang hendak dilakukan,” katanya. – BERNAMA

  • Rasuah: Guru besar dipenjara 3 bulan, denda RM20,000

    Rasuah: Guru besar dipenjara 3 bulan, denda RM20,000

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang guru besar selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lepas.

    Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, 55, dihukum penjara tambahan selama 12 bulan, jika tertuduh yang beralamat di Pulau Tioman, Rompin gagal menjelaskan denda tersebut.

    Khairul Azizi didakwa melakukan kesalahan itu semasa berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Cherating di Kuantan, dengan mencadangkan syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise kepada guru besar sekolah tersebut bagi urusan bayaran pesanan sekolah.

    Ia melibatkan bayaran berkaitan peruntukan perahu layar bagi latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) bernilai RM1,200 pada 19 Mac 2014 dan bayaran RM700 bagi program perahu layar anjuran Kementerian Pendidikan pada 15 Dis 2014.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dirinya telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun dan dilantik sebagai guru besar pada tahun 2016.

    “Kesalahan dilakukan semasa saya guru penolong kanan dan semasa itu, tidak pernah mengikuti apa-apa kursus formal berkaitan pengurusan kewangan kerajaan. Sebagai jurulatih MSSP, saya cuba memaksimumkan nilai ringgit yang diperuntukkan bagi memastikan sukan perahu layar berada di landasan yang betul.

    “Murid yang terlibat datang dari pelbagai daerah seperti Rompin, Jerantut, Bentong dan Kuantan. Saya mengorbankan masa dan wang ringgit membantu mereka kerana ada yang datang daripada keluarga susah sedangkan sukan perahu layar agak mahal.

    “Sepanjang saya menguruskan sukan ini sejak tahun 2010 hingga sekarang, sukan pelayaran telah melahirkan ramai atlet termasuk ke peringkat Olimpik di Jepun tahun lepas,” katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

    Khairul Azizi juga memaklumkan tidak pernah mengulangi kesilapan itu dan mengikuti setiap tatacara pengurusan kewangan kerajaan setelah dia mengikuti kursus berkaitan hal tersebut selepas bergelar guru besar.

    Selain itu, dia juga memohon ihsan mahkamah menjatuhkan hukuman rendah kerana dirinya menanggung beban hutang dalam menyara isteri yang kini tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin. – BERNAMA

  • Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    Pemandu lori seludup rokok bernilai RM8.69 juta

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 362,600 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai dekat Tawau malam tadi.

    Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Supt Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutup kanvas.

    “Pemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.

    “Rokok yang ditemukan adalah jenama a-satu (161,600 bungkus), Tex Hijau (108,500), Tex Merah (68,000) dan Tex Biru (24,500) yang semuanya dianggarkan bernilai RM8,690,888,” katanya dalam kenyataan.

    Mohd Yacob berkata, pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.

    Katanya, lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.