Author: Bernama

  • Pembantu penguatkuasa MPS didakwa 6 pertuduhan rasuah

    Pembantu penguatkuasa MPS didakwa 6 pertuduhan rasuah

    SEORANG pembantu penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,500 daripada sebuah syarikat tiga tahun lalu. 

    Firdaus Azad Ab Hamid, 37, didakwa atas tiga pertuduhan memperoleh rasuah berjumlah RM5,500 daripada Pengarah Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd iaitu Yip Kok Kuin sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara. 

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

    Dia juga menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM5,500 daripada individu yang sama sebagai dorongan membantu syarikat itu mendapatkan permit tahunan sementara di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama. 

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

    Firdaus Azad juga menghadapi tiga pertuduhan pilihan iaitu menerima suatu barang berharga iaitu wang berjumlah RM5,500 tanpa balasan daripada individu yang sama yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai pembantu penguatkuasa dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574).

    Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.  

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Feb 2019 hingga 12 Nov 2019 di sebuah bank di Shah Alam. 

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

    Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Feb bagi membolehkan tertuduh melantik peguam. 

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    — BERNAMA

  • Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah

    OPERASI Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata segala pelaksanaan dan perancangan baharu berhubung operasi berkenaan akan kembali diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan seterusnya. 

    “Inilah sebabnya saya perlu maklumkan kepada semua supaya kami akan lebih bersedia kerana buat masa ini pelbagai kementerian telah terlibat bersama KDN dalam NTF. 

    “Setelah Op Benteng diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini berakhir, ia akan kembali semula kepada kami (KDN) dan usaha memastikan Op Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat,” katanya dalam sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022 di Kompleks KDN, di sini.

    Hamzah berkata bukan sesuatu yang baharu untuk KDN kembali mengambil alih hal berkaitan pengoperasian Op Benteng berkenaan.

    Menurutnya, walaupun NTF bakal berakhir pada Jun ini, operasi Gasak Laut dan Darat akan diaktifkan semula bertujuan mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

    “Selain itu, bagi memperkasakan kawasan perairan Sabah inisiatif pelantikan polis bantuan oleh pengusaha resort akan dilaksanakan. Usaha ini dilihat dapat membantu penguatkuasaan di lokaliti dan meningkatkan rasa selamat penduduk setempat.

    “Bagi tujuan ini, sesi libat urus akan dilaksanakan bersama pengusaha resort bagi memastikan inisiatif ini dijalankan dengan sebaiknya,” katanya.

    Pada Disember lepas, Bernama melaporkan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa keputusan mengekalkan NTF yang diterajui pasukan keselamatannya itu akan diketahui pada pertengahan tahun ini.

    Menurut Affendi NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menerusi Op Benteng sejak negara dilanda pandemik COVID-19. 

    Sementara itu, mengulas desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Hamzah berkata hanya pihak bertanggungjawab sahaja yang akan membuat ketetapan berhubung bila ia akan diadakan. 

    “Desas-desus ini bukan membabitkan Johor sahaja malah ada juga desas-desus mengenai Pilihan Raya Umum (PRU). 

    “Saya selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu, sentiasa mengadakan mesyuarat dan memastikan supaya rakyat dalam negara tahu siapa untuk mereka pilih serta memilih kepimpinan yang lebih baik bagi kepentingan negara,” katanya. 

    Sebelum ini, desas-desus PRN Johor diadakan dalam masa terdekat bertiup kencang, berikutan kerajaan negeri itu kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang yang memiliki 27 kerusi. 

    — BERNAMA

  • Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di ibu negara

    SEORANG lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi individu selamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Dato Haji Yusof Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, petang tadi.

    Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan lebih 40 anggota dari tujuh balai bomba.

    Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai empat tingkat berkenaan.

    Jurucakap itu memaklumkan sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan jentera EMRS manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital.

    “Api dapat dikawal pada kira-kira 6 petang dan padam sepenuhnya 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

    — BERNAMA

  • Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    Polis Sabah rampas dadah RM1.99 juta diisytihar peralatan akuarium

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merampas dadah dipercayai jenis Methamphetamine bernilai RM1.99 juta berat 55.4 kilogram (kg) dalam dua serbuan di sini pada 4 dan 9 Jan lepas, dan menahan seorang penggangur lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.

    Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket yang menghantar dadah tersebut dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu di sini menggunakan perkhidmatan kurier yang diisytihar sebagai peralatan akuarium.

    Beliau berkata hasil perkongsian maklumat dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, serbuan dilakukan pada 4.15 petang 4 Jan lepas di tempat letak kereta sebuah syarikat penghantaran barangan di Inanam dan menahan suspek kes tersebut bersama sebuah kereta.

    “Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya merampas tiga kotak dadah dipercayai jenis  Methamphetamine dengan berat 33.62kg bernilai RM1.21 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

    Jauteh berkata hasil siasatan lanjut rampasan pertama, PDRM merampas dua kotak berisi dadah dipercayai jenis Methamphetamine berat 21.78kg bernilai RM784,000 dalam serbuan kedua di sebuah kawasan komersil di Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada pukul 9.50 pagi, 9 Jan lepas.

    Beliau berkata PDRM juga menyita wang tunai berjumlah RM102,097.87 berkaitan kes itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Suspek yang ditahan mempunyai 17 kes lampau dalam pelbagai kesalahan antaranya dadah dan curi, suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran (dadah)…siasatan masih dilakukan tentang kawasan pengedaran dadah tersebut, serta tempoh sindiket beroperasi,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan PDRM pada pagi tadi menerima maklumat tentang sebuah bot yang meletup di Semporna dan PDRM bersama agensi terlibat masih dalam operasi mencari bot serta mangsa terlibat.

    “Kejadian dipercayai terjadi petang semalam tetapi pihak polis menerima maklumat 11.30 pagi ini…punca kejadian ini masih dalam siasatan dan pasukan mencari menyelamat masih tidak menemui apa-apa setakat ini,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah memberitahu pihaknya menerima maklumat kejadian bot meletup itu yang berlaku di Pulau Tatagan, Semporna, melibatkan dua orang mangsa menggunakan bot jenis ‘pump boat’.

    — BERNAMA

  • Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    Pembalakan bukan punca harimau berkeliaran – Timbalan MB Kelantan

    KERAJAAN negeri Kelantan menafikan harimau berkeliaran di penempatan Orang Asli di Gua Musang sejak beberapa hari lepas berpunca daripada aktiviti pembalakan.

    Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkaitan untuk mengkaji dan melakukan penyiasatan tentang punca sebenar mamalia itu keluar daripada habitat asal.

    Beliau berkata, kejadian harimau memasuki kampung di negeri itu bukan pertama kali berlaku sebaliknya sebelum ini sudah ada kes direkodkan seperti berlaku di daerah Jeli namun kejadian itu tidak ‘dilabelkan’ berpunca daripada pembalakan.

    “Kejadian ini membabitkan satu kes, kalau banyak mungkin betul (disebabkan pembalakan) dan ia kes terpencil. Jangan sebab seorang mati diterkam harimau, kita letak semua kesalahan disebabkan penebangan hutan, kecuali ada tiga empat ekor harimau yang keluar masuk kampung dan makan orang, itu adalah serius.

    “Mahu siasat dan mencari sebab berlaku itu bagus, tetapi jangan cepat buat kesimpulan seolahnya sebab pembalakan menyebabkan harimau itu keluar, bagi saya itu tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas hadir mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

    Terdahulu, Mohd Amar diminta mengulas mengenai dakwaan Wakil Orang Asli Temiar, Nasir Dollah, 32, mengenai tiga ekor harimau yang berkeliaran di kampung-kampung di kawasan pentadbiran Pos Bihai berlaku disebabkan tindakan Kerajaan Kelantan yang telah meluluskan ribuan kawasan hutan untuk tujuan pembalakan dan sebagainya.

    Media semalam melaporkan Nasir turut menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri yang menggesa kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian untuk menghentikan segera kegiatan pembalakan yang didakwa menjadi punca ekosistem haiwan liar itu terganggu.

    Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, harimau keluar dari kawasan habitat berkemungkinan disebabkan beberapa faktor lain termasuk usia mamalia itu sendiri yang sudah tua.

    “Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada memberitahu kadang-kadang apabila harimau sudah tua ia tidak mampu nak mengejar haiwan sebagai mangsa, jadi yang paling mudah adalah manusia sebab manusia lari pun tidak laju bukan seperti haiwan.

    “Setakat ini Perhilitan sedang bergerak menjalankan tugas mereka dan mengesan hidupan liar itu. Mengikut maklumat diperolehi ada tiga ekor harimau telah masuk ke kampung, tetapi yang makan orang (kejadian di Pos Bihai) itu bukan daripada ketiga-tiga itu,” katanya.

    Katanya, setakat ini juga tiada aktiviti pemburuan haram terhadap Harimau Malaya di negeri ini memandangkan keselamatan hidupan liar itu khususnya di Kelantan masih terjaga selain undang-undang mengenai aktiviti juga sudah ada sebelum ini. — BERNAMA

  • Kes bunuh Imam Fadi: PDRM tunggu maklumat Interpol, Kedutaan Palestin

    Kes bunuh Imam Fadi: PDRM tunggu maklumat Interpol, Kedutaan Palestin

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu perincian maklumat melibatkan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa Palestin berhubung kes pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Malaysia pada 2018.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak berkenaan melibatkan Kedutaan Besar Palestin di Malaysia, Polis Antarabangsa (Interpol) dan lain-lain agensi di dalam dan luar negara.

    “Kami masih menunggu maklumat daripada beberapa pihak yang kami percaya dapat beri pencerahan kepada isu berkenaan dalam melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes itu selepas menghadiri Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.

    Pada Isnin lepas, PDRM memaklumkan akan memohon agar suspek kes pembunuhan pada 2018 yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin pada Ahad lepas, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Interpol.

    Pada 21 April 2018, Dr Mohamed Fadi Al Batsh, seorang pensyarah dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak, di sini, menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

    Terdahulu, Acryl Sani bagi pihak PDRM menerima cek bernilai RM100,000 daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Megat Zulkarnain Omardin sempena Program Pendidikan dan Kemahiran Awal Murid Autisme di Pusat Autisme PDRM.

    Acryl Sani turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif pihak Yayasan Bank Rakyat untuk menjadikan Pusat Autisme PDRM di Pulapol di sini, sebagai anak angkat bagi memperkasakan lagi kualiti pendidikan mereka.

    “Sumbangan seperti ini amat besar ertinya dan bantuan tersebut akan memberi manfaat serta harapan kepada 23 orang anak istimewa yang berdaftar di Pusat Autisme PDRM ini,” katanya. – BERNAMA

  • Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa bahawa vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini untuk perlindungan berterusan terhadap varian baharu, termasuk Omicron.

    Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin COVID-19 (TAG-CO-VAC), melibatkan 18 pakar berkata, walaupun vaksin terkini memberikan perlindungan tinggi daripada terkena jangkitan teruk dan kematian disebabkan varian yang dibimbangi (VOC), vaksin baharu bagi mencegah jangkitan dan penularan perlu dibangunkan, kata Xinhua.

    Sementara itu, komposisi vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini bagi menghalang virus daripada terus berubah.

    Pakar telah menggalakkan pengeluar vaksin COVID-19 menyediakan data berhubung prestasi terkini vaksin khususnya terhadap Omicron, sebelum memutuskan perubahan terhadap komposisi vaksin yang mungkin diperlukan.

    Pakar turut menekankan kepentingan akses global terhadap vaksin COVID-19 bagi membendung varian Omicron. – BERNAMA

  • Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    Azizulhasni, Zii Jia antara calon terima biasiswa Olimpik

    JAGUH berbasikal trek kebangsaan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan juara All England 2021, Lee Zii Jia merupakan antara 15 calon atlet dikemukakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menerima Biasiswa Olimpik daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

    Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua 15 atlet itu dipilih daripada keseluruhan 40 pencalonan diterima pihaknya menerusi 11 jenis sukan bagi menikmati biasiswa sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris.

    “Antara kriteria ditetapkan oleh IOC adalah penerima perlu dalam kalangan atlet yang berpotensi untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

    Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif MOM kali ketiga sesi 2021/2025 di Wisma MOM.

    Lee Zii Jia
    Lee Zii Jia merupakan salah seorang daripada 15 atlet kebangsaan yang dicalonkan oleh MOM untuk menerima Biasiswa Olimpik. (Gambar: Facebook Lee Zii Jia)

    Selain Azizulhasni dan Zii Jia, Mohamad Norza mengumumkan atlet lain yang tersenarai adalah lima lagi pemain badminton negara iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah dan S. Kisona serta dua lagi atlet berbasikal trek iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhd Fadhil Zonis.

    Beliau berkata, ratu terjun, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, Khairul Anuar Mohamad yang mewakili memanah serta tiga pelayar kebangsaan, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali dan Nur Shazrin Mohd Latif juga berpeluang menerima biasiswa itu.

    Antara bekas atlet kebangsaan yang pernah menerima biasiswa itu adalah dua atlet olahraga iaitu Watson Nyambek dan Yuan Yufang selain Ong Ewe Hock, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook dari badminton serta atlet pelayaran Kelvin Lim. – BERNAMA

  • COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    COVID: 219 positif, 16 kluster libatkan jemaah umrah

    SEBANYAK 16 kluster COVID-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi telah dikesan bagi tempoh 25 Nov lepas hingga hari ini dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif COVID-19 bukan varian Omicron. 

    Beliau berkata punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

    “Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi. 

    “Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring  dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.

    Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

    Sementara itu, beliau berkata kumulatif kes sembuh COVID-19 di negara ini kini berjumlah 2,720,399 kes selepas 2,977 lagi kes sembuh direkodkan sehingga 12 tengah hari ini, manakala kes baharu pula sebanyak 3,175, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 kini 2,792,035.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 99 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Jan lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

    — BERNAMA

  • ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    ”Ini susah saya terima…mereka perlu dikenakan hukuman maksimum” – Hishammuddin

    INDIVIDU yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksinasi COVID-19 perlu dikenakan hukuman maksimum kerana tindakan itu bukan hanya mendatangkan bahaya kepada diri sendiri malah terhadap individu lain yang tidak berdosa, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Justeru, beliau meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dalam kes berkenaan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

    “Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

    I want the full force of the law on them and I want to make sure they realise that there a limit when it comes to profit which affects people lives’ (Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

    Hishammuddin berkata hukuman yang berat perlu dikenakan terhadap individu yang menjual dan membeli sijil vaksinasi palsu bagi mencegah kegiatan sedemikian daripada merebak.

    Pihak berkuasa juga perlu berada satu langkah di hadapan dalam membanteras kegiatan ini kerana bagi mereka yang inginkan keuntungan mereka akan cuba mencari jalan lain.

    Setakat ini, polis hanya mengesan satu kes aktiviti penawaran sijil vaksinasi COVID-19 palsu setakat ini yang melibatkan seorang pengamal perubatan di Marang, Terengganu.  

    Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin COVID-19 palsu di Marang, Terengganu.

    Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan perintah reman suspek berkenaan disambung selama dua hari lagi sehingga esok. 

    — BERNAMA