Author: Bernama

  • Pergolakan di Sudan: RSF umum genjatan senjata 72 jam sempena Aidilfitri

    Pergolakan di Sudan: RSF umum genjatan senjata 72 jam sempena Aidilfitri

    PASUKAN separa tentera Rapid Support Forces (RSF) Sudan mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam bermula 6 pagi (waktu tempatan) Jumaat sempena Aidilfitri.

    “Gencatan senjata itu bertepatan dengan Aidilfitri yang penuh barakah…dan membuka koridor kemanusiaan untuk memindahkan penduduk serta memberi peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan RSF di Twitter.

    Dalam kenyataan itu, RSF turut mengesahkan komitmen mereka terhadap gencatan senjata itu.

    Pertempuran meletus pada Sabtu lalu antara Tentera Sudan (SAF) dan RSF di Khartoum dan kawasan sekitar.

    RSF menuduh SAF menyerang tenteranya di selatan Khartoum. Pihak SAF pula mendakwa RSF menyebarkan pembohongan dan melabelkan pasukan separa tentera itu sebagai ‘pemberontak’.

    Sudan tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi sejak Oktober 2021, selepas tentera memecat kerajaan peralihan pimpinan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan mengisytiharkan darurat.

  • Kadar khas bayaran saman RM50 setiap satu mulai hari ini – Polis

    Kadar khas bayaran saman RM50 setiap satu mulai hari ini – Polis

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kadar khas bayaran saman berjumlah RM50 setiap satu bagi semua saman trafik termasuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya bermula hari ini hingga 21 Mei depan.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata kadar khas itu julung kali dilaksanakan oleh pihak PDRM bagi memberi peluang ke atas saman yang tidak boleh dikompaun untuk diselesaikan.

    Beliau berkata potongan hampir 85 hingga 86 peratus tersebut untuk menzahirkan hasrat kerajaan menyumbang dari segi memberi kemudahan kepada rakyat dengan mengurangkan bebanan dihadapi masyarakat.

    “Kita buka semua saman yang sebelum ini kita sekat contoh saman-saman yang tidak boleh dikompaun dan perlu ke mahkamah.

    “Kita buka kerana keluhan masyarakat yang jika (saman) disekat tidak boleh dibuat pembaharuan lesen, pembaharuan cukai jalan jadi kita buka supaya masyarakat semua boleh merasai dan dapat kemudahannya,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di laluan alternatif Gua Musang di Gua Musang semalam.

    Mat Kasim berkata walau bagaimanapun tawaran terbabit tidak sah untuk kes saman yang masih melalui proses perbicaraan di mahkamah.

    “Cuma kita sekat hanya kes-kes melibatkan pihak ketiga, contohnya kes dalam perbicaraan yang itu kami tak boleh kerana masih tergantung dengan perbicaraan dan sebagainya,” katanya.

    Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan malah tempoh pembayaran juga diberi sehingga selepas perayaan Aidilfitri.

    “Saya mahu tekankan saman yang tidak boleh dikompaun itu perlu diambil kesempatan ini (kerana) sebelum ini tidak pernah (dilaksanakan) dalam sejarah PDRM kerana kami terikat pada peraturan tetapi kerajaan tengok apa yang boleh dibantu, maka kita bantulah sebaik mungkin.

    “Janganlah tergesa-gesa untuk membuat pembayaran, sambutlah Aidilfitri dahulu kita bagi sebulan ada masa lagi,” katanya.

  • Kerajaan tidak bercadang tetapkan SOP khas Aidilfitri

    Kerajaan tidak bercadang tetapkan SOP khas Aidilfitri

    KERAJAAN tidak bercadang untuk menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas kepada orang ramai bagi mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19 sempena perayaan Aidilfitri.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana kes jangkitan virus itu di negara ini dilihat masih dalam keadaan terkawal.

    “Memang betul kes COVID-19 meningkat, tetapi ia masih dalam keadaan terkawal.

    “Kita tidak perlu panik, walaupun ada peningkatan, kita lihat seperti subvarian Omicron, mungkin ia mudah berjangkit tetapi kes itu (tahap) keterukan adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di Kulai malam ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

    Dr Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya kerajaan bercadang untuk membuat sebarang SOP khas sempena sambutan perayaan Aidilfitri.

    Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai terutama yang mempunyai gejala adalah digalakkan untuk memakai pelitup muka.

    Sementara itu, mengenai pelantikan Ketua Pengarah baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib esok, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

    “Bagi menjawab siapa pengganti Tan Sri Dr Noor Hisham saya minta bersabar. Sudah ada nama-nama yang berpotensi untuk menggantikan beliau, dalam masa terdekat saya akan umumkan,” katanya.

  • Umat Islam di Singapura, Indonesia, Thailand sambut raya Sabtu

    Umat Islam di Singapura, Indonesia, Thailand sambut raya Sabtu

    UMAT Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu.

    Di SINGAPURA, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam pengumuman di laman sesawang Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini, berkata: “Mengikut pengiraan astronomi, hilal bagi bulan Syawal tidak muncul pada petang ini selepas matahari terbenam. Ini menandakan esok akan berakhir 30 hari Ramadan.

    “Oleh itu, sukacita dimaklumkan bahawa hari pertama Syawal atau Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444H jatuh pada Sabtu, 22 April 2023”.

    Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua umat Islam di Singapura.

    “Saya mohon ampun atas segala kekurangan. Semoga masyarakat Islam kita terus bersatu dalam mengharungi segala cabaran dengan penuh belas kasihan dan empati,” katanya.

    Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas berkata, Aidilfitri akan disambut pada Sabtu kerana “anak bulan Syawal pada Maghrib di Indonesia tidak memenuhi kriteria”.

    Menteri itu merujuk kepada kriteria yang ditetapkan oleh Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) berdasarkan perjanjian pada 2021.

    Susulan pengumuman itu, Ramadan akan berlangsung sehari lagi di negara majoriti penduduk Islam paling ramai penduduk dan Syawal disambut sehari selepas itu.

    Di THAILAND, Syeikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon turut mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri di negara itu, selepas disahkan bahawa anak bulan tidak kelihatan.

    “Oleh itu, saya mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

  • Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    Lapan lelaki ditahan terlibat kes bunuh warga India -Polis  

    SEORANG suspek utama kes bunuh antara lapan lelaki warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang lelaki warga India di sebuah asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi, Cheras, Kuala Lumpur, Selasa lepas.

    Kesemua mereka yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan berumur lingkungan 22 hingga 57 tahun merupakan rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di kawasan perindustrian berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata polis menerima maklumat pada 6 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menerima mangsa berusia 43 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan cedera di muka dan kepala.

    Beliau berkata seorang saksi memberitahu bahawa seorang suspek lelaki warga asing berumur 37 tahun yang bekerja di premis sama ditemukan berlumuran darah di depan bilik mangsa.

    “Saksi yang memasuki bilik itu mendapati mangsa yang dibunuh suspek ditemukan terbaring dengan kesan kecederaan di muka dan memaklumkan perkara itu kepada majikannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

    Berikutan itu, majikannya membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan, namun dia disahkan meningga dunia oleh pihak hospital.

    Zam Halim berkata semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan mereka, lelaki berkenaan cuba membunuh diri dengan menoreh lehernya menggunakan pisau.

    Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HCTM untuk menerima rawatan oleh majikannya.

    Susulan itu, polis menahan suspek utama di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM untuk tindakan lanjut dan turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

    Beliau berkata ketika kejadian berkenaan, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

    Zam Halim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    Sederetan rumah kedai lima pintu terbakar

    SEDERET rumah kedai lima pintu separa kekal di Chabang Tiga, Gaal, di Pasir Puteh, terbakar dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Penolong Penguasa Azhar Elmi Mustofar, berkata kejadian itu melibatkan tiga bangunan iaitu satu rumah kedai tiga pintu, kilang roti dan kedai menjual santan kelapa.

    “Kebakaran ini berjaya dikawal pada pukul 12.21 tengah hari dan padam sepenuhnya pukul 2.15 petang.

    “Kedai runcit terbakar 100 peratus di mana 90 peratus daripada struktur kedai diperbuat daripada kayu, manakala kilang roti hangus 30 peratus serta kedai santan pula terbakar 10 peratus, bahagian selebihnya berjaya diselamatkan oleh kami,” katanya ketika dihubungi di Pasir Puteh.

    Menurutnya api cepat merebak berikutan keadaan cuaca panas terik dan punca serta kerugian sebenar kejadian masih dalam siasatan.

    Azhar Elmi berkata operasi tersebut melibatkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu pam water tanker, satu RRV dengan enam pegawai dan 15 anggota.

    Menurutnya sepasukan Bomba dan Penyelamat Jerteh, Terengganu juga turut sama membantu mengawal kebakaran rumah kedai berkenaan daripada merebak.

    Sementara itu, seorang mangsa, Wan Mohd Shahrul Wan Ahmad, 40 iaitu pengusaha kedai runcit berkata dia mengalami kerugian sekelip mata sebanyak RM150,000 dalam kebakaran itu.

    “Kira-kira RM100,000 berupa barangan runcit dan selebihnya wang tunai yang dijadikan sebagai modal pusingan turut terbakar.

    “Barangan runcit ini adalah stok jualan sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau apabila anak lelakinya Wan Rizhan Shah, 5 yang tertidur semasa kejadian turut terselamat.

  • 80 maut, rempuhan di pusat bantuan Yaman

    80 maut, rempuhan di pusat bantuan Yaman

    SEKURANG-KURANGNYA 80 orang terbunuh manakala lebih 220 lagi cedera dalam kejadian rempuhan di sebuah pusat bantuan di Bab Al-Yaman, Sanaa pada Rabu.

    Jurucakap rasmi pihak berkuasa kesihatan Houthi, Anis Al-Subaihi mengesahkan kejadian itu sambil berkata pasukan perubatan bertindak balas dengan segera dan memindahkan mangsa yang cedera ke beberapa hospital di ibu negara untuk menerima rawatan.

    TV al-Masirah milik Houthi melaporkan bahawa kementerian dalam negeri kumpulan itu mendakwa bencana itu berpunca akibat rempuhan semasa pengagihan wang tunai secara rawak oleh peniaga tempatan, tanpa mendapat kerjasama organisasi atau kementerian.

    Jurucakap kementerian itu, Abdul Khaliq Al-Ajri dipetik sebagai berkata bahawa pihak berkuasa telah menahan dua peniaga yang bertanggungjawab terhadap pengagihan wang berkenaan dan sedang menyiasat kejadian itu, lapor Xinhua.

    Ramai rakyat Yaman, hidup dalam kemiskinan akibat konflik yang berlanjutan selama bertahun-tahun, berpusu-pusu ke pusat-pusat kebajikan untuk mendapatkan keperluan asas ketika Aidilfitri.

    Yaman terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014.

    Peperangan itu telah menyaksikan puluhan ribu orang terbunuh, menyebabkan 4 juta orang hilang tempat tinggal dan mendorong Yaman ke ambang kebuluran.

  • Gempa bumi lemah di Beluran, tiada ancaman tsunami-MET Malaysia

    Gempa bumi lemah di Beluran, tiada ancaman tsunami-MET Malaysia

    GEMPA bumi lemah di laut berukuran 3.5 pada skala Richter dikesan berlaku di Beluran, Sabah pada 9.07 pagi ini.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) di koordinat 6.6 darjah utara dan 117.4 darjah timur.

    “Gempa tersebut berjarak 37 km tenggara dari Pitas, Sabah dan 365 km utara dari Tarakan, Indonesia,” menurut kenyataan berkenaan.

    Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

  • Malaysia mohon The Hague tolak tuntutan kumpulan Sulu kuat kuasa award A$14.9 bilion

    Malaysia mohon The Hague tolak tuntutan kumpulan Sulu kuat kuasa award A$14.9 bilion

    MALAYSIA mendakwa tuntutan kumpulan Sulu agar award sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara pada Februari 2022, diiktiraf dan dikuat kuasa adalah terbatal serta tidak sah.

    Sekretariat Khas Sulu dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan justeru, pembelaan yang difailkan oleh pihak Malaysia menegaskan bahawa, tuntutan kumpulan Sulu berhubung perkara itu tidak boleh diterima dan perlu ditolak.

    Katanya Mahkamah Rayuan di The Hague telah mendengar permohonan kumpulan Sulu di Belanda dan hujah kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung pada 17 April lepas.

    “Malaysia kekal dengan pendirian bahawa tiada persetujuan telah dicapai yang boleh menyediakan sebarang asas bagi mana-mana proses timbang tara yang dikatakan itu.

    “… dan langkah memulakan proses timbang tara komersial mengenai perkara yang menyentuh isu kedaulatan adalah sesuatu yang tidak jujur dan adalah penyalahgunaan proses timbang tara komersial yang jelas di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

    Sekretariat itu juga menyebut Malaysia komited dalam melindungi kedaulatannya dan menegakkan proses timbang tara di peringkat antarabangsa serta berhasrat untuk mendedahkan percubaan kotor kumpulan Sulu bagi menguatkuasakan award palsu yang terbatal dan tidak sah itu.

    “Ini adalah satu percubaan untuk memeras ugut sebuah negara berdaulat dan kewujudan berterusan award palsu itu telah mencemar reputasi sistem timbang tara yang dihormati di peringkat global,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk percubaan untuk memutarbelitkan kedaulatan undang-undang, tidak mengiktiraf kesahihan award yang kononnya diperoleh melalui proses timbang tara dan sedang memulakan litigasi di seluruh Eropah bagi memastikan penipuan ini didedahkan serta award berkenaan dibatalkan.

    Pada 28 Feb 2022, Dr Gonzalo Stampa, penimbang tara antarabangsa yang berpusat di Madrid, Sepanyol dikatakan telah memberikan award itu kepada kumpulan Sulu manakala pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan award tersebut yang diperoleh pihak Malaysia di Perancis.

    Oleh itu, perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 berhubung penguatkuasaan award tersebut adalah kekal.

  • Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    Solat Aidilfitri: Pemakaian pelitup muka ikut SOP Fasa Peralihan ke Endemik

    PEMAKAIAN pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

    Beliau dalam kenyataan hari ini berkata negara masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.

    Katanya Jakim atas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengadakan perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah mengenai SOP pemakaian pelitup muka bagi jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau.

    “Memandangkan SOP ini masih berkuat kuasa maka Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam agar mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri sekiranya mereka berada di mana-mana tempat perkumpulan ramai dan sesak termasuk di masjid serta surau,” kata Hakimah.

    Semalam, Mohd Na’im dilaporkan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Hakimah dan Luqman bagi melihat keperluan mewajibkan pemakaian pelitup muka oleh jemaah ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri.

    Mohd Na’im berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan atau menggalakkan pemakaian pelitup muka ketika solat Aidilfitri sebagaimana dilakukan Perlis.

    Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilaporkan bertitah jemaah yang akan menunaikan solat Aidilfitri di seluruh Perlis digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri berikutan terdapat peningkatan penularan kes COVID akhir-akhir ini. – BERNAMA