Author: Bernama

  • Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    Pemerdagangan manusia: Polis selamat enam individu termasuk lima wanita, tahan sembilan suspek

    POLIS berjaya menyelamatkan lima wanita dan seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata dalam serbuan Isnin lepas, sembilan suspek berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu turut ditahan manakala sebuah kenderaan mewah dirampas.

    Beliau berkata serbuan dibuat susulan laporan seorang remaja wanita warga tempatan pada 12.20 tengah hari bahawa pekerja ibunya, iaitu seorang remaja warga asing, telah dilarikan oleh dua suspek lelaki warga tempatan dan seorang suspek wanita warga asing yang menaiki sebuah kereta mewah.

    Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pengadu bersama mangsa yang ketika itu berada di kawasan Damansara Utama turut mendakwa ditarik suspek ke dalam kenderaan berkenaan sambil mulut kedua-duanya ditekup namun beliau kemudian dibebaskan tidak jauh dari lokasi kejadian. 

    Bertindak atas risikan, Mohamad Fakhruddin berkata kedua-dua suspek lelaki berjaya ditahan di sebuah pusat hiburan di ibu kota pada 5.30 petang hari yang sama.

    Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek, mangsa yang dilarikan berjaya ditemukan bersama empat wanita dan seorang lelaki yang juga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah unit di pangsapuri perkhidmatan di  sebuah hotel terkemuka di sini.

    Beliau berkata kesemua mangsa dikawal oleh empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing yang kemudian ditahan di premis itu serta direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. 

    “Siasatan awal ke atas semua mangsa yang diselamatkan mendapati seorang suspek adalah ejen pekerja warga asing yang telah memperdaya mangsa untuk bekerja tanpa bayaran gaji,” katanya. 

    Mohamad Fakhruddin berkata kesemua mangsa dikurung di premis itu selama beberapa hari serta dipukul sehingga cedera dan ada antara mereka yang dikurung kerana cuba melarikan diri daripada majikan. 

    — BERNAMA 

  • PGA rampas pelbagai dadah bernilai RM27.3 juta di Pasir Mas

    PGA rampas pelbagai dadah bernilai RM27.3 juta di Pasir Mas

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas dadah jenis syabu, pil kuda dan ganja mampat bernilai RM27.3 juta di Kampung Padang Embun di sini semalam.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Datuk Hazani Ghazali berkata rampasan pada 11.45 pagi itu adalah terbesar dilakukan polis di negeri ini setakat awal tahun ini.

    Beliau berkata rampasan dilakukan selepas anggota PGA9 telah terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan lampu isyarat Kampung Lati.

    “Kenderaan itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan namun pemandunya memecut laju.

    “Anggota PGA9 kemudian mengejar kenderaan itu sejauh 10 kilometer dan apabila tiba di Jambatan Ibrahim Ali, anggota PGA9 melepaskan tiga das tembakan ke tayar belakang yang menyebabkan kenderaan itu terbabas ke dalam tali air di Kampung Padang Embun,” katanya pada sidang media di Pasir Mas hari ini.

    Turut hadir, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar.

    Hazani berkata pemandu Toyota Hilux itu berjaya keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke arah pekan Pasir Mas dengan menaiki sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI 2.0 berwarna kelabu dipercayai dipandu rakannya.

    “Anggota PGA9 yang membuat pemeriksaan ke atas Toyota Hilux terbabit menjumpai 17 bungkusan plastik berwarna ungu dan merah di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang dan ruangan tempat menyimpan barang bahagian belakang.

    “Pemeriksaan lanjut menemukan 300 kilogram syabu, 1.6 juta biji pil kuda dan 200 kilogram ganja mampat yang kesemuanya dianggar bernilai RM27.3 juta,” katanya.

    Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti pemilik pacuan empat roda dan Volkswagen Golf itu.

    Katanya dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di seluruh Semenanjung dan boleh digunakan oleh kira-kira 1.3 juta penagih.

    — BERNAMA

  • Judi dalam talian antara punca anggota ATM bertindak luar kawalan – Zamrose

    Judi dalam talian antara punca anggota ATM bertindak luar kawalan – Zamrose

    KETAGIHAN berjudi dalam talian antara punca anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak di luar kawalan sehingga ada yang mengorbankan nyawa, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain. 

    Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.

    “Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan,” katanya pada sidang media di Kota Samarahan, hari ini.

    Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet PALAPES Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

    Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.

    “Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat),” katanya.

    Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.

    Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.

    Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).

    — BERNAMA

  • Tiada lagi kuota khas pengambilan pekerja asing – Hamzah

    Tiada lagi kuota khas pengambilan pekerja asing – Hamzah

    TIADA lagi kuota khas dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata setiap permohonan daripada majikan kini perlu melalui penilaian jawatankuasa kementerian dalam meneliti jumlah pekerja asing yang layak diambil bekerja mengikut syarat dan undang-undang yang ditetapkan.

    “Tiada lagi kuota khas. Mesti mendapat kelulusan jawatankuasa. Ada orang tidak sedar dan syok cakap. Umum perlu tahu, seseorang majikan yang memerlukan pekerja asing, perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerana ada akta.

    “Contohnya sektor perladangan. Kena tahu berapa kuota pekerja yang diperlukan dan berapa yang layak dapat. Katalah patut dapat 1,000 pekerja tetapi disebabkan tiada tempat tinggal, jadi mungkin dia hanya dapat 400 sahaja.

    “Untuk tambah baki pekerja yang dipohon, kena mohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) atau merayu kepada kami untuk disemak. Sekarang pengambilan semakin ketat dan tidak mahu lagi kuota bebas seperti legasi sebelum ini,” katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat di Kampung Tapah, Sungai Bayur, dekat Selama hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Per­­­khidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr N. Sukumaran supaya kerajaan menghapuskan ‘kelulusan khas’ peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak-pihak ter­tentu untuk memonopoli kema­sukan pekerja asing ke negara ini bagi mengelak berulangnya sindiket membawa masuk pe­kerja asing berlebihan.

    Hamzah berkata jika sistem kuota tidak diguna pakai dan bersifat pengambilan bebas, pekerja asing akan masuk ke negara ini sewenang-wenangnya sehingga tidak mengikut syarat serta kriteria yang ditetapkan hingga menimbulkan masalah dari segi kebajikan seperti tempat tinggal dan sebagainya.

    Sebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk urusan penggajian pekerja asing, namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing.

    — BERNAMA

  • Jangan jadikan pertubuhan belia pentas politik, kepentingan peribadi – Ismail Sabri

    Jangan jadikan pertubuhan belia pentas politik, kepentingan peribadi – Ismail Sabri

    LEBIH 4 juta pengundi berusia 18 tahun telah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik setakat 16 Jan lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan anak muda, justeru golongan ini boleh mengundi menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun pada 2019. 

    “Saya difahamkan lebih 4 juta anak muda berumur 18 tahun didaftarkan secara automatik setakat 16 Jan.

    “Saya berharap pertubuhan-pertubuhan belia seperti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan akan memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada golongan muda tentang pentingnya proses demokrasi ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Kali ke-60, di sini malam ini.

    Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Presiden MAYC Mohd Syahbuddin Hashim.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata pertubuhan belia perlu terus berperanan sebagai pemangkin bersama-sama pemegang taruh institusi kerajaan untuk membangunkan anak muda negara. 

    “Kerajaan mahu lebih ramai anak muda yang proaktif memberikan pandangan-pandangan yang membina.Jangan jadikan pertubuhan belia sebagai pentas untuk berpolitik atau untuk kepentingan peribadi,” kata Perdana Menteri.

    Beliau berkata platform ini perlu digunakan untuk memberikan input yang bermanfaat kepada kerajaan supaya dapat bersama-sama membangunkan kembali negara.

    — BERNAMA

  • Palsukan penyata bank untuk tender RM3.1 juta, pembantu penguat kuasa direman SPRM

    Palsukan penyata bank untuk tender RM3.1 juta, pembantu penguat kuasa direman SPRM

    SEORANG  bekas pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes memalsukan butiran dalam penyata akaun bank syarikat sejak 2019.

    Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), permohonan reman terhadap suspek lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Mohamad Farid Lateef bermula hari ini sehingga 27 Jan depan.

    “Suspek ditahan semalam pada 10.30 pagi di Pejabat SPRM Kuala Lumpur semasa hadir memberi keterangan siasatan ke atasnya dipercayai menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh 20 bulan sejak Julai 2019.

    “Ia sebagai dorongan bagi meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta,” menurut sumber itu.

    SPRM kini sedang memperoleh penyata akaun bank terbabit, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.

    Pada 11 Jan lalu, SPRM telah menahan 21 individu manakala seorang lagi ditahan reman pada 16 Jan lalu bagi membantu siasatan kes sama.

  • SMK Bandar Saujana Putra beroperasi Mac ini – Radzi Jidin

    SMK Bandar Saujana Putra beroperasi Mac ini – Radzi Jidin

    SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra di Selangor yang pembinaannya diteruskan pada 2020 selepas terbengkalai sejak 2019 telah siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pemakluman berkaitan pendaftaran murid ke sekolah tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Projek pembinaan SMK Bandar Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019, mula dibina semula pada November 2020. 

    “Mengetahui kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah, kami dapat merasakan betapa mereka tertunggu-tunggu bilakah SMK Bandar Saujana Putra ini boleh mula beroperasi. 

    “Alhamdulillah, awal minggu ini saya dimaklumkan pembinaan sekolah telah siap sepenuhnya. Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka pada bulan Mac nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya. 

    — BERNAMA

  • Kedah alami cuaca panas hingga 35 darjah Celsius

    Kedah alami cuaca panas hingga 35 darjah Celsius

    PENDUDUK Kedah dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda negeri itu ketika ini.

    Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, orang ramai juga digalakkan meminum banyak air berikutan cuaca panas ketika ini boleh mencecah sehingga 35 darjah Celsius.

    Menurut Muhammad Khalil, hampir semua daerah di negeri ini dilanda cuaca panas dan pihaknya menjangkakan suhu bertambah panas sekiranya tiada hujan.

     “Berdasarkan rekod bilangan hari tanpa hujan mencatatkan daerah Kota Setar merekodkan 20 hari tanpa hujan, Pulau Langkawi pula 17 hari dan manakala Sik serta Kuala Muda masing-masing 12 hari.

    “Malah setakat ini catatan suhu tertinggi direkodkan di Stesen Charok Padang, Sik pada Sabtu lalu dengan bacaan 35.3 darjah Celcius.

    “Selain itu suhu maksimum harian pula dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.

    Muhammad Khalil turut menasihatkan supaya aktiviti pembakaran terbuka tidak digalakkan dilakukan dan tidak sesuai ketika musim kering disebabkan haba panas ketika ini.

    Katanya, keadaan ini berlaku berikutan Kedah kini berada di fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu secara amnya negeri di bahagian utara Semenanjung akan mengalami kering sedikit.

    “Dijangkakan cuaca panas yang melanda negeri ini pada waktu ini berlarutan sehingga hujung Mac atau awal April depan.

    “Namun, cuaca panas ini dijangka kembali normal pada hujung Mac atau awal April nanti,” katanya.

  • BAM gantung Zii Jia dua tahun daripada bertanding

    BAM gantung Zii Jia dua tahun daripada bertanding

    PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk tidak mendaftarkan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dalam sebarang pertandingan antarabangsa melibatkan negara berkuat kuasa 18 Januari lalu.

    Timbalan Presiden 2 BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, penggantungan itu akan berjalan selama dua tahun.

    Menurut beliau, BAM dan Zii Jia telah melakukan beberapa siri perbincangan sebelum ini dan meminta pemain tersebut mempertimbangkan keputusannya.

     Bahkan, Zii Jia, kata Jahabardeen, turut menyenaraikan beberapa permintaan.

    Bagaimanapun, katanya, BAM tidak dapat memenuhi permintaan tersebut dan menegaskan adalah mustahil untuk memenuhi kehendaknya seperti pasukan kejurulatihan sendiri selain menentukan kejohanan apa yang mahu disertainya.

    “BAM masih tawarkan beliau beberapa insentif yang lumayan, termasuk faedah kewangan. Begitupun, Lee Zii Jia sudah membuat keputusan dan beliau tidak mahu mempertimbangkan keputusan itu.

    “Kini, kita tahu Zii Jia, pemain kebangsaan yang pernah memenangi Kejohanan All England…adalah sukar, mengecewakan apabila BAM kehilangan beliau.

    “Tapi beliau sudah buat keputusan dan kita perlu respons terhadap permintaan beliau,” katanya pada sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

  • Polis Perak sedia minta JIPS siasat dakwaan salah laku Ketua Polis Daerah Manjung

    Polis Perak sedia minta JIPS siasat dakwaan salah laku Ketua Polis Daerah Manjung

    POLIS Perak sedia meminta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, untuk menyiasat dakwaan kononnya wujud salah laku membabitkan Ketua Polis Daerah Manjung, berkaitan jenayah judi haram seperti tular di media sosial semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan itu perlu bagi mengenal pasti kesahihan maklumat yang ditularkan.

    “Saya tidak dapat nak sahkan. Mungkin tindakan habis-habisan dia (OCPD) banteras judi itu memberi kesan. Mungkin sebab itu orang tidak suka. Kalau betul yang tular itu, saya buka kepada JIPS untuk menyiasat.

    “Yang saya boleh sahkan, Polis Daerah Manjung mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti membanteras kegiatan haram seperti perjudian, pelacuran, kongsi gelap dan bitcoin.

    “Kita sukar nak kesan maklumat tular kononnya anggota pegawai terlibat, jadi kena siasat jika betul,” katanya selepas menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk ‘Berwaspada Dengan Sindiket Penipuan’ dan menyertai menghadiri program ‘High Profile Policing’ di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau di sini hari ini.

    Beliau mengulas mengenai dakwaan sebuah akaun Twitter yang memaparkan gambar dan maklumat, kononnya Ketua Polis Daerah Manjung ACP Noor Omar Sappi terlibat dalam sindiket kedai judi.

    — BERNAMA